😈 TIGA BELAS 😈
Ryu membuang pandang ke bangunan lima tingkat yang tersergam megah di hadapannya. Buat entah ke berapa kali, dia mengeluh. Buat kali ke berapa jugalah, dia melihat ke badannya sendiri.
'Aku rasa macam tak percaya,' keluhnya di dalam hati.
"Rejeki, mari tolong pak di sini!" laung satu suara.
Laungan daripada Pak Harto, si tukang kebun sekolah dari Indonesia bergema di kawasan padang. Buat seketika, Ryu kekal tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Dahinya berkerut, hatinya mendidih. Rejeki, Rejeki. Tak reti-reti ke nak sebut Rizq? Eh, orang tua ni!
"Rejeki!" laung Pak Harto lagi.
"Ya, pak!" Akhirnya, Ryu menyahut.
Dengan hati mendongkol geram, dia berjalan perlahan ke arah Pak Harto dengan menolak mesin rumput. Hari itu, tugasnya memesin rumput dan lalang yang mula meliar di padang.
Haih, malang nasibnya. Dadanya masih lagi berasa nyeri dan sakit-sakit dek tendangan Yuri, tapi sudah dipaksa masuk kerja. Sepatutnya dalam masa dua minggu ini, dia perlu berehat daripada membuat kerja berat.
Kalau sakitnya semakin melarat, macam mana? Ibunya pun satu hal. Cuba kalau baik hati dengan memberikan jawatan guru atau kerani, kan bagus. Pengawal keselamatan pun, okey juga. Ini, tukang kebun. Apakah?
"Hidupkan mesin tu," arah Pak Harto.
Arahan tersebut disambut dengan batuk-batuk oleh Ryu. Hidupkan mesin rumput? Macam mana? Sepanjang hayatnya, mana pernah dia memotong rumput. Lagi haru, mesin rumput pun tak pernah pegang. Ini semua baru baginya!
"Err..." Ryu menggaru kepala.
"Pak pelik betullah dengan orang muda zaman sekarang. Mesin rumput pun tak kenal," bebel Pak Harto sambil menggeleng kepala. Waduh ini orang...
"Maaf, pak. Rizq perlukan tunjuk ajar pak." Ryu menayangkan senyuman terpaksa.
"Kamu tu sepatutnya belajar pandai-pandai. Jadi cikgu. Orang hebat. Bukannya malas belajar. Jangan jadi macam pak yang sampai tua pun kerja tukang kebun je," leter Pak Harto.
"Baik, pak." Ryu mengetap bibir. Ini semua salah ibu. Dia bukannya budak tak habis sekolah!
Namun, dalam hatinya menggeram, dia layankan saja ulah Pak Harto yang tak henti-henti memberi tunjuk ajar kepadanya mengenai komponen mesin rumput, cara menghidupkannya dan cara untuk menggunakannya. Sabar sajalah, nak buat macam mana kalau itu yang dapat membuatkannya dekat dengan Yuri.
*****
Yuri memandang pelajarnya satu per satu penuh geram. Sudah kenapa mata mereka semua tertancap ke luar? Tak fokus belajar semuanya. Sekejap-sekejap, ada yang tersengih-sengih dan melambai-lambai ke luar.
"Kelas!" Yuri menghempaskan buku ke meja.
"Tumpukan perhatian bila saya mengajar!" Suaranya naik seoktaf.
Mendengarkan itu, pantas semua pelajarnya kelam kabut berpaling kepadanya. Masing-masing kelihatan cuak melihat pandangan menyinga sang guru. Cikgu Noura Arfa, guru Bahasa Jepun mereka sangat tegas ketika mengajar!
"Panjang leher kamu mengintai ke luar. Apa ada dekat luar tu sangat sampai tergedik-gedik macam tengok artis?" Yuri memuntahkan lahar kemarahannya.
Krik krik.
Senyap semuanya apabila cikgu mereka bertukar menjadi singa. Diam-diam, semuanya pakat menunduk. Tiada seorang pun berani menentang mata guru mereka. Maklumlah, sekali mereka menjawab, dua kali sang cikgu akan membidas jawapan mereka.
"Tengah mesin rumput pun handsome. Cairnya aku..."
Baru saja Yuri ingin menyambung kembali tugasnya, tiba-tiba telinganya menangkap bait-bait kata daripada pelajarnya. Walaupun perlahan, dia dapat mendengarnya dengan jelas. Dasar itu anak... tak dengar kata! Buat kali kedua, darah Yuri mendidih.
"Natasya. Keluar dari kelas saya sekarang!" perintah Yuri. Garang.
Pelajar yang dipanggil Natasya terkulat-kulat. Cikgu Arfa menyebut namanya ke? Dia tak salah dengar kan? Tapi, kenapa? Takkanlah sebab dia berpaling sekejap ke luar tingkap?
"Cikgu, saya..." Natasya termati kata. Perutnya memulas melihat percikan api kemarahan di mata gurunya.
"Baik. Maafkan saya, cikgu." Tanpa membantah, terkocoh-kocoh dia keluar dari kelas.
Para pelajar lain yang melihat situasi menegangkan tersebut serta merta diam menikus. Nasib malanglah Natasya menerima hukuman berdiri di luar kelas sampai sesi pengajaran Cikgu Arfa habis.
Sebabnya, selepas ini, pasti dia akan didenda pula membuat latihan menulis karakter Hiragana, Katakana dan Kanji sampai muntah. Haih, kasihan betul. Nak tolong, tak dapat. Sabar sajalah.
"Tumpukan perhatian masa saya mengajar." Dingin, sekali lagi Yuri memerintah lalu meneruskan pengajarannya.
Satu jam berlalu dengan aman tanpa gangguan daripada mana-mana anasir. Sebaik sahaja loceng berbunyi menandakan sesi pengajarannya untuk kelas itu tamat, dia segera keluar dari kelas bagi memberi laluan kepada guru seterusnya masuk mengajar.
"Rejeki! Pak suruh kamu kerat ranting pokok bunga, bukannya tebang pokok tu. Astaghfirullahalazim ini anak!" tempik satu satu suara.
Suara bingit Pak Harto si tukang kebun memarahi pekerja bawahannya menarik minat Yuri. Dia yang sedang berlenggang ke kantin berhenti berjalan lalu berpaling ke arah suara memetir di taman botani sekolah.
"Ryu?" Yuri berasakan jantungnya direnjat dengan elektrik. Jejaka yang dicarinya selama ini muncul di depan mata!
I'm so tired tulis chapter ni. 😌
____________
10 August 2021
7 malam.
PENTING!!!
Saya kini sedang mengalami kesibukan kerja yang luar biasa. Juga, saya dalam kontrak penulisan manuskrip novel bersama sebuah syarikat penerbitan. Oleh itu, novel ini tidak akan ada sambungan sehinggalah saya selesaikan kerja tersebut. Harap anda ambil maklum dan faham kekangan diri ini. Terima kasih atas perhatian. ❤️
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro