BAB 5
Bunyi loceng rumah yang berkali-kali membuatkan Ed terpaksa menggagahkan diri mengangkat punggung dari kerusi dan mengayunkan langkah ke pintu. Dengan perasaan malas, pintu rumah dibuka. Terpacul Yusri di depan rumahnya bersama sengihan di bibir. Tangan kanannya menayangkan beg plastik yang berisi bekas makanan.
"Morning!"
Ed senyum segaris. Pintu grill dibuka lalu Yusri melangkah masuk. Mata lelaki itu membesar. Terkejut melihat keadaan rumah Ed yang macam tongkang pecah.
"Wey... Ini rumah ke apa? Kenapa bersepah sangat?"
Ed tayang wajah selamba.
"Mana ada bersepah."
Yusri melepaskan tawa. Tak bersepah Ed kata. Baju kotor merata-rata, atas lantai dan sofa. Di atas meja kopi, ada tiga cawan kotor. Botol air yang kosong bersepah-sepah. Bantal kecil yang sepatutnya ada di sofa berada di atas lantai.
Dapur... Oh, dapur tak usah nak cakaplah. Bertimbun pinggan mangkuk yang tidak berbasuh. Dekat meja makan pun penuh dengan cawan-cawan yang telah digunakan.
Oh... Yusri boleh pengsan tengok keadaan rumah Ed.
Ini baru ruang tamu dengan dapur. Yusri belum tengok lagi keadaan di bilik tidur dengan bilik kerja Ed.
Hmmm, tapi rasanya bilik tidur memang lebih kurang aje macam keadaan dekat ruang tamu dengan dapur. Yusri boleh bayangkan. Cuma bilik kerja Ed sahaja yang Yusri rasa kemas dan teratur memandangkan Ed tidak suka buat kerja dalam keadaan yang bersepah.
Beg kertas di tangan diletakkan di atas meja makan. Tanpa sebarang bicara, dia mula mengemas rumah kawan baiknya itu. Dia sudah biasa menjadi tukang kemas. Cawan-cawan yang kotor dibawa ke singki.
"Kau memang makan Maggi aje ke?" tanya Yusri sewaktu ternampak timbunan plastik mi segera di dalam bakul sampah.
Ed hanya menggaru kepalanya yang tidak gatal.
"Kenapa dah lama tak datang kafe?"
"Aku busylah."
"Kejap."
Yusri yang sedang membasuh di singki, menoleh ke arah Ed yang sudah duduk di meja makan.
"Kau busy dengan apa?"
"Manuskrip untuk English versionlah. Editor kau dah call aku banyak kali, minta manuskrip."
"Oh... Lupa. So, macam mana? Dah siap?"
"Lagi 20%."
Ed mendekatkan beg kertas yang Yusri bawa dengannya. Dengan selamba dia keluarkan bekas makanan dari beg kertas.
"Ini untuk aku ke?" soal Ed.
Yusri menoleh ke belakang. Kepalanya dianggukkan.
"Ibu aku buat nasi lemak pagi tadi. Tu yang aku bawa untuk kau. Ibu aku kirim salam. Dia cakap kau dah lama tak datang rumah. Ini, kalau dia tahu hari-hari kau makan Maggi, mesti hari-hari dia suruh aku hantarkan makanan untuk kau."
"Hesy, tak payahlah beritahu ibu kau."
Ed bangkit dari duduk dan melangkah ke singki. Ingin membasuh tangan. Kemudian, dia kembali ke meja makan dan mula menjamah sarapan yang dibawa Yusri.
"Kau tak muak ke makan Maggi hari-hari?"
"Dah itu yang senang."
Yusri mengeluh perlahan.
"Kalau kau malas nak masak, kau boleh oder food delivery. Tak perlu nak makan Maggi. Search aje kat IG. Banyak. Tapi aku tahu kau ni malas. Nantilah aku carikan."
"Thank you."
Selesai mengemas dapur, Yusri ke ruang tamu pula. Baju-baju Ed dicapai satu per satu. Lelaki itu hanya mampu menggeleng.
"Nak kata bakul baju kotor tak ada, aku dah belikan. Susah sangat ke kau nak sumbat baju-baju kau dalam bakul?"
Ed diam. Tidak beri respons. Dibiarkan aje Yusri dengan bebelannya. Nasi lemak disuap ke dalam mulut.
Selesai mengemas, Yusri duduk di depan Ed. Kad kahwin yang dia jumpa di atas lantai, diletakkan di atas meja.
"Kata tak kesah. Tapi kenapa kau campak kad ni?"
Ed memandang kad kahwin yang Yusri tayang kepadanya.
"Kat mana kau jumpa?"
"Atas lantai."
"Terjatuhlah kut."
Yusri cebik bibir.
"Kau nak pergi tak?"
"Bila dia kahwin? Hari ni, eh?"
"Yalah. Sebab tu aku datang sini. Nak ajak kau pergi sekali. Dia jemput aku juga."
"Oh... Kau nak pergi ke?"
"Kenapa? Kau tak nak pergi?"
Yusri mengeluarkan kad kahwin di tangannya lalu dibelek-belek. Mata dihalakan ke arah tarikh yang tertera. Ya, memang betul hari ni.
"Jemputan majlis perkahwinan. Siti Elyana binti Shamsuddin dengan Khalil Asyraf bin Khairul Anuar. Bukit Jelutong. Dekat rumah Elly. Jomlah pergi," ajak Yusri.
Ed terkesima. Tak jadi nak suap suapan yang terakhir ke mulut.
"Kau cakap apa tadi?"
"Dekat rumah Elly. Jom pergi," ulang Yusri.
"Tak, tak... Sebelum tu."
"Jemputan majlis perkahwinan. Siti Elyana binti Shamsuddin dengan Khalil Asyraf bin Khairul Anuar."
Ed terdiam. Lama.
Khalil Asyraf.
Khairul Anuar.
Kedua-dua wajah itu terus menerpa ruang mindanya.
"Okey. Jom pergi," putus Ed dan kembali menyuap makanan ke mulut.
Khalil Asyraf memilih untuk meneruskan perkahwinannya. Kaysa Adara tidak berkata apa. Hanya mendoakan yang baik-baik aje. Matanya dihalakan ke arah pasangan pengantin yang sedang bersanding di atas pelamin. Encik Khairul dan Puan Saafia baru sahaja menepung tawar kedua-dua mempelai itu.
Dari pemerhatian Kaysa Adara, kakak iparnya tidak nampak terpaksa pun berkahwin dengan abangnya. Senyuman tidak lekang di wajah kakak iparnya. Malah, gadis itu ramah bertegur sapa dengannya. Kalau Khalil Asyraf tidak memberitahunya, sudah tentu Kaysa Adara sangka yang mereka berdua kahwin atas suka sama suka.
Kaysa Adara menyandarkan tubuhnya ke belakang. Jam di pergelangan tangan dikerling. Menanti waktu untuk pulang ke rumah. Dari gaya papa dengan mama yang sedang rancak berbual dengan pak long dan mak long, macam lama lagi aje mereka nak gerak pulang.
Di meja bulat bahagian keluarga pengantin lelaki, Kaysa Adara duduk dengan keluarganya dan juga keluarga pak longnya. Abang papa. Sesekali Kaysa Adara berbual juga dengan sepupu yang duduk di sebelah kirinya tetapi tidaklah serancak papa dan mama. Gadis itu tidak tahu nak berbual apa. Dia tidaklah rapat mana dengan mereka. Tegur gitu-gitu aje.
Mata Kaysa Adara diliarkan ke sekeliling. Memerhati tetamu yang hadir. Pandangannya terkunci ke sebuah meja yang tidak jauh daripadanya. Mata gadis itu membesar sedikit. Tampak terkejut. Tanpa sedar, bibir mengukir senyum nipis.
Ed.
Apa yang dia buat kat sini? Kawan along ke? Eh tak mungkin pula. Ini kan majlis belah perempuan. Dah tu kawan Kak Elly?
Pandangan mata Kaysa Adara tidak lepas dari memandang Ed. Ada rasa teruja bertemu dengan lelaki itu di situ. Namun, senyumannya mati saat Ed melemparkan renungan ke arah pengantin perempuan. Kaysa Adara terus memandang kakak iparnya.
Hati dia mula dijentik sesuatu apabila melihat Ed dan kakak iparnya berbalas renungan walaupun dari jarak yang jauh. Entah kenapa dia dapat rasakan sesuatu yang lain pada renungan itu. Seolah-olah ada makna yang tersirat.
Dia tak cintakan aku. Dia cintakan lelaki lain.
Oh, takkanlah...
Tak. Tak mungkin.
Kaysa Adara cuba menafikan andaian yang bermain dalam mindanya. Cuba menidakkan.
Tapi... Kenapa kakak iparnya masih merenung Ed walaupun Ed sudah pun mengalihkan pandangan ke arah lain? Kenapa kakak iparnya yang tadi kelihatan gembira bertukar murung? Kenapa kehadiran Ed memberi kesan kepada Kak Elly?
Kaysa Adara cuma jumpa satu jawapan.
Elly cintakan Ed.
Persoalannya sekarang, adakah Ed cintakan Elly?
"Kaysa okey tak? Kenapa muka tiba-tiba pucat? Tak sihat ke?" soal Puan Saafia yang menyedari perubahan pada wajah anaknya.
Kaysa Adara tersentak. Matanya dihalakan ke arah Puan Saafia. Lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya.
"Errr, ma... Kaysa nak jumpa kawan kejap."
Tanpa membuang masa, Kaysa Adara terus mengangkat punggung. Langkah diayun ke meja yang Ed duduk tadi tetapi lelaki itu sudah tiada. Ke mana pula dia pergi? Terus Kaysa Adara meliarkan pandangan, mencari lelaki itu.
Ed membawa diri ke satu sudut sementara menunggu Yusri berbual dengan kawan lamanya. Boleh pula Si Yusri terserempak dengan kawan satu sekolahnya di sini. Malas nak masuk campur dalam perbualan Yusri dan kawannya, Ed pun membuat haluan sendiri.
Cuaca yang terik membuatkan Ed menyarungkan kaca mata hitam. Mindanya masih teringatkan insiden kecil tadi di mana Encik Khairul tanpa sengaja terlanggar bahunya. Lelaki itu tidak terkejut melihatnya. Riak wajah lelaki itu biasa sahaja. Adakah lelaki itu sudah melupakan dirinya?
Deheman seseorang menerbangkan lamunan Ed. Kepalanya ditoleh ke sisi. Lelaki itu sedikit terkejut melihat Kaysa Adara yang sedang menghampirinya. Tidak menyangka gadis itu menyedari kehadirannya.
"Hai," tegur Kaysa Adara, memberikan senyuman kepada Ed.
"Ingat I lagi tak?"
Ed hanya menganggukkan kepala.
"You kawan pengantin perempuan ke?"
Ed angguk lagi.
"Dia kakak ipar I."
I tahu, tutur Ed dalam hati.
"Apa hubungan you dengan dia? Kawan atau lebih daripada seorang kawan?" soal Kaysa Adara ingin tahu.
Nada suara gadis itu kedengaran serius. Begitu juga dengan wajahnya. Ed membalas pandangan Kaysa Adara.
"Kenapa you nak tahu?"
"Sebab I rasa there's something going on between you dengan kakak ipar I."
Dahi Ed berkerut. Sungguh dia tidak faham apa yang Kaysa Adara maksudkan.
"I nampak you berbalas renungan dengan dia tadi. Apa semua tu? You ada apa-apa hubungan ke dengan kakak ipar I?"
Kaysa Adara sudah menyilangkan tangan ke dada.
Ed melepaskan tawa. Perlahan. Cukup untuk didengari oleh Kaysa Adara. Hatinya dicuit rasa lucu dengan soalan bernada serius daripada Kaysa Adara.
"I tak rasa I buat lawak, Ed. Kenapa you gelak?"
Ed mengetap bibir. Mematikan tawanya.
"I rasa you dah salah faham."
"Oh, really?" Balas Kaysa Adara bersama kening yang ternaik sedikit.
"Elly tu kawan I. Tak lebih daripada itu," jelas Ed.
Ed sendiri tak tahu kenapa dia kena jelaskan pada Kaysa Adara. Bibirnya terlebih dahulu menutur bicara sebelum sempat akalnya berfikir.
"Then, kenapa you renung dia macam tu? Renungan you nampak lain macam... Macam tak rela tengok dia kahwin dengan abang I."
Kaysa Adara ketap bibir. Kenapa aku tanya Ed macam tu? Aku risaukan along atau aku cemburu tengok Ed dengan Kak Elly berbalas renungan tadi? Pipi Kaysa Adara terasa kebas. Terus dia paling ke arah lain. Tiba-tiba dia berdebar. Tak mampu nak balas pandangan Ed.
Ed membersihkan tekaknya.
"Renungan I?"
Lambat-lambat Kaysa Adara menganggukkan kepala. Masih tidak memandang Ed. Dia cuba berlagak biasa.
"I rasa you dah salah tafsir pandangan mata I. Cuba you pandang I."
Tanpa sedar, Kaysa Adara menoleh ke arah Ed. Dalam sekelip mata, Ed mara setapak ke hadapan, berdiri betul-betul di hadapan Kaysa Adara. Kaca mata hitam sudah ditanggalkan dan lelaki itu mula merenung Kaysa Adara.
Tindakan spontan Ed membuatkan Kaysa Adara terkesima. Matanya membulat. Tidak berkelip. Terkejut bila Ed tiba-tiba berada dekat dengannya dan merenungnya.
Suasana bertukar hening. Lagu kahwin yang diputarkan oleh deejay sudah bertukar kepada lagu tema Descendants of the Sun. Lagu yang sama. Lagu yang dinyanyikan oleh Yoon Mi Rae.
Kenapa? Kenapa dia mesti dengar lagu ni bila dia dengan Ed? Mustahil pula deejay yang kenduri kahwin ni pasang lagu tu?
Degupan jantung Kaysa Adara sudah bertukar rentak. Lebih-lebih lagi bila mendengar lagu Always yang mendayu-dayu di telinga. Air liur ditelan berkali-kali. Peluh sudah memercik di dahi.
Ed memakai cermin matanya semula lalu mengundur ke belakang. Mematikan renungannya. Senyuman terukir di bibir. Seakan sinis.
"So, apa yang you boleh tafsir dari pandangan mata I?"
I tak dapat tafsir apa-apa. I terkejut. Hati I berdebar-debar. Jawab Kaysa Adara dalam hati. Tiada keberanian untuk memberitahu Ed. Jantung gadis itu masih lagi berdegup laju.
"Kosong. Pandangan mata I, pandangan yang kosong. Sama macam I pandang Elly. I tak tahu macam mana you boleh tafsir yang I tak rela tengok Elly kahwin dengan abang you."
"Tapi I rasa kakak ipar I suka kat you," tutur Kaysa Adara perlahan.
Ed diam. Tidak memberikan respons. Tidak menafikan. Juga tidak mengeyakan.
Kaysa Adara memberanikan diri memandang Ed.
"You memang tak ada apa-apa perasaan pada kakak ipar I, kan?"
"Kenapa I perlu jawab soalan you?"
Kaysa Adara tergamam bila Ed balas pandangan matanya. Walaupun Ed berkaca mata hitam, dia dapat bayangkan renungan mata lelaki itu. Terus dia larikan pandangan ke arah lain.
"I tak nak you ganggu rumah tangga abang I. Dia orang baru aje kahwin," balas Kaysa Adara kedengaran kurang yakin.
Benarkah dia risaukan Khalil Asyraf? Atau dia risaukan diri sendiri yang dah mula suka pada lelaki itu?
"Kalau pasal tu, you tak perlu risau. I'm not interested in love."
Ha? Entah kenapa Kaysa Adara rasa kecewa dengan jawapan Ed. Maknanya, gadis itu risaukan diri sendiri. Bukan risaukan abangnya.
"Kenapa?"
Ed menyeringai.
"I tak rasa I perlu jelaskan pada you hal peribadi I."
Kaysa Adara terdiam. Termalu sendiri.
Ed menghela nafas sedikit kuat.
"I tahu you nak jadi adik yang protective tapi mungkin you boleh kurangkan sedikit imaginasi you. You think too much, Kaysa..."
Usai menghabiskan bicara, Ed dengan selamba mengetuk kepala Kaysa Adara dengan telefon pintar di tangannya sebelum dia berlalu pergi. Meninggalkan Kaysa Adara. Perlahan sahaja ketukannya. Tidaklah kuat mana. Ala-ala ketukan manja gitu.
Kaysa Adara bagai di awang-awangan. Bukan kerana diketuk oleh Ed tetapi disebabkan bicara terakhir Ed.
Kaysa...
Oh ini kali pertama Ed sebut nama dia, kan? Kan?
Makin berdebar Kaysa Adara dibuatnya. Tangan kanan terus melekap ke dada. Cuba menenangkan diri sendiri.
Kaysa Adara menoleh ke arah Ed dan tika itu baru dia sedar Ed sudah meninggalkannya. Terus gadis itu berlari ke arah Ed. Telefon pintar di tangan lelaki itu dirampas. Dia berdiri di hadapan Ed dengan pandangan yang cukup bersahaja. Kemudian, dia menghalakan pandangan ke arah skrin telefon pintar.
Keluhan kecil terlepas dari bibir. Locked pula telefon mamat ni.
"Unlock please," pinta Kaysa Adara. Skrin telefon pintar ditayangkan di hadapan Ed.
Ed peluk tubuh. Merenung Kaysa Adara. Meminta penjelasan atas tindakan gadis itu.
Kaysa Adara masih tayang wajah selamba.
"I nak call parents I. I tak tahu dia orang kat mana."
Ed terkejut bila Kaysa Adara sebut tentang ibu bapa gadis itu. Telefon pintar ingin dirampas semula tetapi Kaysa Adara lebih pantas menyembunyikan telefon pintarnya ke belakang tubuh.
"Janganlah kedekut sangat."
Ed mendengus.
"I nampak parents you masuk dalam rumah Elly tadi. You carilah dia orang kat dalam rumah."
"Macam mana you kenal parents I?" soal Kaysa Adara bersama pandangan mata yang mengecil.
Ed tergamam. Riak wajahnya cuba dikawal. Mindanya ligat berfikir, cuba mencari helah.
"Errr... Yang duduk sebelah you tadi, bukan mak you ke? Sebelah mak you, ayah you, kan?"
"Oh..."
Senyuman terukir di bibir Kaysa Adara
"So, you dah nampak I tadi... Kenapa tak tegur?"
Ed diam.
Kaysa Adara kembali menayangkan skrin telefon pintar di hadapan Ed.
"Cepatlah unlock. Kalau tak, I bawa lari phone you," ugut Kaysa Adara.
Tak! Kaysa Adara tak boleh ambil telefon pintarnya. Banyak rahsia tentang dirinya dalam telefon pintar itu termasuklah maklumat tentang keluarga gadis itu.
"Cepat! Sebelum I bawa lari..." gesa Kaysa Adara.
"Biar I yang call untuk you."
Ed hulur tangan, meminta telefon pintarnya dari tangan Kaysa Adara.
"No. I nak call sendiri," tegas Kaysa Adara.
Ed kelihatan berat hati.
"Hesy, ada apa dekat phone you ni? Susah sangat ke nak unlock? Macamlah I nak selongkar phone you," omel Kaysa Adara.
Akhirnya, Ed meletakkan ibu jarinya di home button untuk diimbas.
"Thank you," ucap Kaysa Adara yang sudah tersenyum suka.
Telefon pintar dihalakan ke arahnya dan dia mula mendail nombor telefonnya. Riang sungguh hati gadis itu kerana berjaya memperdaya Ed. Sebenarnya dia nak menghubungi nombor telefonnya sendiri. Ingin mendapatkan nombor telefon Ed. Kalau dia minta nombor telefon daripada Ed, sudah tentu lelaki itu tak nak bagi.
Motif dia nak nombor telefon Ed? Dia sendiri tak tahu. Tetapi dia mengharapkan akan ada pertemuan seterusnya antara dia dan lelaki yang sudah berkali-kali buat jantungnya berdegup tidak menentu.
"Oh, itu pun parents I. Nah, ambil balik phone you. Bye!"
Ed mengambil telefon pintar dari tangan Kaysa Adara. Matanya mengekori langkah gadis itu sehinggalah dia bertemu pandang dengan sepasang mata milik Encik Khairul. Pandangannya terkunci di situ.
Lelaki seusia ayahnya turut memandang Ed. Adakah lelaki itu sudah bisa mengingati dirinya?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro