
Bab 11
"Nama kau apa?" Beng terus bertanya sebaik duduknya diselesakan. Gadis di sebelah Hakim dipandang.
"Que." Cepat sahaja Hakim membalas.
"Aku tak tanya kaulah Kim." Beng geleng kepala sambil tersenyum.
"Dia tengah sakit sebab tu aku tolong jawab." Selamba Hakim membalas. "Nah! Lap dahi kau yang luka tu." Sapu tangan yang sudah dibasahkan dengan sedikit air dihulurkan kepada Balqis untuk mengesat darah yang sudah hampir kering di dahinya. Melihat keadaan gadis itu rasa simpatinya semakin menggunung. Apa tidaknya, ketika umurnya baru tujuh belas tahun sudah berdepan dengan kekerasan yang begitu. Kasihan!
Balqis akur lalu huluran Hakim disambut. Dahinya yang masih terasa perit dilap perlahan.
Sekali lagi Beng geleng kepala. Hakim ambil berat seolah-olah gadis itu adalah kekasihnya. Tahu anak Mak Cik Hasmah, masak Hakim nanti. Gelaknya dalam hati. Tidak terus memandang Hakim, Beng kalihkan pandangan ke arah Balqis semula.
"Okey, apa masalah kau dengan Hendry?" tanya Beng pula bersama kerutan. Pelik dia, macam mana gadis cantik macam Balqis boleh terlibat dengan kumpulan kongsi gelap. Lebih-lebih lagi Hendry.
"Aku tak ada masalah dengan dia orang tapi dia orang tangkap aku sebab Tiger." Jujur Balqis mengaku.
Beng jongket kening. "Tiger? Ermmm... Maksud kau Tiger Liew?"
Kepala diangguk.
"Apa hubungan kau dengan Tiger?" Kerutan di dahi Beng semakin berlapis-lapis.
"Dia ayah angkat aku."
Beng terdiam. Terkejut dengan apa yang baru didengarinya itu. Patutlah ada khabar angin yang mengatakan Tiger ada anak perempuan. Gadis inilah rupanya.
"Kau kenal Tiger?" Hakim mencelah.
Beng ketawa kecil. "Dia bukan orang sembarangan dalam dunia kami, Kim," beritahunya.
"Maksud kau?" Hakim kerutkan dahi.
"Nanti-nantilah aku beritahu." Beng mengelak untuk menjawab kerana tidak mahu Balqis turut mendengar perkara tersebut.
"Kenapa Hendry cari Tiger?" Balqis dipandang semula.
"Aku tak tahu tapi dia kata Tiger ambil barang dia. Hendry kata lepas Tiger diberi tugasan penting, dia terus hilang."
Terangguk-angguk kepala Beng mendengar cerita gadis itu. Patutlah Hendry mengamuk besar. Tentu ia ada kaitan dengan kehilangan berlian yang bernilai jutaan ringgit yang heboh diperkatakan dalam kalangan kumpulan mereka.
"Tiger dekat mana sekarang?" asak Beng lagi.
"Aku tak tahu. Aku sendiri pun tak dapat hubungi dia."
Beng terdiam lagi. Rokok di atas meja dicapai dan diletakkan di balik bibir. Sebaik hujungnya dibakar, asap disedut dalam sebelum dilepaskan.
"Budak ni dalam bahaya, Kim. Kalau Hendry dan konco-konconya jumpa, tentu dia tak akan terlepas lagi." Hakim dipandang dengan muka berkerut-kerut.
"Habis tu?"
"Kau kena sembunyikan dia buat sementara waktu ni."
Hakim kerutkan dahi. "Aku nak sembunyikan dia dekat mana?" soalnya bingung.
"Tempat yang orang-orang Hendry tak boleh cari."
"Yalah, tapi dekat mana?"
"Sembunyikan dekat rumah kau dulu buat sementara waktu. Itu pun kalau kau nak tolong dialah." Beng buang senyum.
Bulat mata Hakim memandang Beng. "Rumah aku?" soalnya dengan suara yang sudah naik senada.
Beng anggukkan kepala. "Yup, rumah kau. Aku rasa rumah kau aje yang selamat untuk dia sekarang."
"Kalau penyangak tu tahu?"
"Aku rasa dia orang tak akan tahu sebab Malek dan Karim tentu tak perasankan kau tadi."
Hakim hela nafas. Rambutnya diraup. "Kau tak boleh tolong ke? Lagipun sampai bila dia nak bersembunyi?"
"Nanti aku bincang dengan King tengok apa yang kami boleh bantu dia."
Sekali lagi nafas dihela. Nak bawa Balqis tinggal serumah dengan dia? Haih! Masalah besar tu kalau Mak Cik Hasmah dan Hidayah tahu. Kalau jiran-jiran tahu lagi masak dia. Sudahlah mak cik-mak cik di situ memang bencikan dia. "Okey, buat sementara waktu aku boleh tolong," putusnya. "Untuk sementara aje Beng." Dia mengingatkan.
Beng hanya terangguk-angguk sahaja. Faham dengan maksud Hakim. Tidak semena-mena, dia pula yang terlibat dalam pemasalahan tersebut.
Keluhan kecil dilepaskan dan perlahan-lahan nafas dihela. Pandangan dibuangkan ke sebelah sekilas sebelum ditegakkan memandang ke hadapan semula. Aduh! Bingung dia. Tak pasal-pasal terpaksa melindungi anak dara orang pula.
"Kalau rasa susah nak tolong aku, hantar aje aku dekat rumah kawan aku," ucap Balqis datar. Melihat riak Hakim, dia faham benar apa yang difikirkan lelaki itu.
"Lepas tu kalau kau kena tangkap lagi macam mana?"
Balqis terdiam. Hakim ingat dia minta agaknya hidup dalam keadaan porak peranda macam itu. Hakim ingat dia suka agaknya hidup bagai pelarian begitu.
"Itu urusan aku, bukan urusan kau," balasnya bersahaja.
Bengang dengan jawapan Balqis, kereta diberhentikan di tepi jalan dan dia terus keluar dari kereta.
Balqis ikut keluar.
"Senang aje kau cakap, kan? Kalau aku ni jenis manusia yang tak ada hati perut, masa kau kena tadi pun aku biarkan aje. Bukan urusan aku juga," berangnya.
Balqis hela nafas. "Aku minta maaf tapi aku pun tak nak libatkan kau dalam masalah aku. Tapi buat masa sekarang, aku sendiri pun tak tahu nak pergi mana. Semua tempat dah tak selamat buat aku," ucapnya perlahan dan tubuh disandarkan ke dinding kereta. Bingung dia apa yang perlu dibuatnya sekarang. Serabut memikir, poket seluarnya diseluk dan kotak rokok yang sudah kemik dikeluarkan. Melihat isi di dalamnya yang juga sudah rosak, Balqis mendengus geram. Sebatang rokok yang belum patah diambil dan diletakkan di balik bibir lalu kotak rokok di tangannya dicampakkan ke rumput. Mancis di dalam poket seluar diambil pula lalu dihidupkan dan hujung rokok dibakar.
Hakim hanya memerhati sahaja dengan riak tak puas hati.
"Okey, kau boleh tinggal di rumah aku buat sementara waktu tapi duduk tempat aku, kau kena ikut rules aku. Setuju?" tegasnya.
"Contoh?" Balqis kerutkan dahi.
"Berhenti merokok." Rokok di tangan Balqis dirampas dan dicampakkan jauh-jauh.
"Wehhh!" Dengusan keras dilepaskan. Arghhh! Dia baru hisap sikit. Tak guna betul!
"Kau nak mati cepat ke?"
"Macam kau tak merokok!" Hakim dijeling. Sakit betul hati dia!
"Aku dah berhenti merokok sejak 13 tahun lalu."
"Tak payah nak kelentong akulah!" Balqis mencemik. Mana ada orang lelaki yang tidak merokok lagi sekarang? Budak darjah lima pun dah pandai hisap rokok tapi Hakim kata dia tak merokok? Gebang kuat! ejeknya dalam hati.
"Kau tak nak percaya, itu kau punya pasal," bedilnya.
"Disebabkan aku tinggal di kawasan yang ramai mak cik-mak cik yang mulut tak ada insurans, jadi kau tak dibenarkan keluar tanpa kebenaran aku."
"Apa? Habis tu takkan aku nak terperap aje dalam rumah kau?" Balqis tegakkan tubuh.
"Kau nak orang tahu kau tinggal dengan aku? Kau nak kena tangkap basah dengan aku? Atau kau nak geng mangkuk tu jumpa kau lepas tu tangkap kau dan jadikan kau pelacur?" marahnya.
Laju kepala digeleng. "Tak nak," tegasnya.
"Kalau tak nak, ikut cakap aku."
Balqis terdiam dan tangan dipelukkan ke tubuh dengan muka cemberut.
"Duduk rumah aku, kau kena mengemas dan memasak."
Kening terjongket tinggi. "Kau nak tolong aku atau kau nak suruh aku jadi orang gaji kau?" Balqis mula panas hati.
"Kalau tak buat kerja rumah, kau nak buat apa? Nak duduk goyang kaki dan membuta aje?" bedil Hakim pula.
Dengusan keras dilepaskan. Eee! Geramnya. Ini namanya terlepas dari mulut buaya masuk mulut naga.
"Macam mana?" Wajah gadis yang sudah masam mencuka itu dipandang tapi dia peduli apa. Rumah dia, suka hati dialah nak buat undang-undang apa. Bukan suruh buat kerja berat pun.
"Okey aku setuju tapi aku nak beritahu awal-awal, aku tak pandai memasak."
"Orang perempuan kalau tak pandai masak baik tukar jantina jadi lelaki aje!" Selamba Hakim dan berjalan semula ke keretanya.
Balqis mendengus. Entah mana punya teori agaknya yang lelaki itu guna pakai. Grrr!
"Pakai jaket dan cap ni. Rambut kau yang panjang tu masukkan dalam cap. Aku tak nak ada orang perasan yang kau tu perempuan." Jaket kulit dan cap di dalam keretanya diambil kemudian dihulurkan kepada Balqis.
Tidak membantah, Balqis akur sahaja. Jaket tersebut disarungkan ke tubuh dan cap diletakkan di kepala. Rambut panjangnya yang diikat satu, disumbatkan ke dalam cap tersebut. "Okey?" Hakim dipandang.
Kepala diangguk. "Dah jom!" Hakim terus masuk ke dalam perut kereta. Hurmmm... Memang buat kerja gila kau ni, Hakim! bebelnya kepada diri sendiri.
Balqis turut masuk. "Eh! Nama kau apa?" Hakim yang sedang membetulkan duduknya dipandang. Sudah beberapa kali bertemu tetapi nama lelaki itu pun dia tidak tahu.
"Hakim."
"Kau nak aku panggil kau apa?"
"Ikut suka hati kaulah nak panggil apa asal kau jangan panggil aku beruk, monyet atau yang bukan-bukan, sudah." Selambanya.
Balqis mencemik. Sekasar-kasar dia tak pernah lagi dia memanggil orang dengan nama yang entah apa-apa kecuali kepada Malek dan Karim. Dua manusia itu memang patut dipanggil beruk pun! ejeknya.
"Okey, ini tempat tinggal aku," beritahu Hakim sebaik sampai di apartmennya. Enjin kereta dimatikan. "Jom!" ajaknya dan dia terus keluar.
Balqis akur. Cap di kepalanya dikemaskan. Bimbang terkeluar rambut panjangnya dari belakang topi tersebut.
"Kalau ada orang tegur kau tak payahlah ramah sangat nak menjawab. Buat tak tahu aje," pesannya.
Balqis mengangguk sahaja walau dengan muka tak puas hati. Hakim ingat dia jenis orang yang ramah dan banyak mulut agaknya. Haih!
Hakim buka langkah tetapi teringatkan sesuatu, tubuh dipusingkan dan wajah Balqis diamati.
"Kenapa?" Pelik dengan apa yang dilakukan Hakim, mukanya disentuh.
"Aku nak tengok kau ada pakai lipstik atau tidak. Nanti kantoilah."
"Bedak pun aku tak pakai takkan nak pakai lipstik pulak," dengusnya.
"Manalah tahu," balas Hakim bersahaja dan terus menyambung langkahnya.
Bersama cemikan, Balqis hanya mengekor sahaja sehingga mereka masuk ke dalam perut lif. Sampai di tingkat yang sepatutnya mereka terus keluar dan langkah diatur semakin laju.
"Masuk." Daun pintu dikuak lebar sambil mata melilau memandang sekeliling. Nasib baik waktu ketika itu sudah menginjak ke pukul dua belas malam jadi memang tiada sangatlah manusia yang masih bersidai di kawasan apartmen tersebut. Ada berselisih pun hanyalah anak-anak muda yang memang kerjanya melepak siang malam tanpa hala tujuan.
Balqis terus masuk. Sepantas kilat itu juga Hakim terus menutup daun pintu dan dikunci bersama helaan nafas.
"Kau boleh guna bilik yang tu." Tangan ditunjukkan ke arah bilik yang terletak di sebelah biliknya.
Kepala diangguk.
"Kau pergilah masuk. Aku pun nak tidur ni. Esok aku kerja."
Balqis akur sahaja. Langkah terus diayun menuju ke bilik yang ditunjukkan Hakim tadi.
"Que!"
Tubuh dipusingkan dan kening dijongket.
"Tunggu kejap," ucap Hakim dan terus masuk ke dalam biliknya. Tidak sampai lima minit, dia keluar semula bersama tuala dan minyak di tangan.
"Ini tuala kalau kau nak mandi." Tuala berwarna hijau dihulurkan. "Dan ini pula minyak gamat. Sapu dekat luka dekat dahi tu." Botol minyak gamat dihulurkan pula.
Akur, tuala dan botol minyak gamat yang dihulur Hakim disambut. "Terima kasih," ucapnya pendek.
"Bilik air dekat sebelah bilik kau," beritahu Hakim pula.
Kepala ditolehkan ke sebelah kemudian diangguk.
"Dah! Aku nak masuk tidur," sambung Hakim lagi dan terus masuk ke dalam biliknya.
Balqis hanya memerhati sahaja langkah Hakim bersama keluhan kecil di bibir. Sebaik kelibat Hakim hilang dari pandangan, tubuh dipusingkan dan ruang apartmen yang begitu asing itu diperhati.
"Bertahan untuk sementara, Que. Selepas ini segalanya akan baik-baik saja," bisiknya memujuk diri sendiri dan terus melangkah masuk ke dalam bilik.
Jam di pergelangan tangan dikerling. Ermmm... Sudah hampir ke pukul lapan setengah pagi tapi kelibat Balqis masih belum kelihatan. Bersama kerutan, daun pintu bilik Balqis diperhati pula.
Senyap sahaja. Confirm belum bangun tidur lagi tu, bisiknya. Tidak terus berdiri di situ, langkah diayun. Bungkusan nasi lemak yang dibeli di warung Mak Jah tadi diletakkan di atas meja makan kemudian dia terus berjalan menuju ke bilik Balqis. Tangan diangkat dan daun pintu diketuk.
"Que!" panggilnya apabila ketukan di pintu langsung tidak berjawab.
Senyap.
Hakim kerut dahi. "Mana pulaklah budak ni. Dah lari?" bisiknya mulai cuak. Sepanjang malam dia menyesal dengan tindakan sendiri membawa gadis itu balik ke rumahnya tetapi pagi ini dia risau pula kalau-kalau gadis itu tiba-tiba pergi dari situ.
"Queee!" panggilnya lagi lebih kuat dari tadi.
"Ada apa?"
Hampir melompat Hakim di situ apabila terdengar suara Balqis menegurnya dari belakang. Kus semangat! bisiknya. Nafas dihela dan dadanya diusap. "Allah, kau ni. Nasib baik aku tak mati terkejut," bebelnya bersama gelengan.
Balqis berdeham dan rambutnya yang basah digaru. "Sorrylah. Aku tak tahu pulak kau ni ada darah gemuruh," balasnya sambil tersengih.
Hakim berdeham. "Bukan darah gemuruhlah tapi terkejut. Lain kali nak menyahut, jawab elok sikit," jawabnya membela diri sendiri. Dia ingatkan Balqis masih membuta lagi rupanya sudah siap mandi.
Eh! Eh! Dia cakap elok-elok saja tadi. "Ermmm...Kau cari aku ada apa?" Malas hendak memanjangkan isu tadi, Balqis terus bertanya. Tuala di tangannya dilingkarkan ke leher.
"Tu, aku ada belikan sarapan untuk kau. Kau makanlah. Aku nak pergi bengkel." Bungkusan di atas meja makan ditunjukkan.
Balqis mengangguk.
"Air kau buatlah sendiri. Milo, teh, kopi ada dekat dalam kabinet," pesannya pula.
"Okey."
"Dah makan jangan lupa kemas."
Balqis terdiam. Hakim dipandang tak berkelip. Amboiii pesanan!
"Aku tak suka rumah aku bersepah," sambung Hakim apabila melihat riak tidak puas hati Balqis.
"Yalah!" Malas-malas Balqis membalas.
"Aku pergi dulu." Langkah dibuka tetapi apabila teringatkah sesuatu, dia berpaling memandang Balqis semula. "Kalau sesiapa ketuk pintu rumah jangan buka. Kalau aku balik, aku akan buka sendiri pintu tu."
Kepala diangguk lagi.
"Jangan lupa masak. Tengah hari nanti aku balik."
"Masak?" Bulat mata Balqis memandang Hakim.
"Yalah. Aku kan dah beritahu syarat-syarat aku malam tadi." Hakim mengingatkan. Sebenarnya sengaja dia beri syarat gila begitu. Sekurang-kurangnya gadis itu ada sesuatu yang boleh dibuat daripada duduk saja tanpa berbuat apa-apa. Dan sekurang-kurangnya ada jugalah perbualan dua hala antara mereka walaupun sekadar perbalahan sahaja.
Balqis garu kepala dan Hakim dipandang tidak berkelip. Suruh dia masak? Hurmmm... Que... Habislah kau!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro