BAB 1
Samsung Galaxy S7 Edge yang terdampar di atas tilam sudah beberapa kali berdering, mengalunkan irama rap yang dinyanyikan oleh G-Dragon untuk lagu yang bertajuk Black. Ed melangkah keluar dari bilik dengan langkah yang santai. Telefon pintar yang masih menjerit-jerit minta dijawab hanya dikerling. Sedikit pun tidak dihiraukan. Dia tahu siapa yang menghubunginya awal pagi itu.
Deringan terhenti saat Ed ralit mengeringkan tubuhnya di ruang tengah bilik. Jam loceng di atas meja sisi katil dikerling. Jam tujuh pagi! Awal sungguh Yusri menelefonnya. Barangkali Yusri berniat untuk mengejutkan Ed. Bimbang jika dia terlajak tidur. Namun... Sejak bila pula Ed sambung tidur lepas subuh? Kalau Yusri, ya. Lelaki itu memang selalu lelapkan mata semula selepas subuh.
Tidak sampai seminit, telefon pintar Ed berbunyi lagi dan semestinya daripada pemanggil yang sama. Hanya Yusri yang akan menghubunginya seawal ini. Lagipun, siapa aje yang akan telefon Ed kalau bukan Yusri? Emak atau ayah Ed? Hmmm, mereka sudah lama tiada. Kawan rapat yang Ed ada hanya Yusri. Lelaki itu juga merupakan pengurus dan rakan niaganya.
Langkah diayun menuju ke katil. Telefon pintar dicapai. Panggilan dijawab. Ikon pembesar suara ditekan dan kemudian telefon pintar diletakkan di atas meja. Dirinya dibawa ke hadapan sebuah cermin besar di sudut bilik. Ingin meneliti wajahnya yang sudah licin. Baru lepas bercukur. Tiada lagi kumis mahupun jambang menghiasi wajah tampan lelaki itu.
Senyuman nipis terukir di bibir saat jeritan suara kawan baiknya menampar gegendang telinganya. Sudah dia jangka! Jeritan dan bebelan Yusri dibiarkan memenuhi ruang bilik.
"Kenapa kau diam? Kau dah bangun ke belum? Kau jangan lupa event kau hari ni. Kau kat mana sekarang? Masih kat rumah ke? Atau dah on the way? Atau tengah bersiap?"
Bertalu-talu soalan yang diajukan oleh Yusri. Ed biarkan aje. Kemeja berwarna hitam yang sudah siap bergosok dicapai dan disarungkan ke tubuhnya.
"Kejap! Kau jangan kata dengan aku yang kau sekarang ni... Masih lagi tidur! Oh, man... Please don't tell me that!"
Sepi.
Ed masih lagi tersenyum seorang diri. Senyum senget. Seolah-olah mengejek kekalutan Yusri.
Bibir masih tertutup rapat. Tidak berniat untuk menuturkan sebarang bicara. Barangkali ingin mendera perasaan Yusri. Ingin menyakat kawan baiknya itu.
Tumpuan dihalakan ke arah cermin. Sibuk merapikan diri. Dia bukanlah seorang lelaki yang pentingkan penampilan. Namun, hari ini dia perlu memastikan penampilannya kelihatan menarik. Wajahnya juga dicukur bersih. Kononnya ingin menampilkan imej bersih dan kemas. Kononnyalah. Tak nak pamer wajah dia sebelum ni, yang penuh dengan jambang dan kumis.
"Ed, boleh tak kau respons? Kau jangan buat aku cuak boleh tak? Event kau pukul 9 pagi tau! Bukan 4 atau 5 petang!"
Yusri sudah hilang sabar dengan Ed. Nada suara sudah naik satu oktaf.
"Itulah kau. Gatal sangat nak buat pagi. Aku dah suggest buat petang macam biasa tapi kau nak juga buat pagi. Aku kenallah kau... Kau tu bukan morning person!"
Ceh! Yusri tu bercakap depan cermin ke?
Sesudah berpuas hati dengan penampilannya pagi itu, Ed mula mencapai telefon pintar. Pembesar suara dimatikan lalu dia melekapkan telefon pintar ke telinganya.
"Aku dah sampai depan kafe," tutur Ed dengan nada yang cukup bersahaja.
"Ha, serious?" soal Yusri dengan nada terkejut.
"Kau kat mana?"
Ed balas dengan soalan.
"Errr... Kat rumah lagi. Baru bangun. Awalnya kau sampai," komen Yusri dengan nada yang semakin perlahan. Barangkali terkesima dengan kata-kata Ed.
"Oh, tahu pula awal... Yang kau beria-ia call aku macam event kita start lagi lima minit dah kenapa?"
Kedengaran tawa kecil di hujung talian.
"Aku risau kau lupa event kita pukul 9 hari ni."
"Kau tak payah risaukan aku. Kau risaukan diri kau aje. Cepat mandi. Aku tunggu kat kafe," arah Ed dengan nada datar.
"Kau memang dah sampai kat kafe ke? Belum pukul 8 pun lagi, Ed. Kenapa awal sangat? Takkan nervous kut," usik Yusri kedengaran nakal.
Siapa yang nervous sekarang ni? Ed atau Yusri? Dari nada suara macam Yusri aje yang nervous.
"Aku kat rumah lagi. Tapi aku dah siap mandi. Dah lengkap berpakaian. Tak macam orang tu... Sibuk call aku tapi diri sendiri tak mandi lagi."
Yusri ketawa mengekek.
"Ala... Aku nervouslah bila kau buat event pagi. Kau kan tahu aku bukan morning person."
"Oh, finally... Mengaku juga."
Ed tersenyum senget sebelum menyambung bicara.
"Aku on the way ke kafe. Jumpa nanti. Bye!"
"Kejap..."
Cepat-cepat Yusri halang Ed daripada mematikan talian telefon.
"Elly..."
Wajah Ed sedikit berubah apabila nama itu menyapa gegendang telinganya. Dia hanya mendiamkan diri, menanti bicara seterusnya daripada Yusri.
"Elly join lagi event kali ni. Aku lupa nak inform."
"Oh... Okay, thanks."
Talian dimatikan. Tidak semena-mena, wajah Elly mula terlayar di ruang minda.
Kawasaki Z800 berwarna merah yang tersadai di hadapan kafe Mr. Red's Territory menarik perhatian seorang gadis yang sedang beratur di luar kafe, menunggu giliran untuk menyerahkan pas masuk ke majlis pelancaran novel terbaru penulis kegemarannya, Red. Gadis itu kelihatan teruja. Laju tangannya mencuit bahu lelaki di sebelahnya.
"Ge (abang)... Red dah ada kat dalam," beritahu Fei Fei kepada abangnya, Ken. Yakin.
"Macam mana you tahu?"
Dengan cukup bersahaja, Fei Fei menjuihkan sedikit bibirnya ke arah motor di hadapan kafe.
"Itu motor dia."
Mata Ken terus dihalakan ke arah yang dimaksudkan oleh adiknya. Mata lelaki itu sedikit membesar. Barangkali kagum dengan motor yang berkilat itu.
"Wow! Nice bike!"
"Cool kan motor dia?" sampuk satu suara dari arah belakang.
Serentak Fei Fei dan Ken menoleh, memandang Dhira dan Zafran yang beratur di belakang mereka.
"Tengok motor aje dah buat I teruja. Belum lagi tengok pemilik motor tu. Hesy, tak sabarnya," ucap Dhira bersama nada terujanya.
Lelaki di sebelah Dhira berdeham.
"Jangan lupa suami kat sebelah sudah," komen lelaki itu. Terselit nada cemburu pada bicaranya.
Dhira melemparkan senyuman. Lengan suaminya dirangkul.
"Mana mungkin Dhira lupakan suami Dhira yang handsome ni walaupun sebenarnya Red lebih handsome daripada abang."
"Oh... Dia lagi handsome daripada abang?" soal Zafran bersama kening yang terangkat.
Senyuman nakal terukir di wajah Dhira. Kepalanya diangguk-anggukkan.
"Lebih handsome daripada I ke?" Ken pula bertanya.
Sebelum menjawab pertanyaan Ken, Dhira memandang Fei Fei seketika dan kemudian mengukirkan senyuman nakal.
"Hmmm, I rasa... Red lebih handsome daripada you. Dia ada aura. Aura yang buat kita rasa tenang aje bila pandang muka dia. Betul tak, Fei?"
Laju Fei Fei menganggukkan kepalanya.
"Kalau I belum ada Rezza, I dah tackle Red ni."
"Abang rasa menyesal pula hadiahkan pas ni pada Dhira," keluh Zafran.
"Kenapa pula?"
"Pertama, Dhira cakap Red lebih handsome daripada abang. Okey, yang ini abang boleh terima. Abang tahu abang ni tak adalah kacak mana. Hmmm... Tapi mama selalu puji abang. Mama selalu cakap abang ni tall, dark and handsome tau."
Zafran tersenyum nipis sebelum menyambung bicaranya.
"Kedua, Dhira kata Red tu ada aura yang buat Dhira rasa tenang. Habis tu, abang ni apa? Abang tak boleh buat Dhira rasa tenang ke?"
Terhambur tawa Dhira. Begitu juga Fei Fei dan Ken. Tutur bicara Zafran mencuit hati mereka.
"Hesy, tengok suami I ni... Merajuk pula. Mungkin dia tak tahu yang dia tu ada pelbagai jenis aura. Salah satunya aura yang boleh buat jantung I berhenti berdegup. Lebih-lebih lagi bila dia senyum pada I," tutur Dhira cukup bersahaja tanpa memandang Zafran.
Zafran sudah tersenyum-senyum. Pipi isterinya terus dicuit lembut. Pandai betul Dhira ambil hati dia semula.
"Puas?" soal Dhira.
"Sangat."
"Masih jealous dengan Red?"
"Tak langsung!"
"Good!"
Ken menjeling ke arah pasangan mesra di belakangnya. Hatinya senang melihat hubungan Dhira dan Zafran.
"Hi... You pernah attend event Red sebelum ni, kan? I rasa I macam pernah nampak you dulu."
Fei Fei menegur seorang gadis yang baru tiba, beratur di belakang Dhira. Bersendirian. Tiada peneman. Sama seperti dulu.
Gadis itu sedikit terkejut apabila ditegur. Wajahnya kelihatan redup seakan-akan bersedih. Tidak teruja seperti Dhira dan Fei Fei. Timbul juga rasa pelik dalam hati Fei Fei. Kenapa gadis itu tidak gembira untuk bertemu dengan Red?
Fei Fei melemparkan senyuman saat gadis itu menganggukkan kepalanya.
"I, Fei Fei. Ini abang I, Ken. Yang ni pula kawan I, Dhira dan Zafran. You?"
Ramah pula Fei Fei hari itu. Entah kenapa ada rasa ingin tahu tentang gadis itu. Mungkin kerana dia mengesyaki gadis itu ada hubungan istimewa dengan Red. Fei Fei masih ingat apa yang dia saksikan dulu.
"Elly."
"Peminat Red? Minat dengan novel-novel dia?" tanya Fei Fei, ingin mengorek rahsia.
Gadis yang memperkenalkan diri sebagai Elly, menganggukkan kepalanya tanpa perlu berfikir lama.
"Oh... Samalah. Kami pun peminat Red. Minat sangat dengan novel-novel dia," beritahu Fei Fei.
"Hmmm, okeylah... Kami masuk dulu. Dah tiba giliran kami. See you later, Elly."
Dhira terus merapatkan dirinya dengan Fei Fei. Ada benda yang ingin digosipkan.
"Fei... Itu girl yang 'so, awaklah Red' tu, kan?" tanya Dhira ingin tahu.
Tinggi betul rasa ingin tahu Dhira ketika itu. Sama seperti Fei Fei.
Fei Fei menganggukkan kepalanya.
"Sebab itulah I tegur dia. You perasan tak muka dia macam tak happy aje?"
"Perasan!"
"I syak dia dengan Red ni mesti ada apa-apa. Entah-entah girlfriend Red... Atau mungkin lebih tepat, ex-girlfriend. Yalah, kalau girlfriend takkan muka dia monyok aje, kan?"
Ken berdeham.
"Busybodynya you ni," kutuk Ken selamba.
Fei Fei hanya tayang sengih.
Majlis pelancaran novel terbaru Ed atau nama penanya, Red berjalan dengan lancar seperti biasa. Belum pernah lagi majlis yang dianjurkannya gagal. Senyuman tidak lekang di wajah Ed. Lelaki itu kelihatan bersahaja dan selesa menjadi perhatian ramai. Tidak gugup. Sudah biasa dengan majlis sebegitu.
Seperti biasa, hanya dua puluh orang peminat sahaja yang dijemput hadir ke majlis yang Red anjurkan. Sengaja Ed hadkan begitu. Ingin mewujudkan suasana selesa ketika bertemu dengan peminat-peminatnya yang berbilang kaum, bangsa, agama dan juga warganegara. Bukan orang Malaysia sahaja yang menghadiri majlis lelaki itu. Ada yang datang dari Singapura, ada yang datang dari Brunei dan ada juga yang datang dari Indonesia.
Terima kasih kepada Yusri yang rajin mempromosikan novel-novelnya sehingga ke pasaran antarabangsa. Malah idea untuk terbitkan novel dalam versi Bahasa Inggeris dan versi eBook juga idea lelaki itu. Mujur usaha Yusri membuahkan hasil yang memberangsangkan. Oh, Yusri itu memang otak business. Pantang nampak peluang.
Novel terbaru Ed sudah pun diedarkan kepada para peminatnya. Merekalah orang yang terawal mendapatkan novel tersebut. Selesai mengupas isi kandungan novel itu secara ringkas dan sesi soal jawab terbuka, Ed mengorak langkah ke kaunter minuman. Ingin membancuh kopi untuk sesi private bersama peminat yang hadir ke majlisnya. Membancuh kopi seraya berbual-bual dengan para peminatnya.
Usai membancuh kopi dengan penuh gaya di kaunter minuman, Ed meminta pekerjanya menghantar kopi yang sudah dibancuh kepada peminat-peminatnya. Lelaki itu mula mengatur langkah ke meja yang pertama, ingin memulakan sesi private bersama peminat selama lima minit.
Selesai meja nombor satu, Ed beralih pula ke meja nombor dua dan begitu juga seterusnya. Setiap meja dihidangkan dengan aroma kopi yang dibancuhnya sendiri. Siap dengan coffee art memandangkan itu kepakarannya.
"Hi, Zafran, Dhira, Ken and Fei Fei... Enjoy your coffee," ucap Ed bersama senyuman di wajah.
Kerusi yang masih kosong ditarik dan dia mula melabuhkan punggungnya di situ.
"Zafran and Dhira from Malaysia. Ken and Fei Fei from Singapore. Am I right?"
Dhira dan Fei Fei mengangguk serentak.
"Well... Ini kali kedua Dhira dan Fei Fei attend event I, kan?"
Sekali lagi Dhira dan Fei Fei menganggukkan kepalanya. Mereka tampak teruja. Teruja bercampur terkejut sebab penulis kegemaran mereka mengingati mereka.
"Wow... Bagusnya ingatan you!" komen Fei Fei.
"Kali ni I bawa abang I, Ken dan Dhira bawa suami dia, Zafran."
Ed hanya senyum. Bukan ingatannya yang bagus tetapi pengurusnya yang cekap. Sebelum dia bertemu dengan peminatnya, Yusri sudah memberi penerangan ringkas tentang peminat yang hadir ke majlisnya.
"Tahniah sebab berjaya dapatkan empat pas masuk. Jarang peminat I hadir by group since kami limitkan dua pass setiap orang yang berjaya buat purchase di laman web kami dalam masa yang terhad," tutur Ed bersahaja bersama senyuman dalam hati.
Dhira tayang sengih. Matanya dilirikkan ke arah suaminya. Disebabkan lelaki itu, mereka berjaya menghadiri majlis Red berempat. Bukan berdua seperti kali pertama dahulu.
Oh, silap. Bukan sebab Zafran... Tetapi Wafi. Wafi yang berusaha keras untuk dapatkan pas masuk untuk mereka.
"Memang susah pun nak dapatkan pass masuk ke event you. I dengan Fei Fei dah lama cuba. Asyik tak berjaya aje," omel Dhira.
Ed ukir senyum. Senyuman penuh makna. Ada kisah di sebalik pas masuk mereka berempat. Pas masuk yang telah dijadikan galang ganti untuk sebuah maklumat. Maklumat yang cukup berharga dan hal ini tidak diketahui oleh Yusri. Ini hal peribadinya. Yusri tidak perlu tahu. Biarlah menjadi rahsia antara dia dan si pemberi maklumat.
"Tak kesah ke private session ni kita buat secara berempat? Since you semua duduk satu meja, kan... Biasanya private session ni I buat secara berdua."
"Tak! Kami tak kesah. Tapi... You kena spend masa selama 10 minit dengan kami. Double! Baru fair, kan?" Fei Fei bersuara, membuat permintaan.
"Yeah, of course! So, ada apa-apa soalan nak tanya I? Mungkin tadi tak sempat nak tanya..."
"Ada... I memang nak tanya secara private," ucap Dhira penuh makna seraya menjeling Fei Fei.
"I pun," ujar Fei Fei.
Ken dan Zafran hanya menjadi pemerhati. Dibiarkan sahaja Dhira dan Fei Fei memonopoli sesi bersama Red secara private.
"Okey... Silakan."
Fei Fei dan Dhira saling berpandangan sebelum mengukirkan senyuman. Kemudian, Dhira melontarkan soalannya dan diikuti oleh Fei Fei. Soalan yang buat Ed tergamam seketika.
"You ada girlfriend?"
"Apa hubungan you dengan Elly, perempuan yang duduk kat meja hujung sana?"
Ed berdeham. Riak wajahnya cuba dikawal. Cuba mempamerkan riak tenang. Dia menarik senyum.
"Sorry... No personal questions."
"Oh... Too bad!" keluh Fei Fei bersama juih di bibir. Hampa.
"Why Red? Why not Black?"
Ken melontarkan soalan. Sekadar ingin tahu memandangkan kafe Red berkongsepkan warna merah dan hitam. Timbul pula rasa ingin tahu kenapa Red pilih nama pena Red, bukannya Black.
Ed tidak segera memberikan jawapan. Dia tergelak kecil.
"Sebenarnya I ada special answer kalau perempuan yang tanya soalan tu kat I... Tapi since you lelaki, I straight forward ajelah..."
"What is the special answer?"
Segera Fei Fei menyampuk. Wajahnya didekatkan ke arah Red, kelihatan teruja untuk tahu.
"Let me ask you then. Why Red? Why not Black?"
Laju sahaja Fei Fei mengulang pertanyaan abangnya. Ingin tahu apa jawapan istimewa lelaki itu.
Terukir senyuman manis di wajah Ed. Pandangan matanya dihalakan ke arah Fei Fei. Senyumannya semakin lebar. Kelihatan menggoda. Wajahnya didekatkan sedikit dengan gadis itu.
"Because your lips are red."
Fei Fei melepaskan tawa kecil. Okey, dia mengaku hatinya berdebar saat mendengar bicara Ed itu. Terus dia menekup bibirnya. Malu.
Dhira dan Zafran sudah ketawa mengekek.
"She's taken," beritahu Ken.
"Oh, congratulations! I tak ada niat nak flirt dengan adik you. Just want to lighten up the mood," jelas Ed. Takut usikannya disalah erti.
"Actually, ada tiga sebab kenapa nama pena I Red. Pertama sebab nama sebenar I Redza. Kedua sebab I memang suka warna merah. Dan yang ketiga... I tak boleh beritahu."
"I see... Perahsia juga you ni," komen Ken cukup bersahaja.
Ed hanya menarik senyuman segaris.
"Oh... Redza is your real name. Red, Redza. I tak terfikir pula. I ingat sebab you suka warna merah since motor you pun warna merah. Dan konsep kafe ni pun merah hitam," ulas Dhira.
Fei Fei membersihkan tekaknya.
"Since you tak suka kami sentuh hal peribadi you, let's talk about your novel."
Ed menganggukkan kepalanya, bersetuju. Pandangan matanya dihalakan ke arah Fei Fei. Setiap butir bicara Fei Fei tentang misteri dalam novel kesembilannya didengari dengan penuh teliti.
Masa terus berlalu dan Ed mula bergerak ke meja yang seterusnya. Sedikit pun dia tidak rasa letih melayan kerenah peminatnya yang pelbagai. Ada yang ingin bergambar, ada yang suka bertanyakan soalan yang bersifat peribadi walaupun awal-awal lagi mereka sudah tegaskan, no photo, no personal questions. Namun, tidak pula Ed memarahi peminat-peminatnya. Setiap kerenah dilayan dengan penuh sabar dan senyuman manis. Senyuman yang amat sukar diukirkan jika Ed berada di luar majlisnya.
Mata Ed bertemu dengan sepasang mata milik Elly sewaktu dia melangkah ke meja gadis itu. Sebuah senyuman dilemparkan. Senyuman yang sama dilemparkan kepada peminat-peminatnya yang lain. Layanan dia terhadap gadis itu sama sahaja seperti orang lain. Tiada apa yang istimewa meskipun mereka saling mengenali.
"Hi, Elly... How are you?" soal Ed sebaik sahaja melabuhkan duduknya di hadapan gadis itu. Nada suaranya kedengaran ramah. Tidak datar. Tidak dingin.
"I'm fine," balas Elly tanpa senyuman. Matanya dihalakan ke laman wajah Ed yang kelihatan bersahaja.
Sepi. Hanya pandangan mata yang berbicara. Ed mula berasa kekok. Dia berdeham, membersihkan tekaknya.
"Your five minutes start now."
"Hmmm... Any questions?" Ed mengajukan soalan apabila Elly masih membisu.
Diam.
Lama.
Mata saling bertentangan tanpa sebarang bicara.
Bibir masing-masing terkunci.
Saat sesi Elly hanya tinggal dua minit, barulah gadis itu membuka mulutnya, melontarkan satu soalan yang ringkas. Ringkas tetapi mendalam.
"Jawapan awak masih sama macam dulu ke?"
Ed terdiam seketika. Ada sedikit perubahan pada riak wajahnya. Lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya.
Anggukan kepala Ed membuatkan Elly menundukkan pandangannya. Terpancar kekecewaan pada raut wajah itu. Beg tangan dibuka, sekeping kad dikeluarkan lalu dihulurkan kepada lelaki di hadapannya.
"I'm getting married... In next two weeks," ucap gadis itu perlahan bersama senyuman nipis di wajah.
"Tahniah."
"Pilihan mama," beritahu Elly tanpa ditanya.
"I doakan you bahagia dengan dia."
Ed mengangkat lengan kanannya, ingin melihat jam di pergelangan tangan.
"Time's up. Nice chatting with you."
"Saya ada soalan terakhir."
Mata Ed dihalakan ke arah Elly. Memberi keizinan kepada gadis itu untuk mengajukan soalan yang terakhir.
"Can we get back together?" soal Elly dengan wajah yang mengharap.
"Macam dulu..." tambah gadis itu.
Suasana menjadi hening tiba-tiba.
"Yeah, sure..." balas Ed bersama senyuman.
Yusri dan dua orang pekerja kafe mengayunkan langkah ke sudut santai kafe bersama beberapa buah novel terbaru Ed di tangan mereka. Novel-novel tersebut diletakkan di atas meja, disusun elok di hadapan Ed yang sedang termenung jauh.
"Sebelum kau pergi bercuti, sila sign semua novel-novel ni," beritahu Yusri.
Ed menoleh ke arah Yusri dan Yusri kembali menyambung bicara.
"Sign untuk ibu dengan adik aku juga. Macam biasa. Yang lain-lain, kau sign aje. Itu untuk orang yang beli online dari kita."
"Ini aje?"
"Untuk 50 pembeli terawal aje dapat sign daripada kau," jelas Yusri.
"Pengsan pula kawan aku nanti kalau aku suruh sign semua," seloroh lelaki itu, menambah bicara.
Ed tergelak kecil.
"Kalau semua novel nak ada sign aku, lebih baik kau print aje sign aku tu. Tak payah susah-susah aku nak sign satu per satu," balas Ed.
Pen hitam dicapai dan lelaki itu mula menurunkan tandatangan pada novelnya. Dua orang pekerja yang membantu Yusri membawa novel-novel lelaki itu sudah menghilangkan diri. Tinggallah Yusri dan Ed sahaja di sudut santai itu.
Yusri menghempaskan punggung di sebelah Ed. Mata dilirikkan ke arah Ed yang seakan-akan fokus itu.
"Tak syoklah kalau printed signature..."
"Just kidding, man. Tak payahlah serius sangat."
"Muka aku ni macam serius ke sekarang ni?" tanya Yusri dengan nada naif.
Ed pandang Yusri. Tawa terlepas dari bibir. Kepala diangguk-anggukkan.
"Agaklah..."
Yusri cebik bibir.
"Eh, by the way, Elly dah nak kahwin, kan?"
Tanpa memandang Yusri, Ed menganggukkan kepalanya. Lelaki itu masih lagi menurunkan tandatangannya.
"Kau okey ke?"
"Kenapa pula aku tak okey?"
"Kau tak menyesal?"
"Kenapa aku kena menyesal?"
Soalan berbalas soalan. Nada suara Ed cukup bersahaja.
Yusri betulkan duduk. Pandangan mata dihalakan ke arah Ed.
"So, kau betul-betul tak ada perasaan pada dia? Like seriously tak ada? Sikit pun tak ada?" tanya Yusri bersungguh-sungguh.
Ed senyum senget.
"Aku dengan dia kawan ajelah..."
"Serius?"
Ed angguk. Yakin.
"Aku ingat kau ada hati dengan dia. Dialah satu-satunya perempuan yang paling rapat dengan kau, Ed. Sepanjang aku kenal kau, kau mana ada kawan perempuan."
"Habis tu, adik kau tu apa? Dia bukan perempuan?"
Sarkastik.
Yusri mengherotkan bibirnya.
"Bella tu lain. Aku tahu kau dah anggap dia macam adik kau. Tak sama macam Elly."
Ed memilih untuk tidak memberikan respons.
"Dia cantik. Baik. Calon yang sesuai dengan kau. Kenapa kau tak jatuh cinta pada dia? Pelik pula aku," tutur Yusri. Masih tidak berpuas hati.
"Tak ada istilah cinta dalam kamus hidup aku, Yus."
Selagi aku tak capai apa yang aku nak, sambung Ed dalam hati.
Yusri tergelak.
"Ceh! Tak payah nak poyo sangat boleh tak? Takkanlah tak ada rasa cinta pada Tuhan yang satu dalam diri kau? Cinta pada Rasulullah?"
"Kau yang poyo. Over sangat dah kenapa? Mendalam betul. Maksud aku... Cinta antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Ha, tiba-tiba aku bagi jawapan skema."
Yusri mencebik.
"Sebenarnya kau belum jumpa perempuan yang boleh buat kau jatuh cinta. Kau belum jumpa jodoh kau. Bila kau dah jumpa, aku yakin kau akan tambah istilah cinta dalam hidup kau."
"Maybe," balas Ed bersama senyuman nipis.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro