Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

"SAYANG, cepatlah," panggil Luqman yang sudah jauh ke depan. Kamera di tangan sempat mengambil gambar Mareeya yang jauh ketinggalan di belakang. Salji yang turun buatkan kaki Mareeya terasa berat untuk melangkah.

Dengan senyuman, Mareeya hulur tangannya untuk disambut sang suami.

Mereka berjalan beriringan dan tangan mereka bertaut sesama sendiri.

"You nak berapa orang anak?" tanya Mareeya.

"Cukup satu team bola," gelak Luqman.

"You ingat I kilang ke apa?" getus Mareeya.

Luqman ketawa lagi. "Orang dulu-dulu boleh aje sampai 14 orang anak."

"Ada aje jawabnya."

Luqman tenung Mareeya dalam-dalam.

"I love you. Sangat."

Bunyi penggera telefon mematikan mimpi indah Mareeya. Perlahan-lahan Mareeya buka mata. Pipi kanan yang ditampung bantal masih tidak diangkat. Mata Mareeya terkedip-kedip mencerna mimpi indah itu. Jarum jam menunjukkan pukul 6 pagi.

Dia ambil beberapa saat sebelum duduk termenung di birai katil. Bibir mengukir senyuman terkenangkan mimpi itu. Terus dia ke bilik air untuk mandi dan solat sebelum bersiap menuju ke pejabat.

Mareeya masih cuba untuk mendapatkan kebolehannya memandang masa depan melalui mata sesiapa sahaja yang dia tenung. Tapi pandangannya kabur. Kadang-kadang dia nampak, tapi hanya untuk beberapa saat. Makanya dia tak dapat memastikan apa yang akan terjadi.

Sedang dia menyiapkan kerjanya, kepalanya ligat berfikir tentang mimpi pagi tadi. Tangannya berhenti melakar. Jantungnya berdegup laju. Dia pasti dia nampak mimpi itu ketika merenung anak mata Luqman beberapa bulan lepas.

Tiba-tiba kepalanya kosong. Apakah yang dia nampak itu realiti atau hanya mimpi? Dia menjadi gusar. Tertanya-tanya kebenarannya. Macam mana kalau itu hanya mimpi? Macam mana kalau apa yang dia nampak itu tidak akan terjadi?

Mareeya cepat-cepat mencapai telefon bimbit dan nombor Luqman didail. Beberapa saat kemudian, panggilan berjawab.

"Helo?" sapa suara Luqman. Hati Mareeya sedikit lega.

"Helo. You."

"Yep? Kenapa?"

"Errr... Kita akan nikah Jumaat ni, kan?" soal Mareeya untuk kepastian.

Luqman ketawa kecil. "Ya. Kenapa?"

"Nothing." Mareeya tersenyum kecil.

"Itu aje ke nak tanya? Call I semata-mata nak tanya kita akan nikah minggu ni aje ke?" Luqman tergelak di hujung talian.

"Rasa macam tak percaya yang I dah nak kahwin," sengih Mareeya.

"Ya, percayalah yang kita ni dah nak kahwin." Suara Luqman hanya mendatar.

"You busy ke?" Soalan bodoh dari Mareeya.

"Of course. I tengah kerja la, Mareeya."

"Oh, sorry. Jumpa Jumaat ni." Mareeya gigit lidah.

Talian terus dimatikan tanpa kata-kata lanjut. Mareeya tenung skrin telefon bimbit. Busy sangat kut sampai terus matikan talian.

Mareeya cuba untuk sedapkan hatinya. Tak ada apa yang akan berlaku. Kau akan okey, Mareeya.

LUTH duduk di mejanya sambil membelek beberapa dokumen pesakit. Pen laju menari-nari di atas kertas dan entah kenapa tiba-tiba kepalanya teringatkan gadis itu. Yang mengekorinya tempoh hari. Mareeya.

Entah dari mana gadis itu datang, dia pun tak tahu. Kepalanya digeleng untuk menghilangkan wajah gadis itu dari benak mindanya. Mengacau betul.

"Luth, coffee." Hayati atau lebih ramah dipanggil Yatt menghulur secawan kopi panas.

"Thanks." Luth senyum sesaat sebelum mencapai cawan putih itu dan meneruskan kerja.

"You tak on call kan hari ni?" tanya Yatt.

"Tak. Why?"

"Oh. I was wondering if you nak join I dinner hari ni?" Yatt berharap Luth setuju. Sudah berapa kali dia mempelawa lelaki itu, tapi susah betul untuk lelaki itu setuju.

Luth berhenti menulis. Dia angkat kepala dan memandang Yatt, doktor baru yang ditugaskan di sini.

"I think sebab you baru kat sini, so you don't really know me. Tapi I memang tak makan dengan just anyone." Setepek jawab Luth. Yatt gigit lidah. Pipinya memerah.

Sememangnya Luth bukan lelaki yang ramah dengan orang. Hanya dengan pesakit aje dia boleh tersenyum lembut. Pelik betul.

"Eh I ajak you dinner bukan sebab apa. I just nak nak kenal you dan staf-staf lain." Yatt pertahankan diri.

"I know. But I don't do that. Sorry." Ringkas jawapan Luth. Patut pun ramai orang panggil dia sombong. Lelaki itu lebih suka menyendiri dan serius dalam pekerjaannya.

Telefon Luth tiba-tiba berdering nyaring. Panggilan dari Hamzah selaku HO pantas dijawab.

"Alright." Hanya itu yang dikatakan Luth sebelum menutup dokumennya dan berlari pantas meninggalkan Yatt yang masih terpinga-pinga. Dia blah macam tu aje?

"PAK CIK RAZAK, pak cik dengar saya tak?" Luth mengawang-awangkan tangan di hadapan muka Pak Cik Razak. Lelaki tua berusia 60-an itu sudah kian lemah.

Segera para jururawat dan doktor mengelilingi pesakit itu. Ahli keluarga yang turut berada di situ untuk waktu melawat diminta untuk ke tepi sebentar. Langsir biru ditarik menutupi katil pesakit yang dimasukkan ke dalam wad beberapa minggu lepas akibat retak tulang paha.

Luth sempat melihat kanak-kanak kecil yang berusia anggaran 6-7 tahun sedang melihat dari balik langsir yang sedikiti tersingkap. Budak kecil itu membatu di situ. Luth tarik nafas panjang dan para doktor pakar mula melakukan tugas mereka untuk memeriksa Pak Cik Razak. Salur nafas yang tersumbat menyukarkan warga emas itu untuk bernafas sekaligus membuatkan wajahnya memerah.

Anak-anak dan cucu pesakit itu menunggu dengan penuh kerisauan. Manakan tidak, dari balik tirai itu, mereka boleh dengar dengan jelas suara tinggi dan panik dari ilmuan itu.

Wanita berusia 50-an itu menggenggam erat jemari anak sulungnya. Kakinya sudah tidak mampu untuk berdiri tegak, lantas si anak menarik kerusi buat ibunya.

"Insya-Allah abah okey, mak," kata si sulung itu meskipun dia sendiri tidak pasti akan keadaan bapanya.

20 minit kemudian, Luth keluar dari balik tirai itu dan bertemu dengan wanita 50-an yang bernama Salmah.

"Puan isteri Pak Cik Razak?" tanya Luth. Wanita itu mengangguk.

"Macam ni puan, keadaan Pak Cik Razak agak kritikal. Saluran pernafasan dia tersumbat. Jadi kami perlu masukkan tiub untuk bantu dia bernafas. Itu pun atas persetujuan puan. Kalau masuk tiub ni agak menyakitkan sikitlah, tapi ia membantu pak cik untuk bernafas," terang Luth.

Mak Cik Salmah sudah tidak tahu apa yang perlu dia katakan. Matanya sudah bertakung dengan air mata. Lantas si sulung ambil alih.

"Kritikal maksud doktor?" Lynn ingin tahu.

"Chance pak cik 50-50. Tapi kami akan buat apa yang kami mampu. The rest, kita serahkan kepada Allah."

Lynn mengangguk. "Doktor buat apa aje yang doktor boleh buat," jawab Lynn. Pasrah dengan apa pun yang akan berlaku selepas ini.

Serangan asma Pak Cik Razak lebih kritikal daripada keadaan tulang paha yang patah.

Mak Cik Salmah memeluk lengan anak sulungnya itu untuk mendapatkan sedikit kekuatan. Si kecil yang mengintai tadi langsung tidak beriak. Mak Cik Salmah tidak faham apa yang sedang berlaku. Sangkanya suaminya tidak apa-apa. Beberapa hari lagi akan dibenarkan pulang. Tapi kenapa jadi begini?

Luth mengangguk dan senyum nipis. "Doa banyak-banyak," pesan Luth. Luth kembali ke sisi katil dan beberapa minit kemudian langsir diselak besar sehingga semua ahli keluarga dapat melihat tiub biru yang berjuntai keluar dari mulut abah mereka.

Katil itu ditarik dan ditolak menuju ke unit kecemasan untuk rawatan lanjut.

"Kak long, abah macam mana?" tanya Lee.

"Kita doa aje yang terbaik untuk abah," ujar Lynn. Dia sedih. Tapi selaku anak sulung, dia perlu kuat untuk ibunya dan adik-adik. Anak kecilnya juga sedang memerhatikan dia. Dia tak mahu air mata tumpah di hadapan kanak-kanak itu.

PAGI buatkan jantung Mareeya berdegup laju. Hari ini dia akan bernikah. Hari yang ditunggu-tunggu kini tiba. Usai solat subuh, dia terus turun ke ruang tamu untuk mengemas sisa-sisa yang masih berbaki.

"Nervous?" usik Mardiyah.

"Sikit," sengih Mareeya.

"Pergilah mandi dan siap. Kejap lagi orang nak datang dah," ujar Puan Siti.

Jarum jam sudah menunjukkan pukul 8 pagi. Akad nikah akan bermula jam 11 pagi sebelum solat Jumaat.

Mareeya berlari naik semula ke bilik dan sempat dia mencapai telefon bimbit. Tiada mesej daripada Luqman yang dia terima. Pelik. Semalam pun dia mesej Luqman, tapi tidak berjawab. WhatsApp dah bluetick. Tapi tak dibalas pun. Sibuk ke?

Mareeya tak mahu fikir lebih, lantas dia terus bersiap.

Jam 10 pagi, saudara-mara sudah membanjiri ruang rumah. Ini belum masuk rombongan lelaki lagi. Mareeya ambil telefon bimbitnya. Sekali lagi dia menghantar pesanan ringkas kepada bakal suaminya itu. Tapi tetap tidak berjawab. Mareeya mula tak sedap hati.

"Kak, dia tak balas pun. Single tick pula tu." Mareeya mengadu.

"Ala kau ni, dia tengah drive kut ke sini." Mardiyah membetulkan selendang yang dililitnya. Eh, orang lain yang nak kahwin, orang lain yang over pula berhias.

"Akak kan selalu mekap pengantin. Benda macam ni normallah, dik. Masing-masing busy," celah mak andam yang bernama Zarina itu.

"Tapi single tick?" Mareeya masih tak puas hati.

"Cuba kau call dia," saran Mardiyah. Mareeya tidak berfikir panjang lantas mendail nombor Luqman. Asyik peti masuk aje.

"Aku risaulah, kak! Masuk mailbox aje ni." Mareeya mula gelabah. Dia bangun dari kerusi dan mundar-mandir.

"Over la kau ni. Relaks ajelah." Mardiyah tak mahu Mareeya fikir apa-apa yang buruk.

Mareeya hela nafas berat. Dia kembali duduk dan mengetap bibir. Jarum jam dinding dipandang. Hampir pukul 11 pagi. Insya-Allah tak ada apa-apa, Mar, bisik hati kecilnya.

Isi rumah kecoh bila sudah 11.30 pagi tapi rombongan pihak lelaki masih tidak tiba. Mareeya telan air liur.

"Mar tak try call Luqman?" tanya Puan Siti yang menjengah masuk ke biliknya.

"Dah call, ma. Tak angkat."

"Cuba call mak dia ke?"

Mareeya baru teringatkan itu. Cepat-cepat dia cari nombor bakal mak mentuanya. Belum sempat nombor itu didail, Encik Mustafa sudah menjerit di bawah mengkhabarkan ketibaan rombongan lelaki. Akhirnya. Mareeya tersenyum lebar.

"Bukan main berkerut lagi tadi dahi kau." Mardiyah mengusik.

"Yalah, mahu aku tak risau?" Mareeya mencebik.

Lima minit kemudian, baru Mareeya turun ke bawah. Tapi senyumannya kian pudar. Wajah kedua-dua orang tua Luqman dipandang penuh tanda tanya. Kenapa? Kenapa muka mereka kelat?

"Kenapa?" tanya Mareeya sambil perlahan-lahan menuruni anak tangga dengan sejambak bunga di tangan.

"Kami minta maaf, Mar." Hanya itu yang mampu Puan Laila kata.

"Kami minta maaf." Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga Mareeya.

MAREEYA kesat air mata walaupun air itu tidak mahu berhenti daripada mengalir membasahi pipinya. Sampai hati kau buat aku macam ni, Luqman?

"Yaa." Mimi menggosok belakang tubuh Mareeya. Cuba menenangkan gadis itu.

"Tapi aku nampak aku bahagia, Mi!" Mareeya masih tak percaya dengan apa yang baru terjadi.

"Aku tak tahulah nak cakap macam mana, weh. Tapi apa yang dia buat tu memang kejam."

Mareeya seka air mata lagi. Dia telan air liur. Dengan baju pengantin yang masih tersarung, dia bangun dari katil. Sanak saudara masih ada tinggal bersisa lagi di ruang tamu tapi dia tak peduli.

"Semua ni salah lelaki tu. Kalau bukan sebab dia, aku masih boleh nampak apa yang akan terjadi. Kalau bukan sebab tu, keluarga aku takkan malu macam ni." Mareeya capai tas tangannya. Dengan muka comot, maskara dan lipstik yang bertanda di pipi, Mareeya tidak menghiraukannya.

"Eh Mar, kau nak pergi mana?" Mardiyah terkejut dengan tindakan Mareeya yang secara mengejut itu.

"Aku nak cari lelaki tu."

"Eh, kau bukan betul pun sekarang ni. Tak payahlah, Mar. Kau cuba bertenang dulu." Mardiyah tarik lengan Mareeya.

"Macam mana aku nak bertenang bila pengantin lelaki dah tak ada! Aku tak pernah buat mistake besar macam ni, kak! Tak pernah!" tempelak Mareeya.

Pening kepala Mimi dan Mardiyah dibuatnya. Mereka berdua pun tahu, tiada guna untuk menghalang Mareeya. Kerana dia selalu mendapatkan apa yang dia mahu.

"Jadi, kalau kau jumpa lelaki tu? Apa yang kau boleh buat, Yaa?" Mimi kerut dahi.

"Aku tak tahu. Tapi aku kena jumpa dia! Tahulah apa aku nak buat bila aku jumpa dia."

"Yaa, apa yang jadi bukan salah dia pun."

"Lepas jumpa dia, hidup aku huru-hara, Mi!"

Mimi menggeleng. Aku rasa macam nak bagi pelempang sedas aje kat Si Mareeya ni, getus hatinya.

"Fine. Kau nak pergi? Boleh. Tapi aku drive." Mardiyah rampas kunci kereta dari tangan adiknya dan terus meluru keluar dari bilik. Kalau ini yang dapat puaskan hati Mareeya, okey! Dada Mareeya berombak. Dia turut mengekori langkah kakaknya.

"Eh. Addy, Mar. Nak pergi mana tu?" Encik Mustafa pelik melihat dua beradik itu meluru keluar dari rumah.

Masing-masing tidak menjawab soalan itu.

MAREEYA segera turun dari kereta dan berlari masuk ke dalam pekarangan hospital. Mardiyah hanya membuntuti dari jauh. Dia tahu Mareeya pasti akan buntu.

Ke kiri dan kanan Mareeya melihat. Dia kemudiannya berlari kecil ke kaunter pertanyaan.

"Saya... Er... Saya nak jumpa..." Mareeya kelam-kabut. Dia tak tahu nama lelaki itu siapa. Dia tak tahu lelaki itu menjawat jawatan apa. Doktor ke, jururawat ke, ahli farmasi ke. Mata Mareeya sudah merah. Dia geram. Geram bila dia tak tahu apa yang dia sedang lakukan.

Mardiyah perlahan-lahan mendekati adiknya.

"Mar..." Lembut dia memegang lengan Mareeya.

"Aku tak tahu nama dia. Aku tak tahu dia siapa. Aku tak tahu apa-apa!" Mareeya terjelepok ke atas lantai. Hampa dengan apa yang terjadi.

Sebab itu dia berani menemani Mareeya hingga ke hospital. Kerana Mareeya juga pernah bercerita tentang lelaki yang dia tak kenali itu dan memang Mareeya langsung tidak ada butiran lanjut mengenainya.

"Jom. Kita balik." Mardiyah peluk kedua-dua bahu Mareeya. Gadis itu menangis hingga tersedu-sedan.

Dengan longlai, Mareeya memaksa diri untuk bangun dari lantai marmar itu. Berat pun beratlah, tubuh si adik tetap dibantu juga untuk melangkah.

Kaki Mardiyah tiba-tiba terhenti. Bibirnya sedikit terbuka. Terkejut dengan apa yang dia baru nampak.

Kelibat susuk tubuh itu juga berhenti melangkah. Mata mereka berdua saling bertentang.

"Mardiyah."

"Luth."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro