Bab 5
"Awak lagi?" Megat Danial yang tadinya berwajah berang bertukar sebaliknya. Sedikit lega, bermakna bukan dia dan perempuan itu sahaja berada di ruang sederhana besar ini.
"Errr... Sorry encik, kali ini saya bukan menceroboh apatah lagi nak tumpang tidur! Saya cuma ambil ni." Telefon berjenama Samsung itu ditunjuk ke arah mereka semua.
"Saya cuma ambil ni, sumpah!" ucap Misha cuba meyakinkan Megat Danial dan yang lain-lain. Hampir tujuh pasang anak mata memerhatikan dirinya yang masih tidak berganjak dari kedudukannya.
"Bangun!" sergah Megat Danial sepatah. Sejurus itu, kaki diayun ke birai katil menggapai baju kemeja yang terdampar di situ.
Dari ekor mata, Maya yang sudah siap berpakaian dikerling tajam. Satu lagi manusia harus dilenyapkan dari pandangan mata!
Tunggulah, lepas ni giliran kau, Maya! Hati kecilnya berdetak, sesudah itu gadis yang masih termangu di dalam bilik air dipandang lagi.
"Dari tengah hari tadi awak duduk dalam bilik air! Apa, tak siap-siap lagi kerja awak tu?" sindir Megat Danial seraya menyarung kemeja ke tubuh. Sesudah itu, Misha yang baru menapak keluar segera mendekati.
"Eh, dah lama saya siap, encik! Tapi handset saya tertinggal dalam bilik air ni!" aju Misha berterus terang.
"Bila awak keluar?" soal Megat Danial lagi.
"Tengah hari tadi. Lepas siap cuci, saya terus keluar!" jawab Misha perlahan.
"Tutup pintu atau tak?" Megat Danial terus-terusan menyoal. Misha menghela nafas, jawapan yang diberi pasti akan mengheret dirinya di dalam permasalahan yang berlaku seketika tadi.
"Errr... Tak! Sebenarnya saya lupa, encik! Saya terus keluar, saya minta maaf!" jelas Misha lambat-lambat. Wajah ditundukkan, tidak berani melawan pandangan tajam milik Encik Megat Danial. Penghuni bilik hotel mewah ini!
"Awak punca kepada semuanya!" gerutu Megat Danial bersama pandangan tajam. Misha yang berkecil hati dengan tuduhan itu segera merengus sebelum menghadiahkan pandangan tajam ke arah lelaki yang suka menyalahkan individu lain di dalam masalah yang berkait.
"Encik Danial kalau bercakap, ikut sedap mulut saja! Kalau bercakap tu, tolonglah jaga hati orang sama! Ini tidak, senang-senang hati menuduh itu ini! Pintu bilik encik, jadi enciklah yang patut tutup dan kunci! Saya ni cuma cuci bilik, bukan kunci bilik encik!" hambur Misha dengan panjang lebar. Tidak fasal-fasal, dia juga dipagut baran!
"Awak melawan saya? Awak tinggikan suara di depan saya? How dare you," ujar Megat Danial seraya menapak menghampiri gadis yang langsung tidak takutkan dirinya.
"Memang saya berani. Habis, encik nak buat apa kepada saya? Nak paksa Encik Danny pecat saya? Hah, silakan! Saya pun dah terlalu bosan dengan sikap manusia spesies encik! Tahu nak salahkan orang saja!" Satu per satu patah bicara itu terhambur keluar dari pinggir bibirnya. Oh, ternyata dia puas hati dengan apa yang diluahkan seketika tadi.
"Danny, kau tengok budak ni! Kau tengok." Megat Danial sudah bercekak pinggang di hadapan Misha yang mendongak menancap raut wajahnya. Berani!
Sedikit pun tidak menghiraukan pandangan manusia-manusia yang turut melihat kelakuan mereka berdua.
"Haippp... Sabar kejap!" Danny menapak mendekati sepupunya.
"Kau tengok budak ni, aku bengang betul!" hambur Megat Danial bersama rahang yang sudah bergerak-gerak menahan perasaan tidak senangnya.
"Sudahlah Di... Dengan perempuan pun kau nak layan gaduh? Tolonglah, Di..." aju Danny bersama rayuannya. Ya, dia merayu kepada Megat Danial agar lelaki itu mengawal emosi sendiri.
"Aku bukan cari gaduh, aku cuma tak suka orang melawan cakap aku!" bentak Megat Danial tidak mahu mengaku salah.
"Yalah... Yalah..." Danny mengangguk lalu memerhatikan pula gadis yang menjadi kebencian sepupunya itu. Ada sesuatu yang ingin diperkatakan!
"Misha, lepas ni jangan melawan cakap Encik Megat, ya? Dia ni pantang kalau ada yang melawan cakap!" ujarnya bersama nada mendatar. Sesak dada melayan kerenah sepupu yang punyai perangai pelik.
"Kenapa pula, encik? Dia yang tak reti hormatkan saya! Lagi satu, kalau dia sendiri bercakap yang baik-baik, pasti saya juga takkan melawan cakap dia. Ini tidak, menuduh dan hanya tahu menyakitkan hati orang saja," selar Misha bersama bibir yang dicebirkan sedikit.
"Kau tengok tu, dia melawan lagi!" Megat Danial semakin berang.
"Uwekkk!" Misha menjelir lidah ke arah lelaki itu lalu cuba mengatur langkah meninggalkan ruang hangat membahang itu secepat mungkin! Bosan berlama-lama melihat Megat Danial yang angkuh dan sombong!
"Wait..." Danny bergerak sedikit ke hadapan lalu memintas dan menghadang jalan.
"Apa ni, Encik Danny? Saya nak balik, dah lewat ni! Lagipun, waktu kerja saya dah lama habis!" ujar Misha seraya mengerling Megat Danial. Benci betul!
"Awak tak boleh balik lagi, awak perlu ke pejabat agama!" gesa Danny membuatkan Misha dihambat perasaan tidak senang. Mengapa pula dia yang harus ke pejabat agama? Sedangkan yang ditangkap khalwat ialah lelaki itu bersama teman wanitanya. Dan mengapa dia yang tiada kena-mengena harus dipertanggungjawabkan? Ah, pelik betullah dunia ni!
"Tolong ikut saya... Please!" ucap Danny perlahan memujuk.
"Kenapa pula? Saya dah lambat tahu, esok saya syif pagi!" gumam Misha enggan menurut.
"Tolonglah Misha, saya yakin awak nampak semuanya! Tolong jelaskan keadaan sebenar, hanya awak seorang yang mampu bersihkan nama Megat Danial." Pujukan Danny kembali menyapa.
"Encik ni kenapa? Bela sangat mamat sengal tu?" soal Misha hairan. Jangan-jangan Encik Danny punyai hubungan songsang dengan lelaki bernama Megat Danial. Oh, tidak! Misha tekup mulut!
"Mamat sengal?" ulang Danny bersama kerutan di wajah.
"Errr... Maksud saya, Encik Danial!" Misha membetulkan kata-katanya tidak lama kemudian.
"Oh, dia tu! Memang saya terpaksa bela, dia sepupu saya! Lagipun, dia ni bos besar hotel ni!" ucap Danny bersama wajah yang bersungguh. Mata Misha membulat, tiba-tiba sahaja liur yang ditelan terasa pahit. Seolah-olah dia sedang berdiri di mulut singa yang sedang ternganga! Bila-bila masa sahaja bakal dibaham!
"Misha, tolong saya, eh! Saya janji, kalau Encik Megat terlepas daripada dakwaan ni, saya akan naikkan pangkat awak!" Danny berharap Misha sudi merungkai kemelut yang sedang melanda sepupunya itu.
"Encik Danny, encik tahu tak yang encik cuba merasuah saya?!" Misha meluahkan rasa. Berusaha untuk mengelak!
"Bukan rasuah, tapi reward!" balasnya sebelum empunya diri salah sangka.
"Tak kesahlah, tapi ada imbal balik kepada pertolongan yang saya beri dan dengan itu bermakna ada niat tertentu di sebaliknya!"
"Okey, saya rasa esok awak boleh sambung ceramah awak tu. Sekarang, tolong Encik Megat," tekan Danny setelah menyedari Misha seperti enggan membantu, lalu dia terpaksa menggunakan sedikit kekerasan.
"Kita selesaikan masalah ni di pejabat kami! Di sana semua keterangan daripada encik, cik dan staf encik akan diambil dan disiasat!" Sedang Danny melakukan sesi paksa pujuk, suara pegawai pencegah maksiat menyapa halwa telinga. Misha mengetap gigi! Ah sudah, dia juga terlibat sama!
"ARGHHH... Saya dah mengantuk ni!" Misha sudah membebel. Kuap sudah berkali-kali singgah di pinggir bibir. Sesekali raut wajah Danny dikerling melalui ekor mata. Lelaki itu sedang berbual di telefon! Sekejap tersenyum, dan seketika kemudian lelaki itu tersipu-sipu malu! Megat Danial pula masih disoal siasat. Lama sungguh!
"Encik Danny, berapa lama lagi saya kena tunggu?" Misha tidak mampu lagi bersabar.
"Shhh... Saya tengah calling ni!" bisik Danny lalu jari telunjuk dilekapkan di ulas bibir. Memberi isyarat agar gadis itu senyap seketika.
"Saya dah penat, tahu?! Esok saya kerja pagi!" bebel Misha masih tetap tidak berganjak dengan pendiriannya. Namun bicaranya tidak mendapat respons Danny. Lelaki itu sedang asyik melayani panggilan yang masuk.
Ah, tensionnya aku! gerutu hati kecil bersama rasa bengang yang tidak sudah!
Sedang Misha menjeling tajam ke arah lelaki bernama Danny yang sedang galak berbual, daun pintu terkuak dari dalam. Perlahan-lahan dia menoleh dan tidak semena-mena, senyuman Megat Danial bersama pegawai yang menguruskan kes tangkapan tadi menyapa ruang mata.
"Maafkan kami kerana menyusahkan encik!" ucap pegawai berkopiah putih itu seraya menghulurkan tangan untuk berjabat!
"It is okay. Terima kasih!" Megat Danial menyambut huluran tangan itu lalu digenggam erat sebelum dilepaskan tidak lama kemudian.
"Kadangkala keadaan seperti ini sering juga terjadi, maka dengan itu kami perlu berwaspada dan berhati-hati menjalankan siasatan agar tiada pihak yang teraniaya!" luah pegawai itu cukup berdiplomasi dengan pendekatan bahasa yang cukup baik dan lembut. Tenang hati orang yang mendengarnya.
"Seperti yang saya katakan pada awal tadi, ini merupakan cubaan kedua daripada dia. Dan saya tak tahu apa motif sebenar dia lakukan semua ni. Tapi apa yang penting, semuanya sudah selesai. Saya lega sangat!" ujar Megat Danial diikuti helaan nafas yang panjang.
"Lain kali, berhati-hatilah!" sambung pegawai itu tidak lama selepas itu.
"Insya-Allah. Terima kasih, encik! Kalau dah settle semuanya, saya balik dulu!" gumam Megat Danial meminta izin untuk pulang.
"Ya, sama-sama! Assalamualaikum." Angguk lelaki itu seraya menghulurkan tangan untuk berjabat semula.
"Waalaikumussalam," sahut Megat Danial seraya membalas huluran tangan pegawai yang ditugaskan untuk memerangi gejala zina yang semakin berleluasa.
Sesudah itu, pegawai yang sudah selesai menjalankan siasatan meminta diri untuk kembali semula ke dalam bilik pejabatnya. Megat Danial hanya mengangguk dan menghadiahkan senyuman nipis sebelum melihat susuk tubuh itu hilang dari pandangan mata. Tidak lama selepas itu, kaki diayun mendapatkan Danny yang sedang berbual di telefon.
"Oit!" sergahnya pendek dan serentak itu juga Danny memutuskan talian dan terus sahaja memberi fokus terhadap sepupunya yang tampak sedikit ceria dari tadi.
"Weh, apa macam? Boleh settle tak?" Danny menyoal dengan tiba-tiba.
"Settle!" balas Megat Danial sepatah.
"Cayalah, beb!" tutur Danny dengan raut wajah ceria. Bahu sepupunya ditumbuk perlahan.
"Jom balik," arah Megat Danial tanpa mempedulikan Misha yang masih duduk termangu di atas kerusi panjang di luar bilik pejabat pegawai pencegah maksiat tadi.
"Misha, jom balik! Saya hantar awak!" tawar Danny bersama segaris senyuman.
"Tak naklah encik, saya minta kawan saya jemput saya di sini!" tolak Misha dengan perasaan kecewa yang amat! Bukan sahaja tiada ucapan terima kasih, bahkan lelaki ego seperti Megat Danial menganggap dirinya seperti tidak wujud pula di situ. Sungguh menyakitkan hati! Tak kenang budi!
"Eh, janganlah macam tu, Misha. Tadi saya bawa awak ke sini, dan balik mestilah saya yang hantarkan!" aju Danny tidak senang dengan penolakan Misha.
"Tak apalah encik, saya boleh balik sendiri!" Misha masih teguh dengan pendiriannya.
"Eee... Janganlah macam tu! Kalau ada lelaki jahat ke, perompak ke, perogol ke, macam mana? Bahaya, tahu? Lagipun dah lewat sangat! Tak sampai hati saya nak tinggalkan awak sorang-sorang dekat sini," protes Danny sambil mengambil tempat di sebelah Misha yang berwajah murung.
"Tak apalah, encik. Saya boleh jaga diri saya sendiri! Lagipun saya dah besar," luah Misha seperti orang yang sedang berjauh hati.
"Tak boleh! Tak boleh! Awak kena ikut saya balik! Saya hantar awak sampai depan pintu rumah awak! Awak staf saya, kalau apa-apa terjadi, saya juga yang susah nanti!" ujar Danny berharap Misha tidak lagi menolak.
"Cepatlah! Aku dah mengantuk tahu tak?!" Tiba-tiba Megat Danial menyampuk. Kata-katanya seolah-olah ditujukan kepada Danny, tetapi sebenarnya diperdengarkan kepada Misha yang sedang jual mahal.
Danny yang duduk segera bangkit lalu menghampiri sepupu yang sering kali naik darah.
"Sabarlah bro, Misha ni staf kita! Takkan nak tinggalkan dan biarkan dia balik sorang-sorang!" hambur Danny sedikit kesal. Bukan mahu berterima kasih, bahkan memperlekehkan pula pekerja housekeeping itu. Sungguh tidak wajar!
"Kau jangan nak baik sangatlah dengan budak tu, Danny! Jangan-jangan dia pun sama nak menganiaya aku! Bersubahat! Lagipun, celah mana pula si mangkuk ayun Maya tu ada kunci bilik aku?" desak Megat Danial ingin tahu.
"Kau jangan nak tuduh sembarangan Di, tak baik!" ucap Danny pula. Sesekali dia kerling raut Misha yang sudah cemberut.
"Baik ke, tak baik ke... aku ni dah hampir-hampir kena fitnah! Kau tak rasa, kau tak tahu Danny! Tak pasal-pasal aku ke sini malam-malam buta macam ni! Memang kurang ajar," bentak Megat Danial dalam rasa amarah yang tidak tertanggung apabila peristiwa mengaibkan itu berlayar ke ruang minda.
"Aku tahu kau kena fitnah, tapi takkanlah Misha punca kau kena fitnah! Dia ni budak housekeeping aje!" bantah Danny tetap tidak mahu menerima telahan sepupunya itu.
"Budak housekeeping la yang ada kunci spare! Siapa lagi?!" balas Megat Danial bersama jelingan tajam ke arah Misha. Sesudah itu dia mengalih pandangan, lalu nafas dihela lagi.
Kerana tidak menjaga hatinya, Misha terus sahaja bersuara. "Encik Megat Danial, dengar sini baik-baik!" Misha bangkit lalu menapak mendekati lelaki itu.
"Encik ingat, saya ni hadap sangat nak fitnah encik? Tolong cermin diri tu dulu! Encik bukanlah kacak sangat atau apa-apa sahaja yang boleh mendorong saya memfitnah encik. Buang masa! Tak ada faedah saya nak fitnah lelaki ego seperti encik. Habuk pun tak ada!" Misha menyoal bersama riak yang sengaja mengundang amarah Megat Danial. Terjuih-juih bibirnya menuturkan baris-baris kata itu.
"Misha..." Danny cuba meredakan Misha walaupun di sebelah sana Megat Danial sudah kelihatan menyinga.
"Sekejap, Encik Danny... Saya belum habis bercakap!" gerutu Misha memandang Danny untuk seketika sebelum kembali menancap raut Megat Danial yang sudah berubah tegang.
"Helo... Please... Bersepah lagi lelaki kacak dan berbudi bahasa di luar sana yang boleh saya fitnah dan dapatkan manfaat daripadanya! Setakat lelaki macam encik, bagi percuma pun saya tak mahu!" jerit Misha sesudah itu. Tanpa berlengah lagi, dia mengorak langkah meninggalkan pekarangan yang menjadi saksi dia memarahi majikan sendiri. Ah, dia peduli apa! Ini makannya untuk orang yang tak tahu menghargai jasa dan pertolongan orang lain.
"Kau tengok, kau tengok tu, Danny..." Megat Danial memerhatikan setiap langkah Misha dengan perasaan sebal.
"Ha, padanlah muka kau! Siapa suruh kau tuduh dia sesuka hati?! Tak reti berterima kasih!" hambur Danny turut kesal dengan sikap tidak matang sepupunya itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro