Bab 14
"Pasal you, rancangan I gagal! Berani-berani you buka cerita pasal perbuatan I? Kalau you tutup mulut, semua ni pasti takkan terjadi. Dan I akan berkahwin dengan Megat Danial. Kerana perbuatan you, segala rancangan I musnah! Hancur!" hambur Maya melampiaskan segala rasa kecewanya lantaran gagal mendapatkan Megat Danial yang diidam-idamkan.
"Excuse me, Cik Maya!" gumam Misha berdehem kecil sebelum menyambung bicaranya. "You jangan fikir kerana perbuatan you, lelaki mangkuk ayun macam tu akan bertanggungjawab! You ingat, dia nak kahwin dengan you? You fikir, dengan cara you perangkap lelaki berlagak tu, dia akan patuh dan menurut kehendak you?" soal Misha satu per satu. Senyuman sinis dihadiahkan kepada Maya yang tergila-gilakan jejaka berketurunan megat itu.
"You silap besarlah Maya!" aju Misha tanpa panggilan cik di pangkal nama itu. "Lelaki macam tu, bukan setakat takut pada komitmen! Tapi juga takut untuk berkahwin, apatah lagi kalau perempuan tersebut ialah you!" hambur Misha tanpa berselindung. Maya yang sudah cemberut raut wajahnya segera membalas. Tidak rela membiarkan gadis yang menjadi pemusnah rancangannya itu menyelar dan mencemuh dirinya tanpa batas.
"You ni, kan..." Jari telunjuk diangkat lalu dihala ke arah wajah Misha. Gadis itu tetap mampu tersenyum, bahkan sempat lagi mencebirkan bibir.
"Memang kurang ajar!" sambung Maya menjatuhkan semula jari ke sisi. Misha tetap seperti tadi! Masih selamba dan bersahaja!
"Memang I kurang ajar, tapi I lebih bagus daripada you yang cukup diajar! You tunjukkan kebijaksanaan you melalui perkara kurang cerdik seperti yang you lakukan hari tu. Kalau I di tempat you, I betul-betul malu nak tayang muka I depan orang ramai! Apatah lagi nak berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku! I malu... Isy, you tak malu ke, Maya?" gumam Misha lagi. Sejujurnya dia merasa tindakan Maya memerangkap Megat Danial adalah satu tindakan orang yang tidak bijak dan tidak berfikiran jauh.
"Sudahlah, I benci bercakap dengan you! Tapi nak buat macam mana, orang tak terpelajar macam you memang perangai low class!" ucap Maya mahu berlalu pergi namun hatinya belum puas andai tidak dapat menyakiti hati Misha. Sudahnya, dia memilih untuk menghina dan merendahkan gadis itu. Gadis yang disangka tidak berpelajaran dan tiada masa depan yang cerah.
"Excuse me Cik Maya, I am graduated from Monash University, okay! Please mind your words!" ucap Misha lagi. Maya tersentak dengan pengakuan itu. Kalau sudah dikatakan lulusan universiti itu, kenapa pula perempuan ini bekerja sebagai housekeeping? Kalau nak menipu sekalipun, agak-agaklah!
"Huh, Monash? Hahaha... Nice! Pandai you buat lawak!" Maya ketawa besar. Tidak sangka, Misha pandai berjenaka hingga memperlihatkan kekurangan diri sendiri.
"Kesiannya... Graduated from Monash tapi bekerja sebagai budak housekeeping! Jangan mengarutlah, I tak percaya! Kut-kut... SPM pun tak lepas," sinis Maya bersama senyuman mengejek. Ah, kalau sudah miskin, beginilah jadinya. Terpaksa berbohong untuk mendapatkan sebuah penghormatan.
"Do I care you percaya atau tidak? I peduli apa? Yang penting I tak berfikiran ortodoks seperti you yang tampak educated, tapi bimbo!" tegas Misha seraya menyorot pandangannya ke arah Maya yang sedang berpeluk tubuh.
"Whatever, I tak patut layan perempuan kategori macam you. Budak kemas bilik aje pun, tak layak berbual dengan I! Buang masa, jatuh standard I!" hambur Maya lagi seraya menjeling tajam ke arah Misha yang bersandar di balik dinding.
"Memanglah, you pun tak layak bercakap dengan I! Orang macam you memang tak patut berada di tengah kelompok masyarakat, menyusahkan orang lain! Kalau dihantar ke hutan, ungka atas pokok pun boleh mati terkejut!" selar Misha tersengih dengah ucapan balas daripadanya. Maya yang mengenakan solekan tebal itu dikerling lagi. Menakutkan!
"You memang tak guna!" Beg tangan yang tersangkut di bahu dilepaskan lalu terus sahaja dilibas ke wajah Misha. Tanpa sempat ditahan, seraut wajahnya sudah berbalar kesan libasan beg tangan yang dihasilkan daripada sejenis kulit haiwan.
"Kurang ajar!" sergah Misha seraya mengelus pipi yang sudah bertukar merah. Pedih di permukaan kulit dan sakit dalam hati sudah bersatu. Pandangan pula sudah berbalam-balam lantaran kelopak matanya juga menjadi mangsa.
"Sakit?" soal Maya seraya menghambur tawa melihat raut Misha sudah berkerut-kerut.
"Kau memang kurang ajar!" jerkah Misha seraya merampas beg tangan itu lalu dilempar keluar dari koridor tingkat satu. Entah di mana jatuhnya, dia tidak peduli lagi! Maya harus mendapat pengajarannya! Tubuh itu didekati, lalu ditolak hingga jatuh terlentang. Melihat perempuan itu cuba melarikan diri, Misha segera merentap rambut panjang mengurai itu. Biar dia rasakan!
"Lepaskan aku! Lepaskan aku!" Maya bergelut untuk melepaskan diri apabila Misha bertindak dengan menarik rambutnya tanpa belas kasihan!
"Lepaskan aku!" pohon Maya kedengaran separuh merayu.
"Lepaskan kau?" soal Misha bersama nada yang ditahan-tahan.
"Lepaskan aku, aku janji tak buat lagi!" gumam Maya seraya memegang lengan Misha yang sedang erat mencengkam rambutnya. Kulit kepalanya sudah pedih!
"Tahu sakit!" selar Misha perlahan-lahan melepaskan rambut yang menjadi mangsa kegeramannya.
"Kalau kau cederakan aku, aku akan cederakan kau juga!" ucap Misha bersama pandangan yang agak tajam. Maya hanya memerhati, kesan kesakitan masih terasa.
"Listen carefully... If you give me shit, I give you triple shit! Ingat tu!" bentak Misha menekan satu per satu ayat yang diucapkannya.
"Okey. Okey. Aku dengar!" Dengan suara tertahan-tahan, Maya membalas dan mengangguk berkali-kali. Sejurus itu, cengkaman di rambut Maya dileraikan dan dia terus sahaja menghambur kata.
"Baik aku blah daripada bertekak dengan perempuan macam kau!" luah Misha perlahan. Tanpa berlengah lagi, kaki diayun mahu meninggalkan Maya yang sedang mengurut kulit kepala yang kepedihan kesan perbuatannya seketika tadi.
Belum pun sempat dia mengatur langkah, tudung yang sedang kemas berlilit terasa direntap kasar dari arah belakang hingga menyebabkan tubuhnya terdorong ke belakang. Misha menoleh ke sisi kanan, Maya sudah tersenyum sambil mengulum lidah.
"Bertudung tapi perangai macam setan!" herdik Maya dengan pantas merentap keseluruhan tudung yang membelit rambut ikal mayang Misha. Tanpa sempat diselamatkan, alunan rambut yang harum itu sudah jatuh melurut! Misha pula sudah jatuh terduduk di atas lantai kerana hilang keseimbangan diri.
"Hei... Tengok sini! Tengok perempuan bertudung yang tak sedar diri!" panggil Maya seolah-olah sudah hilang akal dengan mengibarkan tudung yang sudah tertanggal dari kedudukannya, ke udara. Menggamit kehadiran beberapa kakitangan hotel yang lalu-lalang.
"Bagi balik tudung aku! Bagi balik," ucap Misha menahan sebak apabila hampir beberapa pasang mata sedang melirik ke arahnya. Melirik dia yang tidak sempurna menutup aurat!
"Budak hingusan yang low class seperti dia memang kurang ajar! Memang biadab! Tak sedar diri, dia fikir dia siapa?!" gerutu Maya, tidak henti-henti menghina Misha yang sudah tertunduk sambil melindungi kepalanya dengan kedua-dua belah tangan.
Namun tanpa sedar, ada seseorang meletakkan sehelai selendang menutupi kepala yang terdedah. Perlahan-lahan Misha panggung wajah, Megat Danial berada di sisinya. Wajah itu seperti biasa, tegang tanpa senyuman!
"Maya!" panggil Megat Danial di tengah-tengah kerancakan bicara gadis itu. Beberapa individu yang menjadi pemerhati segera beransur pergi apabila melihat raut bengis Megat Danial.
"Maya!" jerkah Megat Danial sebaik sahaja panggilan pertama tidak bersahut. Dengan rasa terkejut, Maya memalingkan wajah. Lelaki yang cuba diperangkap tempoh hari tersapa di ruang mata.
"This is your bag?" soal Megat Danial perlahan. Tidak melenting dan tidak juga marahkan dirinya. Seolah-olah dia sudah diterima oleh lelaki itu.
"Yes, my bag!" gumam Maya lantas menapak mendekati tubuh sasa lelaki itu. Tudung yang dikibar-kibar tadi, sudah dijatuhkan ke atas lantai. Manakala senyumannya pula sudah mengambil tempat di raut yang tadinya penuh dengan kebencian.
"You yang campak beg ni ke bawah? Is it right?" soal Megat Danial lagi.
"No, taklah! Dia yang buang beg I!" Rengekan manja terhambur dari ulas bibirnya sambil jari pula sudah mengunjuk ke arah Misha yang sedang menyeka air mata.
"Ambil beg you, dan berambus dari sini!" gumam bibir itu perlahan. Maya terkesima, tiba-tiba sahaja tingkah laku lelaki ini bertukar dingin? Perlahan-lahan tangan menyambut huluran Megat Danial.
"Berambus! Sebelum I repot kepada polis, lebih baik you jauhkan diri you dari pandangan mata I!" ugut Megat Danial apabila merasakan Maya semakin cuba mendekati dirinya saban hari.
"Tapi..." Maya masih mahu mencuba nasib.
"Tak ada tapi-tapi! Sekarang you keluar, atau I repot kepada polis! You memang ada rekod buruk dengan I, dan I minta you jarakkan diri you. Kalau boleh, hingga I takkan nampak batang hidung you tu lagi!" hambur Megat Danial mahu Maya menjauhi dia yang sudah trauma. Trauma kerana perbuatan gadis itu!
"Apa lagi? Pergilah!" hambur lelaki itu menyentak tenang gadis yang begitu menggilai dirinya.
Tanpa berlengah lagi, Maya mengorak langkah dengan perasaan sebal. Bengang apabila rancangan yang diatur gagal, kecewa apabila layanan lelaki yang cukup dicintai dingin seperti selalu. Arghhh... Dia benar-benar kecewa!
"IODIN!" Botol kecil tertera perkataan iodin dihulur kepada Misha yang sedang mencuci luka. Sesekali, raut wajah bening gadis itu dicuri pandang. Ada kesan luka di pipi yang mulus itu! Juga kesan lebam di pinggir bibir seksi yang bercalit lipstik merah terang serta garisan merah di sekitar kelopak mata. Ah, ini semua berlaku kerana perbuatan Maya yang tidak henti-henti membuat onar dan mendendami Misha yang menjadi penyelamat dirinya tempoh hari.
"Sakit?" soalnya lagi. Misha tetap senyap, tiada suara.
"Kalau awak nak balik, saya hantarkan!" tawar Megat Danial lagi. Cuba mencari topik untuk menghindarkan diri dari suasana sunyi sepi ini.
"Saya minta maaf berkasar dengan awak tempoh hari!" Lain ditanya lain yang diperkatakan. Megat Danial terkesima, gadis itu memohon maaf daripadanya. Sedang hakikat sebenar, dia yang banyak bersalah!
"It is okay, cuma saya tak nak jumpa awak lagi," luah Megat Danial tidak lama selepas itu.
"Baiklah, saya akan berhenti kerja dan pergi dari sini!" aju Misha membalas bicara lelaki itu.
Megat Danial yang mendengar jawapan itu, segera menghela nafas sebelum menyambung semula bicaranya.
"Maksud saya, saya tak nak jumpa awak dalam insiden-insiden yang seterusnya!" ucapnya perlahan.
Dia mengenali Misha melalui beberapa siri kemalangan yang tidak dijangkakan! Sungguh aneh cara mereka berkenalan! Pelik dan lain daripada yang lain.
"Encik jangan risau, saya takkan muncul depan mata encik lagi. Saya nak berhenti kerja!" luah Misha sekali lagi. Iodin yang sudah ditekap dengan kapas dioles ke arah luka kesan libasan. Sejurus itu, luka yang sudah siap dibersihkan dibiarkan begitu sahaja. Tubuh segera ditegakkan dan selendang berwarna putih itu digapai. Lelaki yang sedang bersandar di tepi dinding itu dihampiri.
"Terima kasih pinjamkan selendang ni! Sampaikan ucapan maaf saya kepada girlfriend encik kerana guna shawl dia," luah Misha seraya menghulur helaian sutera itu. Lambat-lambat Megat Danial menyambut huluran tersebut. Misha perlu tahu sesuatu tentang selendang ini!
"Shawl ni mak saya yang punya!" ucap Danial bersahaja.
"Oh, okey." Misha angguk sekali. Sejurus itu, dia kembali bersuara. "Kirim salam kepada mak encik!" gumam Misha seraya memandang raut wajah Megat Danial yang kali ini kelihatan tenang.
"Saya nak cari orang jaga mak saya!" Tiba-tiba dia menyuarakan kehendaknya. Pada firasatnya, Misha individu yang paling sesuai. Semuanya kerana sikap lasak dan berani mati yang ada di dalam diri gadis itu. Jika sesuatu yang buruk berlaku, dia yakin Misha dapat menanganinya! Tambahan pula Misha bukan seperti gadis-gadis yang lain! Lasak dan keras orangnya, tetapi masih wujud lemah lembut di sebalik kekasarannya.
"Apa?" Misha yang hanyut dengan khayalan bertanya semula. Terlepas dengar bicara lelaki ego dan sombong itu!
"Petang nanti, saya inform awak semula. Kalau tak nak balik, rehat dalam bilik staf! Saya dah lambat, see you soon!" Megat Danial segera berlalu meninggalkan Misha yang terpinga-pinga.
"Petang nanti? Ada apa petang nanti? Kenapa perlu tunggu sampai petang?" Kerana jawapan lelaki itu, Misha dipagut curiga. Pasti ada perkara tidak digemarinya akan berlaku lagi.
DAN curiganya sudah terjawab apabila lewat petang yang dijanjikan, sepasang anak matanya menangkap kelibat Megat Danial dengan seorang wanita yang lebih berusia sedang menyusur di laluan koridor.
"Itu selera dia?" Hati berbicara manakala kepala digeleng berkali. Anak mata pula masih tidak lepas memerhatikan susuk tubuh kedua-duanya.
"Anak ikan rupa-rupanya!" ujar bibir itu lagi. Dari jauh dia melihat wanita itu merangkul tangan majikannya, erat dan kejap! Seolah-olah tidak mahu dilepaskan lagi.
"Muka dah handsome, gaya dah ada! Tapi perangai, nauzubillah!" Hati tidak henti-henti berprasangka! Langkah diatur mengekori jejak haluan Megat Danial dan pasangannya itu. Ingin tahu ke mana hala tuju kedua-duanya. Jangan-jangan menuju ke bilik hotel. Astaghfirullahalazim! Misha mengurut dada, bimbang andaiannya menjadi satu kenyataan. Dan segala rasa yang bermain dalam benak sudah terungkai! Megat Danial sudah hilang di sebalik daun pintu yang tertutup rapat.
"Lepaskan tangan Di!" Megat Danial bersuara seraya menolak pautan kejap wanita yang enggan berenggang dengannya.
"Mummy sayangkan Di," ucap Zahara memohon pengertian anak tunggalnya itu. Tubuh itu kembali dipeluk erat!
"Di tahu! Tapi kalau mummy terus begini... Di hantar mummy ke sana semula. Sekarang pilih? Nak dengar kata Di, atau mummy mahu Di hantar mummy semula ke sana?" soal Megat Danial seraya mengugut si ibu yang tidak mahu berjauhan dengan dirinya. Kalau begini, susah hendak buat kerja!
"Mummy tak nak balik, mummy nak ikut Di!" luah Zahara seraya melepaskan pautan di lengan anaknya secara perlahan-lahan. Dia bimbang andai Megat Danial meninggalkan dirinya bersendirian di tempat asing sebegini, ke mana harus dirinya pergi? Dia tiada sesiapa lagi! Hanya Megat Danial satu-satunya zuriat yang dia ada!
"Kalau nak ikut Di, jangan degil. Kalau mummy degil, Di takkan bawa mummy, ingat tu!" gumam Megat Danial seperti seorang bapa menasihati anaknya sendiri.
Zahara hanya diam, mengangguk tidak, menggeleng tidak.
"Di nak turun kejap! Mummy duduk sini diam-diam," arah Megat Danial seraya mengatur langkah dan mendekati sudut kanan bilik hotel. Tanpa berlengah, almari pakaian dibuka lalu tangan segera menggapai kemeja dan tali leher. Sejurus itu, baju yang tersarung di badan ditanggalkan dan diganti dengan kemeja biru lembut. Dia ada mesyuarat dengan klien dan terpaksa meninggalkan ibunya di bilik hotel sementara kepergiannya nanti.
"Di nak ke mana? Jangan tinggal mummy," rayu Zahara seraya bangkit dan mendekati anaknya. Wajah mendung itu menerpa pandangan Megat Danial dan serentak itu juga hatinya yang keras, lembut dengan sendirinya.
"Di ada kerja mummy, sekejap lagi Di datang sini lagi. Sekejap aje," ucap Megat Danial perlahan memujuk. Doktor sudah memaklumkan, ibunya harus dilayani dan dipujuk persis anak kecil. Tidak boleh dikasari dan diherdik. Jika menyakiti hati itu, sudah pastinya golongan seperti mereka akan bertindak agresif bagi melampiaskan rasa amarahnya nanti.
"Jangan tinggal mummy," rayu Zahara bernada bimbang.
"Ya, Di janji tak tinggalkan mummy! Sekejap aje Di pergi! Mummy kena tunggu di sini, ya!" pujuk Megat Danial bersama senyuman. Dan lengan ibunya ditarik lalu dibawa ke birai katil dan didudukkan berhati-hati.
"Mummy tidur dulu, lepas ni Di janji bawa mummy ke rumah kita! Tapi dengan syarat, mummy jangan ke mana-mana. Boleh?" soal Megat Danial masih lembut melafazkan kata-kata pujukan. Namun di pinggir hatinya, terselit kebimbangan andai wanita ini keluar tanpa pengetahuannya. Ke mana pula harus ibunya itu dijejak?!
"Tunggu sini ya, mummy?! Di pergi sekejap, penting ni... melibatkan masa depan perniagaan kita juga. So, mummy jangan pergi ke mana-mana!" gumam Megat Danial seraya cuba merapatkan daun pintu. Wajah sugul ibunya terpamer di ruang mata. Dia jatuh kasihan, namun untuk membawa wanita itu bersama, sudah tentu tidak akan berlaku. Haru-biru hidupnya nanti!
"Mummy takut Di, mummy nak ikut Di," rayu Zahara seraya memandang raut wajah anaknya yang sudah bertukar riak. Seperti raksasa yang mahu memusnahkan segala apa yang ada di hadapan matanya.
"Kenapa Di pandang mummy macam tu?" soal Zahara berasa sedikit hairan. Megat Danial mengetap gigi, pertanyaan ibunya menjadikan dia serba salah pula. Mahu sahaja dia menghambur amarah atas sikap degil ibunya itu, namun dia tidak tega. Lemah sangat rasanya, entah mengapa!
"Mummy, Di nak kerja! Mummy tunggu sini, sekejap aje, mummy! Di janji!" tekan Megat Danial lagi seraya mengerling jam di pergelangan tangan. Sudah terlewat lima minit!
"Tunggu okey, diam-diam!" aju bibir itu lagi seraya merapatkan daun pintu walaupun ibunya di dalam bilik sedang meronta dan enggan ditinggalkan bersendirian. Dia terpaksa demi mesyuarat penting yang harus dihadirinya ketika ini.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro