BAB 19
TANGAN Syuhada beku. Sepanjang perjalanan ke masjid ditemani sahabat-sahabat Farhan, tiada seorang pun sanggup membuka mulut. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
Syahadat juga tidak banyak celoteh. Dia seperti faham apa yang sedang berlaku. Wajah beku ibunya hanya dipandang. Tangan kaku Syuhada digenggam.
"Ibu jangan risau eh?" Pujuknya. Dia mahu melihat ibunya gembira pada hari ini. Hari di mana dia sebagai anak dapat melihat si ibu akan berkahwin semula. Peluang yang tak semua kanak-kanak dapat lihat.
Syuhada pandang Syahadat lembut. Pandai anaknya cuba mententeramkan hatinya. Perasaan ini sama seperti dia bakal bernikah dengan Farhan. Cuma kali ini orang lain. Dia akan berkongsi kehidupan dengan orang lain.
Dahi anaknya dikucup penuh syahdu. Anak ini amanah Allah dan Farhan untuk dia jaga. Mata anaknya direnung. Dia tahu, itu mata Farhan. Mata anaknya sama seperti Farhan. Warna hitam karbon. Wajah yang penuh ketenangan itu sama seperti Farhan.
Laju Syuhada pejam mata. Dia perlu lupakan semua ini. Dia bakal bernikah dengan Aizat bukannya Farhan lagi. Lelaki itu sudah pergi.
Anak lelakinya dipeluk. Mata segera diseka dengan tisu. Kesian mak andam make up. Dia perlu jaga hingga ke akhir majlis.
Farhan...
.
.
KAKI Syuhada terpasung di depan masjid. Sebentar lagi gelarannya bertukar. Sebentar lagi syurganya bertukar. Sebentar lagi panggilan 'Syu' akan bertukar.
"Cikgu?" Bella memandang belakang saat dia perasan pengantin perempuan sudah tiada di sisinya. Laju dia hampiri guru yang terkaku di depan masjid. Bella memimpin wanita itu masuk.
Amri di belakang hanya mampu memandang sepi. Dia tahu hati wanita itu gundah-gelana. Perasaan bercampur baur. Antara Aizat dan Farhan, Amri tahu dia sayang kedua-duanya.
Mereka melangkah masuk. Pengantin lelaki belum tiba. Hanya terlihat beberapa orang yang bertugas membantu menjayakan majlis.
Bella memimpin Syuhada ke tempat khas bakal isteri.
Sofea melepaskan tautan daripada Zack dan melangkah ke bahagian pengantin perempuan.
Amri, Zack, Izuan, Nabil dan Afiq semua bertindak bersalam-salaman dengan tetamu yang ada. Tok imam masjid ini juga sudah bersedia bersama-sama saksi di antaranya.
"Syah, pergi dekat ibu." Arah Amri sebelum sempat Syahadat duduk bersama Nabil. Amri tahu, Syuhada perlukan sokongan dan saat ini hanya Syahadat yang mampu memberi kekuatan.
Syahadat laju mengangguk dan duduk di hadapan Syuhada. Pantas Syuhada dakap tubuh itu dengan erat seperti tidak mahu melepaskan. Dia cuba menahan air mata dari tumpah. Dia tak tahu mengapa hari ini dia terlebih beremosi.
Seketika dia leraikan pelukan. Syahadat didudukkan di atas ribanya. Ubun-ubun anak itu dia kucup tiada hentinya.
"Assalamualaikum.."
Satu suara garau menyentak mereka semua. Lekas mereka mengangkat kepala dan menjawab salam.
Syuhada terpanar melihat penampilan Aizat hari ini. Pegangan tangan terhadap Syahadat dipereratkan. Jantungnya berdegup penuh kencang. Tubuhnya membeku sejuk.
Aizat terus bersalaman dengan tetamu dan duduk di hadapan kadi. Puan Halimah dan Izzati bergerak ke bahagian perempuan. Bella meminta diri untuk ke belakang sedikit. Dia tiada hak untuk duduk di sebelah Syuhada. Hanya mentua sahaja yang layak.
Syuhada memerhatikan gerak-geri Aizat. Lelaki itu tampak tenang. Dia pula yang naik gerun.
"Sebelum kita mulakan, saya minta pengantin lelaki yakinkan pengantin perempuannya. Betul ini pengantinnya?" Tanya tok imam yang menjadi kadi pada hari tersebut.
Aizat menoleh belakang seketika. Senyuman paling gembira dia tayangkan kepada Syuhada. Hati dia tidak berhenti berdegup pantas. Apatah lagi melihat bakal isterinya cantik di dalam busana putih yang mereka kenakan. Sebentar lagi, Syuhada akan jadi miliknya. Insha-ALLAH.
Syuhada tergamam melihat senyuman itu. Laju dia jatuhkan pandangan. Satu nama terlintas di hati.
Farhan.
Laju Syuhada genggam tangan Syahadat. Dia perlu berhenti fikirkan Farhan. Dia bernikah dengan Aizat. Tolonglah faham wahai hati!
"Kita mulakan ya?"
.
.
DENGAN sekali lafaz, ikatan baru sudah terbina. Tanpa dipinta air mata Syuhada jatuh. Perasaan sebak menghurung diri. Serentak lafaz nikah dijatuhkan, syurga dia bukan lagi Farhan. Terpisah ikatannya dengan bekas suami, berganti dengan yang baharu.
Anak di ribanya dia peluk seerat mungkin. Dia lepaskan perasaan sayangnya pada Farhan kepada anak mereka. Semoga kehangatannya terasa untuk Farhan.
"Ibu jangan sedih." Syahadat walaupun tidak selesa, dia faham ibunya perlukan dia. Jadi dia tak kisah andai hari ini dia terpaksa bermandi air mata demi syurganya.
"Syu, terima kasih terima anak mak." Bisik Puan Halimah. Syuhada mengambil tangan tua itu lalu dikucup lama. Kasih sayang seorang mak terasa hangat kembali. Bila kali terakhir dia peluk ibunya? Lapan tahun yang lepas sebelum mereka pergi menghadap Ilahi.
Kini dia dapat menumpang kasih sayang ibu Aizat dan Syahadat juga dapat menikmati kembali kasih sayang seorang nenek.
Tiba masanya majlis pembatalan air sembahyang setelah doa diaminkan.
Gemuruh Syuhada kembali terasa. Kali ini kian hebat apabila Syahadat ditarik pergi oleh Bella dan mak Aizat memberi laluan membiarkan mereka berdua sahaja.
"Assalamualaikum bidadariku..." bisik Aizat dengan selingan senyuman.
Syuhada kian menunduk. Pipi membahang. Dia malu digelar sebegitu. Siapalah dia nak dibandingkan dengan bidadari?
"Waalaikumussalam." Jawab Syuhada lebih kepada membisik.
Puan Halimah memberi kotak cincin kepada Aizat. Cincin dikeluarkan dari kotak.
"Tangan?"
Syuhada diam dan hanya akur. Tangan kanan dihulur. Saat dua tangan itu bergesel, Syuhada dapat rasakan sesuatu yang lain. Kerana itu, hatinya dilanda sebak namun cuba ditahan.
Tangan kekar yang elok memegang jemarinya dipandang lama. Dadanya berombak. Selesai Aizat menyarungkan cincin, Syuhada ambil tangan itu lalu dikucup tanda hormat. Ketika itu juga jurukamera meminta mereka freeze.
Tatkala itu, Syuhada semakin mendebar. Dadanya sesak. Nafasnya tidak teratur. Rasa hangat tangan ini mencengkam jiwanya.
"Okey sambung bang."
Terus Syuhada angkat kepala. Wajahnya yang kaku cuba dilembutkan. Senyuman dia tayangkan. Wajah Aizat ditatap.
Lelaki itu meleret senyumannya. Memang nampak dia bahagia. Dek kerana Aizat tidak suka memakai cincin, lelaki itu pantas mengusap pipi Syuhada.
Syuhada mengeras saat satu tangan menghinggap pada pipi kirinya dan turun ke dagu. Dadanya berombak kian laju. Nama Allah tidak berhenti meniti pada mulutnya. Matanya kaku pada sepasang mata Aizat.
Dan saat lelaki itu labuhkan ciuman pada dahinya, air mata tumpah tanpa disangka. Seluruh sarafnya menggigil hebat.
"Syu? Awak okay tak?"
Pertanyaan Aizat tidak dibalas. Bayangan masa lalu terbayang. Bayangan hari pernikahan Syuhada bersama Farhan terbayang di minda. Serentak itu dia terduduk ke belakang, bukan lagi bersimpuh. Jurukamera yang baru hendak menangkap momen itu terhenti dan naik hairan. Semua di situ pun terkejut pengantin perempuan terduduk ke belakang.
"Syu, awak okay ke tak ni?" Tanya Aizat. Dia tidak kisah orang nak mengata, dia cuma risaukan isteri yang baru dinikahi. Tadi badan itu menggigil hebat.
"Ibu.."
Suara Syah juga seperti hilang. Syuhada semakin teruk debaran di dada.
"Cikgu Syuhada!"
Suara Bella hilang. Suara dari sahabat Farhan turut hilang.
"Sayang.."
"Farhan sayang Syu.."
"I love you Syuhada Umairah.."
Kenapa? Kenapa suara-suara Farhan muncul?
Syuhada cuba bangun. Semua memandang gadis itu pelik. Aizat turut bangun melihat gadis itu seperti masih hilang dari realiti.
Syuhada pandang sekeliling. Wajah-wajah hairan menghiasi pandangannya. Kemudian wajah Syah dicari. Wajah itu tampak risau.
Bukan. Itu wajah Farhan!
Tak.. tak mungkin..
Syuhada berundur ke belakang. Wajah Aizat dilihatnya. Tidak tidak! Kenapa semua jadi seperti ini? Di mana hilangnya Aizat? Kenapa wajah Farhan semata-mata?
Syuhada menggelengkan kepala perlahan. Lantas dia berpaling. Tangannya tidak henti menggaru kepala. Kakinya berjalan sendiri. Laungan dari tengah masjid tidak masuk ke telinganya. Hanya tiga baris ayat itu yang berulang dalam kotak fikirannya.
"Sayang.."
"Farhan sayang Syu.."
"I love you Syuhada Umairah.."
Kaki terus melangkah tanpa dia tahu hala tujuan. Syuhada masih kaku. Kepalanya kusut.
Seketika dia terhenti. Hujan mula menitik membuatkan dia tersedar ke alam realiti. Di buka mata dan lantas dia tergamam.
Mulutnya terketar dan matanya berpinar melihat destinasi kakinya berhenti.
Dia kini di hadapan kubur arwah Farhan.
------
Walla! Hamek kamu! Ayokk apa jadi pada Syu?
Jangan lupa sedekahkan vote dan komen untuk saya. Kesian saya. Sakit tak surut lagi. Penat melayan pening dan tekak ni haih..
Jumpa lagi nanti! 😆
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro