Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

Mareeya tarik beberapa keping sampul kad undangan perkahwinan untuk diberi kepada kawan-kawannya. Senyum sampai ke telinga bila dia melihat kad itu.

"Ma, Mar nak pergi hantar kad kejap kat kawan," beritahu Mareeya seraya menyalami tangan mamanya.

"Nanti Mar balik, beli extra ribbon hijau tu. Tak cukup nak buat door gift," pesan Puan Siti Amirah.

"Alright. Nak berapa gulung?"

"Beli dua."

"Alright. Bye, ma. Assalamualaikum."

Enjin kereta dihidupkan sebelum kereta itu menuju ke sebuah hospital. Orang pertama yang harus dapat kad kahwinnya mestilah Mimi!

Sudah hampir dua bulan dia tak bersua muka dengan Syamimi semenjak peristiwa di restoran tempoh hari. Bukan kerana terasa hati tapi masing-masing sibuk menguruskan hal masing-masing. Kawan tetap kawan.

Mareeya parkir keretanya dan telefon dikeluarkan dari beg tangan. Nama Mimi dicari.

"Mi, kat mana?" Suara Mareeya bukan main ceria lagi.

KAKI Mareeya melangkah perlahan-lahan menuju ke kantin hospital. Dia lihat kiri dan kanan. Bila ada mata yang bertembung dengan matanya, adakalanya dia tersenyum sendiri melihat masa depan itu. Ada masa dia jadi sebak melihat pengakhirannya. Tapi lumrah hidup, mati itu pasti.

Telefon bimbit Mareeya tiba-tiba berbunyi. Dari Mimi.

"Yaa, aku ada hal kejap. So lambat sikitlah. Tak apa ke?" tanya Mimi.

"No worries. Aku boleh tunggu dekat sini."

"Okey. Kejap lagi aku datang." Talian mati.

Mareeya ambil tempat di meja kosong sebelum menganalisa mata-mata yang berani bertentang dengannya. Bibirnya mengukir senyuman saat budak kecil berusia 5 ke 6 tahun yang memakai pakaian hospital memandangnya. Dia akan sihat. Dia akan baik, bisik hati kecil Mareeya.

Melihat jenis air yang dipapar di atas bar kantin, dia jadi dahaga. Lantas dia bangun dan mencapai air mineral dan semangkuk bihun sup. Dia beratur seperti orang lain sebelum ada yang berdiri di belakangnya.

Siku Luth terkena bahu Mareeya yang membuatkan gadis itu menoleh ke belakang. Sangkanya ada orang mencuit bahu.

"Oh, sorry," ujar Luth. Mata mereka bertentang. Tapi Mareeya tidak berkedip. Jantungnya seakan berhenti berdegup. Kosong! Dia tak nampak apa pun di dalam anak mata lelaki itu.

"Yes?" Luth yang pelik dengan tenungan Mareeya menegur.

"Errr, nothing." Mareeya kembali menghala ke hadapan. Dia cepat-cepat cari anak mata orang lain. Jelas. Dia nampak jelas masa depan mereka. Tapi kenapa dengan lelaki ini... Yang dia nampak hanya mata semata-mata? Kenapa dia tak boleh lihat masa depan lelaki ini?

Mareeya toleh kembali kerana rasa tak puas hati.

Luth serba salah. Sakit ke kena siku aku tadi? fikir Luth.

"Bahu you sakit ke kena siku I?" soal Luth.

"No. Tak," jawab Mareeya dua patah. Tapi masih tidak berganjak dari tenungannya.

"Miss, your turn," kata Luth menunjuk ke arah kaunter yang sudah kosong.

Mareeya cepat-cepat membayar makanannya dan mengambil tempat di meja kosong tadi. Usai Luth membayar untuk makanannya, dia ambil tempat di hujung kantin. Mareeya masih boleh lihat kelibat lelaki itu.

Tanpa fikir dua kali, Mareeya cuba tatap sekali lagi mata lelaki itu. Terasa diperhatikan, tangan Luth berhenti menyuap sandwic dan memandang ke arah Mareeya.

Eh, budak ni. Marah sangat ke dengan aku sampai tenung tak habis-habis?

Telefon bimbit Mareeya menyentak lamunannya dan cepat-cepat dia menjawab panggilan itu. Mendengarkan suara Mimi, Mareeya mengeluh. Baru nak makan.

"Kau kat mana, Mi?" Mareeya bangun dari kerusi dan pantas berlalu. Luth hanya memerhati dengan tanda tanya yang tidak habis.

"JANGAN la menangis lagi, Mimi. Sudah-sudahlah." Mareeya mengusap belakang tubuh Syamimi yang dari tadi tak berhenti menangis.

"Dia jahat, Yaa. Hakim jahat!" Hingus meleleh tidak dipeduli.

"Mi, kau dekat hospital la. Janganlah macam ni. Macam mana kau nak treat patient kalau kau pun macam ni?" Mareeya masih tidak berhenti menggosok belakang tubuh sahabatnya.

"Aku nak berhenti! Aku nak berhenti!" jerit Syamimi.

"Kau jangan nak buat gila la. Perah otak 5-6 tahun macam mayat hidup, lepas tu kau nak give up profession kau? Cakap tu pakai otak sikit boleh tak? Eee, kau boleh dapat lelaki yang 10 kali ganda lagi handsome, lagi baguslah, Mi."

"Dah macam-macam aku berkorban untuk dia, Yaa! Sikit pun dia tak hargai aku! Macam mana aku nak fokus kerja kalau dalam kepala aku asyik teringatkan dia aje?! Aku menyesal tak dengar cakap kau, Yaa!" bentak Syamimi.

Macam deja vu pula rasa. Aku dah cakap hari tu, kau tak nak dengar. Sekarang tengok? Kau yang sedih, kau yang sakit hati. Lain kali percayakan aku! Nak aje dia menempelak kata-kata itu kepada Mimi. Tapi dia tahu itu bukan langkah yang terbaik.

"Dia kenapa?" Mareeya tarik kerusi dan mula mendengar cerita Mimi.

"Dia minta jumpa kejap tadi. Tu yang aku bagi tahu kau aku lambat sikit. Tiba-tiba dia cakap kita orang tak boleh nak proceed lagi jauh. Kau tahu kenapa? Sebab dia kata dia rasa dia tak cukup baik untuk aku! Aku tahu lately ni kita orang dah tak macam dulu. Masing-masing busy, jarang bercakap. Tapi aku rasa dia faham benda tu sebab dia pun doktor. Tup-tup time tengah bertekak tadi, tiba-tiba ada orang WhatsApp dia, banyak gila WhatsApp masuk sampai boleh cut conversation kita orang. Dia baca mesej dan aku terus rampas phone dia. Kau tahu apa aku nampak? WhatsApp bersayang-sayang dari patient dia sendiri!" bentak Mimi.

Mareeya garu kepala. Macam mana aku nak kasi kad kahwin dekat dia ni kalau dia pun dalam keadaan macam ni?

"Selama yang kau kenal dia tiga tahun ni, dia macam mana?"

"Aku tengok okey aje! Tak ada masalah apa pun. Aku tak tahulah kenapa sekarang ni dia buat perangai pula!"

"So... Kau nak buat apa sekarang?"

Mimi pandang lama anak mata Mareeya. "Apa yang kau nampak? Kau nampak aku happy tak? Kau nampak aku kahwin dengan siapa tak?" Mimi penuh mengharap. Inilah dia manusia. Saat kau kecundang, saat kau kecewa dan kau rapuh, kau akan mula percaya benda yang kau nak percaya. Benda yang cepat dan benda yang akan pulihkan diri kau seperti sediakala.

Mareeya terkejut melihat tindak balas Mimi. Tak pernah dia lihat sisi gadis itu seperti ini. Dia telan air liur. Tapi sumpah, pandangannya kian kabur.

"Mi, aku..." Mareeya masih mencuba.

"Apa? Kau nampak apa?"

"Mi... Aku tak nampak apa-apa." Mareeya sendiri terkejut tiba-tiba. Fikirnya, mungkin dia boleh tolong Mimi untuk bertenang kalau dia beritahu apa yang dia nampak.

"Apa ni, Yaa. Berbelas tahun kau nampak, takkan sekarang kau tak nampak? Kau jangan nak tipu aku, Yaa. Teruk ke future aku?" Mimi mula risau. Mareeya terus bangun dari kerusi. Jantungnya berdegup laju.

"Aku tak nampak apa-apa, Mi." Dia mulai gelabah. Mimi pelik melihat wajah Mareeya sudah pucat. Gadis itu pantas berlari keluar dari bilik Mimi dan mencari setiap manusia yang melintasinya.

Dia cuba tenung mata mereka, tapi ya. Kosong.

"Mareeya!" panggil Mimi tapi kelibat wanita itu sudah hilang.

LUTH yang sedang membaca carta di tangan terkejut apabila secara tiba-tiba lengannya disentuh dari depan dan ditarik ke belakang. Dia tahu susuk tubuh wanita ini. Ini wanita yang pandang dia dengan muka tak puas hati.

"Ikut aku," ujar Mareeya.

"Hei, hei, hei. Kejap. You ni kenapa?" Luth tarik kembali lengannya. Kasar bukan main perempuan ni. Muka dah cantik dah.

"Aku ada benda nak cakap dengan kau." Tegas Mareeya.

"I tak kenal you."

"Aku pun. Tapi aku perlu bercakap dengan kau!" Mareeya berdegil. Sekali lagi dia cuba menarik lengan lelaki itu.

"Miss, you tak boleh sesuka hati drag orang ke hulu ke hilir. I'm working. Kalau ada benda yang you nak cakap dengan I, you kena tunggu sampai I habis kerja I."

"Aku tak ada masa nak menunggu!"

"Dan I tak ada masa nak dengar apa yang you nak cakap."

Dada Mareeya berombak kencang. Luth terus berjalan menuju ke katil pesakit untuk diperiksa tanpa mempedulikan Mareeya. Muka tegang lelaki itu terus berubah 180 darjah kepada manis saat bersemuka dengan pesakitnya.

Mareeya raup wajah. Dia tiada pilihan, melainkan menunggu.

Ke mana sahaja Luth menapak, Mareeya akan ikut. Dia akan ikut hingga tugas lelaki itu selesai. Sampai ke surau, ke bilik air, Mareeya tetap setia menunggu. Dia perlukan jawapan. Entah kenapa dia tiba-tiba rasa seperti buta!

Usai solat asar, Luth lihat kelibat Mareeya sudah hilang. Fuhhh. Creepy juga kena ikut ke hulu ke hilir. Elok pula tu datang waktu melawat. Senang nak ikut dia ke mana-mana dalam wad ni.

"Done?" sergah Mareeya dari belakang yang baru selesai solat.

Shoot. Terkejut aku! Luth hela nafas lemah.

"Waktu melawat dah nak habis tau. Orang luar sepatutnya tak boleh ada dalam ni. You kena balik," kata Luth.

"Aku ikut kau dari tadi, untuk jawapan. I need my answer!"

"Jawapan apa?" Luth kerut dahi. Eh budak ni, buang tabiat ke apa?

"Aku sepatutnya boleh nampak orang punya future. Tapi lepas aku jumpa kau..." Terketar-ketar bibir Mareeya. "Aku dah tak nampak. Aku tak nampak apa-apa tentang kau. Dan sekarang, aku tak nampak apa-apa tentang orang lain juga." Air mata Mareeya tumpah. Jelas dia ketakutan.

Luth terkebil-kebil. "Miss, I'm not a psychiatrist. Tapi I boleh tolong tunjuk you kat mana..."

"Aku nak semua tu balik!" Jeritan Mareeya buatkan Luth terpanar.

"Miss, I betul-betul tak faham dengan apa yang you cakap ni. Kalu you rasa, you're gifted... Then maybe you are. Tapi bukan I yang ambil semua tu dari you." Luth berkira-kira untuk menapak pergi. Sekali lagi lengannya direntap kasar.

"Aku tak tahu kenapa, tapi aku yakin vision aku hilang since kita bertentang mata!" Merah mata Mareeya.

Luth garu kening. Dunia ini dah makin banyak orang kurang sihat di kepala ya?

"Okey. Okey. You nak kuasa you balik? Fine." Luth berdiri tegak di hadapan Mareeya dan tangannya mula berlari-lari seakan-akan pengamal silat.

"Aboogin! Fuhhh!" Gaya macam Goku beri serangan aje.

"Okay, done transfer. Have a nice day." Luth terus berlalu pergi meninggalkan Mareeya yang geram disindir sedemikian rupa. Betul la... Siapa aje yang akan percaya dia? Dalam banyak-banyak kawan sekolah, Mimi seorang aje yang percaya dengannya. Tu pun ambil masa setahun selepas banyak bukti yang dia kemukakan. Terkebil-kebil Mareeya dibuatnya.

"LAMBATNYA balik. Mar beli tak ribbon?" Puan Siti menyapa dari muka pintu. Dia pelik melihat Mareeya yang merenungnya kosong.

"Ni kenapa pula ni pandang mama macam tu?" Berkerut dahi orang tu dibuatnya.

Betul. Dia tak nampak apa-apa.

"Mar lupa. Esok Mar pergi beli lepas balik kerja. Mar letihlah, ma. Mar naik dulu." Lemah suara Mareeya sebelum melangkah longlai naik ke biliknya.

Pendingin hawa dihidupkan. Dia terbaring di atas katil. Dalam kepala dah mula fikir macam-macam. 24 tahun dia hidup dengan kelebihan ini. Tapi kenapa sekarang ianya hilang? Saat dia sudah mulai selesa dengan kelebihan ini, dia tak bersedia untuk kehilangannya. Macam mana dia nak hidup untuk hari-hari yang mendatang? Selama ini pilihannya sentiasa berakhir dengan baik. Macam mana selepas ini?

Mareeya menghubungi Luqman tapi tidak berjawab. Kerja masih belum selesai, barangkali.

MARDIYAH campak pasu hiasan kecil ke arah belakang tubuh Kamal yang sudah berjalan menuju ke pintu utama. Kaki suaminya itu berhenti melangkah dan dia menoleh ke belakang.

"Ambil masa you sebanyak mungkin untuk you fikir semula permintaan you," ujar Kamal.

"I dah nekad, Kamal! Ini keputusan I!" tegas Mardiyah.

"I takkan lepaskan you, Addy," luah Kamal. Sakit hatinya bila dia dapat tahu yang Mardiyah masih lagi menyayangi lelaki itu. Tapi dia tak mahu melepaskan wanita yang dia sayang.

Aku ni apa? Tunggul? Kamal tarik daun pintu kuat sebelum menghempasnya sehingga mengejutkan Qasaf dan Qistina dari tidur.

"I nak cerai, Kamal!" jerit Mardiyah.

"Ibuuu..." rengek Qistina yang masih di dalam bilik. Mardiyah seka air mata dan segera berlari mendapatkan kedua-dua anak kecilnya.

"Ibu ada kat sini." Lembut tuturnya seraya memeluk tubuh si bongsu.

"Bunyi apa tadi tu, bu?" tanya Qasaf yang juga terjaga dari tidur.

"Tak ada apa. Angin tiup pintu tadi," bohong Mardiyah.

Qasaf mengangguk dan kembali menarik selimut dan melelapkan mata.

"Ibu tidur dengan adik boleh?" minta Qistina.

"Sure, sayang." Perlahan-lahan Mardiyah rebahkan tubuhnya di sisi Qistina saat anak kecil itu masih dalam dakapannya. Air matanya perlahan-lahan berlinangan. Dia sendiri tak pasti apa yang sedang dia rasakan.

Telefon yang tiba-tiba berbunyi sesaat memaksa diri Mardiyah untuk bangun dan ambil telefonnya. Mesej dari Mareeya dibaca perlahan.

Mareeya: I miss you.

Mardiyah: Are you alright?

Mareeya: Nope.

Mardiyah: Me too.

Mareeya pandang sepi mesej itu. Dia tak rasa ini masa yang sesuai untuk dia menjadi pendengar masalah kakaknya dan begitu juga sebaliknya. Mereka sama-sama sudah dewasa untuk mengendalikan masalah masing-masing. Bertindak seperti seorang dewasa.

Lantas mereka hanya menelan perit yang sedang mereka rasa. Sendirian.

"MAREEYA akan dapat adik kejap lagi!" Ceria suara Uncle Baha sambil memasang tali pinggang keledar buat anak sedaranya itu. Mareeya memang rapat dengan Uncle Baha yang selalu memanjakan dirinya. Setiap sebulan sekali pasti aje dia akan tidur di rumah pak ciknya yang menetap di Ipoh itu.

"Sekarang ni kita akan pergi hospital untuk tengok mama dengan adik baru, okey?" ujar Uncle Baha. Mareeya hanya mengangguk faham dan teruja.

Selepas setengah jam perjalanan aje, Mareeya merengek minta untuk ke tandas.

"Mareeya kan pakai diapers," ujar Uncle Baha. Mareeya menggeleng dengan muka berkerut-kerut. Budak ni la...

"Okey, kejap. Uncle cari toilet, okey?"

Mareeya angguk laju. Tak sabar nak terkencing!

Sampai aje mereka di R&R, Mareeya segera tolak daun pintu. "Eh Mareeya, tunggu uncle." Uncle Baha segera mendapatkan Mareeya yang jelas tidak sabar-sabar.

Bila mereka tiba di hadapan pintu tandas lelaki, Mareeya merengek lagi.

"Tuuu!" Mareeya yang didukung Uncle Baha tunjuk tandas sebelah di mana perempuan keluar masuk.

"Eh, macam mana uncle nak masuk situ? Uncle lelaki. Kita masuk tandas lelaki la, Mareeya," pujuk Uncle Baha.

"Alaaa. Yaa nak masuk tandas tuuu!" Keras kepala betul budak kecil ni. Uncle Baha garu kepala.

Seorang wanita baru aje hendak masuk ke dalam bilik air.

"Puan. Maaf. Boleh minta tolong bawakan anak sedara saya masuk tandas tak? Dia tak nak masuk tandas lelaki. Saya pula..." Uncle Baha muka serba salah. Wanita itu hanya senyum nipis.

"Boleh. Tak ada masalah. Jom." Mareeya diturunkan dan segera budak kecil itu mengambil tangan Sakinah. Mereka berdua sama-sama berjalan masuk ke dalam bilik air.

"Nama apa?" tanya Sakinah.

"Mareeya," jawab si kecil.

"Mareeya pandai kencing sendiri tak?"

Mareeya mengangguk.

"Nak auntie teman tak?"

Mareeya geleng. Dia terus masuk ke dalam tandas cangkung dan menutup pintu. Dalam hati, Sakinah memuji keperibadian kanak-kanak ini. Pandai betul berdikari.

Bunyi kecoh di luar bilik air mengejutkan Sakinah. Suara jeritan manusia kedengaran. Mata Sakinah membulat bila ada dua orang lelaki masuk ke dalam tandas wanita dengan bersenjata api. Wajah mereka ditutup dengan topeng kain.

Tubuhnya menggigil bila dua perompak itu bertentang mata dengannya. Tiba-tiba Mareeya keluar dari bilik air selepas selesai. Dia terpinga-pinga melihat dua lelaki yang berada di dalam tandas itu.

"Mareeya." Segera Sakinah capai tangan Mareeya segera dalam keadaan ketakutan.

Tanpa belas kasihan, tubuh Mareeya ditarik kasar oleh salah seorang lelaki dengan kasar. Mareeya mula berteriak.

"Lepaskan dia!" tempik Sakinah.

"Kau diam! Kau tak nak anak kau mati, kau diam kat situ!" balas perompak itu.

"Lepaskan dia! Kau nak bawa dia pergi mana?! Lepaskan dia!" Sakinah cuba untuk menarik Mareeya semula. Mereka berebutan di dalam bilik air sebelum satu tembakan dilepaskan dan Sakinah rebah di atas lantai.

Basah kolar T-shirt Mareeya dek mimpi yang bertandang. Bibir Mareeya terasa kering. Dia duduk di birai katil sambil cuba mengawal pernafasannya. Air matanya tumpah. Mengingatkan kembali tragedi ngeri 24 tahun lalu cukup menakutkannya. Sudah lama dia tidak bermimpikan itu. Kenapa kembali semula?

Mareeya tidak pasti sama ada peristiwa itu adalah sebenar-benar kejadian atau hanya mainan mimpi. Dia sempat hilang ingatan mengenai kejadian itu. Mungkin kerana trauma. Tapi perlahan-lahan mimpi itu masuk ke dalam tidurnya. Dan memberi ruang pada dia untuk ingat semula.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro