Bab 14
"Aku cari Hakim."
Budin yang sedang memeriksa enjin kereta terus menoleh ke sebelah. Elok matanya tertala kepada sebatang tubuh tegap yang sedang berdiri di sebelahnya, tubuh ditegakkan dan lelaki itu dipandang dari atas ke bawah. Hati terus tertanya-tanya siapa gerangan lelaki itu kerana sejak dia bekerja di situ lima tahun lalu, belum pernah lagi dia melihat lelaki tersebut. Bukan setakat tegap tetapi kacaknya persis model ternama lebih-lebih lagi dengan gaya rambut spiky nipis begitu.
"Aku cari Hakim." Nick bersuara lagi apabila lelaki di hadapannya itu hanya terkebil-kebil memandangnya.
"Kau siapa?" Budin cekakkan pinggang.
Tidak terus menjawab pertanyaan Budin, Nick liarkan pandangan ke sekeliling. "Aku ada hal penting dengan dia." Tegasnya bersuara.
"Aku tanya kau siapa?" Suara Budin juga sudah mula naik senada.
"Aku Nick."
Budin terdiam. Nama Nick tetapi muka nampak seperti lelaki Melayu. Rambut perang dan gaya berpakaian pula seperti lelaki Cina. Lelaki itu itu diamati lagi. Lengan lelaki itu yang dipenuhi tatu lambang seekor naga dipandang pula. Nampaknya lelaki itu bukan lelaki sembarangan. Gengster ke? Tetapi sejak bila Hakim terlibat dengan orang-orang begitu selain Beng? Haish! Musykil ni, bisiknya.
"Hurmm... Ada hal apa cari Hakim?" Tangan dicekakkan ke pinggang. Garang sahaja riaknya. Walaupun dia tidaklah seberani mana tetapi gaya kena ada, desisnya.
"Kau Hakim?"
Budin menggeleng.
"Kalau bukan, bawa aku jumpa dia." Nick mula hilang sabar. Budin dipandang dengan mata mencerlung. Teringin kena penampar agaknya main-main dengan dia. Hati terus membungkam marah.
"Apa hal ni?"
Belum sempat Budin membalas kata-kata Nick, terdengar kuat Hakim menegur. Kedua-duanya dipandang bersama kerutan.
Nick pusingkan tubuh ke sebelah. Lelaki yang sedang berjalan menghampirinya itu dipandang.
Budin turut menoleh.
"Kau Hakim?" tanya Nick sebaik lelaki itu sudah berdiri di hadapannya.
Kepala diangguk.
"Aku nak jumpa Que."
Hakim terdiam. Lelaki yang kelihatan agak mencurigakan di hadapannya itu dipandang dengan dahi berkerut. Lama dia begitu sebelum dia berkalih memandang Budin.
"Din, kau pergi settlekan kereta yang dekat sana tu," arahnya untuk memudahkan dia berbicara dengan lelaki tersebut kerana bimbang Budin terdengar bicara mereka.
Mendengar arahan Hakim, Budin akur dan terus beredar.
"Kau siapa?" Hakim pelukkan tangan ke tubuh. Pandangan mata Nick dibalas tajam.
"Aku Nick. Kawan Que. Aku ada hal nak jumpa dia."
"Mana kau tahu Que ada dengan aku?"
Nick senyum segaris. "Que call aku dan beritahu aku tentang kau," beritahunya.
Sekali lagi Hakim terdiam. Bimbang juga dia untuk mempercayai kata-kata lelaki yang tidak dikenalinya itu. Mana tahu lelaki yang bernama Nick itu adalah konco-konco Hendry dan itu hanya alasan sahaja untuk memerangkapnya.
"Kalau kau tak percaya cakap aku, kau boleh call Que." Nick menyambung bicara apabila melihat reaksi ragu-ragu Hakim.
Hurm... Nak call macam mana kalau nombor Que pun dia tak ada. Hakim berbicara dalam hati.
Tidak menunggu jawapan Hakim, Nick terus mendail nombor seseorang. Setelah beberapa ketika, telefon bimbitnya dihulurkan kepada Hakim.
"Kau cakap dengan dia sendiri."
"Siapa?"
"Que."
"Oh!" Hakim menjawab sepatah dan terus menyambut huluran Nick. Sebaik berbicara beberapa ketika dengan Balqis, talian dimatikan dan telefon dihulurkan kepada Nick semula.
"Ikut aku," ucapnya.
Nick angguk sahaja.
"Din, aku nak keluar sekejap. Ada hal!" jeritnya dan terus ayun langkah.
Budin hanya memandang sahaja dengan riak yang penuh tanda tanya.
Hakim terus berjalan menuju ke keretanya. Nick pula masuk ke keretanya. Sebaik kereta Hakim bergerak keluar dari situ, dia mengekor sehinggalah Hakim masuk ke satu kawasan apartmen dan memberhentikan keretanya. Keretanya juga turut diberhentikan dan enjin dimatikan kemudian dia terus keluar. But keretanya dibuka dan beg dikeluarkan.
"Apa tu?" soal Hakim. Beg yang dipegang Nick dipandang curiga.
Mengerti apa yang difikirkan Hakim, Nick tersenyum.
"Kenapa? Kau ingat aku bawa senjata?" Tawa kecil dihambur "Ini baju Que. Dia minta aku bawa beg baju dia ke sini. Aku dengar dia tak ada baju nak pakai." Sinisnya pula.
Hakim mencemik. Tak ada baju? Habis baju-baju yang dia belikan tu apa? Hati terus membebel. Dia dah berhabis beratus masih mengadu tak ada baju? Grrr!
"Ikut aku," ucapnya datar dan terus buka langkah. Nick mengekor.
Sampai sahaja di apartmennya, langkah Hakim terhenti dan daun pintu dibuka. "Masuklah," pelawanya.
Nick mengangguk dan terus masuk. Daun pintu ditutup semula. "Kau duduk dulu biar aku panggil Que. Aku rasa dia dekat dalam bilik," suruhnya.
Nick akur dan terus duduk. Sekeliling ruang apartmen yang sederhana luas itu diperhati.
"Que." Daun pintu bilik Balqis diketuk. "Orang yang kau tunggu dah sampai. Dia..."
Belum sempat Hakim menghabiskan kata-katanya, daun pintu terus terbuka. Tidak mengendahkan Hakim yang sedang berdiri di muka pintu, Balqis terus meluru keluar dan menghampiri Nick.
"Nick."
Nick menoleh dan terus berdiri. "Que," panggilnya. "Kau okey?" Lengan Balqis dirangkul dan batang tubuh gadis itu diperhati.
Balqis mengangguk. "Aku okey."
"Sorry sebab tak ada masa kau perlukan aku malam tu."
"Sudahlah. Perkara dah berlaku pun. Mungkin nasib aku tak baik malam tu."
"Dahi kau ni kenapa?" Kesan luka di dahi Balqis disentuh. "Siapa pukul kau?" soalnya berang.
"Aku terjatuh masa Hendry pukul aku," beritahunya.
"Celaka Hendry!" bentak Nick geram. "Aku tak tahu siapa yang beritahu Hendry, kau ada dekat situ. Lepas aku jumpa Richard, aku masuk bilik tu semula tapi kau dah tak ada. Aku tanya Manap dan dia beritahu aku, Malek dan Karim dah bawa kau keluar dari kelab tu," terangnya. "Aku cuba call kau lepas tu tapi tak dapat. Aku rasa Richard sengaja perangkap aku untuk dapatkan kau," sambungnya berang.
"Konco-konco Hendry ada di mana-mana. Jadi aku tak hairan kalau mereka jumpa aku dekat situ. Lepas Hakim bawak aku dekat sini, aku off handphone aku. Lenny pun aku tak call. Mesti dia risau tentang aku sekarang."
Nick mengangguk mengiakan. Teringatkan sesuatu, beg yang dibawanya diambil. "Beg baju kau."
"Thanks."
"Kau okey tak dekat sini?" Hakim yang sedang bersandar di dinding bilik Balqis dikerling.
Balqis turut menoleh pandang ke arah Hakim sekilas. "Aku okey," jawabnya pendek. Kalau dia mengadu dengan Nick macam mana Hakim layan dia, tentu makan penumbuk Hakim pagi itu. Nick bukannya dia tidak tahu bagaimana barannya.
"Aku nak bawa kau keluar dari sini tapi tak boleh sebab mereka tentu akan mark aku lebih-lebih lagi setelah apa yang berlaku. Dalam keadaan sekarang, mereka tentu tak akan berhenti cari kau selagi mereka tak jumpa Daniel," keluhnya.
"Aku faham. Kau ada dengar apa-apa berita tentang dia?"
Nick menggeleng.
Perlahan-lahan nafas dihela dan rambut diraup. "Aku risaukan dia," luahnya.
"Aku faham. Jangan risau, aku pun masih cari dia. Aku rasa mesti ada sesuatu yang berlaku."
"Kau rasa dia masih selamat tak?" Suara Balqis sudah mula berubah rentak. Mata juga turut berkaca-kaca.
"Jangan fikir yang bukan-bukan, Que. Dia pasti okey," pujuk Nick lembut dan rambut Balqis diusap. "Buat masa ni kau tinggal dekat sini dulu. Aku rasa ini tempat yang paling selamat untuk kau buat sementara waktu. Bila aku dah jumpa tempat yang sesuai dan selamat untuk kau, aku akan bawa kau keluar dari sini," ucapnya berjanji.
Balqis mengangguk.
"Tolong jaga Que buat sementara waktu ni. Bila aku dah jumpa tempat yang selamat untuk dia, aku akan terus bawa dia keluar dari sini." Hakim dipandang semula.
Hakim hanya mengangguk sahaja sedang dalam kepala tertanya-tanya hubungan antara kedua-duanya. Kekasihkah sebab dari perbualan dan tindak-tanduk mereka kelihatannya begitu mesra.
"Aku tak boleh lama dekat sini. Bahaya. Aku takut ada orang ekori aku sampai sini. Aku pergi dulu. Jaga diri dan jangan keluar ke mana-mana buat sementara waktu ni. Kalau perlu apa-apa call aku. Nanti aku akan kirim melalui Hakim," pesannya.
Sekali lagi Balqis mengangguk. "Tolong aku cari Daniel. Aku risaukan dia."
"Aku sedang usahakan."
"Beritahu Lenny yang aku selamat tapi aku tak boleh jumpa dia."
"Okey."
"Oh ya, lagi satu. Tolong ambil motor aku dekat rumah kawan Lenny dan kau simpan dekat rumah kau dulu."
Nick anggukkan kepala.
"Kau tunggu sekejap aku ambil kunci," ucapnya dan terus bergegas masuk ke dalam bilik. Tidak lama kemudian, dia keluar semula bersama segugus kunci di tangan. "Ini kunci motor aku dan ini pula kunci rumah. Kalau kau ada masa tolong tengok keadaan rumah aku sekali. Aku takut ada barang yang hilang sebab aku tinggalkan rumah macam tu aje hari tu." Kunci motor dan kunci rumahnya dihulurkan kepada Nick.
"Okey, nanti aku uruskan," balas Nick berjanji.
"Thank you."
"Aku dah pernah janji dengan Daniel untuk jaga kau kalau jadi apa-apa pada dia. So, apa yang boleh aku tolong aku akan lakukan."
Balqis mengangguk.
"Aku pergi dulu. Jaga diri," pesannya dan pipi Balqis ditepuk perlahan. Tubuh dipusingkan dan Hakim dipandang pula. "Aku serahkan dia pada kau buat sementara waktu ni."
Hakim angguk kepala. Malas hendak berjanji beria walau baginya, selagi Balqis berada di bawah tanggungjawabnya, keselamatan Balqis adalah yang paling utama.
Tidak menunggu lagi, Nick terus beredar.
Hakim yang menjadi pemerhati sejak tadi terus berjalan ke pintu. "Aku nak balik bengkel."
Balqis langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi. Hanya matanya sahaja yang masih tidak berkalih memandang lelaki itu.
"Oh ya, lain kali kalau kau nak suruh sesiapa cari aku, beritahu aku dulu. Aku takut nanti orang jahat pun aku bawak balik. Bukan kau aje yang susah tapi dengan aku pun ikut susah sekali. Silap hari bulan orang jumpa kita dah tak bernyawa dalam rumah ni," pesannya.
Terpukul dengan teguran Hakim, Balqis tarik muka. "Yalah. Sorry!" jawab Balqis datar. Tidak terus menunggu di situ, dia terus masuk ke dalam biliknya semula. Hurmmm... Apa yang dia buat semuanya tak kena! Semuanya salah! Benci!
Hakim hanya memerhati bersama gelengan dan terus keluar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro