Bab 2
Bagaikan terkena renjatan elektrik, tubuh Adriyana tersentak. Matanya terbuka luas. Beberapa ketika dia hanya mengelip-ngelipkan matanya beberapa kali.
"Hakimi?"
Perlahan-lahan dia mengangkat kepalanya yang berbantalkan lengan di atas meja kerjanya. Terasa seperti dunia berpusing sesaat. Berkerut mata Adriyana memandang sekeliling. Tertanya-tanya di mana dia sekarang ini. Mana teleskop dan buku catatannya? Hakimi?
Bunyi deringan telefon menarik Adriyana kembali ke dunia realiti. Suasana pejabat yang sibuk itu mengingatkannya yang kini dia berada di tempat kerja. Adriyana beristighfar panjang dan menilik jam tangan. Kaca matanya ditanggalkan lalu meraup muka.
"Aku bermimpi rupa-rupanya..." keluhnya berbisik.
"Boleh pula aku terlelap pagi-pagi macam ini."
Kaca matanya kembali disarung ke wajah. Suasana pejabat sedikit gamat dengan bunyi deringan telefon. Suara orang bercakap-cakap dan juga bunyi kertas di dalam mesin pencetak antara penyumbang bingit itu. Namun semua itu sedikit pun tidak menggugat konsentrasi Adriyana dalam cuba mengingat butir-butir mimpinya tadi. Perasaannya berbaur-baur tika ini.
"Kenapa aku boleh termimpikan dia?" bisiknya dengan kening berkerut. Dia bersandar di atas kerusinya dan merenung siling. Perutnya terasa mengecut lantas dia memejam mata, menghembus nafas panjang.
"Bila kali terakhir aku mimpi dia, ya?'' gumamnya.
Setelah beberapa lama bersandar merenung siling pejabat, Adriyana menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembuskannya kuat.
"Entah-entah dia teringat aku tak? Ah... Cuma mimpi, mainan tidur saja."
Adriyana berdiri, niat mahu ke pantri. Ketika tangan mahu mencapai termos kecilnya di hujung meja, matanya terlihat sekeping poskad yang terletak elok di atas susunan suratnya. Sedikit pelik baginya kerana seingatnya, Nizar pekerja despatch mereka hanya memberinya beberapa keping sampul surat sahaja. Dari mana pula datangnya poskad ini?
Dia kembali duduk dan mencapai poskad itu. Poskad itu berlatarkan gambar taburan bintang di langit malam. Sekali lihat ia seperti taburan bintang biasa, namun tidak di mata Adriyana. Dia merenung grafik itu lama sehinggakan jika ada yang memerhatikannya pasti mereka menyangka Adriyana telah terserempak dengan mitos Medusa lalu bertukar menjadi batu.
"Orion...'' bisiknya.
"Orion the Hunter! Betullah ini buruj Orion, bukan? Buruj Belantik!"
Gembira sendiri dia apabila dapat meneka dengan tepat imej sebenar kelompok bintang di latar poskad itu. Panjang sengihnya sambil terus menatap imej itu. Diputar kad itu dan lantas terangkat keningnya.
Kepada: Adriyana Harris.
Mencari Polaris. Ingat.
"Mencari Polaris? Ini jemputan ke tayangan perdana filem baru ke apa ini? Mencari Polaris... Eh, ada ke filem baru bulan ini?"
Beberapa kali dia membelek setiap inci poskad tanpa nama pengirim itu. Ada ketika Adriyana merasakan poskad itu adalah sesuatu yang amat dekat padanya. Sehingga mengeluh kecil dia setelah habis berfikir.
"Tapi ini gambar buruj yang cantik," gumamnya senyum simpul. Diselongkar laci mejanya, mencari paku tekan. Poskad itu dilekat pada dinding kubikel.
Bercekak pinggang dia bagai menghargai bagaimana indahnya poskad itu di dinding kubikel sebelum berlalu ke pantri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro