Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

"ADRIYANA!"

Teriakan itu menggegarkan ruang pejabat Majalah MOHO. Pekerja-pekerja yang memang sibuk dengan tugas masing-masing tersentak mendengar teriakan dari bilik ketua editor itu. Serentak mereka menoleh ke arah kubikel terletak berdekatan dengan tingkap dan pantri.

Seorang wanita bertudung hitam dalam lingkungan usia akhir 20-an sedang tekun menaip di komputer ribanya. Sesekali jari telunjuk membetulkan kedudukan kaca mata yang melorot hingga ke hujung hidung. Nampak jelas tidak terkesan dengan teriakan tadi. Rafiq, salah seorang wartawan di situ, mendesis memanggil nama wanita itu yang duduk bertentangan kubikel dengannya.

"Riyana... Riyana... Adriyana..."

Namun, tiada respons langsung. Akhirnya Rafiq mengetuk-ngetuk dinding kubikel, barulah wanita itu mengangkat muka. Dengan mulut ternganga, terkebil-kebil memandang Rafiq.

"Kau tak dengar ke? Chief panggil kau tu!" bisik Rafiq keras.

"Adriyana! Masuk pejabat saya sekarang!"

Teriakan dari bilik yang sama sekali lagi kedengaran, kali ini berjaya mengejutkan Adriyana sehingga secara spontan dia berdiri.

"Pergi masuk cepat. Nanti tambah mengamuk chief tu," bisik Rafiq. Kerisauan lebih menyerlah di wajahnya berbanding Adriyana yang ternyata kalut.

"Kenapa dia panggil aku? Rasanya semalam aku dah hantar artikel."

"Kau dah lupa ke? Sejak bila Chief Rajib akan berpuas hati bulat-bulat dengan setiap artikel kau? Tentu ada lagi yang tak kena."

Adriyana teragak-agak seketika sebelum mengangguk perlahan, bersetuju dengan jawapan Rafiq itu.

"Adriyana!"

"Cepatlah masuk, chief dah panggil tu!"

Diiringi desakan Rafiq itu, Adriyana terkocoh-kocoh melangkah ke bilik ketua editor. Rafiq memandang langkah Adriyana dengan perasaan risau. Apabila dia berpaling ke sebelah meja Adriyana, seseorang sedang memandangnya dengan senyuman sinis.

"Amboi... Risau, ya?" tanya lelaki itu.

Rafiq hanya berdeham kecil sebelum kembali menyambung kerjanya tanpa mempedulikan Zarith yang sedang merenungnya dengan senyuman sinis.

Adriyana menarik nafas dalam-dalam sebelum mengetuk perlahan pintu pejabat ketua editor.

"Masuk!"

Berdebar-debar Adriyana rasakan ketika memulas tombol pintu. Sebaik melangkah masuk, pandangan tajam Chief Rajib, ketua editor Majalah MOHO, menyambutnya. Perlahan-lahan Adriyana melangkah menuju ke hadapan meja Chief Rajib, sambil menayang sengihnya.

"Chief panggil saya?"

"Awak jangan nak tersengih-sengih di situ, Adriyana! Awak ingat saya panggil awak ni sebab saya nak naikkan gaji awak ke?"

Terkedu Adriyana dengan suara lantang Chief Rajib. Lelaki bermisai bak sisir melekat di bawah hidung itu mencampakkan beberapa helai kertas ke atas mejanya. Mata Adriyana begitu pantas mengecam, itu adalah artikel yang dia serahkan semalam.

"Cuba awak terangkan kepada saya, artikel apa yang saya suruh awak buat tempoh hari?"

Cuak sedikit Adriyana apabila Chief Rajib tiba-tiba menyoal tanpa terjerit-jerit seperti tadi. Menelan liur, dia menjawab juga.

"Erm... Senarai model dan jenama telefon pintar yang terbaik di Malaysia?"

"Awak memang masih ingatlah arahan saya tu, bukan? Jadi cuba beritahu saya, artikel apa yang awak hantar kepada saya semalam?"

"Errr..." Teragak-agak Adriyana mahu menjawab dan akhirnya dia tunduk. Dia tahu sangat punca Chief Rajib meradang. Dia telah menghantar artikel yang 360 darjah berbeza daripada artikel yang diminta. Memang dia telah membuat senarai dalam artikel yang dihantarnya, tetapi ia tentang senarai keburukan penggunaan telefon pintar kepada masyarakat. Malah, dia turut menyenaraikan jenama telefon pintar yang paling teruk, menurut pendapatnya sendiri.

"Lain yang disuruh, lain yang dibuat!" Suara Chief Rajib kembali kuat apabila melihat Adriyana tertunduk-tunduk. Tahu diri bersalahlah itu.

"Tapi chief, saya cuma sampaikan kebenaran."

Adriyana kembali mengangkat muka memandang Chief Rajib.

"Sebelum saya tulis artikel ini, saya dah buat kajian tentang keburukan gadget itu terlebih dulu. Memang sangat-sangat tak mendatangkan faedah, chief! Gadget hanya akan meningkatkan keinginan pada individu yang tidak mampu memilikinya dan jenayah boleh berlaku."

Adriyana berhenti seketika, menarik nafas dan terus menyambung.

"Dan yang lebih teruk bila ada ibu bapa yang memberi telefon pintar pada anak-anak masih kecil dengan alasan anak akan duduk diam. Boleh tak chief percaya semua ini betul-betul terjadi dalam masyarakat kita? Anak-anak ini bakal pemimpin masa depan negara kita chief, tapi ada segelintir ibu bapa yang dah memanjakan anak mereka dengan telefon pintar. Perkembangan otak anak akan terbantut, malah jika tidak terkawal anak-anak akan boleh terjerumus ke arah pendedahan porno!" jelas Adriyana dengan wajah penuh yakin, walaupun sedikit kecut perut melihat wajah merah padam Chief Rajib.

Chief Rajib memandang tajam kepada Adriyana. Ketika Adriyana membuka mulut hendak berhujah lagi, dia menepuk meja dengan kuat menyebabkan Adriyana hampir terlompat.

"Berani awak tulis artikel begitu! Awak dah lupa ke siapa antara pemegang saham kepada majalah kita? One Tech! Salah satu syarikat telco gergasi di Malaysia ini! Mereka mahu kita siarkan artikel senarai telefon pintar terbaik itu untuk promo pelan data Internet baru mereka. Itu sahaja. Yang awak memandai-mandai sampai nak korek keluar semua sisi buruk telefon bimbit tu dah kenapa?!"

Adriyana terasa mahu mengecutkan dirinya sendiri dek suara petir Chief Rajib itu. Dilihatnya ketua editornya itu mengambil kembali kertas artikelnya dan dikibarkannya kasar.

"Awak tulis artikel ikut suka hati awak, berani pula hantar pada saya tanpa fikir dua kali! Sekarang awak mahu saya luluskan artikel awak yang terang-terangan boleh menjejaskan company mereka? Awak ini memang dah melampau, Adriyana Harris!"

Marah benar Chief Rajib jika sudah menyebut nama penuh perempuan di hadapannya itu.

"Tapi chief, saya cuma tulis benda yang benar."

"Hah! Menjawab! Menjawab!"

Cepat-cepat Adriyana menutup mulutnya. Chief Rajib mendengus kasar.

"Bukan sekali ini saja awak buat perangai begini! Tapi dah berkali-kali! Apa awak fikir saya ini punya kesabaran tahap mega ke? Awak ni niat nak buat company saya melingkup ke apa ni?"

Suara bak petir menyapa gegendang telinga Adriyana. Keadaan bertukar sunyi buat beberapa saat. Chief Rajib menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembusnya semula. Adriyana keras berdiri tegak dengan mata terkelip-kelip. Kalau dia buka mulut lagi, silap-silap boleh keluar api dari mulut Chief Rajib.

"Adriyana... Adriyana..." Chief Rajib bersuara perlahan sambil meraup muka. Nampaknya seperti dia sudah sedikit tenang.

"Awak tahu tak kenapa saya terima awak berkerja di sini? Tak, bukannya disebabkan oleh rekomendasi Rafiq. Kalau dia tidak rekomenkan awak pun, saya memang akan terima resume awak. Saya ambil awak bekerja kerana awak memang wartawan yang bagus."

Terkulat-kulat Adriyana mendengar kata-kata Chief Rajib itu.

"Cuma itulah, saya susah betul nak faham awak. Awak hanya berfikir untuk bertindak sahaja. Pernah awak fikir akibatnya, kesannya? Kita hanya company kecil sahaja. Mereka itu pula punya kuasa yang lebih besar. Satu panggilan telefon sahaja, company kita akan gulung tikar." Chief Rajib cuba menerangkan.

Adriyana mengetap bibir, mencerlung matanya.

"Jadi kita tak boleh buat apa-apa, tak boleh melawan hanya kerana mereka syarikat yang lebih besar? Mana boleh begitu, chief! Itu tak adil!"

"Betul kata kamu ia tak adil. Tapi begitu cara dunia ini bekerja sekarang."

Cemberut wajah Adriyana sambil dia berpeluk tubuh. Wajahnya terang-terang menunjukkan yang dia tidak puas hati. Chief Rajib merenung artikel Adriyana itu seketika.

"Kalau awak bertegas juga nak saya luluskan artikel ini, okey saya boleh luluskan. Segala akibatnya nanti kita satu company ini akan tanggung. Kita semua akan hilang pekerjaan dan selepas itu siapa yang akan menanggung keluarga pekerja-pekerja Majalah MOHO? Persekolahan anak-anak semua pekerja, macam mana pula?"

Adriyana tunduk, tidak dapat menjawab soalan itu. Dia memang sering menanam azam mahu menjadi wartawan yang sentiasa menyampaikan kebenaran. Namun saat ini, dia terpaksa bersetuju dengan kebenaran kata-kata Chief Rajib itu.

"Kalau saya banyak duit, saya lawan habis-habisan. Mereka tak akan dapat sentuh mana-mana pekerja di sini pun!"

"Kalau awak banyak duit.''

Adriyana hanya mencebik kecil dengan tempelak Chief Rajib itu lalu melontarkan pandangan ke kiri. Terasa jengkel bila dia merasakan dirinya langsung terikat tangan dan kaki. Kedengaran Chief Rajib mengeluh kecil.

"Okey, lupakan pasal artikel itu. Saya sudah arahkan Lucy untuk ambil alih pasal itu. She's more than happy to do it."

Adriyana mengangkat kening. Memanglah Lucy teruja, asalkan ada telefon canggih yang baru di pasaran, pasti disambarnya. Telefon yang sedia ada baru beberapa bulan dibeli sudah hendak diganti baru. Kemudian bila sudah pertengahan bulan baru merungut duit tidak cukup untuk belanja. Adriyana sekadar bergumam dalam hati sambil memerhatikan Chief Rajib mencari-cari sesuatu dalam timbunan fail di atas mejanya.

"Saya ada tugasan lain untuk kamu."

Belum pun sempat Chief Rajib menyambung ayatnya, telefon di sisi meja berdering. Lelaki itu meletakkan fail yang dicarinya tadi di atas meja sebelum menyambut panggilan telefon. Adriyana mencuri lihat tulisan di atas fail tersebut.

Konvensyen Astronomi Amatur 2019

Spontan terangkat kening Adriyana, bibir seiring menyungging senyum yang perlahan-lahan bertukar menjadi senyuman lebar. Tangan pula menggenggam penumbuk kegembiraan.

Yes! Akhirnya! Akhirnya chief mengalah juga!

Inilah kali pertama dia berasa sungguh gembira menerima tugasan membuat liputan dalam tempoh lima tahun di bawah bumbung Majalah MOHO. Jangan salah sangka dahulu. Bukan maksud Adriyana yang dia tidak suka menjadi wartawan di Majalah MOHO. Cuma dia sering mendapat tugasan membuat artikel yang bercanggah dengan pendapat peribadinya. Pernah dia mengusulkan kepada ketua editornya itu jika majalah mereka itu mungkin boleh memuatkan liputan tentang aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan astronomi. Tetapi Chief Rajib menolak mentah-mentah ideanya itu dengan alasan ia topik yang membosankan. Adriyana mungkin menggunakan 100 peratus tenaganya untuk menahan diri daripada meradang akibat kenyataan Chief Rajib itu.

Di dunia ini, siapa yang tidak suka pada bintang? Bagi Adriyana, jawapan Chief Rajib sungguh tidak berasas. Dan sejak itu jika ada kesempatan, dia tetap cuba mengusulkan cadangan itu. Chief Rajib tidak pernah melayan. Mungkin hari ini sudah terbuka pintu hatinya, membuatkan Adriyana tersengih-sengih gembira.

Chief Rajib masih berbual di telefon, tetapi Adriyana mula merangka strategi untuk menulis liputan itu nanti. Sebagai permulaan, mungkin dia patut mengeluarkan kembali binokular lamanya yang disimpan di dalam almari. Dia bercadang mahu naik ke bumbung apartmen tempatnya menyewa dan mula meneropong langit malam ini. Oh ya, sebelum itu dia haruslah memeriksa ramalan cuaca untuk malam ini. Langit yang cerah memberi peluang besar untuk melihat gugusan bintang dengan jelas. Begitu pun sudah cukup sebagai mengambil mood untuk liputan ini.

Tersengih Adriyana memikirkan rancangannya itu. Namun, segera dia berdeham dan memadam senyuman apabila sedar Chief Rajib yang masih bercakap-cakap di telefon sedang memandangnya.

Chief Rajib memberikannya jelingan tajam sebelum kembali pada perbualan telefonnya. Adriyana tidak ambil pusing apa topik perbualan Chief Rajib itu kerana kepalanya sedang ligat merangka rancangan untuk malam ini. Adriyana sendiri tidak ingat bila kali terakhir dia mencerap langit malam. Walaupun seperti ada satu perasaan pilu yang perlahan-lahan mahu menyusup ke dalam hatinya, Adriyana tepis jauh-jauh agar tidak mengganggu girangnya.

Namun, telinganya tegak sebaik dapat menangkap isi perbualan Chief Rajib ketika itu.

"Memang dah tiba masanya untuk Nita Rudani kalau memang begitu. Ya... Ya... Saya sedikit terkejut mendengarkan khabar ini, tapi ini satu tugas yang bagus..."

Berkerut kening Adriyana mendengar nama Nita Rudani disebut. Apa pula cerita kali ini sampai menyebut nama pelakon popular itu? Buat hal lagikah sehingga menimbulkan gosip-gosip panas, seolah-olah dunia hanya berpusar di sekitarnya? Adriyana mencemuh kecil mengenangkan pelakon wanita yang laku keras itu. Dia melihat Chief Rajib mencapai sekeping kertas post-it-note dan sebatang pen. Sambil terus berbual lelaki itu menulis:

Perkahwinan Nita Rudani, Ahad ini, Auditorium Kolej Sri Budiman, Bandar Mutiara.

Mata Adriyana terbelalak sebaik mencuri baca tulisan Chief Rajib itu. Mulutnya bergerak-gerak seolah-olah mahu berkata sesuatu, tetapi tertahan-tahan. Chief Rajib memandangnya hairan sambil meletakkan gagang telefon.

"Kenapa dengan awak ni? Dah kena sampuk?"

Adriyana menunjuk-nunjuk pada kertas kecil di tangan Chief Rajib.

"Apa? Ini? Oh... Awak kenal bukan Nita Rudani yang terkenal selepas berlakon dalam filem box office Kau Milikku? Minggu depan dia dah nak kahwin. Pengurusnya yang telefon tadi," terang Chief Rajib.

Adriyana mengangguk kecil. Kalau Nita Rudani bukan bergelar pelakon popular pun Adriyana memang sudah mengenalinya. Lebih daripada kenal. Orang sahaja yang tidak mengetahui dia, Nita Rudani dan Rafiq adalah tiga serangkai, sahabat karib sejak zaman sekolah. Hubungan mereka sudah seperti isi dan kuku. Namun, masa mengubah peribadi seseorang, apatah lagi jika sudah berlainan haluan dalam mengejar impian masing-masing.

Persahabatan mereka renggang sejak dua tahun lalu kerana beberapa sebab yang tidak disangka. Masing-masing sibuk mengejar kerjaya impian. Walaupun bidang kerjaya mereka akan saling bertembung antara satu sama lain, persahabatan mereka bagai sudah tidak sama. Saling mengaku sahabat baik tapi, tidak bertegur sapa langsung?

Kemudian, Nita Rudani pula bakal berkahwin hujung minggu ini? Sedikit pun tidak mengkhabarkan berita itu kepadanya dan Rafiq. Mahu tidak mahu, Adriyana terasa berkecil hati juga dengan berita itu. Bergaduh bagaimanapun, mereka masih kawan, bukan? Susah senang dari zaman remaja bersama, tetapi khabar baik sebegini pun dia dapat tahu dari orang lain? Memang mencari pasal betul namanya.

Nanti kau, Nita. Kalau aku terserempak dengan kau memang aku cuci telinga kau! getusnya dalam hati.

Namun sekarang, bukan Nita Rudani mahupun berita perkahwinannya yang bakal berlangsung itu membuatkan Adriyana seperti terkena sampuk.

"Kolej Sri Budiman, Bandar Mutiara?"

Chief Rajib mengangguk mengeyakan, langsung tidak perasan buntang mata Adriyana memandangnya.

"Kamu faham sajalah kalau selebriti, sudah tentu nakkan majlis perkahwinan yang unik. Untung-untung boleh digelar wedding of the year. Pengurusnya cakap tadi, majlis perkahwinan Nita Rudani nanti bertemakan Menelusuri Jalan Kenangan. Oleh kerana dia dan tunangnya berjumpa buat pertama kali di kolej lama, mereka sepakat nak adakan majlis perkahwinan di situ. Jadi, wakil majalah kita akan ke sana untuk buat liputan," terang Chief Rajib.

Apabila dia mengangkat muka memandang Adriyana, dia lihat wartawannya itu sedang mengerutkan kening merenung kertas di tangannya, serius memikirkan sesuatu. Chief Rajib menunggu-nunggu kalau Adriyana mahu mengatakan sesuatu. Beberapa ketika kemudian, dia mencapai fail Konvensyen Astronomi tadi lalu menghulurkan kepada Adriyana.

"Nah, awak buat liputan tentang konvensyen ini. Saya dah tugaskan Dafi untuk jadi jurugambar awak. Konvensyen ni berlangsung selama dua hari, jadi saya mahu liputan sebanyak lima muka surat," arah Chief Rajib.

"Ambil gambar yang berkaitan saja. Jangan pula nanti awak memandai-mandai suruh Dafi ambil gambar lain yang tak ada kaitan langsung. Jangan tulis pasal topik lain pula. Saya nak awak buat betul-betul kali ni! Tapi, mustahil pula awak akan buat silap, bukan? Subjek kegemaran awak, awak akan buat sehabis baik. Tak gitu, Adriyana?"

Namun, fail itu tidak bersambut. Adriyana masih dengan posisi yang sama, masih dengan kening berkerutnya. Chief Rajib tergeleng-geleng melihat pekerjanya itu yang seperti tenggelam dalam dunianya sendiri. Akhirnya Chief Rajib menepuk meja dengan kuat membuatkan Adriyana terkejut sampai terlompat.

"Rupa-rupanya saya bercakap sorang diri saja tadi! Boleh pula awak berkhayal masa saya sedang briefing! Awak mengantuk ke?"

"Eh, tak! Bukan chief, saya bukan berkhayal. Saya sedang berfikir tadi tentang cara-cara nak memperbaiki mutu penulisan saya!"

Chief Rajib mendengus marah. Wajahnya kembali merah. Adriyana menelan liur namun segera meraih keyakinan diri.

"Jangan risau, chief. Saya akan buat sehabis baik untuk liputan majlis perkahwinan Nita Rudani di Bandar Mutiara tu.''

Chief Rajib menderam sambil menggeleng. Sekali lagi dia menepuk kuat mejanya.

"Yang awak pandai-pandai nak buat liputan di Bandar Mutiara tu kenapa pula? Saya arahkan awak ke Konvensyen Astronomi itu! Ya Tuhan, apa kena dengan awak ni, Adriyana? Tiba-tiba saja berkelakuan macam orang bingung!"

Adriyana menepuk dahi menyedari kesilapannya. Tersengih-sengih dia menahan malu.

"Jadi, siapa yang akan buat liputan di Bandar Mutiara, chief?"

"Awak tak perlu nak sibuk tentang hal itu. Awak buat saja tugasan yang saya arahkan! Ingat senang saya nak buat keputusan mcam ini? Kenapa dengan awak ni? Kalau tidak sihat pergi ke klinik, ambil MC, rehat banyak-banyak!"

"Saya sihat wal afiat wal lepat liat, chief." Naif Adriyana menjawab.

"Betul?" Chief Rajib memandang Adriyana dengan rasa curiga. Bimbang juga kalau-kalau stafnya jatuh sakit. Memanglah Adriyana kadang-kadang sukar untuk difahami, tetapi tidak dinafikan Adriyana antara stafnya yang paling rajin. Perkataan workaholic seolah-olah menjadi nama kedua Adriyana.

Adriyana mengangguk-angguk.

"Habis itu, tunggu apa lagi? Pergilah buat kerja. Ataupun awak nak saya iringi awak balik ke meja?"

Sekali lagi Chief Rajib menghulurkan fail Konvensyen Astronomi itu. Teragak-agak Adriyana menyambut fail itu. Beberapa kali matanya melirik pada kertas kecil di tangan Chief Rajib. Sambil berundur dia masih tetap memandang kertas itu. Apabila terpandang Chief Rajib yang merenung tajam padanya, barulah Adriyana tersengih-sengih sebelum keluar dari bilik ketua editor itu. Pintu ditutup perlahan sambil fail Konvensyen Astronomi dipeluknya erat, seolah-olah bimbang ada orang mahu mncurinya.

"Kolej Sri Budiman... Bandar Mutiara..."

Itu yang menjadi trigger pada keresahan hati Adriyana kali ini. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro