BAB 41
SITI SAFEA melihat jam tangannya. Jarum jam sudah menunjukkan pukul lima petang. Sekarang ini, para pendebat dan beberapa orang pengiring sedang menunggu di luar bilik sidang untuk memberikan ruang kepada para juri untuk mengira markah dan margin setiap pendebatan.
Sedar atau tidak, kumpulan Siti Safea sudah berada di peringkat separuh akhir. Sekarang ini hanya menunggu keputusan siapakah yang akan mara ke pusingan akhir untuk debat Bahasa Melayu ala parlimen kategori menengah rendah. Walaupun begitu, Siti Safea sangat gembira dan berpuas hati kerana sekurang-kurangnya kumpulannya tidaklah kecundang pada pusingan pertama.
"Saf, kau memang hebat tadi," puji Nazirul yang kebetulan berdiri di sebelah Siti Safea. Ravi pula hanya mengangguk setuju sahaja. Semua hujah dan bidasan yang diberikan oleh Siti Safea sangat padu sampaikan pihak lawan tergagap-gagap untuk membalas hujah Siti Safea. Lagipun posisi Siti Safea merupakan pembangkang kedua. Tugas pembangkang kedua adalah membidas hujah perdana menteri di pihak kerajaan dan memberikan hujah tentang untuk menentang usul yang diberikam iaitu 'Krisis Alam Sekitar Lebih Kritikal Berbanding Krisis Kemanusiaan'.
Siti Safea hanya tersenyum sahaja. Sempat lagi dia mengucapkan terima kasih. Dia sebenarnya agak malu apabila dipuji sebegitu tetapi pada masa yang sama terselit juga rasa bangga.
"Kau rasa kan grup senior-senior kita masuk tak final nanti?" tanya Ravi. Sempat lagi dia melihat sekeliling. Kesemua pendebat dan beberapa guru pengiring bersembang sesama mereka. Siti Safea hanya diam sahaja.
"Mestilah masuk final. Diorang kan dah pro. Kita ni je belum tentu menang ke tak," balas Nazirul. Ravi mengiyakan sahaja. Dalam diam Siti Safea hanya setuju sahaja. Lagi-lagi kumpulan Azrin dan Rina. Mesti mereka masuk peringkat akhir.
Sementara di bilik persidangan, para juri menulis markah di borang permarkahan. Berkerut-kerut dahi mereka untuk menentukan markah yang terbaik. Kedua-dua pasukan menunjukkan pretasi yang bagus. Ketua hakim melihat semula borang permarkahannya sambil memegang dagu. Setiap permarkahan dan ucapan subsentif akan diberikan mengikut nisbah yang telah ditetapkan. Isi dan gaya penyampaian pula merupakan 40 markah. Manakala tatacara pula 20 markah.
"Susah ni nak tentukan. Masing-masing hebat. Lagi-lagi SMK Seri Bergawan. Pembangkang kedua sekolah tu memang baguslah," ujar juri pertama. Yang lain hanya mengangguk setuju sahaja.
CIKGU AKMAR hanya mengeluh perlahan. Sungguh dia tidak percaya dengan keputusan separuh akhir debat Bahasa Inggeris kategori menengah atas. Kumpulan Rina kecundang di pusingan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Meranti. Harapan kepada kumpulan punah begitu sahaja. Dia sangkakan kumpulan Rina akan masuk ke pusingan akhir, memandangkan Rina adalah salah satu pendebat terbaik di SMK Seri Bergawan. Tetapi, sangkaannya meleset sama sekali.
Rina pula hanya senyap sahaja. Dia mahu sahaja menangis sekarang ini. Dia terlalu kecewa. Dia seakan-akan tidak boleh menerima kekalahan ini. Seakan-akan maruahnya tercalar. Sekarang ini, hanya dua kumpulan sahaja yang belum tahu keputusan. Iaitu kumpulan Azrin dan Sti Safea.
"Kami minta maaf, cikgu. Kami dah buat yang terbaik. Mungkin bukan rezeki kami untuk sampai ke final," kata Najah iaitu salah satu pendebat di dalam kumpulan Rina. Cikgu Akmar hanya tersenyum sahaja. Rina sudah mengetap bibirnya. Mungkin keputusan itu ada kesilapan.
"Cikgu, saya rasa keputusan tu silap. Saya dah bagi hujah yang bagus. Maybe… juri-juri je tak tahu nak menilai," ujar Rina bangga diri. Baginya, hujah-hujah yang dilontarkan olehnya itu merupakan hujah yang terbaik. Juri-juri sahaja yang mungkin berat sebelah. Najah dan seorang pendebat yang lain sudah terkedu. Baginya kata-kata Rina itu sangatlah kurang ajar. Cikgu Akmar pula mengetap bibir menahan geram.
"Sekarang saya dah tahu kenapa kumpulan kamu kalah. Saya tak sangka kamu ni sombong, Rina. You're so overconfident. Kita bertanding bukan semata-mata tunjuk kita hebat. Kita bertanding sebab nak buktikan yang diri kita ni, ada bakat yang terpendam. Sekali kamu dah kalah, kamu kena terima dan perbaiki diri kamu. Bukan salahkan orang lain. Kamu naib pengerusi kelab debat, Rina. Memang macam ni ke perangai kamu uruskan kelab tu selama ni? Dan kamu nak tahu apa cikgu rasa tadi masa kamu berdebat kat bilik sidang tadi? Sangat-sangat merepek," bebel Cikgu Akmar dengan panjang lebar.
Rina sudah terkedu. Dia tidak tahu mahu menjawab apa. Kepalanya ditundukkan sahaja kerana malu. Cikgu Akmar menggeleng perlahan seraya berkata, "Saya benar-benar kecewa dengan kamu, Rina. Mungkin ada hikmahnya kumpulan kamu kalah hari ni. Mungkin sebab nak sedarkan kamu juga ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki."
Kebetulan kumpulan Azrin baru sahaja selesai dengan debat mereka. Mereka terkocoh-kocoh menuju ke Cikgu Akmar. Senyuman manis terbit di bibirnya kerana kumpulannya mara ke peringkat akhir. Bilik persidangan kumpulan Azrin dan kumpulan Rina dekat sahaja.
"Cikgu!" panggil Azrin. Cikgu Akmar berpaling. Rina pula tersentak. Tangannya digenggam erat. Apa akan jadi kalau Azrin tahu tentang kekalahan ini? Dia mahu sahaja berlalu dari situ.
"Macam mana debat?" tanya Cikgu Akmar terus.
"Kumpulan kami masuk ke pusingan akhir. Saya pun dapat tahu dari Ustazah Rasmah tadi, debat Bahasa Arab peringkat menengah atas pun masuk final juga," ujar Azrin teruja. Terus sahaja riak wajah Cikgu Akmar yang kelam tadi berubah menjadi ceria.
"Wah! Tahniah!" ucap Najah. Dia tidak kisah dengan kekalahan kumpulannya asalkan ada kumpulan lain dari SMK Seri Bergawan yang masuk ke peringkat akhir.
"Kau orang pulak masuk final ke?" tanya Azrin pula. Najah hanya menggeleng sahaja. Rina memandang wajah Azrin. Kelihatan riak muka lelaki itu jelas terkejut. Dia rasakan maruahnya sekarang ini sudah tiada. Rasa seperti seorang yang tak ada hala tuju.
"Pelik juga. Tapi… tak apalah. Nak buat macam mana. Mungkin tak ada rezeki. Janji kau orang dah buat yang terbaik," ujar Azrin. Cikgu Akmar hanya mengangguk setuju. Rina pula hanya mengeluh perlahan.
"Kumpulan Siti Safea je lagi yang kita tak tahu dia orang masuk final atau tak? Cikgu nak pergi bilik sidang dia. Siapa nak ikut cikgu, jom! Siapa yang tak nak, boleh tunggu cikgu kat bilik tayangan."
"Saya nak ikut," kata Azrin. Yang lain pula hanya mengangguk sahaja. Rina pula terus sahaja menjulingkan matanya ke atas. Mesti kumpulan Siti Safea akan kalah. Dia amat yakin tentang itu. Rina terus sahaja melangkah mengikuti pelajar-pelajar yang lain. Dia amat pasti sangkaannya tidak meleset sama sekali.
HAZIQ semakin berdebar. Hari ini merupakan perlawanan yang terakhir untuk olahraganya. Kalau boleh pada tahun terakhir untuk persekolahan, dia mahu membawa pulang satu lagi piala. Semua orang memasang harapan yang tinggi kepadanya. Dia tidak mahu membuatkan pihak sekolah kecewa dengan dirinya.
Ramai pelajar dari pelbagai sekolah sudah memenuhi padamg tersebut. Ada juga penjual-penjual yang sedang mengambil kesempatan untuk menjual pelbagai air serta kudap-kudapan. Ada juga beberapa pelajar yang sedang berswafoto. Ada juga yang sedang termenung sendiri. Haziq hanya mengeluh perlahan. Dia perlu fokus! Itu sahaja rahsianya.
Pada masa yang sama, Hilman memandang Haziq dari jauh sahaja sambil tersenyum sinis. Dia berharap segala rancangan liciknya akan berjaya. Tidak sabar dia mahu melihat kejadian itu. Haziq sedang menyarung kasut spikenya. Hilman semakin teruja. Mesti kakinya sudah sakit kerana terpijak paku-paku itu.
Tetapi senyuman Hilman tiba-tiba sahaja mati. Nampaknya, Haziq selesa sahaja memakai kasut tersebut. Tak ada pula mukanya beriak sakit atau menjerit. Takkanlah kaki Haziq boleh menahan paku-paku tajam tersebut. Dahi Hilman semakin berkerut apabila Haziq selamba sahaja melakukan aktiviti memanaskan badan dan berlari setempat dengan atlet-atlet yang lain. Seperti ada sesuatu yang tidak kena sahaja.
"Kenapa pandang Haziq macam tu? Terkejut sebab rancangan kotor kau tak berjaya?" tanya seseorang dengan nada yang sinis. Hilman tersentak. Terus sahaja dia berpaling ke belakang. Kelihatan Haikal sedang memeluk lengannya. Bibirnya sudah tersenyum sinis. Hilman cuba beriak selamba. Walhal hatinya begitu risau. Ayat Haikal itu seolah-olah menunjukkan dia tahu rancangan jahat itu.
"Bila masa pulak aku pandang budak bodoh tu? Aku tengah usyar awek la. Kau boleh tak blah?" Sempat lagi Hilman mahu menolak Haikal. Nasib baik sahaja Haikal sempat mengelak.
"Kau tak payah nak cakap apa-apa lagi la! Kau ni memang hati busuk, kan? Haziq tu member kita. Kau sanggup 'tikam member' macam tu je? Kau dah kenapa ni, bodoh? Kau ingat aku tak tahu ke yang kau letak paku kat dalam kasut spike Haziq?" tengking Haikal. Dia tidak mampu lagi untuk menahan sabar. Perangai Hilman semakin melampau.
Hilman pula terkedu. Macam mana pula Haikal tahu tentang rancangan jahatnya itu padahal dia sahaja yang berada di dalam bilik semalam. Dia terus menggarukan keningnya yang tidak gatal seraya bertanya, "A… apa benda kau merepek ni, setan?"
"Kau tak payah la buat-buat tak tahu. Aku ada bukti la. Semalam aku tertinggal dompet aku kat bilik. Bila aku nak ambil dompet aku, kau letak paku-paku kat kasut Haziq. Kau tak payah nak menipu lagi. Aku dah rekod semuanya. Kau memang sial!" ejek Haikal lagi. Hilman mengetap bibirnya. Tanganya dikepal. Kemarahannya meluap-luap.
"Haziq tahu pasal ni. Tapi dia tak nak serang kau lagi. Sebab dia ada lagi benda penting nak buat dari nak hadap perangai bodoh kau. Kau tengok la apa nasib kau esok bila Cikgu Afzal dapat tahu." Seusai berkata begitu, Haikal terus sahaja berlalu dari situ sambil menyanyi kecil. Hilman meramas kepalanya. Kakinya menyepak dinding untuk melepaskan geram. Rancangannya sudah gagal dan kalau video itu sampai di tangan Cikgu Afzal, mungkin riwayat Hilman akan 'tamat'.
SITI Safea menggosok tangannya untuk mengurangkan rasa debar. Sekarang ini, dia dan ahli kumpulan debatnya sedang menunggu keputusan di bilik sidang. Lagi Siti Safea semakin berdebar apabila Cikgu Akmar, Rina, Azrin dan beberapa pendebat dari SMK Seri Bergawan turut ada di bilik sidang tersebut.
"Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Saya nak minta maaf dari pihak juri sebab mengambil masa yang begitu lama sikit mengira markah untuk pusingan ni. Sejujurnya, kami pun agak sukar untuk menilai, sebab kedua-kedua pasukan sangat hebat. Jadi, berikan tepukan gemuruh kepada kedua-dua pasukan dari pihak kerajaan atau pembangkang," jeda ketua hakim itu.
Semua orang yang berada di bilik persidangan tersebut menepuk tangan kecuali Siti Safea. Dia memegang dadanya. Jantung berdegup laju. Tiba-tiba matanya tertancap ke arah Azrin yang sedang tersenyum ke arahnya. Terus sahaja Siti Safea mengalihkan pandangan.
"Walaubagaimanapun, ada beberapa teguran untuk kedua-dua pasukan. Kami hanya tegur secara umum. Saya harap untuk liga debat yang akan datang, peserta semua tolong peka dengan masa hujah dan masa gulungan. Sebab ada beberapa pendebat yang mengambil masa lebih tujuh minit untuk mengemukakan hujah. Sampaikan speaker tekan loceng lebih tiga kali. Jadi, peka. Kedua, ada juga yang bagi huraian hujahan yang tidak kena dengan isi hujahan," kata ketua hakim sambil memegang sehelai kertas warna putih.
"Apa-apa pun… tahniah sekali lagi kepada kedua-dua pasukan sebab dah sampai ke pusingan separuh akhir. Jadi, saya tak nak buang masa. Saya akan umumkan usul pada hari ini ditolak atau terima," jeda ketua hakim itu lagi sambil tersenyum.
Semua pelajar dan para guru tidak sabar untuk mahu mendengar keputusannya. Begitu juga dengan Siti Safea dan pelajar-pelajar dari SMK Seri Bergawan. Tangan Siti Safea semakin berpeluh. Semua mata tertumpu ke arah ketua hakim tersebut.
"Jadi, pihak juri sebulat suara telah membuat keputusan bahawa usul kita pada pusingan separuh akhir ini iaitu 'Krisis Alam Sekitar Lebih Kritikal Berbanding Krisis Kemanusiaan'... ditolak. Maksudnya, tahniah kepada pasukan pembangkang dari SMK Seri Bergawan kerana mara ke pusingan akhir."
Siti Safea menekup mulutnya kerana tidak percaya. Dia memandang Nazirul dan Ravi. Masing-masing riak terkejut. Sempat lagi dia mencubit lengan kirinya dan cubitan itu terasa sakit. Maknanya, ini semua bukanlah mimpi tetapi realiti. Dia sangat bersyukur. Siti Safea memandang sekilas ke arah Azrin. Azrin membuat isyarat tanda bagus. Siti Safea hanya tersenyum sahaja.
Rina pula mengetap bibirnya. Melihat Azrin dan Siti Safea yang sedang berbalas pandangan. Sudahlah pasukannya kalah. Lebih memalukan lagi, pasukan Siti Safea pula yang mara ke pusingan akhir. Sangkaannya benar-benar meleset sama sekali. Dengan perasaan marah yang meluap-luap, akhirnya Rina pun keluar dari bilik sidang tersebut. Lebih baik dia pergi ke bilik hotelnya sahaja dari menyambut kemenangan budak rabun itu.
ShaDhia
Bersambung…
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro