Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

"Anak Tiger?"

Nick kalihkan pandangan ke arah Balqis yang sedang leka menonton televisyen ketika itu. Bimbang andai Balqis terdengar perbualannya dengan Richard, langkahnya dibuka untuk berada jauh sedikit dari gadis itu.

"Ada dengan aku," balasnya perlahan dan Balqis dikerling.

"Bawa dia sekali."

"Untuk apa?"

"Aku nak jumpa dia."

"Projek kita macam mana?"

"Hal tu tak ada masalah tapi kau bawa anak Tiger sekali datang jumpa aku nanti. Lepas tu kita aturkan semuanya."

"Okey, aku tahu. Aku akan bawa dia ke sana. Aku jumpa kau pukul sepuluh nanti."

"Tunggu dekat bilik yang sama. Aku akan booking bilik tu."

"Okey."

"Jangan lambat."

"Aku tahu," balasnya dan talian dimatikan. Sebaik telefon bimbit disimpan semula ke dalam poket seluarnya, Balqis dihampiri.

"Jom ikut aku." Nick terus duduk.

"Pergi mana?" Balqis kerutkan dahi dan tubuhnya yang sedang bersandar di sofa ketika itu ditegakkan.

"Zouk."

"Zouk? Nak buat apa?" Kening dijongket. Dalam keadaan huru-hara begitu pun Nick masih sibuk mengajaknya berhibur? Kalau terserempak dengan konco-konco Hendry macam mana? Sudah penat dia melarikan diri dari penyangak-penyangak itu semua.

"Kita nak jumpa seseorang yang boleh beri kita maklumat tentang Daniel," beritahu Nick.

Spontan itu kaki yang sedang bersimpuh di atas sofa terus jatuh ke lantai. "Siapa?" soalnya beria. Mendengar berita itu terasa kurang sikit beban kerisauan yang ditanggungnya sejak beberapa hari lepas.

"Richard. Aku dengar dia ada jumpa Daniel tiga hari sebelum Daniel hilang. Mungkin dia tahu apa yang sebenarnya berlaku," ucap Nick bersungguh.

"Kau rasa dia dalam bahaya sekarang?" Nick dipandang dengan riak resah. Baru dia hendak rasa lega tiba-tiba dada berdegup semula.

Nick terdiam dan kepalanya digeleng.

"Aku tak tahu sebab itulah kita kena jumpa Richard. Kita kena dengar sendiri cerita dia," pujuknya.

Balqis tundukkan kepala dan wajahnya diraup. "Aku betul-betul rasa tak sedap hati. Dia tak pernah macam ni. Selalunya kalau dia ada masalah dan tak boleh balik seperti yang dia janjikan, dia akan call aku. Beritahu aku keadaan dia okey atau tidak," ucapnya sebak. "Kali ni dia pergi macam tu aje. Langsung tak cakap apa-apa dengan aku," ucapnya dengan suara yang tenggelam timbul kerana menahan tangis.

Simpati melihat keadaan Balqis, Nick bingkas bangun dan gadis itu dihampiri. "Janganlah risau. Dia tak akan apa-apa. Dia bukan sembarangan orang. Kalau dia ada masalah pun dia tahu macam mana nak uruskan. Aku rasa dia mesti sedang bersembunyi dari sesuatu sekarang," pujuknya.

"Kalau dia sedang bersembunyi sekali pun dia boleh call aku tapi tak ada. Dia langsung tak call aku!" bentaknya dengan mata yang sudah mula berkaca-kaca.

"Que, janganlah macam ni," pujuk Nick lembut. Bahu Balqis dirangkul dan diusap-usap untuk ditenangkan.

"Aku risaukan dia," luahnya dengan esakan kecil yang mula kedengaran.

"Ya, aku juga risaukan keadaan dia. Kami kawan dah lama dan dia dah macam abang aku." Rambut Balqis diusap pula bersama helaan nafas panjang.

"Kalau jadi apa-apa pada dia, aku macam mana?" Air mata yang bergenang jatuh lagi.

"Jangan fikir macam tu. Dia tak akan apa-apa. Percayalah. Dan aku janji aku akan cari dia." Nick terus memujuk.

"Janji yang kau akan cari dia?" desak Balqis.

"Ya, aku janji."

Balqis mengangguk dan air matanya dikesat.

"Dah, kau pergi bersiap. Aku janji nak jumpa Richard pukul sembilan," suruh Nick pula.

Akur, Balqis bingkas bangun dan terus berlari memanjat tangga. Usai bersiap mereka terus keluar menuju ke tempat yang dijanjikan.

"Jom," ajak Nick sebaik enjin keretanya dimatikan dan dia terus keluar.

Balqis mengekor.

"Race malam tu memang mencabar gila. Lawan aku pun hebat-hebat semuanya. Kalau bukan sebab Hakim tolong modified kereta aku, tentu susah untuk aku menang." Beria Beng bercerita di hadapan sahabatnya yang lain. Bahu Hakim dirangkul bangga.

Hakim tersenyum. "Kalau bukan sebab aku, kau akan tetap menang, Beng. Race itu kan dah jadi darah daging kau sejak remaja lagi. Setahu aku, kau memang susah nak kalah kecuali kereta kau ada masalah," ucapnya merendah diri. Sengaja malas mengakui kehebatan diri.

"Tak, Kim. Kau tetap penyumbang terbesar kemenangan aku." Beng memuji lagi.

Bersama gelengan, Hakim tersengih sahaja. Gelas Coke di atas meja dicapai dan dihirup sambil mata liar memandang sekeliling. Sedang asyik memerhati pengunjung-pengunjung kelab terkemuka itu, mata tertala ke arah seseorang yang dikenali.

"Que," bisiknya sedang mata langsung tidak berkalih melihat gerak laku gadis itu dengan seorang lelaki di sisinya sehingga hilang dari pandangan.

"Tengok apa?"

Terasa senggolan kuat di bahunya, Hakim menoleh.

"A... apa?" soalnya terpinga-pinga.

"Kau tengok siapa sampai tak berkelip mata?" giat Beng.

"Ermmm... Aku rasa macam aku ternampak seseorang yang aku kenal dekat sini."

"Mana? Ajaklah join kita sekali."

"Entah. Dia dah masuk ke dalam sana tadi."

Beng mencemik dan mengangguk sahaja.

"Kau tunggu sini. Aku nak jumpa Richard sekejap," suruhnya sebaik mereka masuk di sebuah bilik yang agak besar di dalam kelab terkemuka itu.

"Kenapa tak suruh dia datang sini aje?" Balqis mula tidak sedap hati. Bukan baru sekarang tetapi sejak keluar dari rumah Nick lagi tadi dia sudah rasa begitu.

"Aku ada hal lain sikit. Biar aku settlekan hal tu dulu lepas tu aku akan masuk dengan Richard."

Tidak mampu menolak, akhirnya Balqis akur dan kepalanya diangguk. Tidak menunggu lagi, Nick terus bergegas keluar. Balqis hanya memerhati sahaja sehingga kelibat lelaki itu hilang dari pandangan. Dada yang sedang berdegup diusap dan nafas panjang dihela untuk meredakan debarannya. Tidak terus berdiri, punggung dijatuhkan ke sofa. Beg sandang yang dibawanya diselimpangkan ke bahu dan duduknya diselesakan. Dalam keadaan resah, ruang bilik yang agak luas itu diperhati dengan rasa yang kurang enak. Sedang dia leka memerhati, dia terdengar daun pintu terbuka. Spontan itu pandangan dikalihkan ke situ. Sebaik mata tertala ke arah beberapa lelaki yang sangat dikenalinya, dia bingkas bangun dan darah mula menyirap ke kepala.

"Terkejut?" Hendry buang tawa dan gadis itu dihampiri. "Tentu kau tak sangka jumpa aku dekat sini, kan?" Kening dijongket mengejek.

Balqis telan liur. Beg sandangnya dicengkam kemas sedang di dalam kepala sudah mula ligat untuk mencari jalan keluar.

"Fikir apa? Nak lari?" soal Hendry dengan tawa kecil di bibir. "Kau cubalah lari kalau boleh sebab orang-orang aku dah ada menunggu kau dekat luar tu," ugutnya.

Sekali lagi liur ditelan. Dalam keadaan terdesak begini, di mana Nick? Hati berbisik cemas.

"Kau ingat kau boleh lepas dari aku?" Suara Hendry sudah berubah keras. Rambut Balqis dicengkam kuat. "Kau ingat kau boleh selamanya menyembunyikan diri dari aku?!" bentaknya lagi dan cengkamannya semakin dikuatkan.

Balqis menjerit kesakitan. Tangan Hendry ditepuk-tepuk. "Lepaskan akulah!" jerit Balqis lantang sambil meronta-ronta minta dilepaskan.

"Kau ingat kau pandai? Sejauh mana sangat kau boleh lari kalau kawasan ni dah memang kawasan aku. Kalau kau nak tahu, mata-mata aku ada di mana-mana." Hendry ketawa besar. Rambut Balqis ditarik sehingga tubuh kecil molek itu terayun rapat ke arahnya.

"Sakitlah bodoh!" jeritnya semakin lantang. Tangan Hendry ditepuk-tepuk lagi sambil menyeringai kesakitan.

"Kau tak nak sakit, jangan buat perangai!" bentak dan kepala Balqis dipusingkan supaya menghadapnya kemudian dilepaskan dengan kuat sehingga Balqis jatuh tersungkur dan dahinya terhantuk di lantai.

"Arghhh!" desis Balqis kesakitan. Dahinya disentuh. Jari yang terasa basah dan hangat dipandang. Melihat darah merah membasahi jari, Hendry direnung. Tajam.

"Kenapa? Tak puas hati dengan aku?" bedilnya bersama tawa.

"Kau orang tengok budak tak cukup umur ni cuba nak lawan aku. Dia ingat dia siapa?" Malek dan Karim dipandang bersama tawa yang terhambur lepas.

Malek dan Karim ikut ketawa.

"Ajar aje dia, bos. Budak tak reti bahasa." Malek mengapikan.

"Betul sangat tu bos. Kalau tak pun kita jual aje pada Mummy Zai. Biar dia ada rasa takut sikit." Karim mengiakan pula.

"Hurmmm... Kalau ikut hati aku memang dah aku kerjakan dia." Hendry tersenyum penuh makna dan Balqis dihampiri. Dagu Balqis dicekup dan wajah polos itu diamati. "Cantik dan muda. Mesti best ni!" ucapnya penuh makna dan lidah dijilatkan ke bibir.

Balqis kecut perut. Melihat riak gatal Hendry, dia tahu apa yang Hendry maksudkan.

Malek dan Karim berpandangan kemudian ketawa. "Kalau nak makan jangan makan sorang, bos. Kami nak rasa juga." Karim jongket kening.

"Kalau dikendurikan ramai-ramai lagi best, bos." Malek pula mencelah.

Hendry berdiri semula. "Ambil dia dan bawa dia ke rumah aku," arahnya. "Kau nak main-main dengan aku kan Tiger? Tak apa, sebelum aku dapat kau, biar aku kerjakan anak perempuan kau sampai puas." Balqis dipandang dengan senyum yang semakin lebar. "Kau jangan risau, aku akan pastikan, kau tak akan lupa pengalaman itu nanti." Sengihnya pula.

"Aku tak nak!" jeritnya.

"Tak nak?" Karim ketawa besar. "Cubalah lari kalau boleh. Sebelum ni mungkin kau boleh tipu aku tapi kali ini jangan harap!" bentaknya kasar dan tangan Balqis terus dicengkam.

"Bos, kalau kita rakam tentu lagi syok, bos. Boleh buat duit." Karim memberi cadangan.

Hendry tersenyum. "Hurmmm... Bagus idea kau. Kau call Chong dan suruh dia datang rumah aku esok. Suruh dia bawa barang-barang dia sekali," putusnya.

Mendengar rancangan Hendry dan konco-konconya, Balqis seakan-akan mahu menangis. Ya Allah, dalam keadaan yang tersepit begitu, bagaimana dia hendak menyelamatkan diri?

"Baik bos!" Karim bersuara teruja.

"Dah, jom blah!" Hendry terus beredar.

"Padan muka kau dan nampaknya kami juga yang untung," ejek Malek bersama gelak besar.

"Jom Lek," ajak Karim. Lengan Balqis dipaut semakin erat.

Malek mengangguk dan mula buka langkah keluar dari Zouk. Karim mengekor sambil merangkul erat tubuh Balqis.

Keluar sahaja dari kelab tersebut, pandangan dibuangkan ke sekeliling. Ramai orang di situ tetapi semuanya mungkin geng-geng Hendry. Lihat pada gaya mereka sahaja dia sudah tahu. Jadi, dengan siapa dia perlu minta tolong sekarang? Hati berbisik semakin resah.

"Pastikan budak ni tak lari lagi Malek, Karim." Hendry mengingatkan lagi.

"Jangan risau, bos. Kami akan kawal dia dengan ketat kali ni." Malek berjanji dan Balqis dipandang bengis.

Hendry mengangguk sahaja dan terus beredar dari situ bersama konconya yang lain. Malek dan Karim memerhati sahaja bersama seorang lagi geng mereka yang lain.

"Kau ikut aku terus ke keretalah," ajak Malek.

Karim dan Rafi akur sahaja dan terus berjalan menuju ke tempat kereta Malek diparkirkan. Penggera ditekan dan Malek terus masuk.

"Masuk!" arah Karim sebaik pintu kereta dibuka.

Balqis berdegil. "Aku tak nak!" bentaknya dan meronta-ronta.

"Kau jangan buat aku marah. Nanti aku tampar muka kau lagi," ugutnya.

"Tamparlah! Kau ingat aku takut?" cabar Balqis dengan muka bengis.

"Kau humban aje dia masuk," suruh Malek yang sudah mula hilang sabar.

Baru sahaja Karim ingin menolak tubuh Balqis ke dalam perut kereta, terdengar kuat suara gadis itu menjerit meminta tolong.

"Hoiii! Diamlah!" marahnya. Mulut Balqis terus ditutup dengan tangannya dan tubuh gadis itu dirangkul.

Balqis meronta dan tangan Karim digigit dengan sekuat hati. Karim menjerit kesakitan. Tubuh Balqis ditolak sehingga gadis itu jatuh terduduk di hadapannya.

"Tolonggg!" jerit Balqis semakin kuat. Dia cuba untuk melepaskan diri tetapi Malek sudah terlebih dahulu merangkul tubuhnya. Rafi pula hanya tercengang-cengang sahaja memerhati.

"Tolooonnnggg!"

"Diamlah sial!" Malek semakin berang dan mulut Balqis ditutup. Masih belum berputus asa, Balqis masih terus meronta-ronta.

"Humban dia dalam kereta, Lek. Kau dan Rafi jaga dia. Biar aku bawak kereta. Kalau dia melawan juga, kau lempang aje biar dia pengsan."

Malek mengangguk dan tubuh Balqis yang masih meronta-ronta cuba ditolak ke dalam perut kereta.

"Lepaskan akulah! Lepaskan!"

"Diam! Sebelum aku tampar mulut kau!"

"Hoiii! Korang buat apa?"

Terdengar suara seseorang menegur, Malek terus berpaling. "Kalau tak nak sakit, jangan sibuk urusan orang!" marahnya. Empat orang lelaki yang sedang berdiri tidak jauh dari situ dipandang bengis.

"Lepaskan perempuan tu!"

Dalam keadaan Malek yang sedang terganggu ketika itu, Balqis langsung tidak melepaskan peluang. Dia cuba lari tetapi cepat sahaja Malek meraih pergelangan tangannya dan digenggam kuat.

"Tolong saya, encik. Mereka nak jual saya ke rumah pelacuran," rayu Balqis sambil cuba melepaskan pergelangan tangannya yang sedang dipaut Malek.

"Aku kenal perempuan tu, Beng."

Terdengar kata-kata yang diucapkan oleh salah seorang lelaki daripada beberapa orang lelaki itu, Balqis angkat kepala. Sebaik terpandangkan lelaki yang pernah menyelamatkannya sebelum ini, nafas lega dihela.

"Tolong selamatkan aku. Dia orang inilah yang kejar aku hari tu," rayunya.

"Siapa perempuan tu, Kim?" Beng pandang Hakim.

"Adik angkat aku," jawab Hakim tidak fikir panjang kerana hanya jawapan itu sahaja yang dia terfikirkan ketika itu.

"Lepaskan perempuan tu!" Keras Beng bersuara.

"Kau siapa?" Karim mencelah.

"Beng. Ini kawasan King. Kalau kau tak nak susah, lepaskan perempuan tu," ugut Beng lantang.

Malek, Karim dan Rafi berpandangan.

"Aku kata lepaskan perempuan tu kalau tidak..." Jaket kulit yang dipakainya diselak sedikit sehingga menampakkan sepucuk pistol yang terselit di pinggang seluarnya.

Ketiga-tiga terdiam dan telan liur. Kalau hanya lelaki Cina itu sahaja yang menunjukkan senjata mereka tidaklah hairan sangat tetapi tiga daripada empat lelaki Melayu yang berada di situ juga menunjukkan benda yang sama. Walaupun mereka turut bersenjata tetapi kalau tersilap percaturan boleh hilang nyawa. Lebih-lebih lagi apabila kawasan itu adalah kawasan musuh. Sudah tentulah geng mereka bukan hanya empat orang itu sahaja.

"Perempuan ini milik Hendry. Kalau kau ambil dia maknanya kau sengaja cari pasal dengan Hendry." Malek cuba melawan walau dalam keadaan cuak.

Beng ketawa besar. "Kalau King tahu kau cuba buat kacau dalam kawasan dia, tentu teruk nanti. Lagipun abang perempuan itu, kawan baik King. Korang pilih, nak lepaskan perempuan tu atau nyawa korang yang melayang."

Sekali lagi Malek, Karim dan Rafi berpandangan dengan riak bingung.

"Baik kau lepaskan dia sekarang sebelum aku panggil geng-geng aku yang lain."

"Lepaskan Lek. Nanti kita beritahu Hendry apa yang berlaku. Aku tahu Hendry tak akan diamkan," suruh Karim yang sudah mula kecut perut.

Malek akur. Tangan Balqis dilepaskan dan tubuh gadis itu ditolak sehingga Balqis terjatuh.

Melihat keadaan Balqis, Hakim terus berlari mendapatkannya. "Kau tak apa-apa?" tanyanya sebaik Balqis dihampiri dan gadis itu dibantu untuk berdiri.

Perlahan-lahan Balqis menggeleng dan terus mengikut Hakim ke tempat Beng semula.

"Aku lepaskan perempuan tu tapi aku nak beri amaran, Hendry pasti tak akan berdiam diri."

Beng tergelak sinis. "Aku tunggu!" balasnya selamba. "Jom blah!" Hakim dan dua orang lagi rakannya dipandang sebelum dia terus beredar. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro