Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Adriyana kaku di atas kerusi, merenung halaman pertama buku nota kecil itu. Bersama helaan kecil, dia menanggalkan kaca matanya lalu memicit-micit batang hidung. Mata dipejamkan. Buat beberapa ketika dia kekal dalam posisi itu. Teringat akan sesuatu, Adriyana segera menyelak buku nota itu sehingga ke halaman paling belakang, sekeping keratan kecil akhbar yang berlipat dua ditariknya keluar.

Keratan akhbar yang sudah kekuningan itu cuma dipegang, menimbang sama ada mahu membacanya ataupun tidak. Tapak tangan ke dada kirinya seolah-olah bimbang kesakitan lama datang kembali. Selepas menarik nafas dalam-dalam, perlahan-lahan dia membuka lipatan keratan akhbar tersebut.

Penuntut kolej hilang tanpa dapat dikesan

Ketika semua penuntut Kolej Sri Budiman dalam persiapan menjelang minggu peperiksaan, mereka digemparkan dengan kehilangan penuntut bernama Hakimi Adam Song, 22, dari Fakulti Pengajian Media.

Mangsa dikatakan dilihat kali terakhir di salah sebuah bangunan yang terletak di Fakulti Sains Dan Teknologi. Kehilangan mangsa hanya disedari apabila mangsa tidak muncul untuk kuliah keesokan hari. Pada malam sebelum kehilangannya, rakan mangsa mengesahkan mangsa berada di bumbung bangunan tersebut melakukan aktiviti pencerapan langit.

Kenalan-kenalan rapat mangsa sedang giat memulakan operasi mencari dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Hakimi Adam Song bolehlah terus menghubungi balai polis yang berdekatan.

Adriyana berterusan merenung keratan akhbar tersebut walaupun dia sudah menghafal isi kandungannya.

"Enam tahun sudah rupanya," bisik Adriyana.

Adriyana tidak pasti sama ada dia tersalah makan hari ini atau tersilap bantal semasa tidur semalam, kerana segalanya bagai tidak kena. Seumpama hari ini, sekeliling telah membawanya untuk mengingati seorang lelaki bernama Hakimi Adam Song itu.

Berbaur-baur perasaannya kini, tetapi perasaan bersalah lebih menguasainya sekarang.

"Aku terlalu sibukkan diri dengan kerja..." bisik Adriyana sendirian. Dia meraup muka perlahan-lahan. Dan tangannya terkaku tatkala merasakan pipinya basah. Aku menangis?

Kelam-kabut Adriyana mengesat pipinya, bimbang jika rakan sepejabat lain melihat. Tidak mahu menjadi perhatian di pejabat hanya kerana tiba-tiba teringat pada lelaki yang buat dia jatuh hati untuk kali pertama.

Lantas tegak kepala Adriyana dengan matanya membulat. Bergerak-gerak bibirnya.

"Aku paling suka dia, tapi aku lupa pasal dia sejak akhir-akhir ni?"

Maka semakin jatuh air matanya, tidak tertahan-tahan lagi biar bagaimana dia laju menggunakan kedua-dua tapak tangannya mengesat wajah. Akhirnya dia menekup hujung tudungnya sendiri ke mata, umpama tindakannya itu dapat menyumbat salur air matanya.

"Berhenti menangis," desisnya.

Percuma sahaja kedua-dua biji matanya kebas ditekan-tekan begitu. Air matanya susah dikawal hari ini, seolah-olah tunjuk perangai apabila nama Hakimi Adam Song akhirnya menjelma semula setelah enam tahun berlalu.

Sedar-sedar sahaja Rafiq sudah berdiri di tepi kubikelnya. Entah bila Rafiq keluar dari bilik ketua editor. Kelam-kabut Adriyana melipat keratan akhbar tadi, menyelitkan semula ke dalam Polaris sebelum meletakkannya ke dalam beg. Sempat dia menggosok-gosok matanya dengan hujung tudung sebelum tersengih-sengih memandang Rafiq.

Tidak seperti selalu, kali ini Rafiq tidak membalas senyumannya.

"Kau memang tahukan yang Nita akan berkahwin di kolej lama kita?"

Adriyana terpempan sedikit mendengar nada serius Rafiq itu. Berkerut-kerut keningnya. Baru sahaja dia mahu bertanya, dia terpandang fail biru di tangan Rafiq. Matanya juga dapat menangkap label yang tertera di hadapannya:

Liputan Perkahwinan Nita Rudani

Kolej Sri Budiman, Bandar Mutiara

"Oh! Jadi, kau ditugaskan untuk buat liputan di sana?" Laju Adriyana menyoal. Seraya dia berdiri mahu mencapai fail tersebut, tetapi Rafiq lebih pantas melarikan fail itu ke tepi.

"Patutlah kau nampak susah hati. Sebab kau dapat tahu tentang ini, kan? Nita ingin melangsungkan perkahwinannya di kolej lama kita. Ini, mata kau yang merah baru lepas menangis ni. Kau teringat Hakimi lagi, kan?"

Adriyana tidak terus menjawab. Dengan wajah yang sedikit keruh, dia kembali duduk di atas kerusi. Beberapa saat dia diam sebelum memandang Rafiq.

"Apa salahnya?"

Rafiq memandang Adriyana dengan rasa tidak percaya. Dia mendengus, meraup muka. Serius benar kelihatannya.

"Apa salahnya? Apa salahnya, Riyana?" Rafiq menyoal dengan tegas.

"Salahnya, aku tak mahu kau kembali berharap. Dah enam tahun berlalu sejak peristiwa itu. Semua orang masa itu dah dapat terima hakikat dengan apa yang berlaku. Adriyana, Hakimi dah tak ada!"

Dada Rafiq berombak hebat. Seperti ada yang mahu meletup dari dalam dadanya. Dia terpandang sedikit kerutan di kening Adriyana. Perempuan itu mengetap bibir sambil memandangnya tajam.

"Hakimi cuma hilang, Rafiq. Macam mana pula kau boleh kata dia dah mati?" soal Adriyana tidak puas hati.

"Dah enam tahun dia hilang, Riyana. Tak ada jejak. Tiada khabar berita langsung!"

"No news is a good news!"

Rafiq terdiam mendengar balasan Adriyana itu.

"Riyana, takkanlah kau masih berharap yang dia hidup lagi?"

"Apa salahnya? Kenapa aku mesti berputus asa pula? Aku pasti dia masih hidup dan nanti dia akan muncul semula!" Adriyana sebenarnya tidak mahu memberi harapan palsu pada dirinya sendiri. Namun, dia tetap mahu percaya biarpun semua orang di dunia sudah berhenti berharap, harapan tetap wujud.

"Semua rakan kita dah terima hakikat Hakimi dah pergi, tapi kenapa kau tak boleh buat begitu?" Rafiq semakin bengang dengan sikap Adriyana.

"Tunjukkan buktinya kalau betul Hakimi dah tak ada."

Rafiq mengeluh nafas berat dan bercekak pinggang. Dia terasa lelah berdebat dengan kedegilan Adriyana.

"Riyana, selama ni kau berjaya meneruskan hidup sedikit demi sedikit. Kenapa pula apabila kau dah mulakan hidup baru, ada kerjaya yang kukuh, tapi kau nak murungkan hidup dan teringatkan apa yang dah lama berlalu? Kau tak perlu lagi susahkan diri fikir pasal Hakimi. Dia dah tak ada. Dia. Dah. Tak. Ada!"

Adriyana tidak berpuas hati lantas berdiri berhadapan dengan Rafiq.

"Mustahil Hakimi hilang macam tu saja dari dunia ni. Walaupun dia anak yatim piatu, tapi dia masih ada rakan-rakan. Tak mungkin dia akan meninggalkan semua itu tanpa sebab! Kau tu yang terlalu cepat berputus asa. Aku pasti ada sesuatu berlaku pada Hakimi dan dia masih hidup," kata Adriyana dalam getar.

Rafiq merenung Adriyana seperti perempuan itu sudah hilang akal.

"Riyana, berhenti berharap lagi! Apa yang kau harapkan kalau betul Hakimi masih hidup? Berharap yang dia dan kau akan bersama-sama? Kau dah lupa ke dengan apa yang dia dah lakukan kat kau dulu?"

Adriyana merasa seperti ditampar tepat di muka. Dia tidak pernah lupa bagaimana emosi yang menyakitkan hati itu perlukan masa yang lama untuk pulih. Jadi, tidak perlu sebenarnya untuk Rafiq menyebut tentang itu lagi. Sama sahaja seperti dia ditembak dua kali di tempat yang sama.

Menggigil tangannya yang digenggam erat. Terasa ada air panas di tubir mata. Tanpa menunggu lama, Adriyana terus melangkah laju meninggalkan Rafiq, menuju ke luar pejabat.

"Riyana! Riyana!"

Rafiq melepaskan keluhan berat apabila panggilannya tidak bersambut. Dia cuma berdiri di situ memandang langkah laju Adriyana.

"Aku takkan biar kau sakit lagi."

Hampir sahaja tercabut pintu masuk pejabat Majalah MOHO itu ditolak oleh Adriyana. Dia terus menonong keluar. Wajahnya tegang, dada berombak menahan amarah yang hampir sahaja meletup tadi. Air mata yang tidak sempat mengalir di pipi segera dikesat. Beberapa minit Adriyana cuma berdiri di hadapan pintu itu sambil memandang ke lantai.

"Mustahil Hakimi menghilang macam tu saja. Pasti ada sesuatu yang berlaku. Dari dulu lagi aku dah agak ada sesuatu yang aneh pada kes kehilangan Hakimi," bisiknya. Sambil bercekak pinggang, Adriyana teruskan berfikir.

"Awak masih hidup, Hakimi. Awak cuma hilang dan sekarang saya cuma perlu cari awak." Kepalanya ligat berfikir. Bibirnya digigit-gigit.

"Aku mesti balik semula ke tempat semua ini bermula. Aku mesti siasat semuanya semula."

Ayat itu bukan setakat ayat-ayat kosong. Itu kata muktamadnya. Keterujaan menyusup laju ke dalam setiap genap salur darah, membuatkan Adriyana mahu sahaja terus ke Bandar Mutiara sekarang ini juga.

"Aku tak boleh lepaskan peluang ke Konvensyen Astronomi. Tapi aku nak sangat balik ke Bandar Mutiara lekas-lekas. Kalaulah aku yang dapat tugasan liputan majlis kahwin Si Nita tu senanglah juga sedikit. Bolehlah menyelam sambil minum air. Tapi aku nak juga ke Konvensyen Astronomi tu..."

Adriyana mendengus perlahan sambil terkumat-kamit mencari jalan penyelesaian. Bingung sendirian. Kalau semua benda dia mahu buat, bimbang satu apa pun dia tidak akan dapat selesaikan. Sejak menempuh alam pekerjaan, Adriyana jarang merungut akan kesibukan kerja. Dia dan perkataan sibuk sudah seumpama saudara, namun baru kali ini dia merasa kesibukan kerja membataskannya.

"Isy! Kenapalah aku sibuk sangat ni? Sampai masa untuk diri sendiri pun tak ada ke? Patutlah aku belum kahwin-kahwin lagi."

Tidak semena-mena terasa hangat pipinya. Adriyana yang tidak pernah gentar mahupun goyah jika dilontarkan persoalan tentang kahwin, kini merasa malu-malu. Terbayang imej pelamin di mana dia dan seorang lelaki sedang duduk di atasnya. Lelaki yang sukakan bintang.

Tersedar, laju Adriyana menampar pipi sendiri dan menggeleng-geleng. Dia ada misi sekarang ini, mana boleh dia membuang masa berdiri di sini berangankan sesuatu yang belum pasti. Yang nak kahwin ialah Nita Rudani, bukannya dia. Adriyana tersentak apabila teringatkan sesuatu. Lantas dia menepuk tangan.

"Nita Rudani! Ya... Aku patut cuba minta bantuan dia."

Kelam-kabut Adriyana mengeluarkan telefon bimbit dari kocek jean. Sambil mencari-cari nombor telefon Nita, Adriyana menuju ke arah vending machine. Namun, langkahnya terhenti apabila terlihat Zarith berdiri di hadapan mesin itu sambil berbual di telefon. Sesekali tertawa dan bersuara perlahan.

"Alamak! Playboy karat! Baik aku larikan diri sebelum dia susahkan aku lagi!"

Adriyana tergesa-gesa menghala ke koridor sebelah kanan, menuju ke arah pintu lif.

"Huh! Bergayut dengan girlfriend la tu. Entah siapalah agaknya, mungkin Kila atau pun Julia." Adriyana main sebut sahaja nama-nama itu.

Perlahan-lahan Adriyana menyandar bersebelahan lif, kemudian menekan punat telefon bimbitnya. Dia tidak pasti jika Nita masih menggunakan nombor lamanya. Jarinya yang baru mahu menekan butang hijau terhenti.

"Nanti dulu! Kenapa pula aku nak minta bantuan perempuan tu? Okey, dia memang sahabat baik aku dan Rafiq, tapi dia yang berpatah arang dengan kami sejak menjadi pelakon terkenal! Pasti dia akan kata aku ni muka tembok kalau minta bantuan dia," getus Adriyana, mengangguk mengeyakan kata-kata sendiri. Namun, kemudian dia memejam mata.

"Tapi sekarang cuma dia yang boleh jadi alasan aku untuk ke Kolej Sri Budiman."

Adriyana masih berkira-kira, merenung telefon bimbit di tangan. Kemudian teringat pula akan keratan akhbar tadi. Terbayang di matanya seorang lelaki yang sering membawa teleskop putih.

"Muka tembok pun muka temboklah, yang penting aku dapat ke sana." Tekad dia menekan butang hijau di telefon bimbit.

Adriyana berdebar cuba membayangkan reaksi Nita. Sudah hampir tiga tahun dia tidak berjumpa mahupun bercakap dengan sahabatnya itu. Terdengar panggilan bersambut setelah menunggu beberapa saat.

"Helo!" Ceria sahaja suara yang menyambut. Adriyana menelan liur.

"Assalamualaikum... Boleh bercakap dengan Nita Rudani?"

Senyap.

"Riyana? Kau ke tu?" Perlahan suara Nita Rudani menyoal.

Adriyana berdehem kecil.

"Ya, memang aku. 'Bekas' sahabat kau."

Senyap lagi.

"Mmm... Sudah lama KL tak hujan," kata Adriyana dengan kekok, membuang pandangan ke luar tingkap koridor itu. Kemudian dia mengomel tanpa suara, memarahi diri sendiri yang berasa gementar ketika itu. Terdengar dengusan Nita dari sebelah sana.

"Riyana, takkanlah kau hubungi aku sebab nak bagi tahu tentang cuaca pula?"

Adriyana menggigit bibir mendengar soalan Nita itu. Mengapa terasa sukar mahu memulakan perbualan selepas hampir tiga tahun tidak bertegur sapa? Memang padanlah dianjurkan manusia menjaga silaturahim antara satu sama lain. Dia berjalan mundar-mandir, berfikir bagaimana mahu memulakan perbualan.

"Aku fikir kau orang berdua dah tak nak cakap dengan aku lagi." Kata-kata sinis itu menjengah telinga Adriyana. Mahu sahaja Adriyana memutuskan talian kerana tidak mahu Nita mengungkit hal-hal tentang perselisihan mereka bertiga.

"Okey, macam ni... Sebenarnya aku perlukan bantuan kau," kata Adriyana akhirnya. Dia nekad. Dia perlu ke Bandar Mutiara. Ke Kolej Sri Budiman.

"Bantuan? Kenapa, Riyana? Kau sakit ke? Atau kau ada masalah duit?" Kali ini terdengar ikhlas pula nada 'bekas' kawannya itu.

"Aku sihat wal afiat. Hal ni tak ada kaitan dengan duit, Nita. Ini berkenaan majlis perkahwinan kau."

"Oh! Oh... Kau dah tahu ya? Errr... Sebenarnya aku memang bercadang nak hubungi kau dan Rafiq. Nak beri kad jemputan, tapi nampaknya kau terlebih dulu dapat tahu."

"Kalau aku dapat kad jemputan pun, aku tak akan dapat pergi," potong Adriyana.

"Hah? Kenapa? Kenapa kau tak boleh pergi pula?"

"Sebab pada tarikh majlis kau tu, aku kena hadiri konvensyen. Urusan kerja. Cuma Rafiq yang akan dapat pergi majlis kau tu."

"Oh? Oh..."

Adriyana berani bersumpah yang dia dapat mendengar kehampaan pada nada Nita Rudani, dan itu bagai memberi satu perasaan terharu dalam hatinya.

"Tapi..."

"Tapi?"

"Aku boleh pergi ke majlis kau, kalau..."

Diam Adriyana seketika.

"Kalau apa, Adriyana?"

"Boleh tak kau minta tolong pengurus kau hubungi bos aku dan minta aku yang pergi bertugas buat liputan di majlis perkahwinan kau nanti?" soal Adriyana senafas.

"Eh?" Tercengang Nita mendengar pertanyaan itu.

"Begini... Pengurus kau ada hubungi bos aku tadi, minta hantar wakil media ke majlis kau tu. Jadi... Kalau boleh... Aku harap sangat pengurus kau boleh tolong pujuk Chief Rajib pilih aku untuk jadi wakil media ke sana..." Sedikit tergagap Adriyana mengatur ayatnya.

Baru kali ini terasa payah untuk berbicara dengan sahabat baik sendiri. Apabila teringat bagaimana dia dan Rafiq bertengkar dengan Nita dahulu, malu juga Adriyana mahu meminta bantuan secara mengejut begini. Namun, Adriyana merasakan ini adalah jalan terbaik untuk dia pergi ke Bandar Mutiara dalam masa terdekat ini. Terasa seperti dia sepatutnya melakukan hal ini lama dahulu.

"Kenapa kau nak buat liputan di sana?" Tiba-tiba Nita menyoal.

"Seingat aku, kau bukannya suka jadi wakil media ke majlis-majlis yang ramai orang. Paling tidak pun yang aku tahu, kau lebih suka menulis artikel tentang isu-isu semasa. Kenapa? Ada yang menarik perhatian kau di majlis perkahwinan aku?"

Adriyana sudah menggelabah dan jadi tak tentu arah. Tergagap-gagap dia cuba menjawab.

"Sebenarnya..."

Baru sahaja Adriyana mahu menyambung ayatnya, kedengaran Nita bercakap dengan seseorang di sebelah sana.

"Riyana, aku ada photoshoot sekarang ni. Nanti aku hubungi kau," kata Nita.

"Bagaimana dengan permintaan aku? Aku memang perlukan bantuan kau..."

"Mesej aje kalau aku tak hubungi kau semula, kut nanti aku terlupa pula. Okey, assalamualaikum."

Klik.

"Waalaikumussalam..." jawab Adriyana merenung telefon bimbitnya. Dia bercekak pinggang sambil merengus. Bagaimana sekarang? Adakah Nita akan menolongnya? Dia berasa sedikit susah hati. Adriyana menjenguk ke mesin minuman automatik. Nampaknya Zarith sudah tiada di situ. Lalu dia menghampiri mesin itu sambil menyeluk poket jeans mencari duit syiling. Kemudian baru dia teringat yang dia sudah memberi semua duit syilingnya kepada Zarith.

"Excuse me?"

Adriyana hampir terlompat apabila ditegur gadis bersolek tebal yang entah bila berdiri di tepinya. Dengan mengurut-urut dada, dia tertanya sendirian, dari mana gadis itu datang? Tiba-tiba sahaja timbul.

"You ni... Adriyana? Kerja di Majalah MOHO Publishing?" soal gadis bersuara nyaring itu. Nampak serius sahaja wajahnya.

"Errr... Ya... Ada apa yang boleh saya bantu?" soal Adriyana kembali. Mungkin gadis itu adalah pelakon baru yang mahu meminta ditemu ramah. Adriyana bukannya ambil pusing sangat dengan dunia hiburan tanah air. Paling tidak anak seni yang dia tahu cuma Nita Rudani. Tiba-tiba gadis itu bercekak pinggang, kelihatan berang.

"Oh, jadi youlah Adriyana yang cuba merampas kekasih I!" Lantang suara gadis itu sambil menuding Adriyana.

Adriyana pula terkejut bukan kepalang.

"Ap... Apa yang cik maksudkan ni? Saya tak rampas kekasih cik. Siapa kekasih cik pun saya tak kenal."

Tetapi, kata-kata Adriyana itu membuatkan gadis tadi bertambah berang.

"Tak mengaku pula ya?! Mentang-mentanglah you satu pejabat dengan dia, ingat you boleh goda dia sampai dia langsung tak balas mesej dan panggilan I! Hei, cerminlah diri sikit. Perempuan kolot macam you ni pun ada hati nak rampas Zarith daripada I? Eee, tengok penampilan you pun I gelilah! Bibik di rumah I lagi cantik berpakaian daripada you!" Gadis tadi menghamburkan amarahnya.

Adriyana tercengang apabila mendengar nama Zarith disebut.

"Oh... Jadi cik ni teman wanita Zarith? Teman wanita yang keberapa? Sebab seingat saya, dia ada lebih daripada sepuluh teman wanita dalam masa yang sama. Jadi carilah barisan teman wanita dia itu, bukannya serang saya melulu macam ni!" Kali ini Adriyana pula yang naik berang.

Kedengaran pintu utama Majalah MOHO ditolak dari dalam. Beberapa rakan sepejabat menjengukkan kepala, mungkin mencari dari mana bunyi bising.

Zarith adalah salah seorang antara mereka. Tergamam dia melihat adegan di hadapan mesin minuman automatik itu.

"Ewah-ewah... Dahlah rampas kekasih orang, pandai pula tabur fitnah yang Zarith tu banyak kekasih! You ni tak padan dengan penampilan kolot, berani pula tuduh kekasih I playboy! Jangan sampai I tarik-tarik tudung you yang kolot dan murah itu!" Teman wanita Zarith mula memberi amaran.

"Amboi, ingat tudung saya ni kertas tisu ke nak tarik-tarik? Murah-murah pun tapi tugasnya mulia tau!" Adriyana sudah berapi-api. Terasa tangannya ringan saja. Di matanya, nampak gadis itu besar kecil besar kecil saja.

"Eee... Minah kolot ni! Nahas you I kerjakan nanti!"

Adriyana mendengus kasar. Dia menggenggam kedua-dua penumbuknya dan memasang kuda-kuda pesilat berkaliber.

"Ingat saya ni tunggul kayu, tak pandai melawan? Ini Adriyana Harris tau! Kalau berani, seranglah!" 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro