
Bab 15
"Puan," seru Misha sebaik sahaja melihat wanita yang bersama Megat Danial pagi tadi sedang mengocak kaki ke kolam renang. Perlahan-lahan wanita itu menoleh ke arahnya. Misha tersenyum kecil lalu menapak mendekati tubuh yang berbalut blaus paras paha dan berseluar hitam yang sudah dilipat hingga ke paras betis.
"Puan tunggu siapa?" soal Misha kehairanan. Sejujurnya, dia hanyalah berpura-pura bertanya sedangkan hakikat sebenar dia sudah mengetahui hubungan 'terlarang' wanita itu bersama bos besarnya!
"Danial!" luah bibir itu bersama raut wajah kehampaan.
"Danial?" ulang Misha sepatah. Wanita itu mengangguk sekali!
"Nampak Danial tak?" Untuk pertama kalinya, soalan itu dilontar oleh wanita yang masih anggun penampilannya. Susuk tubuhnya terjaga rapi, tidak gempal dan masih ada potongan. Helaian rambutnya pula masih hitam berkilat, bibir itu kemerahan dan hidung itu elok terletak. Cukup sempurna!
"Megat Danial yang poyo tu?" soal Misha bersahaja. Mahu ketawa namun niat hatinya mati dengan tiba-tiba. Wanita itu memandang tajam ke arahnya! Alamak, marahlah pula!
"Jangan sesekali sebut perkataan tak elok macam tu," ucap wanita itu menjadikan Misha terus membungkam.
"Nampak dia?" Sekali lagi bibir itu menyoal. Misha menggeleng sekali, namun tidak lama kemudian dia tersenyum.
"Puan tunggu dia?" tebak Misha perlahan. Turut melabuhkan duduknya di sisi wanita yang sedang berkeluh kesah.
"Auntie tunggu Danial!" ucap bibir itu membuatkan Misha tersentak. Apatah lagi perkataan auntie menyusur di celah bibir itu. Bermakna, telahannya sebelum ini sudah tersasar. Wanita ini masih sedar diri dan tahu usia sebenar hingga membahasakan dirinya 'auntie'.
"Kalau saya tanya sikit, auntie jangan marah, ya?" Misha susun bicara. Dan wanita itu mengangguk sekali.
"Auntie dengan Danial tu ada hubungan ke? Maksud saya, apa kaitan auntie dengan Danial?" tukas Misha ingin tahu.
"Dia anak auntie!" Sebaris perkataan itu membuatkan Misha sukar mempercayainya.
"Umur auntie berapa?" soalnya benar-benar ingin tahu. Tambahan pula wanita ini masih cantik dan bergetah. Pasti pandai merawat dan memanjakan diri dengan produk kesihatan.
"Lebih kurang lima puluh tahun!" luah bibir itu mudah, kemudian dia tersenyum kecil. Dan Misha terus sahaja berbual dan berbual sehinggalah satu suara garau menerjah pendengaran kedua-duanya. Suara yang melengking tinggi bersama empunya diri!
"Mummy!" seru Megat Danial bersama nada yang agak tinggi. Nafas yang keluar masuk dari rongga hidung disedut dan dihembus berulang kali. Semput rasanya berlari ke sekeliling kawasan hotel semata-mata menjejak ibunya yang sudah hilang.
"Kenapa mummy degil? Di dah pesan! Jangan ke mana-mana, jangan ke mana-mana! Yang mummy keluar juga kenapa?" hambur Megat Danial tidak dapat menahan rasa berangnya apabila insan yang ditinggalkan seketika sudah menghilangkan diri. Haru-biru hidupnya!
"Hei... Awak tahu tak, dia ni ibu awak?! Tak reti hormatkan orang tua ke apa?" Misha bangkit dan terus sahaja berhadapan dengan lelaki yang tiba-tiba naik radang.
Dengan sesiapa sahaja Megat Danial mahu melepaskan amarah, dia tidak ambil kesah, tidak ambil peduli hatta dengan ibu kandung sendiri. Ternyata Megat Danial seorang lelaki yang cukup bongkak dan angkuh, hingga wanita yang paling mulia darjatnya juga diperlakukan sedemikian.
"Awak jangan nak masuk campur dalam urusan peribadi saya, ke tepi!" tolak Megat Danial seraya melanggar bahu Misha dan mengatur langkah mendekati ibunya yang masih merendam kaki di dalam kolam renang.
"Bangun, kita naik sekarang," aju bibir itu sambil menarik pergelangan tangan ibunya. Misha yang melihat segera meluru mendapatkan kedua-duanya. Pegangan tangan Megat Danial di pergelangan tangan ibunya dileraikan. Misha mencerlung pandang ke arah lelaki itu. Raut wajahnya menyinga!
"Awak nak apa?" hambur lelaki itu bersama pandangan tajam. Mahu ditelan Misha hidup-hidup.
"Awak memang manusia tak berhati perut! Tergamak awak marah-marahkan ibu awak sendiri! Biadab!" selar Misha mengetap bibir. Geramkan Megat Danial yang terlalu kasar dalam melayan ibunya.
"Awak tak tahu-menahu, jangan sesuka hati menyibuk hal orang lain!" bidas Megat Danial kedengaran pedas. Baginya, Misha terlalu mudah berkata-kata tanpa mengetahui kondisi, tekanan dan keadaan yang terpaksa dilalui olehnya gara-gara perbuatan ibu kandung sendiri.
"Saya tak tahu punca sebenar awak biadab terhadap ibu awak! Tapi yang pasti, awak tak layak layan dia begini! Marah-marahkan ibu awak, naik angin tak tentu hala! Awak ingat, awak tak tua kemudian hari?" bentak Misha membuatkan Megat Danial terdiam.
"Awak memang tak berhati perut!" tekan Misha mengulangi semula bicaranya.
Pada pendapat Megat Danial, dia harus membuka cerita agar gadis itu tidak sewenang-wenangnya menuduh dia tanpa usul periksa.
"Kalau awak nak tahu, ibu saya ada masalah mental! Saya tak mahu, dia terlepas bebas tanpa pengawasan dan akan cederakan sesiapa sahaja yang ganggu dirinya nanti!" hambur Megat Danial mengkhabarkan keadaan sebenar ibunya itu. Dengan harapan supaya Misha mengerti mengapa dia terpaksa bertegas sedemikian.
"Awak jangan buat cerita, tak baik memburuk-burukkan ibu sendiri!" gerutu Misha tidak percaya dengan penerangan Megat Danial. Benarkah wanita itu mengalami masalah mental? Seketika tadi, elok sahaja wanita itu berbual mesra.
"Hoi Di... Kau tunggu sekejap!" Suara seseorang memekik dari arah balkoni bilik hotel menarik perhatian ketiga-tiga mereka. Serentak itu, Megat Danial memerhatikan arah datangnya suara nyaring itu! Ah, dia lagi! Liur ditelan, tetapi terasa sebiji-sebiji melalui kerongkong!
"Siapa pula dia tu?" Misha menyoal acuh tak acuh. Jangan lelaki ini mengaku bahawasanya seorang wanita berpenampilan ranggi itu ialah kekasihnya pula sudahlah!
"Auntie saya!" gumam Megat Danial seraya memerhatikan lorong masuk menuju ke arah kolam renang yang tenang airnya.
"Auntie awak? Ranggi gila, tak sedar diri!" sahut Misha terlepas bicara. Megat Danial menjeling tajam manakala Zahara ibunya itu sekadar diam memerhatikan kedua-duanya bertelingkah.
"Jangan menghina famili saya!" gumam Megat Danial memperingatkan gadis itu. Misha sekadar mencebik!
"Di, cepat betul menghilangkan diri! Rupa-rupanya ada kejutan untuk auntie. So sweet." Datin Puteri Marisa bersuara seraya mengorak langkah mendekati ketiga-tiga mereka. Zahara yang melihat segera bangkit dan menyembunyikan diri di belakang tubuh anak terunanya! Batang tubuh Megat Danial dipaut dan dipeluk erat. Misha memerhati, dia diserang rasa aneh dengan suasana hangat-hangat dingin yang dilihat. Seperti ada yang tidak kena dengan mereka semua!
"I smell something! Hurmmm... Zara depan mata I! Patutlah," gumam Datin Puteri Marisa sambil melirik sinis ke arah kakak iparnya itu. Zahara!
"Macamlah auntie tak pernah jumpa mummy," aju Megat Danial bersahaja.
"Bukan tak pernah berjumpa, tapi auntie rasa terharu. Bertahun-tahun di rumah sakit jiwa, akhirnya orang gila dah tak gila lagi." Tawa halus yang dibuat-buat dihambur perlahan. Megat Danial mendengus sekali. Tangan ibu yang sedang membelit batang tubuhnya disentuh perlahan bagi meredakan hati wanita itu yang mungkin tidak selesa dipersendakan.
"Auntie nak apa? Kalau tak ada apa-apa yang penting, Di nak balik," ucap lelaki itu tidak lama selepas itu. Misha pula sekadar memerhati sesi sindir-menyindir ketika ini.
"Nantilah dulu, Di! Auntie tak habis bercakap lagi!" Datin Puteri Marisa terus sahaja merungut. Wajah Megat Danial yang tampak tidak senang dikerling melalui ekor mata.
"Auntie nak apa lagi?" soalnya lambat-lambat.
"Auntie mahu Di serahkan aset yang atuk beri kepada auntie. Atau Di share dengan sepupu-sepupu Di yang lain! Syah, Fiza dan Syazreen yang masih bernyawa! Di jangan membolot dan makan harta atuk sorang-sorang," gumam Datin Puteri Marisa sambil mencebik bibir.
"Auntie, tentang hal tu Di minta maaf banyak-banyak! Di tak boleh turutkan kata auntie," balas Megat Danial enggan tunduk terhadap kehendak ibu saudaranya itu. Datin Puteri Marisa rasa tercabar dan serentak itu juga Zahara yang sedang bersembunyi menjadi mangsa amarahnya.
"Hei, Zara. Anak kau ni betul-betul menyusahkan kami! Sama macam kau juga, kurang ajar! Biadab! Tamak!" hambur Datin Puteri Marisa ke arah Zahara yang masih tidak berganjak. Megat Danial ketap bibir, terasa berang dengan butir-butir bicara yang terlontar keluar dari ulas bibir ibu saudaranya itu.
"Auntie tak payah nak babitkan mummy! Sila keluar, Di tak nak tengok muka auntie berlegar-legar dalam kawasan hotel ni lagi!" hambur Megat Danial bertegas dengan perempuan bernama Datin Puteri Marisa. Satu-satunya individu yang gemar mengekori jejak langkahnya sejak akhir-akhir ini. Walau ke mana sekalipun dia berada!
"Jangan berlegar-legar kau kata? Hei Danial, sedar sikit apa yang kau cakapkan! Hotel ni bapak aku yang punya!" getus Datin Puteri Marisa bersama wajah yang sudah bertukar rona. Merah menahan amarah! Kini hanya kau dan aku yang digunakan sebagai nama panggilan.
"Memang bapak auntie yang punya, tapi semuanya dah jadi milik Di. Auntie kena terima hakikat, hotel ni milik Di!" ucap Megat Danial bersama senyuman sinis. Datin Puteri Marisa tercabar lalu mendekati kedua-dua beranak itu.
"Hei Zara, kau dengan anak kau sama-sama materialistik! Memang dasar keturunan tamakkan harta orang!" cemuh Datin Puteri Marisa bersama bibir yang terjuih-juih.
"Shut up, jangan buat bising dekat sini!" bentak Megat Danial mematikan langkah Datin Puteri Marisa yang cuba mendekati ibunya.
"Misha, tolong jaga mummy I!" suruh Megat Danial seraya melepaskan pautan ibunya dan ditolak tubuh itu perlahan-lahan mendekati Misha.
"Jaga mummy you?" Misha menyoal semula dan Megat Danial mengangguk sekali.
"Ya, tolong jaga mummy I sekejap," gumamnya seraya meletakkan tapak tangan ibunya ke atas tapak tangan Misha.
"Apa pegang-pegang ni? Berdosa tahu tak?!" hambur Misha bersama raut kelat. Tidak suka Megat Danial menyentuhnya sesuka hati!
"Terpegang!" tukas Megat Danial seraya melepaskan pegangan di tangannya. Misha mencebir lalu menjeling tajam.
"Jaga mummy I," pesan Megat Danial dan sejurus itu dia mendekati ibu saudaranya pula.
Bicara dihambur mengharapkan pengertian wanita itu agar tidak mengganggu hidupnya selepas ini.
"Auntie jangan sesuka hati nak hina Di. Di tak pernah usik dan kacau hidup auntie. Dan apa salahnya kalau auntie biarkan Di bahagia dengan kehidupan Di?" ujar Megat Danial, mahu wanita itu sedar bahawasanya dia juga memerlukan ruang kehidupan yang sama seperti manusia lain. Bahagia dengan apa yang ingin dilakukan!
"Tak pernah usik? Helo... Harta mak bapak aku kau dah kebas! Kau kata kau tak pernah usik aku? Hei, apa ni?" hambur Datin Puteri Marisa seraya bercekak pinggang.
"Tanya kepada atuk dan nenek! Jangan tanya kepada Di! Jawapan Di tetap sama!" luah Megat Danial lagi. Dia hanya menerima dan melaksanakan amanah yang diberi!
"Kalau kau tak nak panjang-panjangkan cerita, apa kata kau bagi semua aset tu kepada aku?! Dan pasal perempuan gila ni, aku takkan sampaikan kepada nenek kesayangan kau! Deal!" tawar Datin Puteri Marisa sambil menjeling raut pucat Zahara. Masih anggun seperti dahulu cuma kurang bergaya seperti zaman mudanya.
"No way, Datin Puteri Marisa Megat Aiyub!" ujar Megat Danial sebaris.
"Hesssy... Memang budak ni susah nak makan saman! Hei perempuan gila, kau ke sini!" gerutu Datin Puteri Marisa seraya menjeling tajam ke arah Zahara yang berdiri tegak di sisi Misha.
"Ke sini!" Lantang suara Datin Puteri Marisa sudah bergema di seluruh kawasan terbuka itu. Megat Danial dihambar perasaan radang yang membuak-buak. Ibu saudaranya itu dihampiri dan raut wajah itu dipandang tidak berkelip.
"Lebih baik auntie balik sebelum Di panggil sekuriti!" arah Megat Danial secara terhormat. Dia enggan berkasar, namun andainya si ibu saudara tetap bertegas maka dia terpaksa memaksa.
"Kau halau aku, Danial?" Datin Puteri Marisa menyoal bersama riak tegang.
"Kalau itu yang auntie rasa, so apa lagi? Silakan!" aju bibir itu seraya memandang ke arah laluan keluar. Datin Puteri Marisa mendengus dan tanpa berlengah lagi dia mendekati Zahara.
"Hei Zara, perempuan sundal macam kau memang layak sangat dapat anak jahanam macam setan ni!" selar Datin Puteri Marisa cuba membakar hati Zahara pula. Dari ekor mata, batang tubuh Danial dikerling. Biar pemuda itu tahu, betapa dalamnya kebencian yang terlalu lama menghuni hati.
"Sedar diri tu sikit, perempuan gila!" ucap Datin Puteri Marisa seraya menunjal-nunjal dahi Zahara yang masih kaku berdiri. Sedang enak jari telunjuk wanita yang berkuku merah itu menunjal dahi Zahara, satu tepisan menjadikan keseimbangan Datin Puteri Marisa tidak sekata. Hampir-hampir sahaja dia jatuh terjelepok ke lantai.
"Hei, kau ni siapa?!" jerkah Datin Puteri Marisa kepada Misha yang tajam memerhatikannya. Tidak menyangka gadis itu turut masuk campur dalam urusan peribadinya.
"Nama saya Elmi Husna!" sahut Misha bersahaja.
"Jangan masuk campur. Kalau tak nak makan penampar, tolong pergi dari sini!" ugut Datin Puteri Marisa bersama bibir yang diketap kuat.
"Tak ada siapa yang akan pergi dari sini, kecuali puan! Minta maaf ya puan, sila beredar!" gumam Misha cuba menahan amarah kerana melihat wanita yang disapa Zahara itu diperlakukan sedemikian. Megat Danial pula baru mengorak langkah mendekati mereka.
"Kau halau aku?" tebaknya pendek.
"Ya, memang!" angguk Misha perlahan.
"Kurang ajar!" tukas Datin Puteri Marisa yang sudah terbakar hatinya.
"Siapa? Puan yang kurang ajar atau saya yang terlebih diajar?!" Misha menyoal tanpa rasa takut.
"Kau..." Serentak itu Datin Puteri Marisa mengayun tapak tangan lalu hinggap ke pipi kanan Misha yang tidak sempat mengelak. Dek adegan tidak terduga itu, Megat Danial pantas mendekati dan menarik bahu ibu saudaranya agar menjauhi Misha yang tertunduk mengelus wajah.
"Hei, kenapa dengan auntie ni? Dah gila ke apa?" Megat Danial yang sudah melepaskan pegangan di bahu ibu saudaranya segera mendekati Misha.
"Bukan aku yang gila! Tapi mak kau dengan budak perempuan ni yang gila!" jerit Datin Puteri Marisa dengan lantang.
"Diamlah, auntie! Menyusahkan, tolong pergi dari sini!" getus Megat Danial sambil memberi isyarat tangan agar Datin Puteri Marisa menjauhi mereka. Sejurus itu, Misha kembali didekati.
"You okey?" soalnya bersama riak bimbang.
"Tak okey!" sahutnya pendek.
"Jom kita pergi dari sini!" Megat Danial memberi cadangan untuk beredar sahaja. Jika mereka masih di sini, semakin berlarutan pula perbalahan yang melanda.
"I belum selesaikan hutang seseorang!" tukas Misha seraya memanggung wajah lalu menapak sedikit ke hadapan sebelum melepaskan satu tamparan ke arah Datin Puteri Marisa. Kejadian itu terlalu pantas sehingga Megat Danial tidak sempat berbuat apa-apa. Dia juga terdiam tanpa sepatah kata.
"Semalam perempuan tak guna tu libas aku dengan beg, hari ni kau pula tampar aku! Sekarang kau rasa tamparan aku pula!" gumam Misha berapi-api marahkan Datin Puteri Marisa. Megat Danial terpanar, tidak menyangka hingga sebegitu sekali beraninya gadis bernama Elmi Husna. Melihat ketegangan tidak beransur pergi, Megat Danial menarik pergelangan tangan Misha dan juga ibunya agar segera menjauhi Datin Puteri Marisa yang juga sudah naik hantu.
"Misha, mummy... Masuk ke bilik dulu!" arahnya dan tanpa berlengah Misha mengayun langkah diekori Zahara yang beriak muram.
"Now... Lebih baik auntie balik! Di malas nak panjang-panjangkan cerita!" ujarnya sebelum meninggalkan Datin Puteri Marisa yang sedang mempamerkan riak cemberutnya.
"Kurang ajar! Biadab! Tak guna!" Dari jauh Megat Danial mendengar caci maki Datin Puteri Marisa yang tidak berpuas hati.
"KENAPA awak tampar auntie saya?" soal Megat Danial sebaik sahaja Misha sudah berada di tengah-tengah kamar hotelnya.
"Dia tampar saya dulu, takkan saya nak biarkan dia buat macam tu kepada saya?" bentak Misha mengusap pipi kanan yang tercemar dengan kesan tamparan Datin Puteri Marisa. Ada kesan hitam kebiruan di situ. Luka semalam belum sembuh, hari ini dia dilukai sekali lagi.
"Sakit?" soal Megat Danial sepatah.
"Apa jenis soalan yang awak tanya kepada saya ni? Awak pun nak merasa kena tampar ke?" tawar Misha yang sudah hangat hati.
"Tak perlu tampar saya," tolak lelaki itu seraya melabuhkan duduk di birai katil. Misha pula bergerak ke arah kerusi beralas span di tepi almari berkaca. Sesekali dia merenung ke arah wanita tua yang senyap tidak bersuara. Rasa kasihannya wujud, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa! Dia juga memiliki seorang ibu, namun ibunya bernasib baik kerana dijaga dan diuruskan oleh mak andak. Manakala, segala kos perubatannya pula ditanggung oleh bapanya. Walaupun kedua-duanya sudah tiada ikatan, namun sikap bapanya itu wajar dipuji.
"Saya minta maaf kerana tampar auntie awak!" Akhirnya Misha menghambur kata maaf. Tidak seharusnya dia membalas perlakuan kasar dengan kekasaran. Perbuatannya adalah tidak wajar, apatah lagi wanita itu lebih berusia dan seharusnya dihormati, bukan dilayan sebegitu.
"Tak perlu minta maaf, memang auntie saya tu patut ditampar!" sambut bibir itu menyokong kata-katanya pula. Misha panggung wajah, tidak mempercayai lelaki itu berkata sedemikian. Seolah-olah seperti musuh ketatnya sahaja. Itulah sikap manusia tamak. Kerana harta yang tidak seberapa, boleh memutuskan ikatan silaturahim.
"Sebab harta, boleh bergaduh sampai macam tu sekali," hambur Misha perlahan namun sinis di pendengaran Megat Danial. Daripada pergaduhan yang tercetus, Misha yakin semuanya berbalik kepada pembahagian harta yang tidak sekata.
"Itu lebih baik daripada meninggalkan orang yang masih hidup dalam keadaan meminta-minta," sambut Megat Danial tidak mahu mengaku kalah.
"Oh ya, awak kata nak berhenti?! So, buat apa lagi di sini?" Dia pula mempersendakan Misha. Sinis-menyinis!
"Suka hati sayalah." Misha naik angin apabila keberadaan dirinya di hotel itu dipersoalkan oleh lelaki yang sering berwajah kelat. Menyampah!
"Suka hati sayalah nak bertanya, ini hotel saya!" balas bos besar itu membuatkan Misha mencebir bibir sebelum membalas hujah.
"Awak memang kan... Memang dengki dengan apa yang saya buat!" aju Misha sudah bangkit dan berdiri. Mencerlung pandang ke arah Megat Danial yang sedang menggigit bibir.
"Di... Mummy lapar." Suara itu mencelah di tengah-tengah perang mulut yang sedang tercetus. Serentak itu, Misha dan Megat Danial memandang ke arah wanita yang sudah berwajah sugul.
"Mummy awak lapar, pergilah masak!" suruh Misha mudah.
"Helo... Awak ingat ni rumah?! Sesuka hati boleh masak?" hambur bibir merah itu bersama jelingan maut. Dia bangkit dan menapak mendekati ibunya.
"Habis? Awak nak biarkan mummy awak kelaparan? Macam tu? Memang tak berhati perut!" selar Misha kecewa dengan perilaku Megat Danial terhadap ibu kandungnya sendiri.
"Awak ingat saya ni anak derhaka?" Soalan itu pula dilontar. Misha mengangguk sekali. Kalau sudah meninggi suara terhadap ibu bapa, maka ia sudah dikategorikan sebagai anak derhaka.
"Habis? Awak tu anak solehahlah?" Dia mempersoal. Misha tersenyum bangga! Dia bangga kerana menjadi kesayangan ibunya!
"Mestilah, saya anak solehah!" sahutnya tersenyum mekar hingga membuatkan Megat Danial mencebir bibirnya seketika.
"Cukup-cukuplah berangan! Sekarang, kita keluar! Awak ikut saya," aju Megat Danial memutuskan Misha perlu mengikutinya.
"Ke mana?" Dengan seribu tanda tanya, dia bingkas mempersoalkan keputusan lelaki itu.
"Adalah!" Kerana enggan melayani pertanyaan itu, Megat Danial mengambil keputusan untuk merahsiakannya terlebih dahulu.
"Ke mana?" Misha menyoal lagi. Benar-benar ingin tahu ke mana destinasi yang akan dituju.
"Tolong jangan banyak soal boleh tak? Ikut saja, kan senang! Mummy... Jom, Di bawa mummy makan!" Wanita itu dipelawa untuk keluar bersama-sama. Dia tahu sejak sampai awal petang tadi, ibunya belum menjamah apa-apa makanan. Maka wajarlah andai wanita itu mengadu lapar.
"Kita pergi dengan menantu mummy ke?" soal Zahara bersama senyuman.
"Macam ni hendak dibuat menantu? Heh, simpang malaikat empat puluh empat!" gumam Megat Danial menggeleng kepalanya sekali.
"Hoi... Awak ingat, awak tu bagus sangat?!" tekan Misha sudah bercekak pinggang. Marah benar dengan lelaki yang tidak habis-habis menjadikan sekeping hatinya hangat dan membara.
"Memang saya bagus!" sahut bibir itu kedengaran yakin yang amat sangat!
"Perasan!" Misha menjerit geram. Zahara menekup kedua-dua belah telinganya manakala Megat Danial pula terpaksa menahan. Terasa berdengung telinganya apabila frekuensi suara Misha mencapai tahap menyakitkan gegendang telinga.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro