BAB 13
Lewat Kaysa Adara bangun pagi itu memandangkan dia tidak perlu bersiap-siap ke tempat kerja. Hari ini satu Malaysia cuti. Cuti umum sempena Hari Merdeka. Jam ketika itu menunjukkan pukul 10.20 pagi. Tak adalah lewat sangat sebenarnya tetapi boleh juga dikatakan lewat daripada hari biasa. Kalau hari bekerja, lepas subuh memang Kaysa Adara tidak tidur balik. Terus bersiap-siap ke tempat kerja.
Keluar sahaja dari bilik, pandangan mata Kaysa Adara terhala ke arah Yara yang sedang bersenam di ruang tamu. Mengikut gerak senaman yang dipaparkan di kaca televisyen. Kemudian, pandangannya dihalakan ke arah Syaz. Gadis itu sedang bersarapan di meja makan. Hmmm... Yang seorang bersenam. Seorang lagi makan.
Kaysa Adara mengayunkan langkah ke meja makan. Punggung dilabuhkan di hadapan Syaz. Dengan cukup selamba, dia capai roti yang berada di atas meja. Mentega kacang bersalut coklat disapukan ke atas roti itu sebelum disumbatkan ke mulut.
"Apa mimpi minah tu tiba-tiba exercise?" soal Kaysa Adara.
Syaz tergelak. Pandangan mata ditumpukan ke arah Yara yang masih lagi gigih mengikut FigureRobics by Jung Da Yeon.
"Paan cakap badan dia makin berisi."
Mata Kaysa Adara membesar. Terus dia menoleh ke arah Yara.
"Paan masih jumpa kau ke, Yara?" soal gadis itu, terus kepada Yara. Tidak perlu melalui Syaz.
Yara menganggukkan kepalanya.
"Dia cakap badan aku dah naik sebab patah hati dengan dia."
"So, kau exercise ni sebab nak kuruskan badan kau dan tackle Paan balik ke?"
"Taklah. Aku nak tunjuk yang aku tak patah hati langsung."
Serentak, Syaz dengan Kaysa Adara menghamburkan tawa.
"Kau exercise sebab dia la ni?" tanya Kaysa Adara lagi.
"Tak juga!"
"Dah tu?"
Syaz pula yang mengajukan pertanyaan. Dia tidak tahu pula ada sebab lain selain Paan.
"Aku bengang bila Paan cakap macam tu kat aku. Lepas tu, Yusri tiba-tiba muncul. Aku terus tanya Yusri, aku gemuk ke... Dengan harapan dia akan berlagak macho dan cakap tak. Tapi dia dengan selamba cakap aku memang gemuk. Menyirap darah aku. Depan Paan pula tu. Sukalah Paan. Tersenyum sinis dia pada aku."
"Kejap! Si Yusri tu memang asyik cari kau ke?"
Kaysa Adara memandang Yara, menanti jawapan daripada gadis itu.
"Yalah. Sibuk nak jadi fake boyfriend. Aku suruh dia berlakon sekali aje."
"Entah sampai bilalah Paan dengan Yusri nak stop kacau kau, kan? Tak sangka kawan aku yang chubby ni digilai ramai," seloroh Kaysa Adara bersama gelak nakal.
Terjerit Yara bila Kaysa Adara cakap dia chubby. Terus berhenti bersenam. Tangan mencekak pinggang.
"Wey... Kau orang pun nak cakap aku gemuk ke?"
"Tak... Bukan gemuk. Tapi nampaklah kau memang dah berisi sikit. Hmmm, tapi aku rasa okey aje. Kau masih nampak comel," balas Kaysa Adara.
Yara mencebikkan bibirnya dan kembali bersenam.
"Yara on diet. Jangan ajak aku makan kat tempat best. Aku nak makan makanan sihat aje mulai hari ni," tegas Yara. Nekad.
Sekali lagi Syaz dengan Kaysa Adara tergelak. Adoi... Yara, Yara. Buat mereka berdua terhibur pula pagi-pagi ni.
"Kau orang tak ada plan apa-apa ke hari ni?" tanya Syaz.
Laju Kaysa Adara menganggukkan kepala. Senyuman penuh makna terlakar di wajah gadis itu.
"Ada date dengan Ed?" teka Syaz.
Kaysa Adara mengangguk lagi.
"Malam ni."
"Fuyooo... Orang tu ada date. Malam ni kita berdua ajelah kat rumah ni, Yara."
Yara menoleh ke arah mereka berdua.
"Eh, aku pun tak ada. Yusri paksa aku temankan dia pergi mana entah. Dia cakap ini bayaran dia sebab dah berlakon jadi boyfriend aku."
"Oh... So, tinggal aku seorang ajelah kat rumah ni?"
"Apa kata kau ikut aku," cadang Yara yang tidak mahu keluar berdua dengan Yusri.
Kepala Syaz terus digelengkan. Tidak ambil masa untuk berfikir pun.
"Krik krik krik aje kalau aku ikut kau, Yara."
"Eleh, macam kau tak kenal Si Yusri..."
"Kenal tu memang kenal. Tapi Yusri nak keluar dengan kau. Bukan aku."
"Haah. Takkan Si Syaz ni nak kacau daun pula," ucap Kaysa Adara yang baru sahaja menhabiskan rotinya yang kedua.
Yara menjuihkan bibirnya.
"Kau dengan Ed memang serius?" soal Syaz kepada Kaysa Adara.
"Seriuslah kut."
"Malam ni date kau yang ke berapa?"
"Kedua."
"Ada lapan lagi date."
Kaysa Adara mengoyak senyum. Jam dinding dikerling. Oh, lamanya nak pukul lapan malam.
Tepat jam lapan malam, Kaysa Adara bertemu dengan Ed yang sudah menunggunya di luar apartmennya. Walaupun ini date yang kedua, Kaysa Adara tetap berdebar. Malah debaran kali ini lebih hebat daripada date pertama mereka. Mungkin kerana date kali ini lebih nampak macam date. Maklumlah date pertama mereka selepas kenduri abang Kaysa Adara. Tidak terasa sangat.
"Hai," tegur Kaysa Adara yang kelihatan malu-malu.
Ringkas sahaja penampilan Kaysa Adara malam itu. Gadis itu hanya mengenakan blaus berwarna putih dan dipadankan dengan seluar berwarna krim. Selendang pula dia pilih yang bercorak abstrak memandangkan blaus dia tidak bercorak.
"Hai," balas Ed.
"Dah ready nak ride motor dengan I?"
Kaysa Adara menganggukkan kepala.
Tanpa sebarang bicara, Ed mendekati Kaysa Adara lalu memakaikan gadis itu topi keledar yang berada di tangannya.
"I boleh buat sendiri."
"Tak romantiklah kalau you yang buat sendiri," balas Ed bersama senyuman nakal.
Kaysa Adara turut mengukirkan senyuman.
"You yang nak I jadi romantik, kan?"
"Hmmm..."
Kemudian, Ed memakai topi keledarnya pula dan mula naik ke atas motor.
"Hati-hati," pesan Ed waktu Kaysa Adara sedang bersedia naik motornya.
"Nak pinjam bahu."
Ed menganggukkan kepalanya, memberikan kebenaran.
Kaysa Adara terus meletakkan tangannya di bahu Ed dan dengan penuh berhati-hati, dia naik ke atas motor. Duduknya dibetulkan.
"Okey."
"You nak I bawa laju atau slow?" soal Ed.
"Hmmm... I nak you bawa penuh hemah."
"Alright!"
Lelaki itu mula menunggang motornya, membelah jalan raya. Kaysa Adara cuba menstabilkan badannya. Dalam masa yang sama, dia menikmati keseronokan membonceng motor.
Lebih kurang lima belas minit kemudian, Ed memberhentikan motornya di One City Mall. Kaysa Adara dibawa ke Sky Park yang berada di tingkat sepuluh bangunan itu.
Kaysa Adara ingat Ed nak bawa dia makan malam di salah satu restoran yang ada di situ. Namun, sangkaan gadis itu meleset sama sekali apabila Ed mengajak dia duduk di satu kawasan yang menghadap pemandangan kawasan di sekitar USJ pada waktu malam.
Hesy, dia tak nak ajak aku makan ke? Aku dah lapar ni. Tengok pemandangan buat apa? rungut gadis itu dalam hati yang sudah duduk bersila di sebelah Ed.
"Cantik tak view kat sini?"
Kaysa Adara pandang Ed. Bersama senyuman terpaksa, dia menganggukkan kepalanya. Pemandangan kat situ memang cantik tapi dia lapar sekarang ni.
"This is the best view dekat sini. I dah penuhi syarat-syarat you. Tak jauh, tak sunyi dan tak gelap."
Bibir Kaysa Adara dijuihkan ke depan.
"How about romantic dinner?"
Ed mengukirkan senyuman penuh makna. Beg sandangnya dibuka. Dua bekas makanan yang bersaiz kecil, dua bekas minuman dan dua set sudu dan garpu dikeluarkan dan disusun di depan mereka berdua. Di atas lantai memandangkan tiada meja di depan mereka. Kemudian, lelaki itu membuka penutup bekas makanan, memaparkan isi di dalam bekas tersebut.
"This is our romantic dinner."
Kaysa Adara kehilangan bicara buat seketika. Telapak tangan melekap di bibir yang tersenyum nipis.
"You masak sendiri?"
Ed menganggukkan kepala. Mengeyakan.
"I tak pernah masak sebelum ni. This is my first time. Harap sedaplah I punya cubaan pertama untuk masak Grilled Teriyaki Chicken Spaghetti. Tapi air tu I gerenti sedap. I buat sendiri. Cappuccino. You kena rasa kopi I sebab I memang pakar dalam buat air kopi."
Kaysa Adara menyembunyikan senyuman. Ya, dia tahu Ed memang pakar dalam membancuh kopi. Ramai peminat lelaki itu mengemarkan kopi yang dibancuh oleh Ed. Teringin juga Kaysa Adara nak rasa kopi yang Ed bancuh. Tak sangka pula malam ini dia dapat merasai kopi air tangan lelaki itu.
"I'm so surprised. Thank you."
"You suka?"
Kaysa Adara menganggukkan kepalanya.
"Tapi boleh ke kita makan kat sini?"
Ed jongket bahu.
Hah? Kaysa Adara mula cuak. Terus bebola matanya bergerak ke kiri dan ke kanan. Memerhati keadaan sekeliling.
Bibir Ed melepaskan tawa kecil.
"I guraulah. You tak perlu risau. Tak ada siapa yang akan halau kita."
Kaysa Adara mengecilkan matanya. Masih lagi berasa sangsi.
"Betul ni?"
Ed menganggukkan kepalanya.
"Eh, sekejap. I terlupa sesuatu."
Lelaki itu mengeluarkan telefon pintarnya. Seketika kemudian, alunan lagu berentak perlahan mula kedengaran.
Kaysa Adara tidak mampu menyembunyikan perasaan sebenarnya ketika itu. Habis merah muka dia disebabkan perasaan malu bercampur suka dan teruja. Kedua-dua tapak tangan diletakkan di pipi.
"Oh, my God. Serius I tak sangka you buat semua ni. Mula-mula I ingat you nak bawa I makan dekat restoran area ni."
"You frust ke?"
Laju gadis itu menggelengkan kepala.
"I tak frust langsung. I lagi suka apa yang you buat. I suka usaha you. This is a hundred times better daripada you bawa I makan malam dekat restoran. You sendiri yang prepare dinner ni. I terharu."
Wajah Kaysa Adara ketika itu jelas menunjukkan perasaan gembiranya dengan kejutan Ed. Nampaknya tidak sia-sia Ed merancang semua ini untuk Kaysa Adara.
"If you ask me, is this a romantic dinner that I want, I would say yes."
Ed mengukirkan senyuman. Lega kerana berjaya menggembirakan gadis itu.
"Jomlah makan. You mesti dah lapar, kan?
"Kejap. I nak ambil gambar."
Telefon pintar terus dikeluarkan lalu dia menangkap beberapa keping gambar sebagai kenangan date kedua mereka.
"Jom makan!"
Ed memerhati sahaja Kaysa Adara yang sedang menyuap spaghetti ke dalam mulut. Menanti komen daripada gadis itu.
"Macam mana? Okey tak?"
"Errr..."
Muka Kaysa Adara berkerut.
"Hmmm, not that bad. You makanlah."
Ed terus menjamah masakannya. Ya, memang Ed yang masak. Dia tidak tipu Kaysa Adara bila dia cakap dia yang masak. Padahal dia boleh aje suruh pekerjanya di kafe masak dan beritahu Kaysa Adara itu masakannya tetapi entah kenapa Ed tidak mahu membohongi gadis itu. Cukuplah dia mempergunakan Kaysa Adara untuk kepentingan diri dia sendiri. Ed tidak mahu terlalu banyak pembohongan dalam hubungannya bersama Kaysa Adara.
Erk! Tawarnya. Bukan aku dah letak cukup garam ke tadi? Detik hati Ed.
Kaysa Adara tergelak kecil apabila melihat riak wajah Ed.
"Don't worry. Masakan you tak adalah teruk mana. Masih boleh dimakan. I nak rasa Cappuccino you pula."
Cappuccino terus dicapai dan diteguk perlahan.
Oh, nikmatnya.
Mata Kaysa Adara bersinar teruja.
"Yang ni, sumpah sedap! Serius. Walaupun dah suam-suam..."
Ed senyum segaris.
"You tak payahlah makan spaghetti I. Tawar. I rasa kita kena juga makan dekat restoran. You pilihlah you nak makan dekat restoran yang mana satu."
"Eh, tak payah! I nak makan spaghetti you. Spaghetti you tawar aje. Bukannya masin. Masih boleh dimakan. Takkan nak membazir pula. Lagipun you dah susah-susah masak untuk I. Nanti biar I pula yang masak untuk you. On our next date."
"Nak tunjuk kepakaran you ke?" soal Ed bersama kening yang terjongket sedikit.
"Kind of," balas Kaysa Adara bersama sengihan di wajah.
Mereka kembali menjamah makanan yang disediakan oleh Ed. Suasana bertukar sepi. Hanya lagu dari telefon pintar Ed yang kedengaran.
"I dah baca novel you," ucap Kaysa Adara tiba-tiba setelah selesai menjamah Grilled Teriyaki Chicken Spaghetti.
Ed terpempan. Terus dia menoleh ke arah Kaysa Adara yang sedang melemparkan senyuman kepadanya.
"I tahu you bukan pekerja kafe. Tapi you ada kafe you sendiri. I tahu you memang pakar buat air kopi. I tahu you Red, penulis misteri yang tulis novel-novel misteri."
"Elly beritahu you?"
"Not directly. Abang I cakap love rival dia Red, penulis novel kegemaran Kak Elly. Dan I tahu love rival abang I, you. So, I buat kesimpulan... Red adalah you. You adalah Red."
Ed diam sahaja. Tidak memberikan sebarang respons.
"Kenapa you rahsiakan identiti you daripada pembaca-pembaca you?"
"I tak pernah rahsiakan identiti I. Pembaca-pembaca I dah pernah jumpa I."
"Errr... Maksud I, kenapa you tak bagi dia orang ambil gambar you? Kenapa you macam nak rahsiakan diri you."
"Mungkin sebab I tak nak jadi insta famous."
Jawapan Ed yang cukup bersahaja membuatkan Kaysa Adara menghamburkan tawa.
Ed senyum segaris.
"I gurau. Ini identiti I. I memang tak nak dikenali sangat."
"Kenapa you tipu I? Cakap pekerja kafe konon. You tahu tak, kalau you bawa I makan dekat restoran tadi, I memang nak perli you. Banyak betul duit pekerja kafe kan sampai mampu spend almost hundred untuk makan malam dengan I."
"You pandang rendah pada pekerja kafe? You ingat dia orang tak mampu nak belanja you makan dekat sini?"
"Tak. Jangan salah faham. Bukan itu yang I maksudkan. Maksud I... Kalau betullah you pekerja kafe dan you bawa I makan kat restoran dekat sini... I akan rasa bersalah. Kenapa perlu membazir duit bawa I ke sini just for our date? Duit tu you boleh gunakan untuk benda lain yang lebih penting."
"And when I said I want romantic dinner, I tak maksudkan nak makan kat tempat mewah. Kalau you bawa I berkelah dekat mana-mana taman pun, I dah rasa romantik. Kalau you sediakan sandwich pun, I dah rasa romantik. Sebab itu usaha you sendiri. Lebih bermakna daripada you bawa I ke restoran mahal," jelas Kaysa Adara panjang lebar.
Ed mengukirkan senyuman.
"I usik you ajelah. Tak payahlah serius macam ni."
"I nampak serius ke?" soal Kaysa Adara dengan nada terkejut.
Ed angguk bersama tawa kecil. Mentertawakan Kaysa Adara.
"Oh, mungkin sebab I tak nak you fikir yang buruk-buruk pasal I."
"Jangan risau. I tak fikir buruk pun pasal you. You baca novel I yang mana?" tanya Ed ingin tahu.
"Novel you yang terbaru. Buruan Kelas Pertama. Sebab novel tu yang I nampak berlambak kat kedai. I sebenarnya tak minat baca novel tapi bila I baca novel you, I terasa macam nak baca lagi," beritahu Kaysa Adara bersama senyuman nipis.
"Kalau I nak beli novel daripada you, ada diskaun tak? 20% ke..."
Kaysa Adara tayang wajah comel.
"I ingat you nak minta free tadi."
"Kalau you nak bagi free pun apa salahnya."
Ed senyum senget.
"I akan hadiahkan you novel I setiap kali kita date."
Mata Kaysa Adara bersinar teruja.
"Serius?"
Ed angguk.
"I nak you sign juga tau."
"No problem. Besar-besar I sign untuk you."
Kaysa Adara tertawa perlahan.
"Tak sangka I'm dating a famous writer."
"I'm not that famous."
"Eleh..."
"You pun tak kenal I sebelum ni, kan?"
Kaysa Adara terdiam.
"Alah... Tu sebab I memang tak baca novel. Semua penulis I tak kenal."
Gadis itu cuba membela dirinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro