BAB 6
HANNA mengambil kasutnya dan berjalan dengan berjingkit-jingkit. Sempat lagi dia melihat jam tangannya. Jarum jam sudah menunjukkan pukul sembilan malam. Baru tadi dia mendapat mesej dari Amar yang mengajaknya untuk pergi bersiar-siar.
Hanna terus berjingkit-jingkit sehingga sampai di hadapan pintu dapur. Dia mahu cepat-cepat keluar. Amar sudah menunggunya. Belum sempat dia memegang tombol pintu, tiba-tiba ada suara budak kecil yang sedang menegurnya.
"Kakak nak pergi mana tu?" tanya Imran.
Hanna terus mendengus. Kacau sahaja budak kecil ini. Imran merupakan adik tiri kepada Hanna. Sebenarnya ayah dan ibu kandung Hanna sudah lama bercerai. Jadi, Hanna dijaga oleh ayahnya. Ketika Hanna berumur 12 tahun, ayahnya berkahwin pula dengan pembantu rumahnya sendiri dan menyebabkan perkahwinan itu amatlah dibenci oleh Hanna.
Sebab itulah sampai sekarang, Hanna tidak dapat menerima ibu tiri dan adik tirinya. Dia merasakan seolah-oleh perhatian ayahnya dirampas oleh mereka. Dia tidak boleh menerima semua ini.
Hanna menoleh melihat Imran yang tunak menandang ke arahnya. Budak kecil ini memang cari nahas sahaja.
"Kau jangan nak sibuklah!" marah Hanna lalu tanpa membuang masa dia terus membuka pintu dapur. Dia tidak mahu membuat kecoh. Nanti ayahnya pula yang tahu.
"Kau jangan nak bagitahu siapa-siapa. Kalau kau bagitahu, siap kau aku kerjakan." Sempat lagi Hanna memberikan amaran keras dan membuatkan Imran seperti mahu menangis. Seusai itu, Hanna pun menutup pintu dapur dengan perlahan-lahan.
"Sayang!" panggil seseorang. Imran tersentak. Kelihatan Puan Liyana iaitu ibu tiri Hanna menuju ke arahnya.
"Kenapa Im duduk kat dapur ni? Bukan tadi cakap nak tidur ke?" tanya Puan Liyana sambil mengusap rambut anaknya perlahan-lahan.
"Mama… tadi Im nampak Kak Hanna keluar. Dia marah Im tadi. Dia tak nak Im bagitahu siapa-siapa." Imran terus sahaja mengadu kepada Puan Liyana sambil memeluk mamanya.
Puan Liyana hanya mengeluh perlahan. Kalau nak tegur pun, mesti dia akan dimarahi oleh Hanna. Dia pun tidak tahu lagi bagaimana caranya untuk mengambil hati anak tirinya. Semuanya serba tidak kena. Dia sudah anggap Hanna itu sebagai anaknya sendiri.
"Im… mama nak minta tolong?"
Imran terus mendongak dan memandang Puan Liyana seraya berkata, "Tolong apa, mama?"
"Tolong jangan bagitahu papa pasal Kak Hanna. Boleh?" Imran hanya menganggukkan sahaja.
______________________________________
SITI Safea membaca buku 'Panduan Pengucapan Awam' tersebut. Ada beberapa catatan yang telah dibuat supaya dia lebih faham isi buku tersebut. Sudahlah petang nanti, dia ada perjumpaan Kelab pidato.
Rina ada memberitahu di Whatsapp Group bahawa setiap ahli baru mestilah bercakap satu topik di hadapan orang ramai. Masa yang diberi hanyalah tiga minit sahaja. Memang tidak dinafikan hatinya berasa gusar. Takut kalau dia tidak dapat melakukan yang terbaik.
"Pia."
Siti Safea tersentak kerana tiba-tiba sahaja ada orang memegang bahunya. Dia menoleh. Rupa-rupanya Aqilah yang sedang tersenyum ke arahnya.
"Eh! Kau ni… terkejut aku." Siti Safea mengurutkan dadanya. Suka sangat muncul secara tiba-tiba.
"Tak payah nak terkejut sangatlah. Cikgu Liza nak jumpa kau sekarang kat bilik guru."
Siti Safea mengerutkan dahinya. Cikgu Liza merupakan guru matapelajaran matematik di kelasnya. Tak pernah-pernah pula dia dipanggil ke bilik guru. Rasa berdebar pula padahal dia tidak ada buat apa-apa salah pun.
"Kau kenapa tu? Cepatlah. Cikgu tengah tunggu kau. Sempat lagi kau termenung." Aqilah sudah mula membebel.
Siti Safea hanya tersengih sahaja lalu dia pun menutup buku lalu melangkah keluar dari kelas. Semasa dalam perjalanan ke bilik guru, dia terserempak pula dengan Haziq Arfan berjalan bersama dengan Rasydan, Hilman dan Haikal.
Siti Safea sempat lagi menguntumkan senyuman manis kepada Haziq. Malangnya Haziq hanya memberikan jelingan tajam. Siti Safea tersentak lalu dia menundukkan wajahnya. Tiba-tiba, hatinya rasa amat sakit. Dia pun tidak tahu kenapa Haziq sangat membencinya.
"Safea," panggil Haikal. Siti Safea hanya diam sahaja. Haikal hanya tersenyum sinis. Haziq dan Hilman hanya diam sahaja memerhati manakala Rashdan pula sudah jauh berjalan ke hadapan.
"Muka kau tu kalau boleh sagat dekat jalan tar tau. Aku dengar tips tu boleh hilangkan benda-benda menggerutu kat muka kau tu. Hahaha."
Seusai berkata begitu, Haikal dan Hilman sudah ketawa terbahak-bahak. Manakala Haziq pula hanya diam sahaja. Malas mahu masuk campur. Budak itu tak ada kena mengena dengan dirinya. Dia hanya tersenyum sahaja kerana baginya gurauan Haikal itu tersangatlah kelakar.
Ada juga beberapa pelajar yang lain ketawa disebabkan suara Haikal yang terlampau kuat itu. Ada juga yang memandang Haikal dengan pandangan jelek kerana kata Haikal itu sangatlah kurang ajar.
Siti Safea hanya tersenyum manis. Tak mengapalah. Dia terima sahaja orang lain mengejek mukanya yang banyak ditumbuhi jerawat. Mulut orang memang tidak boleh dikawal. Tabah sahajalah.
Siti Safea malas mahu berdiri di situ. Lagi lama dia di situ, lagilah dia rasa sakit hati. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk berlalu dari situ. Lebih baik dia pergi menyelesaikan halnya. Siti Safea menoleh ke belakang semula. Kelihatan Haziq dan dua kawannya tadi sudah jauh.
Dia hanya tersenyum nipis. Sedih juga bila crush sendiri tidak membelanya tadi. Apa boleh buat… hati Haziq sudah dimiliki oleh orang lain. Kenapa hati ini degil sangat? Siti Safea pasrah sahaja.
______________________________________
SITI Safea menolak pintu kaca bilik guru tersebut. Tiba-tiba sahaja dia berasa gementar. Lalu kakinya melangkah mencari meja Cikgu Liza yang terletak di hujung. Kelihatan Cikgu Liza sedang sibuk menyemak buku latihan.
"Cikgu."
Cikgu Liza mendongak kepalanya lalu dia tersenyum. Banyak benda dia mahu berbincang dengan muridnya tentang markah dan prestasi Siti Safea dalam matapelajaran Matematik.
"Sampai pun kamu. Lama jugak cikgu tunggu," kata Cikgu Liza sambil mencari sesuatu di rak mininya.
Siti Safea hanya tersenyum sahaja. Dia lambat tadi bukannya ada masalah pun. Sibuk sangat mahu mengusyar Haziq Arfan itu. Rasa bersalah pula.
"Saya minta maaf, cikgu."
"Tak apa. Saya ada banyak perkara nak bincang dengan kamu pasal peperiksaan akhir tahun yang lepas. Saya tengok awak mendapat keputusan yang cemerlang dalam semua subjek kecuali Matematik. Saya risau sangat sekarang ni."
Siti Safea hanya mengangguk faham. Entahlah… kenapa dia tidak dapat menguasai subjek Matematik. Keputusam peperiksaannya akhir tahun lepas, semua subjek mendapat gred A kecuali subjek Matematik yang mencacatkan keputusannya, iaitu gred D.
Bukan dia tidak membuat latihan, tetapi dia rasakan otaknya sangat lembab untuk berfikir lagi-lagi berkaitan dengan kira-kira.
"Saya pun tak tahulah, cikgu. Saya dah banyak buat latihan. Saya ada minta kawan untuk tolong ajarkan, tetapi masih lagi saya tak faham," luah Siti Safea dengan suara perlahan.
"Saya percaya kamu buat ulangkaji. Jadi, saya dah fikirkan satu cara untuk menolong awak dalam subjek saya. Saya kena minta tolong pelajar cemerlang SPM saya untuk mengajar awak nanti. Saya tak nak awak dapat markah 'cukup-cukup makan' je. Saya nak awak dapat markah yang cemerlang dalam Matematik jugak."
Siti Safea hanya tersenyum nipis. Boleh ke dia buat yang terbaik dalam subjek Matematik. Sudahlah tahun ini dia akan menjawab peperiksaan PT3 pada tahun ini. Rasa tidak yakin pula.
"Jadi… saya akan diajar oleh senior nanti ke, cikgu?" tanya Siti Safea untuk meminta kepastian. Cikgu Liza hanya menganggukkan kepalanya.
"Saya akan minta tolong Haziq untuk ajarkan awak."
Siti Safea tersentak. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan Haziq Arfan. Tapi takkanlah Haziq crushnya itu. Ramai lagi pelajar lain yang bernama 'Haziq' di sekolah ini. Cuma berbeza nama ayah sahaja.
"Nama penuh dia apa, cikgu?"
Cikgu Liza hanya tersenyum seraya berkata, "Haziq Arfan bin Hashim Amin."
Siti Safea sudah terngadah mendengar sebaris nama itu. Oh tidak… patutkah dia berasa gembira atau takut sekarang ini? Sudahlah Haziq sekarang ini sangat membencikan dirinya. Ujian apa lagi ini?
ShaDhia
Bersambung…
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro