😈 SEPULUH 😈
Ryu memberhentikan keretanya di bahu jalan. Pantas tangannya mencapai telefon pintar yang berada di dalam kocek lalu nombor telefon seseorang ditaip laju. Setelah lima kali deringan, panggilannya bersambut.
"Apa hal kau call aku malam-malam buta ni?" Dengan suara serak-serak basah, orang di talian sana bertanya. Sesekali, bunyi nguapan turut kedengaran.
"Arata. Aku..." Tanpa sempat menghabiskan ayatnya, Ryu terbatuk-batuk keras sehingga memercik keluar darah dari mulutnya.
"Ryu? Kau okey?" Suara di talian berubah cemas.
"Tak. Ak... aku akan ke tempat kau. Sekarang." Usai menuturkan ayat tersebut, sekali lagi Ryu terbatuk keras.
Kuat betul penangan Tornado Fatal Kick yang dilayangkan oleh Yuri tadi. Hampir saja dia KO sama macam Tobio tempoh hari. Cuma saja, dia sempat mengelak sedikit.
Jadi, efeknya tidaklah terlalu kuat macam yang diterima oleh penyangak itu. Jika tidak, mahunya dia terlantar di ICU dan lumpuh separuh badan. Lagi haru, koma berbulan-bulan.
"Kau buatkan aku risaulah, Ryu," tutur suara di talian.
Namun, suara itu diabaikan saja oleh Ryu apabila tanpa berkata apa-apa, dia memutuskan talian. Kini, matlamatnya hanya satu iaitu mendapatkan rawatan secepat mungkin.
Setelah mengambil nafas lebih kurang sesaat dua, Ryu kembali memutar stering keretanya lalu memandu ke tempat Arata. Masa yang ada tidak boleh dibuang begitu sahaja jika dia mahu selamat!
Setelah 20 minit memandu dalam keadaan uzur dan hampir terbabas, akhirnya penyeksaannya berhenti apabila dia sampai di sebuah kedai makan yang masih beroperasi walaupun sudah tengah malam. Tanpa berlengah, pantas dia keluar dari kereta lalu menapak perlahan ke pintu belakang.
"Ryu!" seru suatu suara. Nadanya panik.
"Tornado Fatal Kick? Kau jumpa Katsune?" soalnya pula apabila melihat secara rawak fizikal Ryu yang kelihatan macam kain buruk.
"Diamlah, Arata." Ryu mengetap bibir.
Hish. Orang tengah sakit, boleh pula dia tanya macam-macam. Bagilah dulu dia rehat. Selamatkanlah dia dulu barulah tanya puas-puas. Tanya sekarang, bukannya dapat apa.
"Err. Okey, okey. Sorry. Mari masuk dulu." Arata memapah Ryu masuk ke klinik haramnya yang dikelabui dengan operasi kedai makan.
Sebaik sahaja Arata membuka pintu, aroma masakan China-Jepun menerjah masuk ke dalam rongga hidungnya. Buat seketika, Ryu terlupa akan kesakitannya. Bau masakan oden yang dimasak oleh Kazu, tukang masak di situ membuatkan perutnya berkeroncong.
"Arata. Le... lepas ni bila aku bangun... aku nak makan... o... oden."
Dengan suara tersekat-sekat, Ryu membuat permintaan kepada Arata. Namun, sebaik sahaja dia menyudahkan ayat terakhir, batuknya datang lagi sehingga terpercik darah di lengan Arata yang cuba menyokong dirinya daripada terlorot jatuh.
"Kau nak makan 10 mangkuk oden pun, aku boleh bagi. Yang penting, kau kena hidup. Faham, Ryu?" Arata menepuk-nepuk pipi Ryu agar tidak terlelap.
Gusar hatinya melihatkan keadaan Ryu sekarang. Sudahnya, pantas dia memapah masuk sahabatnya itu ke satu ruang rahsia yang menempatkan kliniknya yang beroperasi tanpa lesen sejak bermastautin di Malaysia setahun lalu.
"Doktor, semua dah siap," lapor pembantunya sebaik sahaja dia muncul di muka pintu.
"Bagus." Dia menyerahkan Ryu kepada pembantu-pembantunya untuk diuruskan apa yang patut sementara dia bersiap.
"Dia kena Tornado Fatal Kick. Check tahap kecederaan, Keita," arah Arata.
"Amami, call Kazu. Minta dia padam semua track kedatangan Inspektor Nael Rizq ke sini," arahnya pula kepada Amami, si jururawat.
"Baik, doktor," akur Amami lalu segera mencapai telefon dan mendail nombor Kazu.
Arata pula, apabila dia selesai bersiap, pantas dia mendapatkan Ryu yang sudah tidak sedarkan diri di atas katil. Berdasarkan diagnosis awal daripada Keita, nampaknya teruk jugalah kecederaan dalaman polis itu.
"Haih. Yuri, Yuri." Arata menggeleng kepala.
Lantas, tanpa membuang masa, dia memulakan proses rawatan. Dengan berhati-hati, dia mengaplikasikan semua teknik perubatan yang dipelajarinya selama ini.
Dicampur dengan pengalaman lepas merawat mangsa kekejaman Yuri, akhirnya dia berjaya menyelamatkan nyawa Ryu setelah tiga jam berhempas-pulas menyaksikan episod menggundahkan jiwa.
"Syukur kepada tuhan." Arata menarik nafas lega seraya mengucapkan syukur kepada tuhan yang dipercayainya.
"Amami, bila Ryu dah sedar, panggil aku. Keita, panggil Kazu. Kita bertiga kena berbincang." Arata mengeluarkan arahan kepada anak buahnya.
Seketika, dia memandang kepada Ryu yang masih tergeletak kaku di atas katil. Keluhan kecil terbit dari bibirnya. Rambutnya diramas, mukanya diraup. Dia pasti yang tujuan Ryu berjumpa dengan gadis itu bersebab.
Mungkin, 'masa'nya telah tiba. Jika tidak, Ryu takkan berjumpa dengan gadis itu. Dia, Arata si orang kanan ayah Yuri berasa sangat yakin dengan hal tersebut. Yuri Katsune mungkin dalam bahaya!
Done!
Sudut ilmu pun tak sempat nak cari. Poor me. Huhu.
Ps: Esok 9 Zulhijjah. Ayuh siapa yg boleh puasa tu, puasalah. Hihi.
18 Julai 2021
8.10 malam.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro