Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

"Jangan la menangis lagi, Mimi. Sudah-sudahlah." Mareeya mengusap belakang tubuh Syamimi yang dari tadi tak berhenti menangis.

"Dia jahat, Yaa. Hakim jahat!" Hingus meleleh tidak dipeduli.

"Mi, kau dekat hospital la. Janganlah macam ni. Macam mana kau nak treat patient kalau kau pun macam ni?" Mareeya masih tidak berhenti menggosok belakang tubuh sahabatnya.

"Aku nak berhenti! Aku nak berhenti!" jerit Syamimi.

"Kau jangan nak buat gila la. Perah otak 5-6 tahun macam mayat hidup, lepas tu kau nak give up profession kau? Cakap tu pakai otak sikit boleh tak? Hei, kau boleh dapat lelaki yang 10 kali ganda lagi handsome, lagi baguslah, Mi."

"Dah macam-macam aku berkorban untuk dia, Yaa! Sikit pun dia tak hargai aku. Macam mana aku nak fokus kerja kalau dalam kepala aku asyik teringatkan dia aje?! Aku menyesal tak dengar cakap kau, Yaa!" bentak Syamimi.

Alam nyata...

Mareeya berkelip mata beberapa kali. Lengannya tiba-tiba rasa suam dek diusik Syamimi di sebelah dengan senyuman manis.

"Mareeya?" sapa Syamimi mengejutkan Mareeya dari lamunan yang jauh membawa dia lihat masa hadapan apabila matanya bertentang dengan anak mata Hakim sebelum lelaki itu meminta diri untuk pergi ke bilik air.

"Hmmm?"

"Kau nampak apa? Kau rasa Hakim tu okey tak?" Syamimi ingin tahu. 13 tahun berkawan dengan Mareeya, rahsia Mareeya bukan lagi asing baginya. Malahan kebolehan itulah yang mereka guna untuk menjalani hidup sejak zaman sekolah.

"Kau kenal bala ni kat mana?" Mareeya merengus geram. Teringatkan esakan Syamimi yang dia nampak itu betul-betul membuatkan hatinya sakit. Geram!

Bala? Syamimi telan air liur.

"Dia tak okey ke?" Soalan dibalas dengan soalan.

"Tinggalkan dia. Kau dengar cakap aku, tinggalkan dia." Selamba kata Mareeya sambil menyedut jus avokado.

Syamimi terdiam sejenak. Dia sudah mengenali Hakim hampir 2 tahun. Sejak mula HO lagi. Sepanjang tempoh berkenalan, Syamimi tak pernah nampak sedikit pun kekurangan Hakim. Semua jururawat memujinya. Termasuk juga para doktor di hospital mereka. Solat tak pernah tinggal. Alunan mengajinya juga mendayu. Mana silapnya?

"Tapi, Yaa..."

Mareeya kerling ke sebelah. Buat kali pertama selepas 12 tahun Syamimi tahu tentang kebolehannya, gadis itu seakan cuba menyangkal apa yang dia nampak.

"Tapi? Seriously, Mi?"

Syamimi gigit bibir bawahnya sebelum mata mereka berdua berlaga semula.

"12 tahun aku hidup kat bawah bayang kau. Semua benda aku tanya kau sama ada apa yang aku buat itu betul atau tidak. Memang selama ni kau betul, Yaa. Tapi kali ni, aku ikut instinct aku. Aku sayang dia, Yaa," ujar Syamimi lembut.

Mareeya terdiam. Air mata yang tumpah dari tubir mata sahabatnya itu benar-benar menggores hatinya.

"Mi... Aku cakap ni sebab aku tak nak kau menangis sebab dia. Aku tak nak kau jadi bodoh sebab cinta. Percayakan aku. 13 tahun kau kenal aku. Sedangkan baru dua tahun kau kenal dia." Jemari Syamimi dielus lembut.

Beberapa saat kemudian, Syamimi tarik semula tangannya. Dia menggeleng.

"Mungkin kalau kali ni kau betul juga, aku just kena belajar untuk rasa apa tu kecewa. Aku sanggup ambil risiko. Sebab, kau bukan Tuhan, Mareeya."

Kata-kata Syamimi membuatkan Mareeya tersentap. Hatinya berat tiba-tiba. Bergenang air matanya. Dia genggam kuat penumbuknya di bawah meja.

"Memang aku bukan Tuhan. Aku cuma... Bagi tahu apa yang aku nampak." Mareeya senyum tawar menahan air mata yang hampir menitis. "Bila-bila kau perlukan aku, aku sentiasa ada untuk kau." Mareeya bangun dari kerusinya dan terus ke kaunter bayaran untuk membayar minumannya.

Syamimi merengus lemah. Dia tak berniat untuk menyakitkan hati Mareeya. Langsung tiada...

"SAYANG, cepatlah," panggil Luqman yang sudah jauh ke depan. Kamera di tangan sempat mengambil gambar Mareeya yang jauh ketinggalan di belakang. Salji yang turun buatkan kaki Mareeya terasa berat untuk melangkah.

Dengan senyuman, Mareeya hulur tangannya untuk disambut sang suami.

Mereka berjalan beriringan dan tangan mereka bertaut sesama sendiri.

"You nak berapa orang anak?" tanya Mareeya.

"Cukup satu team bola," gelak Luqman.

"You ingat I kilang ke apa?" getus Mareeya.

Luqman ketawa lagi. "Orang dulu-dulu boleh aje sampai 14 orang anak."

"Ada aje jawabnya."

Luqman tenung Mareeya dalam-dalam.

"I love you. Sangat."

Alam nyata...

Mareeya senyum lebar melihat Luqman di hadapannya yang sedang membelek telefon bimbit. Itu masa hadapan dia. Dia bahagia. Sangat bahagia. Dia tahu pilihannya tidak salah.

"Senyum aje manjang. Bahagia sangat ke tengok muka I?" tanya Luqman yang tahu dirinya diperhatikan.

"Haah. Sebab I rasa bahagiaaa sangat!" Mareeya tayang gigi putihnya yang tersusun.

Luqman letak telefon ke atas meja dan matanya beralih arah kepada Mareeya. "You know, I terkejut gila bila you tiba-tiba ajak I kahwin sedangkan kita tak kenal langsung waktu tu," celoteh Luqman.

Mareeya hanya tersenyum. Alasannya cuma satu, kerana bila dia lihat ke dalam anak mata lelaki itu, dia tahu apa yang baik atau buruk yang akan jadi pada dirinya kalau dia memilih lelaki itu. Senang. Dan apa yang dia nampak, hanya bahagia sepanjang masa dengan lelaki itu.

"I memang jenis macam ni. I dapat apa yang I nak," sengih Mareeya.

Meskipun pertunangan mereka baru berusia 3 bulan, tapi Mareeya dan Luqman betul-betul sekepala dalam pelbagai benda. Hidup lebih mudah pada Mareeya. Sebab dia tahu apa akan jadi kalau dia pilih jalan A dan apa akan jadi kalau dia pilih jalan B. Semua itu dia boleh lihat jika melihat ke dalam anak mata seseorang.

Kebolehan yang diterima sejak insiden 24 tahun lepas betul-betul mengubah hidupnya. Dia tak pernah takut untuk bangun pagi dan mulakan hari yang baru. Orang kata, hidup ini penuh dengan kejutan. Tapi tidak pada dia.

"You percayakan I?" tanya Luqman.

"With all my heart," tawa Mareeya. Luqman senyum kambing.

"I akan usaha jaga you sebaik mungkin," janji Luqman.

"Yes, I tahu." Sudah tentu dia tahu. Dah dia tenung ke dalam anak mata Si Luqman ni ha!

LUTH ILYAS. Lelaki itu melempar baju kemeja yang ditarik keluar dari tubuh ke arah katil. Tubuhnya terasa letih yang luar biasa. Sudah dua hari dia tidak dapat tidur nyenyak. Kakinya melangkah masuk ke bilik air dan pili air dipulas. Air sejuk mencurah-curah mengena tubuhnya.

"Ahhh!" Menggeliat kesegaran dia dibuatnya. Usai mandi, dia tarik tuala putih yang tersedia berlipat di atas penyidai tuala sebelum melilit tuala itu ke pinggang. Sebelum keluar dari bilik air, dia membersihkan muka dan mula merenung dirinya sendiri ke dalam refleks cermin. Dia berdehem sedikit lantas keluar dari situ.

Tubuh dihenyakkan ke atas katil, menelentang dan perlahan-lahan mata itu terkatup. Mimpi itu datang lagi.

"Abi, abang nak terkencing," beritahu si kecil Luth yang baru berusia 8 tahun itu.

"Hmmm... Okey. Kejap lagi abi berhenti di R&R. Boleh tahan tak ni?" tanya Encik Isa.

Luth buat muka. Puan Sakinah yang toleh ke belakang ketawa. Muka tak tahan nak terkucil dah budak ni.

"Abang kencing dalam botol ajelah," cadang Puan Sakinah.

"Eee... Tak nak," rengek Luth. Dilihat anak teruna itu menggeletis tak tahan.

"Sabar ya. Dah nak sampai R&R," pujuk Encik Isa. Lantas Luth mengangguk laju.

Saat kereta itu ambil tempat di parking lot R&R, Luth sudah bersiap sedia untuk berlari keluar. Elok aje berhenti, terus Luth berlari masuk ke dalam bilik air.

"Eh abang, nak umi teman tak?!" jerit Puan Sakinah. Kelibat sudah hilang. Puan Sakinah keluar dari perut kereta.

"Abang, Kina nak pergi toilet juga. Abang teman Si Luth tu eh."

"Haaa... Okey." Encik Isa turut sama keluar dari perut kereta dan mengunci keretanya.

"Abi, umi mana?" Luth keluar bilik air dengan percikan air sedikit terkena pada seluarnya.

"Pergi toilet juga," jawab Encik Isa sambil bersembang dengan seorang lelaki 30-an.

"Anak ke?" tanya Encik Isa pada lelaki itu.

"Anak sedara. Dia memang selalu duduk dengan saya bila cuti. Ni nak balik jenguk mak dia, nak bersalin," beritahu lelaki itu.

"Umur berapa tu?"

"3 tahun baru. Tapi dah pandai tak nak masuk tandas lelaki. Nak juga masuk tandas perempuan." Ketawa lelaki 30-an itu. Luth di sisi abinya hanya mendengar. Nak kena tunggu umi keluar tandas pula.

Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi dentuman kereta yang melanggar beberapa buah kereta di parking lot. Dua susuk tubuh keluar dari kereta remuk itu dengan senjata api.

Luth terjaga dari mimpinya. Peluh merenik ke seluruh tubuh. Jantungnya berdegup laju. Sudah 24 tahun peristiwa itu berlalu. Masih terasa debaran itu.

Tekak Luth terasa perit. Dia bangun dari katil seraya menyarung seluar dan baju sebelum turun ke dapur.

Air mineral diteguk rakus. Jarum jam menunjukkan pukul 9 pagi. Orang baru nak pergi kerja, dia pula baru pulang dari hospital setelah tamat tugas. Nombor Intan Maisarah didail.

"Assalamualaikum, Kak Intan," sapa suara Luth.

"Waalaikumussalam. Luth baru balik hospital ke?" Kakak sulungnya itu tersenyum nipis di hujung talian.

"Haah." Luth raup wajah.

"You should get some sleep la, budak."

"I tried."

Intan mengeluh kecil. "Still nightmare?"

"Luth rasa benda ni tak akan hilanglah, kak. I'm tired, tapi... Urgh!" Luth luah rasa geramnya.

"Maybe sebab you tak let go kut. Just live your life, Luth."

"What do you mean? Luth stuck in this job sebab that nightmare." Luth ambil tempat di atas meja bar dapur. Kakinya digoyang-goyang gaya budak kecil main buaian.

"No. You pilih that profession sebab you can't let it go. You yang nak sibukkan diri you as much as you can."

"Kak..." Luth geram bila kakaknya tidak bersetuju dengan dia.

"Apa kata Luth ambil cuti untuk beberapa hari dan pergi makan angin?"

Luth ketawa. "Mana boleh. Suka hati dia aje."

"Dah tu?"

"I don't know. I just nak dengar suara kakak sebab suara kakak macam umi. And, I think I boleh tidur sekarang. Good night, kak," sengih Luth.

"Good morning!" Intan turut sama ketawa sebelum talian diputuskan. Dah macam burung hantu adik aku yang seorang ini, getus hatinya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro