Bab 3
Mardiyah tarik nafas dalam sebelum menekan loceng rumah kedua-dua orang tuanya. Puan Siti terkejut dengan kedatangan anak sulungnya secara mengejut itu.
"Eh, kakak. Tak call mama pun bagi tahu nak datang? Selalunya kakak call dulu." Pintu pagar dibuka dari dalam.
Mardiyah senyum nipis. Tangan dihulur untuk bersalaman. Hati si tua tahu pasti ada benda yang tidak kena.
"Kamal mana?" tanya Puan Siti.
"Aaa, ma. Kita sembang kat dalam boleh tak?"
Melihatkan dua cucunya menahan perit matahari, segera Puan Siti menarik lembut lengan Qasaf lembut dan mereka berjalan beriringan ke dalam rumah.
Puan Siti sedikit pun tidak menyoal apa yang dilakukan Mardiyah. Televisyen dihidupkan dan siaran kartun dicari.
"Ma, jom kita cakap kat dapur," ajak Mardiyah.
"Hmmm." Mereka berdua menapak ke dapur tanpa suara. Pantas Mardiyah membancuh air untuk mamanya. Dia ambil tempat di hadapan Puan Siti.
Wanita separuh abad itu hanya bersabar untuk mendengar luahan Mardiyah.
"Addy minta cerai," kata Mardiyah.
Puan Siti terkesima. "Eh, kenapa? Mama tengok Kamal tu okey aje. Jaga anak semua okey."
"Dia memang okey. Kakak yang tak okey. Benda ni jadi sebab salah kakak."
"Apa kakak buat?"
"I don't love him, ma. I can't love him." Air mata Mardiyah tumpah. Lebih deras dari sebelumnya.
"Astaghfirullahalazim. Kakak... Kakak kahwin dah lama tau. Bukan 1-2 tahun. Anak dah dua. Abang tu tahun depan dah nak masuk darjah 2."
"Ma, even at the first place, kakak tak pernah sayang Abang Kamal. Kakak bodoh time tu, ma. Kakak tengok semua kawan kahwin, so kakak pun nak kahwin. Kakak ada seseorang masa tu tapi kakak tak boleh nak tunggu dia lama-lama. Dan tanpa berfikir panjang, kakak setuju dengan Abang Kamal yang baru beberapa kali jumpa time gathering dengan kawan-kawan," cerita Mardiyah.
"Mama dah tanya kakak. Betul ke kakak nak kahwin dengan Kamal? Kakak kata kakak nak. Kakak suka Kamal."
"I do like him, but I don't love him."
Puan Siti raup wajah. "Kahwin bukan benda yang boleh dibawa main, kakak. Bila kita nak, kita cari. Bila kita tak nak, kita buang. Marriage is about commitment. Responsibility."
"Kakak tahu. Kakak salah. Kakak sepatutnya dengar cakap Mareeya."
Dia ingat lagi saat dia dan Mareeya bertekak ketika Mardiyah berkeras untuk berkahwin dengan Kamal.
"Kau takkan bahagia, kak! Trust me!" tegas Mareeya.
"Kau siapa nak tentukan aku bahagia ke tak? Kau ingat kau ada kuasa macam tu, kau dah cukup bagus untuk tentukan sama ada orang tu bahagia ke tak?" Pedas sindiran Mardiyah.
"Aku cakap berdasarkan apa yang aku nampak!"
"Apa yang kau nampak tu tak semestinya betul, Mar. Tuhan tu Maha Berkuasa. Aku boleh usaha untuk bahagia dan aku tahu Tuhan tu Maha Adil."
Dada Mareeya berombak kencang. "Itu kalau kau usaha... Kalau kau tak usaha? Aku tahu kau ada orang lain, kak. Aku tahu kau sayang lelaki tu. Please, kak... Benda ni akan makan kau balik kemudian hari."
"Mar, kau kena stop jadi paranoid dengan future vision kau ni. Benda tu tak wujud. It's probably just a deja vu."
"Tapi kau percaya deja vu, kan?" Mareeya jongket kening sebelah.
"Yes. But I don't trust your deja vu." Mardiyah terus masuk ke bilik dan menguncinya dari dalam. Mareeya ketap gigi.
"Kakak fikirlah betul-betul. Bawa berbincang benda ni dengan orang yang lebih pakar," nasihat Puan Sakinah.
"Kakak sayang dengan anak-anak. Half of me nak selamatkan perkahwinan ni ma, but half of it tak."
"Terpulanglah pada kakak. Buat keputusan bukan untuk diri kakak aje. Tapi untuk diri anak-anak juga. Dengan proses hak penjagaan pula nanti. Kakak kena fikir tu semua."
Mardiyah terdiam. Dia pandang kedua-dua cahaya matanya dari jauh. Dia buntu. Tak tahu apa yang perlu dia lakukan.
KERJA Mareeya sejak sebulan ini ada aje yang tak kena. Dia jadi hilang arah apabila dia tak dapat lihat apa yang akan berlaku. Jadinya apa pun yang dia buat, semua dalam keadaan takut-takut dan waswas.
"Are you okay, Mareeya?" tanya Tan.
"I'm fine."
"Hei, you akan kahwin next week, kan?" Tan baru teringatkan akan kad undangan yang dia terima daripada Mareeya tempoh hari.
"Yep. Datang tau." Senyum Mareeya nipis.
"Sure, sure. Congrats in advance aaa."
Mareeya sengih sebentar. Telefonnya bergetar. Dilihat mesej daripada Mardiyah.
Mardiyah: I'm home.
Mareeya kerut dahi.
Mareeya: Sure you're home. Kat mana lagi kalau bukan kat rumah...
Mardiyah: Rumah mama.
Tersentak. Hampir setahun dia tidak bertemu dengan Mardiyah walaupun tempat tinggal mereka tidaklah jauh mana. Cumanya semenjak 8 tahun lepas, hubungan mereka renggang dan masing-masing ego untuk minta maaf. Tapi rindu.
Hanya kadang-kadang mereka bertemu, itu pun tidak bersembang banyak. Dan mesej tempoh hari tidak membawa makna apa-apa pada mereka berdua. Sekadar cukup syarat untuk mengatakan yang mereka ini adik-beradik.
Mareeya: Are you okay?
Mardiyah: Belikan aku Kinder Bueno 10 pieces balik nanti.
Mareeya: For kids?
Mardiyah: Me only.
Sah! Dia tahu apa yang dia nampak sebelum kakaknya kahwin itu betul. Hari itu tiba jua. Dia seakan mahu bersorak kuat menyatakan yang dia betul dan Mardiyah salah! 8 tahun dia diam dan tidak mengutarakan hal itu. Tapi dia tak mahu mengeruhkan keadaan. Egonya kalah, tapi sifat perikemanusiaan dia menang.
Mareeya: See you at home.
MALEK tolak daun pintu lantas menarik keluar stoking di kaki. Sebelah tangannya memegang dinding.
"Assalamualaikum," sapanya.
"Pak su!" Ceria suara Qasaf menjerit. Terpanar Malek melihat anak buahnya di rumah. Ada apa tiba-tiba datang? Jarang sekali Mardiyah datang secara rambang ke rumah ini selepas berkahwin.
"Eh, Qasaf! Qistina! Bila sampai?" Tangan Malek dihulur untuk mereka salam. Cepat aje tubuh kecil Qasaf dan Qistina dipeluk dan dicium sebelum sempat dia bergurau menggeletek perut kedua-dua anak sedaranya itu.
Ketawa mereka terkekek-kekek.
"Aaa. Pukul 12 tadi," jawab Qasaf.
"Ibu mana?"
"Dengan mak tok kat atas."
"Tok abah tak balik lagi eh?" soal Malek.
"Dah tadi. Tapi tok abah keluar balik pergi kedai."
"Qasaf dengan Qis tidur sini tak malam ni?"
"Ya kut. Sebab ibu bawa beg baju tadi."
Malek jadi tertanya-tanya. Dah kenapa dengan Kak Addy?
"Kalau macam tu... Siapa nak main game dalam bilik pak su malam ni angkat tangan!" Malek senyum lebar.
"Saya! Saya! Saya!" Qistina dan Qasaf masing-masing teruja dengan pelawaan Malek.
"Qasaf dengan Qis tengok TV dulu. Pak su nak naik bilik, nak mandi. Kejap lagi lepas isyak kita main game, okey?"
"Okey, pak su!"
Malek melintasi bilik Mardiyah yang sebelum ini tidak berpenghuni. Pintu bilik yang sedikit terbuka membuatkan Malek menjengah kepala.
"Kak Addy," sapa Malek saat terlihat kelibat kakaknya yang sedang mengemas bagasi.
"Eh, dik." Mardiyah senyum nipis dan tangannya disambut Malek sebelum dikucup perlahan.
"Bila Kak Addy sampai sini?"
"Tengah hari tadi."
"Abang Kamal?"
Mardiyah senyap sebentar. "Lepas dinner nanti, Kak Addy cerita okey?"
"Are you okay?" Malek agak prihatin dengan dua-dua orang kakaknya. Yalah mereka pun tiga beradik aje.
"I'm fine."
"Sure?"
"Yep."
"Kalau macam tu, adik masuk bilik dulu. Nak mandi, solat."
"Alright."
Setengah jam kemudian, pintu bilik Mardiyah ditolak dari luar. Mareeya tercegat di situ. Mardiyah hanya senyum nipis.
"Baru balik kerja?" Tangannya masih pantas melipat kain baju anak-anak.
"Nah. Aku seludup ni untuk kau. Anak-anak kau kalau nampak, mau hiper dibuatnya." Plastik putih itu bertukar tangan. Ini bukan 10 aje yang ada. Lebih dari 10 Mareeya beli.
"Thanks."
"Apa hal?" Mareeya ambil tempat di atas katil yang sudah lama tidak digunakan.
"Nothing." Ringkas jawab Mardiyah. Dia sedaya upaya untuk tidak bertentang mata dengan Mareeya.
"Hmmm." Mareeya muncung bibir. "Aku ada benda nak bagi tahu kau." Memandangkan Mardiyah tidak mahu berkata apa-apa, mungkin apa yang dia cakap ini akan meringankan serabut di kepala Mardiyah.
"Apa dia?"
"I lost my gift. So kau tak payah takut untuk bercakap sambil tengok aku," beritahu Mareeya. Mardiyah terkejut. Pantas dia memandang ke arah Mareeya.
"Tak perlu tenung sampai biji mata nak terkeluar macam tu," jeling Mareeya.
"Since when? Apa yang terjadi?"
"Bulan lepas. Aku tak tahu..." Mareeya menunduk.
"Mar..."
"I really don't know. Aku rasa macam buta sekarang. Aku tak boleh buat kerja aku macam biasa. Aku rasa ragu-ragu setiap masa." Tubir mata Mareeya bertakung. Mardiyah mendekati Mareeya sebelum tubuh itu dipeluk kuat.
"I'm sorry."
"Don't be." Serak suara Mareeya.
"Kau selalu bising dulu kata kau tak normal. Sekarang kau dah normal." Sengih Mardiyah.
"Aku... Aku... Aku takut, kak. Dalam sebulan ni aku cuba untuk biasakan diri, tapi... Susahlah, kak." Takungannya pecah jua.
"Aku ada untuk kau." Mardiyah senyum lagi. Tapi matanya turut berair.
"Kenapa kau balik sini?" Mareeya ubah topik. Pertanyaan Mareeya tepat ke dalam anak mata Mardiyah.
Lama mereka bertatapan sebelum kakaknya itu berdehem dan berganjak jauh dari Mareeya. Pakaian yang berlipat disimpan kemas ke dalam almari baju.
"Kau pergi mandi dulu. Lepas isyak kita makan. Aku cerita. Okey?"
Mareeya sedikit tidak puas hati, tapi dia turutkan jua kata kakaknya.
HAMPIR tercengang semua isi rumah kecuali Puan Siti yang sudah sedia maklum akan keputusan Mardiyah untuk berpisah dengan suaminya. Puan Siti hanya tenang sambil mendengar lebih lanjut apa yang Mardiyah akan kata.
"Like seriously? Kau dah fikir betul-betul ke, kak?" tanya Mareeya sambil memeluk bantal empat segi tepat.
Encik Mustafa pandang isterinya sambil jongket kening. Apa cerita ni? Puan Siti jongket bahu.
"Kahwin cerai ni bukan benda main-main, kak. Banyak benda Kak Addy kena fikir. Kak Addy dah habis fikir ke?" Malek sedikit risau dengan keputusan kakaknya.
Mardiyah hanya senyum nipis dan mengangguk.
"Akak memang dah tak boleh go dengan Abang Kamal. There's no more sparks between us. Akak tak nampak sebab kenapa akak kena stay dengan dia lagi."
"Habis tu Qistina dengan Qasaf macam mana?" Encik Mustafa bersuara. Dia risaukan cucunya yang masing-masing sudah tidur di biliknya.
"Kakak akan dapatkan hak penjagaan. Kami faham keadaan masing-masing dan akan cuba buat yang terbaik antara satu sama lain. Kakak takkan halang dia untuk jumpa dengan dia orang." Mardiyah tarik nafas dalam-dalam. Betul ke apa yang kau tengah buat ni, Addy?
"AKU tahu kau nak cakap, aku dah cakap, kan?" Mardiyah campak tuala mandi di kepala ke arah muka Mareeya yang sudah ambil tempat di atas katilnya.
Mareeya pamer muka kosong. "Kau tak rasa apa-apa ke dengan keputusan kau ni?"
"Tipulah kalau aku tak rasa apa-apa. Tapi aku rasa dia layak untuk orang yang lebih baik dari aku untuk sayang dan jaga dia."
"Kenapa kau boleh kata macam tu? Kau kahwin dengan dia hampir 10 tahun kut. Kau ada dua orang anak. Hidup kau mewah. Suami kau sayang kau sangat. Apa lagi yang tak cukup, kak?" Mareeya masih tak puas hati dengan penjelasan Mardiyah sebentar tadi.
"Kau tahu apa yang tak cukup? Love."
"Macam mana kau boleh hidup dengan dia kalau kau tak ada sekelumit pun rasa sayang dan cinta kat Abang Kamal?"
"Aku pernah sayang, tapi tak cukup untuk aku teruskan perkahwinan kami."
"Senangnya kau cakap, kak. Aku tak fahamlah dengan kau ni." Mareeya jeling kakaknya. Mardiyah capai plastik yang berisi Kinder Bueno. Satu peket dibawa keluar dan plastik dikoyak sebelum menyuapnya ke dalam mulut. Mardiyah ambil tempat di atas lantai sambil bersandar di kaki katil.
"Kau ingat tak yang aku pernah cakap dekat kau sebelum aku ambil keputusan untuk kahwin dengan Abang Kamal?" Mardiyah imbas kembali perbualan yang membuatkan hubungan mereka renggang hampir 10 tahun lamanya.
"Which one?"
"Yang aku kata aku sayang seseorang tu."
"Oh tu. Yep. Kenapa?"
"Memang bunyi macam bodoh, tapi aku masih cintakan dia." Kinder Bueno disuap lagi ke dalam mulut. Mareeya yang berada di atas katil terus menarik bahu Mardiyah dari belakang.
"Weh, kau biar betul, kak? Apa benda kau ni? Kau tau dosa tak?" Mareeya rasa berapi.
"Sebab tu aku tak nak teruskan perkahwinan ni. Sebab sampai ke saat ni aku masih sayang lelaki tu."
Mareeya merengus. Kakak aku ni gila agaknya?
"Dah tahu sayangkan lelaki tu, yang kau pergi kahwin dengan Abang Kamal kenapa? Kau macam aniaya Abang Kamal tahu tak?" soal Mareeya.
Mardiyah tarik nafas dalam-dalam.
"Sebab dulu aku bodoh. Orang kahwin, aku pun nak kahwin. Aku tanya dia, bila dia nak masuk minang aku. Tapi sebabkan dia masih tengah studi masa tu, dia minta masa. Kau tahulah kalau studi perubatan berapa tahun, dengan HO lagi. Dia nak benda tu semua settle baru kahwin. Berapa tahun pula aku kena tunggu? Dan aku rasa tak berbaloi untuk tunggu dia. Tambahan pula lepas habis matrik masing-masing sambung tempat yang jauh-jauh."
"Oh budak tu satu matrik dengan kau ke? Sebab dia ke, yang buatkan kau jarang balik rumah waktu cuti?" Mareeya jongket kening. Mardiyah ketawa dan mengangguk. Mengingati masa lalu mereka berdua cukup membahagiakan. Masa-masa yang mereka habiskan untuk belajar dan bersukan. Semuanya masih segar dalam ingatan.
"Macam mana Abang Kamal boleh tahu pasal dia?" soal Mareeya.
Mardiyah capai paket kedua Kinder Bueno. "Sebab aku masih simpan semua kenangan kita orang. Gambar, surat, hadiah, everything. Abang Kamal terjumpa semua tu dalam almari baju kita orang," jelas Mardiyah.
"Tapi Abang Kamal bukan jenis yang terus judge orang." Mareeya pertahankan abang iparnya.
"Yeap. Dia tanya aku elok-elok. Tapi waktu tu aku tak boleh nak simpan lagi, Mar. So aku bagi tahu dia semua. Everything. Like everything. Sampai ke isi hati aku, aku bagi tahu dia. Masalahnya sekarang, Abang Kamal masih tak nak lepaskan aku."
"Kau ni gila la, kak." Mareeya terbaring menghadap siling. Tiba-tiba pintu bilik Mardiyah diketuk dari luar. Kepala Malek menjengah ke dalam.
"Boleh aku join tak?" tanya Malek.
"Masuklah," izin Mardiyah.
"Kau orang sembang apa?" Malek ambil tempat di atas katil bersaiz queen.
"Sembang pasal macam mana kakak kita ni boleh jadi gila macam ni," jawab Mareeya yang masih merenung siling bilik.
"Oh kalau pasal tu, aku tak nak tahu. Pening kepala aku kalau ambil tahu hal perempuan ni. Aku nak tanya kau orang, kalau lepas Kak Mar kahwin, aku ajak mama abah pergi risik, okey tak?" Soalan Malek buatkan Mareeya terus duduk menegak. Mardiyah pandang adik bongsunya.
"Kau nak kahwin ke, dik?" soal Mardiyah dan Mareeya serentak. Malek tersengih.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro