Bab 4
"Kau nak pergi ke mana lepas ni, Di?" Danny yang sedang menghirup kopi kapucino bertanya kepada si sepupu yang tampak kelesuan. Asyik lesu sahaja, entah apa yang dibuatnya.
"Aku nak masuk bilik kejap... Badan aku sakitlah!" balas Megat Danial perlahan.
"Itulah kau, habis kerja memerap dekat rumah! Bersosiallah sikit, tak adalah badan kau sakit-sakit, sengal-sengal..." komen Danny pada gaya hidup Megat Danial yang membosankan. Pergi kerja, balik kerja. Rutin yang sama sejak empat tahun mereka memulakan kerjaya di syarikat milik keluarga. Langsung tidak pernah berubah, dan wajarlah jika sepupunya itu tidak mempunyai teman wanita.
"Tak perlu bersosial, cukup bersukan! Kau tu, kalau aku ajak main futsal, punyalah banyak alasan! Bila bergencot ke disko, bukan main lagi!" sindir Megat Danial membuatkan Danny tersengih hingga menampakkan barisan gigi yang tersusun rapi.
"Hehehe. Bergencot dengan awek cun beb, siapa yang tak suka?" Danny ketawa lepas hingga mengundang gelengan Megat Danial.
"Suka hati kaulah, bro... Aku nak masuk bilik sekejap. Nak rehat..." gumam Megat Danial seraya bangkit dari kerusi yang didudukinya. Dewan bankuet yang dijadikan port melepak mereka saban hari ditinggalkan dengan langkah perlahan setelah dia memberi isyarat kepada Danny untuk berlalu pergi.
Tanpa berlengah, kaki diayun menuju ke kamar hotel yang dijadikan kediaman sementara apabila dia tidak mahu pulang ke rumah atau sekadar melepaskan lelahnya sewaktu bekerja. Di kamar itu, segalanya sudah tersedia dan dia hanya perlu merebahkan tubuh dan beristirahat tanpa gangguan.
Sebaik sahaja kaki terhenti di hadapan muka pintu, segugus anak kunci dikeluarkan dari poket seluar. Tanpa berlengah lagi, tombol pintu dipulas dan daun pintu diluaskan. Haruman lavender dan muzik sentimental menyambut kedatangannya. Sejurus itu, kaki diayun mendekati katil bersaiz king. Sesaat kemudian, tubuh sudah direbahkan dengan keadaan terlentang menghadap siling. Sekali lagi keluhan terdengar perlahan.
Sedang asyik melayani kantuk yang baru menjengah, sepasang telinganya menangkap bunyi air mengalir di dalam bilik air. Rasa mengantuk dan lesu yang sedari tadi tidak tertahan-tahan, seakan-akan hilang dengan sendirinya. Manakala mata yang hampir terpejam kembali segar-bugar. Daripada berbaring, dia kini sudah duduk melunjur sebelum bangkit dan berdiri.
Dia merenung bilik air berdinding kaca yang dilindungi dengan tirai tebal di sebelah dalamnya. Tidak semena-mena, daun pintu yang tertutup rapat terkuak dari dalam. Figura seseorang yang sedang melangkah keluar menyapa pandangan. Serentak itu juga, raut wajah yang sudah lesu bertukar tegang. Riak-riak amarah sudah mewarnai seluruh wajah. Hati yang tenang sudah dihambat baran!
"What are you doing here?" Suaranya sahaja sudah bergema di ruang sederhana besar itu. Maya yang baru selesai membersihkan diri tersentak hingga tuala yang membaluti tubuh hampir terlucut. Tidak menyangka begitu cepat Megat Danial kembali ke kamarnya! Sia-sia sahaja dia bersepakat dengan pelayan bankuet yang diupah memasukkan sesuatu ke dalam minuman lelaki itu.
"I asked you, Maya! You pekak ke apa?!" jerkah Danial bersama baran yang sudah tidak tertanggung lagi.
"Errr... Errr... I am so sorry, Encik Danial! Really, really sorry. I tersilap bilik." Maya sudah hilang keberanian tidak berani memanggung wajah. Nahaslah dirinya kali ini!
"Silap bilik? Jawapan apa yang you beri ni, Maya?" Soalannya bernada sinis.
"I... I am so sorry..." Dalam ketakutan itu, Maya tidak mampu berfikir lain selain memohon maaf. Rancangannya kali ini gagal!
"Hei... Siapa yang izinkan you masuk ke bilik I?" Sekali lagi Maya tersentak dengan nada tinggi yang terhambur dari ulas bibir lelaki itu. Dia tidak berani membuka bicara, apatah lagi menerangkan segala apa yang sudah dirancang. Aduh, dia sudah silap langkah!
"Berambus! Berambus!!!" pekik Megat Danial mengusir Maya yang bertuala separas dada keluar dari kamar rehatnya. Keluar! Wajah itu sedikit pun tidak dijamah pandangan mata. Dia jijik melihat perempuan, apatah lagi perempuan semurah Maya.
"I am so sorry, Encik Danial..."
"Tak payah nak sorry sangat... Berambus!" usir Megat Danial tanpa mahu mendengar segala alasan dari bibir wanita seseksi Maya. Jika diikutkan hatinya yang marah, mahu sahaja Maya dihumban keluar dari balkoni. Biar menjadi pengajaran kepada manusia-manusia yang sengaja mencari masalah dengan dirinya.
"Get out!" jerkahnya apabila Maya masih tidak berganjak.
"Sekejap, I nak pakai baju," ucap Maya bersama bibir yang terketar. Tidak menyangka begitu bengis sekali wajah lelaki yang diidamkannya selama ini.
"Aku tak nak dengar apa-apa. Sekarang kau berambus!" Nada yang terhambur dari ulas bibirnya semakin deras hingga memaksa Maya bergegas meninggalkan kamar hotel itu tanpa berpakaian lengkap. Niatnya untuk memerangkap lelaki itu, bertukar sebaliknya. Dia pula yang terperangkap! Rancangan tidak menjadi bahkan dirinya pula yang mendapat malu!
Melihat Maya sudah terkocoh-kocoh keluar, Megat Danial mendekati almari pakaian. Terjegil matanya melihat pakaian Maya sedang elok tersangkut di dalam almari kepunyaannya. Serentak itu juga, baju yang bergayut di penyangkut baju ditarik, direntap lalu digulung dan dilempar ke luar bilik hotel.
"Housekeeping!" jeritnya sebaik melihat troli pekerja-pekerja unit itu sedang berada di hujung sana. Melakukan tugasan rutin!
"Encik Danial lagi... Guest garang macam singa tu!" gerutu Nita sambil berselindung di sebalik troli. Terjengul-jengul dari jauh!
"Housekeeping!!!" Kali ini laungannya semakin deras.
"Alamak... Dia panggil kitalah! Macam mana ni?" Nita yang bimbang segera menyoal Misha yang berada di sebelahnya.
"Kau pergilah!" sahut Misha bersahaja.
"Aku?" Nita tunjuk dirinya sendiri. Kemudian dia menggeleng laju.
"Tak naklah aku... Kaulah yang pergi!" Nita menyiku lengan Misha yang turut menyembunyikan diri.
"Tak naklah! Kalau dia tahu aku kerja di sini lagi, entah apa-apa lagi aduan yang dia nak buat kepada bos kita tu!" balas Misha enggan menurut. Masih tidak mengetahui Danny dan Megat Danial ialah sepupu dan juga bos besar hotel tempat dia bekerja.
"Kaulah pergi!" suruh Misha kepada Nita. Dia bimbang untuk memperlihatkan dirinya semula, apatah lagi bos bernama Danny sudah berpesan agar tidak memunculkan diri di hadapan lelaki yang selalu naik darah itu.
"Aku takut!" gumam Nita enggan menurut.
"Ala... Pergilah!" pujuk Misha pula. Belakang tubuh sahabatnya ditolak agar segera mendapatkan lelaki itu.
"Aku takut! Kau pergilah, kau dah ada pengalaman dengan dia tu!" juih Nita sambil cuba mengalih tapak tangan Misha yang sedang menolak tubuhnya.
"Banyaklah pengalaman!" Misha mencebir.
"Hoi... Cepatlah!" jerkah Danial masih terjengul di muka pintu sambil bercekak pinggang.
Akhirnya Misha terpaksa keluar dari tempat persembunyiannya, perlahan-lahan dia menapak dengan wajah tertunduk.
"Awak lagi?" soal Megat Danial bersama raut wajah yang tidak mesra!
"Ya. Bos saya belum pecat saya!" gumam Misha berani.
"Degil!" tekan Megat Danial lantas berpusing masuk ke dalam kamar meninggalkan Misha bersendirian di hadapan pintu bilik hotelnya.
"Apa tercegat lagi?! Cuci toilet tu, buang semua baju yang bersepah depan pintu ni!" Arahan itu keluar bertubi-tubi. Misha sekadar mengangguk tanpa protes. Encik bos yang bernama Danny telah menasihatkan dirinya agar bersabar sahaja melayani kerenah pengunjung yang cerewet. Lebih-lebih lagi, lelaki yang memarahinya tempoh hari! Dan lelaki itu sedang berdiri di hadapan matanya pada ketika ini.
"ENCIK kerja apa? Ada orang beritahu kepada saya, yang encik sudah sebulan tinggal di bilik ni? Encik ada seminar ke?" soal Misha sambil mengeringkan lantai bilik air menggunakan mop. Sesekali, ekor matanya mengerling susuk tubuh lelaki yang masih tegak bersandar di balik dinding. Serentak itu juga, satu keluhan kecil menyapa pendengaran.
"Maaf, saya menyibuk!" gumam Misha tidak lama selepas itu. Tersedar dirinya sudah mencampuri urusan orang lain. Pasti manusia berkot hitam itu tidak senang! Tengoklah tu, tegang benar raut wajahnya.
"It is okay, menyibuk memang sifat perempuan!" ujar Megat Danial selamba. Misha ketap bibir, terasa membahang raut wajahnya apabila lelaki itu memberi komen sedemikian. Telus tanpa sebarang tapisan!
"Saya tak fahamlah, kenapa saya dipertemukan dengan manusia seperti Encik Danial! Manusia bongkak, angkuh, sombong, tak sedar diri... Poyo, sengal!" hambur Misha meluahkan satu per satu ketidakpuasan dalam hatinya. Tidak cukup dengan itu, batang mop dihempas ke atas lantai. Dia naik darah apabila berhadapan lelaki seperti Megat Danial. Lelaki itu benar-benar menguji kesabarannya sebagai seorang manusia biasa!
"Saya pun tak faham, kenapa saya perlu menghadap perempuan seperti awak buat kali kedua!" ulas Megat Danial bersahaja. Terjongket-jongket kening kanannya. Sengaja memprovokasi gadis yang kemas dengan uniform kerjanya ini.
Hei... Aku bengang betullah dengan dia ni! Apa masalah dia yang sebenarnya? Kurang kasih sayang gamaknya! gerutu hati kecil Misha menahan rasa sakit dalam hati. Baru sahaja dia berfikir untuk berdamai dan melupakan segalanya! Namun, keinginan itu terhapus apabila lelaki ini masih dingin dan beku. Sudahnya dia mengutuk lelaki itu, dan lelaki itu pula mencemuh dirinya.
"Buat kerja awak, sebelum saya paksa bos awak pecat awak!" tekan Megat Danial lantas berpusing lalu mengatur langkah menuju ke arah katil.
"Saya tengah buat kerja sayalah! Tak nampak ke?" balas Misha menekan sedikit nada suaranya.
"Good!" balas Megat Danial lalu melabuhkan duduk di birai katil. Kantuk yang hilang kembali datang dan mata yang segar terasa memberat dengan tiba-tiba. Tanpa berlengah, kaki yang terjuntai dibawa naik ke atas katil lalu tubuh yang lesu direbahkan. Rasa mengantuk yang menyusul seketika tadi dilayani dengan sebuah lelap yang indah dan penuh kedamaian tanpa mempedulikan Misha yang masih berdiri di sudut itu.
"Itulah orang kaya, berlagak! Cakap tak pernah nak hormat orang!" gerutu Misha seraya mengerling ke arah lelaki yang sedang terlena. Terlupa dia juga anak kepada golongan berada.
Usai mengemas, dia memerhatikan semula lelaki yang tiba-tiba senyap itu.
"La... Dah tidur rupa-rupanya! Aku dah siap kerja, sekarang aku nak keluar. Selamat tinggal, Encik Danial!" ucap Misha. Langkahnya diatur meninggalkan pekarangan bilik hotel sambil menjinjing baldi dan juga peralatan mencuci menuju ke troli yang diletakkan di koridor luar.
Detik demi detik berlalu, hari yang cerah sudah bertukar gelap! Misha masih sibuk mencari telefon bimbit yang disedari hilang sejak petang tadi lagi.
"Misha, jumpa tak?" soal Nita pendek.
"Kalau tak jumpa, kau belilah yang lain!" luah Azim pula. Sudah sejam mereka membantu Misha mencari telefon yang dikatakan telah hilang. Namun, apa yang dicari masih tidak ditemui.
"Haah Misha, dah sejam kita cari. Kalau tak jumpa juga, kau beli yang lainlah! Lagipun, handset kau bukannya mahal sangat! Seratus ringgit aje!" sahut Azam bersama tawa. Azim, pasangan kembar kepada Azam itu pula sekadar tersengih manakala Nita pula masih tetap seperti tadi. Setia membantu Misha yang berada di dalam kesusahan.
"Misha... Sudahlah! Kau beli aje yang lain. Lagipun, aku tengok handset kau dah daif. Tukar sajalah... Kau bukannya tak ada duit! Duit berkepuk tapi handset cabuk buat apa kan?" gerutu Azim bersama tawa yang masih belum reda.
"Itulah kau orang... Kalau member ditimpa kesusahan, kau orang bukannya bersimpati, tolong gelakkan lagi adalah!" rungut Misha kelihatan resah.
"Okey... Okey! Sorry okey, aku bersimpati kepada kau! Tapi dekat satu jam kita cari, tetap tak jumpa! So, pilihan yang ada, kau kena beli yang lain!" tukas Azim memberi cadangan bernas. Dia tahu Misha begitu sayangkan telefon bimbit itu, namun padanya telefon bimbit seperti itu seolah-olah tidak sesuai digunakan pada zaman kini. Rata-rata pengguna sudah beralih arah kepada telefon pintar yang banyak fungsi dan bersesuaian dengan keperluan terkini.
"Tapi aku sayang sangat dengan handset tu." Dalam nada sayu Misha menyahut perlahan kata-kata Azim itu hingga menarik perhatian Nita yang ingin tahu.
"Sebenarnya, ada apa dalam handset kau tu?" Nita menyoal dengan riak penuh tanda tanya. Misha memerhati, raut wajah satu per satu rakan-rakannya diperhatikan.
"Tak ada apa-apa pun! Cuma ada nombor-nombor penting aje!" luah Misha perlahan. Sesekali dia tertunduk menekur lantai yang memantulkan cahaya lampu siling.
"Habis tu, kau nak buat apa sekarang?" soal Azam tidak lama selepas itu.
"Aku kena cari sampai dapat!" sahut Misha lambat-lambat.
"Tapi dah lewat ni, Misha," balas Azim bagi pihak Nita dan kembarnya, Azam.
"Kau orang baliklah dulu, aku balik kejap lagi!" ucap Misha seraya menguntum senyum. Jika tiada pilihan, dia rela untuk ditinggalkan di sini. Apatah lagi telefon itu adalah keutamaannya kini. Segala nombor dan kata laluan penting disimpan di dalam sana dengan menggunakan nama tertentu. Jika dia kehilangannya, sudah pasti hampir kesemua aplikasi yang memerlukan kata laluan sebelum dibenarkan akses, tidak boleh digunakan lagi. Itu yang menjadi ketakutannya!
"Ya, aku rasa lebih baik kau orang balik dulu. Aku mesti cari handset aku sampai dapat! Don't worry. Aku okey!" gumamnya cuba meyakinkan mereka semua. Namun Azam menggeleng sebelum membalas dengan nada bimbang.
"Eh, tak bolehlah kami tinggalkan kau sorang-sorang dekat sini!" Dia membantah.
"Kalau jadi apa-apa macam mana?" tokoknya lagi dan Misha segera menguntum senyum dengan keprihatinan yang ditonjolkan oleh mereka.
"Aku okeylah, bukannya aku tak biasa dengan tempat ni. Lagipun, rumah aku dekat depan tu aje! Bila-bila masa aku nak balik, aku boleh balik! Tak jauh pun... So, kau orang pergilah balik dulu, rumah kau orang jauh. Tentang aku, jangan risau, okey?" terangnya lagi sambil memerhatikan Azim, Azam dan Nita silih berganti.
"Betul ni?" Nita yang tinggal tujuh kilometer dari hotel mereka bekerja, meminta kepastian daripada sahabat yang baru sahaja dikenali kurang dari dua bulan.
"Yup, betul! Don't worry okay!" Misha tersenyum dan mereka bertiga membalas senyuman sebelum bangkit dan mengemaskan beg sandang yang tersangkut di atas bahu.
"Kalau macam tu, kita orang balik dulu. Esok kita jumpa lagi!" pesan Nita disambut anggukan Misha. Sesudah itu, dia melihat ketiga-tiga sahabatnya sudah bergerak menuju ke tempat parkir motosikal sebelum hilang di balik pekat malam. Nafas dihela lalu dia segera bangkit dan mengemaskan pakaian uniform yang sudah berkedut pada tubuhnya.
Dekat mana pula aku letak handset ni? Hati berdesis dan minda masih dikerah mengingati tempat terakhir telefon berwarna hitam itu diletakkan. Dia masih berfikir dan bibir terus sahaja mengomel tanpa henti.
Mungkin aku tertinggal masa kemas bilik guest tadi... Hati Misha berbicara.
"Tapi bilik mana?" Misha picit dahi, memikirkan ke mana perginya telefon bimbit yang sudah hampir setahun digunakan.
"Oh, ya! Baru aku ingat, handset tu aku letak dalam tandas di bilik Encik Danial!" Misha hampir melompat setelah yakin dengan telahan hatinya. Tanpa berlengah lagi, dia mengatur langkah menuju ke pintu lif lalu memboloskan diri ke dalam perut lif. Sesudah itu, butang lif bernombor lima ditekan dan sebaik sahaja pintu besi itu terkuak, Misha menapak laju menuju ke bilik yang dimaksudkan.
Eh, Encik Danial ni masih tidur atau dah balik? Hati berbisik ingin tahu.
Daun pintu yang tertutup rapat diperhatikan tanpa berkelip, Misha berasa tidak senang untuk mengetuk pintu bilik tetamu hotel lewat-lewat malam sebegini. Rasa bersalah menghantui diri, namun kehendak hati enggan dibiarkan sepi.
"Eh, pintu ni tak bertutup rapat. Bahaya betul," omel Misha sendiri.
Perlahan-lahan, Misha mengetuk permukaan pintu. Satu... Dua... Dan tiga kali! Namun tiada sahutan!
Dengan berhati-hati, dia menolak permukaan pintu! Hati dipagut rasa aneh, namun ini satu-satunya peluang yang dia ada untuk menyusup masuk dan mendapatkan semula telefon bimbitnya!
Tanpa berlengah, dia berlari masuk ke dalam kamar sebaik sahaja mendapati tetamu hotel yang garang seperti singa jadian itu masih terlena tanpa sedar. Kelihatan kot yang dipakai ketika siang tadi sudah terdampar di atas lantai!
"Lasaknya dia tidur!" Dalam melangkah, masih sempat kelibat lelaki itu dicuri pandang. Terasa aneh dengan apa yang dilihat, namun dia meneruskan langkah walaupun hati dipagut rasa curiga! Sepantas kilat dia meluru ke arah bilik air, dan apa yang dicari ada di sana! Oh, syukur!
Ketika dia memasukkan telefon bimbit ke dalam poket seluar slek, daun pintu kamar hotel itu ditolak dari luar. Serentak itu juga, perasaan gugup dan bimbang memukul di dalam dada! Terfikir bagaimana harus dia melepaskan diri jika penghuni kamar sudah tersedar atau lelaki itu menerima kunjungan tetamu yang lain! Ternyata dia sudah terperangkap!
Dari jauh, sepasang anak matanya melihat kelibat seseorang yang sedang menyusup masuk.
"Siapa pula tu? Alamak, macam mana aku nak keluar ni?" Resah dalam hati semakin menjadi-jadi. Mata pula masih bulat menancap susuk tubuh yang sedang mendekati katil yang menempatkan manusia bernama Danial!
"Danial... Akhirnya you tewas juga!" Suara itu menyapa halwa telinga. Misha segera merapatkan sedikit pintu bilik air. Namun dari kejauhan, dia masih mencuri lihat dari celahan daun pintu yang tidak bertutup rapat.
"You sombong! You hina dan tolak I mentah-mentah! Now, terimalah akibatnya!" ujar gadis itu seraya melucutkan satu per satu pakaian yang tersarung di tubuh. Dress paras lutut dicampak ke hujung katil dan rambut yang bersanggul dibuka ikatan lalu dikirai-kirai sepertinya gadis itu baru sahaja bangun daripada tidur! Sejurus itu, sarung kaki separas paha ditanggalkan dan kini yang tinggal hanyalah secebis fabrik nipis menutupi dua aset dirinya. Misha tekup wajah, malu melihat namun dia tetap mahu memandang tingkah aneh gadis yang dilihat begitu berani bertindak itu.
Misha telan liur apabila melihat gadis misteri itu mendekati Megat Danial, lalu melabuhkan punggung dekat di sisi dan begitu hampir dengan tubuh yang terlentang itu. Perlahan-lahan, anak mata menangkap perbuatan mengejut daripada seorang gadis yang diakui cukup cantik raut wajahnya!
"Malam ni, you akan jadi milik I, Danial!" Bibir itu melafazkan sebuah kehendak. Dengan pandangan tidak berkelip, Misha masih tekun memerhatikan segala tingkah laku itu. Satu per satu butang baju lelaki berkulit cerah itu ditanggalkan! Tali leher yang masih kemas sudah dirungkaikan, dan kemeja yang tersarung juga ditanggalkan dari tubuh lelaki yang sering kali bersikap dingin!
Isy, apa pula yang perempuan tu nak buat kepada dia? Misha masih tekun memerhati! Tindak-tanduk gadis itu berjaya membuatkan sepasang anak matanya membuntang!
"I sukakan you, Danial!" Ucapan sayang tidak putus-putus kedengaran di pinggir bibir itu hingga membuahkan perasaan hairan dalam hati Misha yang mendengar!
"Ya Allah... Lelaki punya teruk macam tu pun masih ada yang suka," getusnya perlahan.
Dari celahan pintu, gadis misteri tadi diperhatikan lagi! Ternyata, anak matanya menangkap gadis tadi sedang merebahkan kepalanya di dada bidang Encik Danial! Misha gigit bibir, dia tidak menyangka hingga sebegitu sekali perlakuan mereka berdua. Jijik! Namun dia merasa sedikit hairan, mengapa Encik Megat tidak memberi respons? Jangan-jangan lelaki itu sudah pengsan dan tidak sedarkan diri kerana terminum ubat tidur. Astaghfirullahalazim! Macam cerita dalam drama tv pula! Klise!
"Danial, I really really love you!" Suara gemeresik itu menyapa halwa telinga Misha. Pangkal leher diurut perlahan kerana tekak tiba-tiba sahaja terasa loya dengan pengakuan si gadis yang agak seksi.
"Lepas malam ni, you adalah hak I yang tak sesiapa pun boleh rampas!" Bicara demi bicara itu disusuli elusan di serata tubuh Encik Danial. Misha sudah terasa geli-geleman. Seperti dia pula yang diraba! Tegak bulu roma tatkala melihat tindakan keterlaluan gadis yang tidak dikenali olehnya.
"Maafkan I, kalau cara I untuk dapatkan you, tak betul! Salah! Tapi percayalah, I hanya mahukan you!" Gadis tadi masih bersuara sambil berbaring lalu menarik selimut menutupi tubuhnya. Bersama-sama berkongsi selimut!
Sepuluh minit berlalu, Misha mendengar pintu bilik dibuka dari luar disusuli suara orang bercakap. Tanpa berlengah, dia memfokuskan pandangan melalui celahan pintu, dan tiba-tiba sahaja anak mata menancap batang tubuh majikannya, Danny. Lelaki itu datang bersama sekumpulan lelaki bersongkok dan berkopiah. Pasti pencegah maksiat! Sekali lagi sama seperti drama tv! Klise!
"Saya yakin, encik tersalah maklumat!" Danny bersuara seraya menoleh ke arah sudut katil. Sejenak dia terdiam sebelum tersedar lima saat kemudian.
"God! Di... You are dead!" gumam Danny mengangkat kedua-dua tangannya ke sisi. Tidak percaya dengan apa yang dilihat!
"Astaghfirullahalazim!" Kesemua mereka beristighfar!
"Kejutkan kawan awak! Bermakna, aduan yang kami terima adalah benar!" ujar salah seorang lelaki yang berkopiah putih diiringi seorang anggota polis.
"Eh, encik! Mungkin ada kesilapan! Ya, saya percaya! Ini semua satu konspirasi!" ucap Danny menafikan apa yang sedang tersapa di ruang mata. Dia sukar mempercayainya, namun dia juga tidak mampu menolak apa yang sedang terlihat oleh mata kepalanya sendiri!
"Beri masa untuk kami siasat!" aju petugas itu membalas kenyataannya. Danny pandang ke siling, cuba mencari nafas dan bertenang untuk seketika. Tidak menyangka, perkara sebegini boleh berlaku ke atas sepupunya.
Oh, sungguh dia tidak mampu percaya dengan apa yang sedang dilihat! Dalam garang-garang Danial, dalam Danial membenci spesies bernama perempuan, ternyata sepupunya itu sudah tiada teruna! Dengan Maya pula tu! Mati-mati dia menyangka, Danial ialah insan suci yang sukar ditewaskan dengan hasutan nafsu!
Daripada Usamah Bin Zaid r.a., Nabi S.A.W bersabda bermaksud:
Aku tidak meninggalkan selepasku suatu ujian yang lebih dahsyat daripada terpedayanya kaum lelaki terhadap kaum wanita.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
"Maya! Wake up!" ucap Danny seraya menggoncang bahu gadis itu. Misha yang sekadar memerhati, tahulah dirinya kini! Mengapa pelik benar tingkah gadis tersebut terhadap lelaki itu. Rupa-rupanya ini satu konspirasi jahat!
"Di... Bangun." Bahu Danial pula digoyang.
"Maya, bangunlah, weh! What the hell are you doing here?" hambur Dannny sedikit keras. Matilah sepupunya Megat Danial, andai berita ini tersebar di khalayak umum! Pasti ada yang mati kerana sakit jantung! Dan sudah tentunya, amukan datuk dan nenek mereka akan meletus tidak lama lagi.
"Errr... Apa ni? Apa bising-bising ni?" soal Maya seraya bangkit lalu memicit dahi. Berpura-pura tidak sedar dengan apa yang telah berlaku.
"Apa ni... Apa ni?" ajuk Danny dengan nada geram. "Bangunlah! You buat apa dalam bilik Danial?" sergah Danny seraya mengutip pakaian yang bertaburan di atas lantai lalu dicampak ke muka Maya.
"I buat apa? Errr... I tak tahu, Danny! Better you ask your cousin!" balas Maya menolak jika dia harus dipersalahkan dalam hal ini. Misha yang masih bersembunyi, sekadar membatu diri! Menyaksikan wayang percuma dan sandiwara ciptaan gadis berambut panjang itu!
"Di... Bangunlah! Amboi... Penat benar nampak!" ucap Danny seraya mencuit bahu sepupunya itu. Megat Danial masih lagi lena, sedikit pun tidak bergerak!
"Oit Di... Kau kenapa, bro? Sakit ke?" bisik Danny seraya melekapkan tapak tangan ke atas dahi sepupu yang masih tidur. Suhu biasa untuk spesies mamalia berdarah panas.
"Di... Bangun, Di! Kau dalam nahas sekarang ni!" Bisikan terakhir Danny membuatkan Megat Danial yang masih mamai membuka sedikit kelopak mata.
"Ha?" soal Megat Danial sepatah. Perlahan bersama suara serak-serak basah! Bantal peluk digapai dan dia mengiring ke sebelah kiri pula.
"Bangun, beb... Kau ditangkap khalwat!" balas Danny perlahan.
"What?" Megat Danial yang pada mulanya malas mahu melayani gangguan Danny segera tersedar.
"Apa kau cakap tadi?" Mata terus sahaja dibuka dan dia segera bangkit! Terpinga-pinga apabila anak matanya menancap beberapa individu tidak dikenali sedang galak memerhatikan dirinya di atas katil tanpa berbaju!
"Kau ditangkap khalwat! Matilah kau Di," gumam Danny pula. Menakut-nakutkan sepupu yang sudah terperanjat besar.
"Who is she?" Pantas bibir Megat Danial menyoal individu yang menjadi pasangannya dalam kes tangkap khalwat ini.
"Tu," juih Danny ke arah Maya yang sedang menutupi tubuhnya dengan sehelai selimut. Berpura-pura teraniaya di hujung kepala katil!
"What?" Hampir-hampir sahaja Megat Danial memekik keras. Tidak semena-mena, dia hamburkan amarahnya lalu bangkit dari katil. Hanya berseluar tanpa berbaju!
"Hei, perempuan! Kau buat apa lagi dalam bilik aku ni hah?" jerkahnya sudah bergema di serata ruang bilik.
"Tadi tersilap bilik, lepas kena halau pun masih boleh tersilap lagi? Kau ni sekolah sampai tahap mana? Biul!" maki bibir itu tidak henti-henti.
"Di... Relaks Di, jangan macam ni!" Danny segera mendapatkan Megat Danial lalu cuba menenangkan sepupunya itu. Jika dibiarkan, pasti Maya bakal menerima tamparan Jepun daripada sepupunya yang sudah naik hantu.
"Aku tak boleh tengok muka perempuan ni, Danny!"
"Di..." Danny cuba menenteramkan namun Megat Danial ternyata hilang sabar.
"Kau memang perempuan kurang ajar, biadab! Berani kau ceroboh masuk ke bilik aku! Kau nak apa, hah?"
Melihat kekalutan itu, petugas yang menjalankan pemeriksaan segera bersuara.
"Bertenang encik, kita selesaikan hal ni di pejabat kami! Tolong beri kerjasama!" ujarnya cuba meredakan keadaan yang semakin tidak terkawal.
"Macam mana nak bertenang kalau saya kena fitnah?!" hambur Megat Danial bersama pandangan tajam. Pegawai-pegawai itu turut mendapat tempias amarahnya!
"Macam inilah, kita bincang di pejabat saya!" Pegawai tadi masih tenang melayani kerenah individu yang pelbagai ragam. Beginilah kalau sudah tertangkap, pening kepala mereka dibuatnya.
"Din, tolong kutip semua bukti dan periksa seluruh bilik ni!" arah pegawai itu kepada salah seorang penguatkuasa yang menyertai operasi hasil daripada maklumat pihak awam.
Sudahnya Danny hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa. Perkara sudah berlaku, hendak atau tidak mereka terpaksa berhadapan dengan masalah yang baru muncul.
Misha di dalam bilik air pula, sekadar membatukan diri sambil cuba memperkemaskan kedudukannya apabila menyedari anggota pencegah maksiat bernama Din sudah mendekati bilik air. Hampir, semakin hampir, dan hampir! Wajah ditekup dan mata dipejam erat!
"Opocot!" Lelaki memakai tanda nama Samsudin terperanjat besar apabila pandangan matanya tersapa seseorang yang sedang duduk di atas mangkuk tandas sebaik sahaja daun pintu itu ditolak. Perlahan-lahan Misha membuka mata dan senyuman diukir walaupun dia sedar senyuman itu hambar dan seolah dibuat-buat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro