BAB 8
Kaysa Adara kembali ke meja kerjanya usai keluar makan tengah hari bersama rakan sekerja. Jam di skrin komputer dikerling. Ada sepuluh minit lagi sebelum waktu rehat tamat. Telefon pintar dicapai. Laju dia menekan papan kekunci, menaip mesej untuk Ed.
Sorry. I tak boleh jumpa you hari ni.
I ada hal.
Boleh tak you bagi account number you?
Senyuman nakal terukir di bibir. Sengaja dia beri helah. Semata-mata untuk mengelak daripada bertemu dengan Ed.
Tidak sampai seminit, telefon pintar Kaysa Adara berdering. Panggilan daripada Ed.
Pantasnya!
Lambat-lambat Kaysa Adara jawab panggilan daripada lelaki itu. Perlahan sahaja nada suaranya. Tidak mahu mengganggu pekerja yang lain.
"Macam nilah janji Melayu. Masa nak pinjam duit, macam-macam janji. Bila dah dapat, banyak alasan."
Erk! Telinga Kaysa Adara terus disapa dengan sindiran pedas sebaik sahaja dia menjawab panggilan daripada Ed. Terkesima gadis itu. Janji Melayu? Berkerut dahinya.
Sekejap. Aku ada janji apa-apa ke semalam? Rasa-rasanya macam tak ada.
"Bila masa I janji dengan you?" tanya Kaysa Adara dengan nada tidak puas hati.
"Ha, tengok! Melayu betullah you ni."
"Eh, I memang orang Melayu. Habis tu, you bukan?"
"Semalam masa you merengek nak KFC, you sendiri cakap nak jumpa I hari ni. Bila dah dapat KFC, lain pula cerita. Sebab tu I cakap janji Melayu."
Lelaki itu mendengus kasar.
"I bukannya tak nak bayar duit you. Kan I ada minta nombor akaun. You bagi ajelah."
Nada suara Kaysa Adara sudah mengendur.
"You ni ada masalah short term memory loss ke? I dah cakap I nak cash. I tak nak you transfer."
Kaysa Adara menahan geram. Kereknya mamat ni. Sibuk sangat nak cash. Transfer kan senang. Tak sampai lima saat. Ini nak jumpa bagai. Leceh!
Hati Kaysa Adara berleter sendirian. Meluahkan rasa tidak puas hati yang terpendam, yang tidak mampu dituturkan pada lelaki itu.
"Yalah. Tapi I ada hal hari ni. I tak boleh jumpa you."
Kaysa Adara masih tidak berputus asa. Masih mencari peluang untuk mengelakkan diri daripada lelaki itu.
"Hal apa?"
"Sibuk aje nak tahu."
"Well, you batalkan janji you dengan I untuk hal tu. I rasa I ada hak untuk tahu hal apa. Penting sangat ke sampai you mungkir janji?"
Mungkir janji? Hesy, overnya! Omel Kaysa Adara. Pen yang berada di tangan, sudah diramas-ramas. Geram.
"Hal peribadi yang tak boleh dielakkan."
"Okey."
Hah? Ed cakap okey? Terus wajah masam Kaysa Adara bertukar ceria. Senyuman terukir di bibir. Yes! Berjaya! Riang betul hatinya.
"Jumpa I esok."
Mati terus senyuman di bibir Kaysa Adara. Hampa! Terlepas keluhan dari bibirnya.
"You nak jumpa kat mana?"
Kaysa Adara mula mengalah.
"Bila? Esok atau hari ni?"
"Hari ni," balas Kaysa Adara. Ingin melangsaikan hutangnya secepat mungkin. Selepas ini, tiada sebab kenapa dia kena jumpa lelaki itu lagi.
"I dah agak. You sengaja tak nak jumpa I, kan?"
Kaysa Adara diam. Tidak memberikan sebarang respons.
"I rasa nak makan western hari ni. You ada suggestion tak nak makan kat mana?"
"Tak."
"Then, biar I yang decide. Nanti I text you nama restoran dengan location."
"Kejap! You nak jumpa I dekat restoran ke? Jumpa kat tepi jalan pun boleh, kan? Atau kat mana-mana stesen minyak. I just nak pulangkan duit you aje."
"Wow! You surprised me. Benci sangat ke you pada I sampai tak nak makan dengan I lagi?"
Memang pun! balas Kaysa Adara dalam hati. Eh, tapi kenapa aku benci dia? Kaysa Adara sendiri tidak tahu kenapa dia benci pada Ed. Benarkah dia benci pada lelaki itu?
"I akan text account number I. Sorry sebab susahkan you."
Kaysa Adara tergamam. Skrin telefon pintar direnung setelah Ed mematikan talian. Ed berjauh hati dengan dia ke? La! Dah kenapa dia rasa bersalah pula ni? Bukan ini yang dia nak ke?
Argh!!! Hati Kaysa Adara menjerit. Kenapa lelaki itu selalu menyemakkan fikirannya? Kenapa selalu buat dia serabut?
Jumpa you dekat Paranoid Kitchen pukul 6.
Kali ni, I nak you belanja I.
Don't be late.
Kaysa Adara membaca semula WhatsApp yang dia hantar kepada Ed. Keluhan berat terlepas dari bibir.
Oh, Kaysa... Apa yang kau buat ni? Lelaki tu dah putuskan untuk memberi nombor akaun tetapi dia pula tetapkan tempat nak jumpa. Barangkali disebabkan rasa bersalah. Tapi... Kenapa nak rasa bersalah pula? Biar ajelah lelaki tu nak berkecil hati dengannya. Kenapa pula dia nak jaga hati Ed? Hesy, tak faham betul! Tak faham dengan diri sendiri.
Sewaktu dalam perjalanan untuk bertemu dengan Ed, enjin kereta Kaysa Adara termati sendiri. Mujur dia sempat memandu keretanya ke bahu jalan. Enjin kereta cuba dihidupkan semula tetapi tidak berjaya.
Bibir diketap. Gadis itu mula panik. Tak tahu nak buat apa. Pertama kali kereta Myvinya mati enjin.
Kebiasaannya waktu sebegini, si pemandu akan keluar dari kereta dan buka bonet depan tetapi Kaysa Adara tidak. Laju tangan dia kunci pintu. Kalau dia buka bonet depan pun, apa yang dia boleh buat? Tengok enjin tanpa memahami apa-apa?
Kaysa Adara bukannya tahu pasal kereta. Dia tahu pandu aje. Bila tiba masa kena servis, dia pergi hantar servis. Bila budak yang servis kereta tu bercakap pasal kondisi keretanya, dia angguk aje tanpa faham apa-apa. Sekarang ni, siapa yang susah?
Telefon pintar dikeluarkan. Otak ligat berfikir nak minta tolong dengan siapa. Nak minta tolong dengan Encik Khairul? Memang taklah.
Saat wajah Khalil Asyraf menerpa dalam ruang minda, tingkap keretanya diketuk. Spontan, dia menoleh. Seorang lelaki yang berhelmet full face memintanya keluar dari kereta. Kaysa Adara tergamam. Mata terus terhala ke arah pintu kereta. Ingin memastikan pintu kereta sudah dikunci.
Tingkap kereta diketuk lagi. Kaysa Adara ketakutan. Siapa pula mamat ni? Apa yang dia nak? Tapi tak akan mamat tu nak apa-apakan dia. Kereta dari tadi lalu-lalang. Sekarang kan waktu orang balik kerja.
Mamat tu nak tolong dia ke? Detik hati Kaysa Adara. Namun, Kaysa Adara tidak berani untuk melangkah keluar dari kereta. Sekarang ni ada macam-macam kes tau. Yang tak disangka-sangka pun boleh berlaku. Mata memerhati sekeliling. Mana tahu lelaki ni ada geng. Nak merompaknya.
Lelaki itu membuka helmet.
Kaysa Adara terkejut.
La... Ed rupanya. Kenapa daripada tadi tak buka aje helmet? Buat Kaysa Adara cuak aje.
Pintu kereta dibuka dan dia melangkah keluar.
"You buat apa kat sini?" tanya Kaysa Adara.
"On the way jumpa you."
Oh... Mesti lelaki tu ternampak kereta dia tersadai kat sini. Eh, tapi macam mana Ed tahu ini kereta dia?
Kemudian, Kaysa Adara teringat yang semalam Ed hantar dia sehingga ke kereta. Acah-acah nak jadi lelaki budiman kononnya. Kononnyalah...
"Kenapa dengan kereta?"
Kaysa Adara menjongketkan bahu.
"You terlanggar bumper tu kan tadi? You tak nampak ke?"
Alamak! Ed nampak eh? Gadis itu tayang sengih.
"I tak perasan ada bumper."
Ed menggumam.
"Buka bonet," arah Ed.
"You nak tolong I ke?"
Lembut sahaja nada suara Kaysa Adara. Berbunga-bunga hati bila lelaki itu ingin membantunya. Tak perlu dia nak minta tolong dengan abangnya. Itu pun dia tak tahu sama ada Khalil Asyraf boleh tolong atau tak. Mana tahu lelaki itu ada hal. Along tu selalu aje sibuk. Sama macam papa.
Ed tidak memberikan sebarang respons. Lelaki itu mengayunkan langkah ke bonet depan.
Tanpa membuang masa, Kaysa Adara terus buka bonet depan kereta. Ed mula memeriksa kereta Kaysa Adara dan gadis itu hanya memerhati di sebelah. Memandang Ed yang menyentuh wayar-wayar yang ada.
Mamat ni betul-betul tahu atau pura-pura aje? Hati Kaysa Adara dilambung tanda tanya. Seolah-olah mempertikaikan kebolehan Ed.
"Cuba start enjin."
Kaysa Adara menurut tanpa banyak soal. Walaupun dia tidak percaya pada kebolehan Ed, dia tetap berdoa agar enjin keretanya boleh dihidupkan semula.
Senyuman terukir di bibir. Doanya dimakbulkan. Terus dia ke depan kereta semula. Bertemu dengan Ed yang sedang menutup bonet kereta.
"Terima kasih," ucap Kaysa Adara dengan nada yang teruja. Gembira betul gadis itu.
"Apa yang you buat?" soal gadis itu ingin tahu.
Ed menghulurkan tapak tangan kepada Kaysa Adara. Soalan Kaysa Adara dibiarkan sepi. Tidak berjawab. Wajah lelaki itu masih seperti tadi. Tidak beriak. Kelihatan serius.
"You nak apa?" tanya Kaysa Adara. Blur.
Kemudian, Kaysa Adara terfikir sesuatu.
"Oh... Upah ke? Berapa?"
Ed menghalakan pandangan ke arah Kaysa Adara.
"Duit yang you nak bagi pada I. You nak jumpa kat tepi jalan, kan? Kita dah jumpa. So, you bagi ajelah."
Kaysa Adara mengecilkan matanya. Memerhati wajah Ed yang tidak beriak. Kemudian, dia mengukirkan senyuman. Senyuman yang kelihatan nakal.
"Budak kecil kalau merajuk, comel. Tapi budak yang dah besar macam you ni, yang dah tak layak dipanggil budak pun, kalau merajuk nampak buruk tahu tak?"
"Siapa merajuk?"
"Ada orang lain ke kat sini?"
Ed menjeling Kaysa Adara.
"I tak merajuk. Cepatlah. Jangan buang masa."
Lelaki itu kembali menghulurkan tangan, menggesa Kaysa Adara memulangkan duitnya di situ.
"I minta maaf," ucap Kaysa Adara.
Gadis itu ikhlas. Dia tahu dia tidak sepatutnya berkurang ajar pada lelaki yang sudah membantunya. Dia tahu dia yang over. Bukan Ed.
Lagipun, kalau difikirkan semula, sudah tiga kali Ed menyelamatkannya. Kali pertama, masa di Kundasang. Masa dia kena kejar dengan anjing. Kali kedua, dekat pasar raya semalam dan kali ketiga, waktu sekarang ini. Boleh tak kalau dia nak fikir yang Ed ni umpama dia punya knight in the shining armor?
Eh, apa yang aku fikir ni? Cepat-cepat Kaysa Adara mengusir imaginasi dalam mindanya. Dia kembali menumpukan perhatian pada Ed.
"You nak makan western, kan? Jomlah... I belanja. You dah tolong I hari ni."
Kasya Adara memujuk. Lembut sahaja suaranya.
"Jumpa dekat sana."
Usai menuturkan bicara, Ed terus mengayunkan langkah ke motornya yang tidak jauh dari situ.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro