Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

Bunyi jeritan di tingkat atas mengejutkan Intan yang sedang menggoreng. Wanita itu bergegas keluar dari dapur. Mareeya hanya memandang ke arah tangga di mana datangnya bunyi itu.

"Sufiyah! Syazana! Sara! Apa tu?" jerit sang ibu.

Lagi kecoh dibuatnya. Intan mencari kelibat Luth. Tidak kelihatan.

"Mareeya, Luth mana?"

"Toilet," beritahu Mareeya.

"Mareeya, sorry. But can you help me? Tolong tengokkan kuali tu kejap. Budak-budak ni bergaduh kat atas ni," minta Intan. Mareeya teragak-agak tapi dia turutkan jua meninggalkan kertas kerjanya.

Dia ke dapur memerhatikan gorengan Intan. Hebat skop kerja kau, Mareeya.

"What are you doing?" Suara berbisik dari belakang mengejutkan Mareeya lantas dia menoleh.

Luth spontan mengambil sudip dan membalikkan ikan di dalam kuali.

"Puan Intan minta tolong..."

Luth terus ambil tempat di hadapan dapur, memaksa Mareeya untuk ke tepi sedikit.

"Kak Intan pergi mana?"

"Tengok anak dia kat atas."

Luth dongak memandang ke atas. "I rasa setengah jam baru nak settle yang kat atas tu. You reti masak?" Luth serba maklum dah kalau si kembar tiga ini bergaduh, memang susah nak leraikan. Tahu kenapa?

Sebab mereka bertiga. Leraikan dua, seorang lagi jadi syaitonnya. Lagi pula budak perempuan. Tiga-tiga baran pula tu! Memang kalau tak tercabut rambut, pasti ada yang akan lebam-lebam kejap lagi.

"Masak?" Mareeya buat muka terkejut.

"Reti tak?"

Memanglah aku reti sikit-sikit. Tapi bukan kerja aku datang sini jadi bibik, gumam hati kecil Mareeya.

"Fine. Kalau you tak tahu, tolong I prepare," minta Luth dan segera menyenteng baju lengan panjangnya.

Mareeya terkebil-kebil. Aku tak tahu masak? Baik sikit. Jaguh kut! cebik Mareeya. Padahal kebenarannya, goreng ikan pun, sama ada mentah atau hangit.

"Tolong potong sayur tu." Luth menunjuk ke arah lada benggala, tomato dan nenas yang berada di dalam bakul sudah bercuci.

Mareeya garu kepala. Tapi dia tak banyak bunyi. Lengan baju kemeja dilipat tiga suku dan pisau mula memotong sayur-sayuran.

"Mama!!! Tengok Ana ni!" jerit Sara kuat.

"Fiya, sakitlah!!!"

"Kau nak buat aku sangat, kan?!"

Mareeya gigit bibir bawah mendengar suara si kembar tiga itu.

"Ana! Stop it! Jangan tarik rambut Ara tu!" Dengan Intan sekali sama-sama menjerit.

Luth mengeluh. Dia angkat ikan yang sudah masak dan diletakkan ke dalam tapis zink. Api dipadamkan. Terus lelaki itu berlari ke tingkat atas.

"Kenapa ni?" Sergahan Luth kedengaran.

Mareeya hanya jongket bahu buat tak tahu. Ini keluarga orang, Mareeya. Kau jangan masuk campur. Jangan sesekali masuk campur.

Lima belas minit kemudian, Luth turun ke bawah sambil mendukung Ara (Sara) dan Fiya (Sufiyah) yang sudah berhenti menangis. Tapi masih bersisa sedu.

Wajah mereka tidak sama. Mungkin kembar tidak seiras. Tapi boleh nampak masing-masing sudah serabai.

Intan turun kemudian bersama Ana di dalam pelukan.

"Mareeya. Sorry sangat. Sebab tu I tak boleh nak pergi ofis you. Bila budak-budak ni ada kat rumah, I tak boleh nak bawa keluar tanpa ayah dia. Bila bergaduh, macam inilah. Kalau ada ayah dia, tak berani nak perang pula." Intan senyum kelat.

"Main kat situ senyap-senyap," pesan Luth kepada Fiya dan Ara yang diletakkan di ruang tamu.

"Eh, tak apa. It's okay," sengih Mareeya meskipun dalam hati hanya Tuhan yang tahu.

"Akak duduklah tengok budak-budak ni. Luth masak," cadang Luth.

"Thanks." Intan senyum.

"Mareeya, you boleh tolong I, kan?" Luth tenung anak mata Mareeya.

Tiba-tiba Mareeya ternampak sesuatu dari dalam mata Luth. Dia. Dia nampak dirinya sendiri! Bukan masa depan lelaki itu, tapi masa depannya sendiri!

"I minta maaf." Air mata Mareeya mengalir memandang Luth yang tidak mahu bertentangan mata dengannya.

"Mareeya?" Luth menghilangkan pandangan itu dari mata Mareeya. Jantung Mareeya berdegup kencang. Apa yang dia nampak tadi? Macam mana dia boleh nampak dalam mata Luth? Kenapa dia perlu minta maaf dengan lelaki itu? Siapa lelaki ini?

"Boleh tolong tak?" Sekali lagi Luth menyoal. Mareeya mengangguk perlahan. Tapi kepalanya sudah ke tempat lain.

"SELAMAT berpuasa." Luth peluk tubuh sambil menemani Mareeya hingga ke kereta. Mareeya toleh ke belakang.

"Selamat berpuasa juga," ujarnya perlahan. Wajah itu masih penuh dengan tanda tanya. Dia berdiri menghadap Luth. Mata lelaki itu ditatap.

Luth kemudiannya terketawa kecil.

"You dah dapat kebolehan you balik ke? Bukan main tenung mata I?"

"Errr... Tak." Mareeya tidak tahu apa yang tak kena dengan dirinya. Dia rasa pelik. Rasa tak sedap hati.

"Jemput datang nanti majlis berbuka puasa dekat sini," ulang Luth buat kali kedua. Intan ada menjemput Mareeya sebentar tadi.

"Insya-Allah." Mareeya masih kaku. Memandangkan Mareeya sendiri tidak bergerak, Luth terus menuju ke arah pintu kereta Mareeya. Pintu dibuka.

"Silakan?" Bukan nak kata menghalau, tapi pelik juga bila perempuan tenung macam nak telan.

Mareeya masuk ke dalam perut kereta tanpa bunyi dan terus menghidupkan enjin kereta sebelum pintu ditutup Luth dan kereta membelah jalan.

Luth memandang belakang kereta Mareeya dengan ekor matanya. Bibir bawah digigit kuat. Jangan kau berani nak senyum, Luth!

"MAREEYA macam mana?" tanya Encik Mustafa setelah usai solat maghrib berjemaah dengan isterinya.

"Macam tu la dia. Dah pesan jangan over work pun, sama juga. Balik lewat juga." Puan Siti lipat telekung.

"Hmmm... Mardiyah?"

"Haaa... Yang itu saya musykil sikit. Sebelum subuh lagi dah bangun bertukang kat dapur. Dia kata masuk ofis pukul 9, tapi pukul 7 dah keluar. Ofis dia tu pun bukan jauh sangat dengan rumah ni ha."

"Elak jammed kut."

"Entahlah, bang. Hari-hari bawa bekal pula tu."

"Dia nak jimatlah tu."

"Malek ni pula ha. Nak minta kita risik kawan perempuan dia."

"Dia serius ke? Baru aje kerja tu. Dah stabil ke nak jaga anak orang?"

"Saya tak tahulah. Masing-masing dah besar ni ada aje hal jadi." Puan Siti terus keluar bilik dan turun ke bawah untuk menyediakan makan malam.

Mardiyah hela nafas berat dan terus mengambil tempat di sofa. Matanya melekat menghadap telefon bimbit.

"Ibu, kita puasa minggu depan eh?" tanya Qasaf tiba-tiba. Tapi Mardiyah tidak menjawabnya. Dia masih leka dengan telefon.

"Ibu!" panggil Qasaf.

"Ibuuu!" rengek Qasaf.

"Main ajelah kat situ. Ibu busylah," jawab Mardiyah malas.

Malek yang baru selesai solat, mendekati anak buahnya. "Ya, kita mula puasa minggu depan. Qasaf kena belajar puasa tau." Kepala Qasaf diusap lembut. Senyumnya mati sambil menjeling kakak yang seorang itu.

"Anak kau tanya ni kak, jawab ajelah. Sibuk dengan telefon 24 jam," bebel Malek.

"Bisinglah kau ni." Mardiyah kerut dahi dan terus berlari naik ke bilik. Malek pelik melihat perubahan ketara kakak sulungnya itu. Hari tu tak macam ni.

"Kenapa dengan Kak Addy tu, ma?" tanya Malek.

"Entah."

"Kak Mar tak balik lagi?" Baru teringatkan kakak keduanya.

"Assalamualaikum," sapa Mareeya dari luar.

"Waalaikumussalam. Ha tu panjang umur dia," ujar Puan Siti.

"'Awal kau balik hari ni, kak?" usik Malek.

"Balik awal salah, balik lambat pun salah," cebik Mareeya.

"Tanya aje."

"Tak laratlah hari ni."

"Tenaga kau dah habis kena perah ke?" ketawa Malek.

Mareeya menjeling dan terus naik ke bilik untuk mandi dan solat.

Sudah banyak kali Mardiyah hantar pesanan di Instagram Luth tapi tidak berjawab. Tambah menyakitkan hati bila sekarang Instagram dah macam WhatsApp! Boleh pula dia tulis 'active 1h ago'. Ada 'seen' pula tu! Bermakna mesej yang dihantar sudah dibaca Luth.

Mardiyah tarik nafas dalam-dalam. Sekali lagi dia hantar pesanan.

@mardiyahmustafa: You busy ke?

Dia tunggu sambil gigit bibir bawah. Selepas dua saat, mesej itu bertanda 'seen'. Tapi selepas ditunggu 5 minit, juga tidak berjawab. Berapi Mardiyah dibuatnya.

Pintu bilik Mardiyah diketuk dari luar oleh Mareeya.

"Kak, dinner," kata Mareeya.

"Tak ada selera."

"Kenapa?"

"Nothing." Mardiyah tarik bantal dan tutup mukanya. Mareeya jongket bahu. Tidak mahu ambil tahu apa yang sedang kakaknya alami. Dia pun sudah cukup sarat dengan masalah. Nak tolong Mardiyah pula? Ah, tak payah.

KAMAL memasukkan pelan ke dalam plan holder berwarna hitam sebelum pulang ke rumah. Saat kakinya berpijak pada pedal, dia jadi tidak tahu hendak pulang ke mana. Dia ada dua rumah di mana rumah yang dikongsi dengan Mardiyah dan juga rumah tambahan yang sebelum ini menjadi rumah singgahnya.

Tanpa sedar, kereta membelah jalan hingga ke rumah dia dan Mardiyah. Semenjak bergaduh dengan Mardiyah tempoh hari, memang dia tidak jejakkan kaki ke rumah itu. Hinggalah mereka sah bercerai.

Berat untuk dia melepaskan Mardiyah tapi dia terpaksa akur bila Mardiyah setiap hari menuntut penceraian mereka. Sampai ke pejabat dia cari Kamal untuk tuntut itu. Kamal sudah hilang sabar.

Hati Kamal sayu saat melihat pintu pagar itu tertutup kemas. Suara riuh anak-anaknya tidak lagi kedengaran. Sebenarnya hubungan mereka masih boleh diselamatkan kerana dia bukan lelaki yang akan membuat keputusan terburu-buru. Dia cukup matang dalam menilai harga sesebuah perhubungan.

Tapi hatinya sakit malam itu. Terlalu sakit! Teringatkan kejadian tempoh hari, hati Kamal terluka.

Kamal membuka pintu almari untuk mencari tuala. Entah di mana Mardiyah letak tuala bersih. Lelaki kalau cari barang, tahu-tahu ajelah. Depan mata pun tak nampak. Habis semua benda diselongkarnya. Saat tangan Kamal tercapai sebuah kotak di kedudukan atas sekali, dia jadi tertanya-tanya.

Sudah lama kotak itu di situ. Pernah dia tanya kepada Mardiyah. Tapi wanita itu selamba menjawab kotak itu dia guna untuk letak barang-barang lebih seperti sabun, ubat gigi dan sebagainya.

Kamal tarik kotak itu perlahan dan bawa ia turun ke bawah. Dia duduk di atas lantai dah membuka penutup kotak.

Macam-macam benda yang ada di dalamnya. Bukan sabun atau alat mandian seperti yang dikatakan Mardiyah.

Berkeping-keping gambar lelaki yang sama. Anak patung. Kasut. Cincin. Key chain. Rantai. Buku seperti diari. Jam dan banyak lagi.

Diari itu dipegang. Lantas pintu bilik terkuak membuatkan Kamal terkejut.

"Abang buat apa?" tanya Mardiyah yang sedang memegang timbunan kain baju yang sudah berlipat untuk dimasukkan ke dalam almari.

"Ini apa?" tanya Kamal sambil bangun dan berdiri menunjuk ke arah kotak besar itu. Mardiyah telan air liur.

"Kenapa abang selongkar barang Addy?" Mardiyah mendekati Kamal untuk merampas diarinya. Tapi Kamal lebih cepat mengelak.

"Addy kata dalam kotak ni barang toiletries. Mananya barang toiletries? Penuh dengan benda-benda ni aje?" Muka Kamal tidak beriak. Tidak marah, tidak juga kelihatan bodoh.

"Bagi balik barang Addy."

"Tell me, siapa ni?" Kamal capai gambar lelaki yang segak itu. Bukan 10-20 keping. Ini dah beratus gambar sampai boleh masuk dalam album.

"Kawan," bohong Mardiyah.

"Oh. Sayangnya kat kawan sampai simpan gambar dia banyak-banyak macam ni eh? Best friend ke? Ke nak abang baca diari ni dulu macam detektif cari bukti?" Kamal belek wajah Luth yang tersenyum manis.

Mardiyah ketap bibir. "Ex-boyfriend." Macam tak terkeluar suara Mardiyah memberitahu kebenaran.

"Apa dia? Tak dengar."

Mardiyah angkat muka dengan perasaan geram. "Ex-boyfriend!" tegas Mardiyah.

"Oh. Ex-boyfriend. Yang simpan lagi gambar dia kenapa? Barang-barang ni semua, simpan sini kenapa?"

Mardiyah tidak menjawab. Tubir matanya bergenang. Entah kenapa dia rasa benci sangat-sangat melihat muka Kamal sekarang.

"Tak nak jawab? Fine." Kamal buka diari Mardiyah. Pantas menaikkan darah gemuruh Mardiyah sehingga menyebabkan wanita itu berlari untuk merebut buku itu. Tapi Kamal seorang yang gagah dan tinggi. Setakat Mardiyah ni, kalau dijentik boleh melayang.

Dalam bergelut, Kamal sempat membacanya. Dan lebih mengejutkan, tarikh terakhir nota itu adalah semalam.

Aku masih sayang. Masih cinta dan selamanya hati takkan berubah.

Kamal pandang ke arah Mardiyah yang keletihan untuk merebut buku itu. Tekaknya terasa berpasir.

"Apa maksud ni?" Kamal tunjuk bukti. Mardiyah membisu sambil dada berombak.

"Apa maksud ni, Addy!" tengking Kamal. Rasa kasih, rasa sayang, cinta, rindu dan segalanya yang dia curah kepada wanita ini... Tiba-tiba rasa seperti sia-sia. Kahwin bukan setahun dua. Tapi hampir 10 tahun.

Mardiyah tewas. Untuk apa dia sembunyi lagi?

"Addy tak pernah cintakan abang."

Mendengarkan itu membuatkan Kamal terkedu.

"Selama kita kahwin ni..."

Mardiyah memotong ayat Kamal. "Selama ni Addy tak pernah cintakan abang. Memang Addy sayang. Tapi cinta Addy bukan untuk abang. Addy bodoh sebab terima lamaran abang. Addy ingat Addy boleh cintakan orang lain. Tapi Addy silap."

"Maksud Addy, perkahwinan ni satu kesilapan buat Addy?"

Mardiyah menitiskan air mata.

"Addy, kita dah ada dua anak!" Bahu Mardiyah direntap kedua-dua belahnya.

"Addy tak pernah ikhlas..."

Kamal terkesima. Aku boleh terima kalau kau masih nak tutup cerita ini dengan pembohongan, Addy. Just tipu aku. Aku tak kesah. Sebab kebenaran lebih menyakitkan.

Kamal pejam mata rapat-rapat. Kalau boleh tak mahu diingat lagi detik malam itu bila mana hatinya seakan dikoyak-koyak, disiat-siat oleh insan yang sangat dia sayangi.

Pintu bilik ditolak lembut. Katil kosong itu ditenung. Wajahnya diraup. Mendung hatinya, hanya Tuhan yang tahu.

LUTH mulanya buat tidak peduli dengan mesej yang dihantar Mardiyah. Kejap lagi, lagi dilayan, lagi menjadi pula. Beberapa saat kemudian, bertubi-tubi mesej masuk di dalam Instagramnya. Naik rimas dibuatnya.

@luthilyas: Addy, please. Kalau tak ada benda penting, jangan spam DM I.

@mardiyahmustafa: You baca mesej I, tapi you tak reply. Kenapa?

Seen.

@mardiyahmustafa: See! Again! You seen aje. Luth, please.

Seen lagi.

@mardiyahmustafa: Luth, I just nak kita berbaik macam dulu.

Luth garu kening dek rasa gatal.

@luthilyas: We're good. You nak apa lagi?

@mardiyahmustafa: You tahu apa yang I nak. I can't stop thinking about you.

@luthilyas: Addy, stop it.

@mardiyahmustafa: Stop what?

@luthilyas: Everything. Stop hantar makanan ke hospital. I tak pernah makan pun apa yang you hantar. You buat nurses jadi uncomfortable. Dia orang banyak lagi kerja lain selain nak melayan perangai budak-budak you. And stop DM me. We're in good term now. I tak marah dengan benda yang dah lepas. I dah move on. Jangan campur dalam urusan hidup I lagi.

@mardiyahmustafa: Heh. You kata you dah move on? Then, kenapa you tak kahwin lagi?

@luthilyas: For God sake, Addy. Jodoh tu bukan kat tangan I. You can't stupidly questions kerja Tuhan. I kahwin or tidak, takde kena-mengena dengan you. You dah kahwin, good for you. You have kids, good for you. You dapat good husband, good for you. Tahniah. Itu life you. But mine, macam ni. Jangan persoalkan. I'm way much more happier now, without you.

@mardiyahmustafa: You macam ni sebab you masih dendam dengan I, kan?

@luthilyas: Stop this, or I block you.

@mardiyahmustafa: Luth, you tahu I selalu dapat apa yang I nak.

Seen.

@mardiyahmustafa: I takkan mengaku kalah. I dah buat keputusan yang salah dulu. I takkan buat lagi. I akan fight untuk you.

Seen.

@mardiyahmustafa: I still love you, Luth. Forever.

Luth tarik nafas dalam-dalam. Kalau diblok, kejap lagi kata dia tak move on pula. Luth ambil langkah mudah untuk terus tidak mempedulikannya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro