Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

"LAMBAT Di balik hari ni? Banyak kerja?" Bibir Puteri Aisyah sibuk bertanya perihal cucunya yang seorang itu. Cucu yang biasa bertandang apabila mempunyai masa terluang. Seperti biasa, raut wajah itu tidak pernah manis. Tegang dan senantiasa sugul! Pasti ada masalah!

"Minum dulu," sambung Puteri Aisyah seraya meletakkan sedulang teh hijau di atas permukaan meja bulat yang didirikan di tengah halaman yang menghijau dengan rumput mutiara. Megat Danial kelihatan bersahaja, tidak bersuara melainkan keluhan kecil yang tidak henti-henti menyapa sepasang gegendang telinga Puteri Aisyah.

"Mengeluh aje cucu nenek ni. Di ada masalah ke?" Aisyah duduk berhadapan Megat Danial. Mahu menyelami sekeping hati satu-satunya waris yang ditinggalkan oleh arwah anak sulungnya, Megat Darwish.

"Tadi... Di jumpa mummy!" luah Megat Danial tanpa berselindung lagi. Puteri Aisyah tersentak, perkhabaran itu cukup membuatkan hatinya berdebar dengan tiba-tiba.

"Dia nak apa lagi?" lontar bibir itu tidak senang. Namun cuba disembunyikan sebaik mungkin, bimbang cucunya itu akan berkecil hati.

"Mummy nak balik," aju Megat Danial tertunduk mengelus jari-jemarinya. Seperti awal-awal tadi, bibir itu tidak lekang dengan keluhan. Sementara menanti Megat Danial menyambung bicara, Puteri Aisyah membuang pandang ke arah halaman yang dihiasi dengan landskap bercirikan binaan dari Bali.

"Mummy dah sihat, katanya mummy nak balik," aju bibir itu lambat-lambat. Puteri Aisyah semakin dipagut kebimbangan. Jangan-jangan Megat Danial mahu membawa wanita itu kembali pulang! Ah, tidak mungkin! Dirinya sama sekali tidak akan membenarkan hal itu berlaku!

"Sekarang Di tak tahu nak bawa balik atau tidak," luah Megat Danial lagi. Perjumpaan dengan ibunya lewat tengah hari tadi membenihkan kebimbangan dalam sanubari. Sama ada menolak atau mengikut kehendak itu, dia tidak pasti. Namun jauh di sudut hati yang paling dalam, dia bersimpati dan terbit sedikit ihsan untuk si ibu yang terlalu lama ditinggalkan di sana. Tiada sesiapa yang peduli, dan tiada sesiapa yang mahu ambil tahu. Hanya Danny yang sering kali menzahirkan keprihatinannya dengan meminta dia sentiasa melawat ibu yang telah lama dibuang dari hidup.

"Nenek tak mahu Di bawa perempuan tu balik! Nenek tak boleh tengok dia ada depan mata nenek!" hambur Puteri Aisyah tegas. Serentak itu Megat Danial mengerling raut wajah neneknya. Bengis! Langsung tiada sisa simpati ke atas wanita yang pernah bergelar isteri kepada arwah bapanya dahulu. Juga menantu sulung di dalam keluarga Megat Aiyub!

"Mummy dah sihat..." luahnya perlahan tanpa memandang wajah Puteri Aisyah yang tegang.

"Nenek tak boleh terima dia! Di jangan cuba-cuba bawa di ke sini. Sihat atau tak sihat, dia sudah tiada kena-mengena dengan kita! Di kena faham dan jangan cuba membantah!" tegas Puteri Aisyah sekali lagi. Walaupun tutur katanya kedengaran agak kejam, namun dia lebih rela mengungkapnya daripada terus membiarkan wanita itu menghuru-harakan kehidupan bahagia yang kembali pulih. Dia tidak mahu kesedihan dan air mata kembali mewarnai hari-hari mendatang. Apatah lagi wanita itu ialah wanita pembawa malang dalam keluarga.

"Tapi, nek." Megat Danial rasa bersalah untuk terus meninggalkan ibu kandungnya di sana, lantaran doktor telah mengesahkan kesihatan ibunya sudah kembali pulih. Pada awalnya dia berkeras untuk tidak menurut, namun sebagai anak, sejauh manakah hati itu rela melihat tangis si ibu? Dan setegar manakah dia membiarkan si ibu sendiri kesepian menjalani hidup tanpa sesiapa di sisi?

"Mummy dah sihat... Di tak sampai hati biarkan mummy dekat sana lagi," ajunya mengulangi bisikan hati yang tidak henti-henti meminta dirinya membawa wanita itu pulang ke pangkuan.

Puteri Aisyah yang mendengar setiap patah bicara cucunya merengus geram. Tidak sangka, Zahara kembali mempengaruhi hati cucunya yang satu itu.

"Di, tolong jangan degil! Dengar cakap nenek," ucapnya cuba memujuk Megat Danial yang diam membungkam diri. Puteri Aisyah angkat wajah, raut sugul itu menerpa pandangan matanya. Pasti Megat Danial keliru dan termakan dengan hasutan wanita yang sudah terlalu lama menghuni hospital sakit jiwa itu. Sebelum tindakan dibuat, wajarlah dia menyiasat perubahan cucunya itu. Dia harus tahu punca dan sebab mengapa Megat Danial berlembut hati untuk membawa ibunya pulang.

"Kenapa Di nak bawa dia pulang ke sini?" soal Puteri Aisyah menahan rasa tidak senangnya. Jika cucunya itu mengambil keputusan untuk membawa Zahara kembali ke dalam kehidupan mereka semula, dia harus bertindak untuk menghentikannya. Dan dia juga tidak akan sesekali duduk diam dan membenarkan perkara itu berlaku.

"Doktor kata mummy dah sihat! Tiada keperluan untuk tahan mummy di situ lagi, nek. Jadi, rasanya biarlah Di bawa mummy balik ke sini," aju ulas bibir merah itu membuatkan Puteri Aisyah terdiam memikirkan sesuatu untuk menghalangnya. Namun dia harus bersabar dan memujuk Megat Danial agar tidak mengikut cakap doktor yang merawat bekas menantunya itu.

"Di... Nenek bukan nak halang Di berbaik dengan mummy Di. Tapi Di kena ingat, dia gila! Orang gila, bila-bila masa boleh menjadi gila dan mencederakan orang! Nenek tak mahu peristiwa lama berulang lagi, nenek dah serik!" ucap Puteri Aisyah cuba mengimbas kisah pahit yang dilalui mereka sekeluarga. Satu per satu jenazah insan-insan kesayangannya tersapa di ruang mata. Dia tidak sanggup membayangkan kekejaman yang dilakukan oleh bekas menantunya itu! Dia juga tidak rela memutar ingatan terhadap peristiwa 14 tahun dahulu. Perit rasanya.

"Buat apa nak angkut perempuan sewel tu ke rumah ni? Habis semua orang dibunuhnya nanti!" celah satu suara. Megat Danial berpaling ke arah suara yang datang. Senyuman mengejek Datin Puteri Marisa tersapa di ruang mata. Cukup menjengkelkan hatinya!

"Heh, Danial... Kau tak malu ke ada emak macam tu? Perempuan gila? Tak malu?" soal Datin Puteri Marisa sambil mengorak langkah. Setelah dia tiba di pekarangan halaman yang agak luas itu, kerusi ditarik lalu punggungnya dilabuhkan cermat di sebelah ibunya, Puteri Aisyah. Megat Danial hanya mendiamkan diri, malas bertegang urat dengan perempuan seperti ibu saudaranya itu. Dia harus bijak mengawal emosi daripada mengulang semula kejadian di mana dia melempar cawan lalu hinggap ke arah mulut celopar itu.

"Marisa..." tegur Puteri Aisyah terhadap anak perempuannya yang terlalu mudah berkata-kata.

"Kenapa? Salahkah apa yang Risa cakap tadi? Dah memang betul Si Zahara tu gila! Kalau tak gila, tidaklah dia meringkuk dalam Hospital Bahagia tu bertahun-tahun!" hambur Datin Puteri Marisa bersama bibir yang terjuih-juih.

"Yalah... Tapi tak baik cakap macam tu," tegur Puteri Aisyah lagi.

"Apa yang tak baiknya, bu? Cuba ibu tengok, orang macam Zahara tu tak ada tempat dalam kalangan kita! Siapa keturunan dia pun kita tak tahu! Di mana dia tinggal dan semuanya tentang dia kita tidak pernah tahu. Tapi tak sangka arwah abang boleh sayang kepada dia! Boleh kahwin dan angkat dia setaraf dengan kita! Tapi abang pun satu, kerana sayang nyawa melayang! Itulah degil, tak mahu dengar nasihat orang! Kalaulah..." Belum sempat Datin Puteri Marisa menghabiskan bicaranya, Megat Danial sudah menghentak meja.

"Shut up, auntie! Kalau tak memekak benda yang sama, tak boleh ke?" hambur bibir itu membuatkan Datin Puteri Marisa dan Puteri Aisyah tersentak. Dan lebih parah lagi, Datin Puteri Marisa terenjut bahu! Terkejut!

"Mulut auntie memang tak boleh diam ke? Memang suka mengungkit? Ulang benda yang sama sejak bertahun-tahun dulu! Apa, auntie tak pernah rasa penat ke? Membebel tak tentu hala! Bising tahu tak? Di dah bosan dengan mulut becok auntie yang tak henti-henti mengumpat orang!" hambur Megat Danial apabila merasakan bebelan yang sama terpaksa didengar sejak bertahun-tahun dahulu. Sejak ibunya terlibat dengan pembunuhan seluruh ahli keluarganya!

"Megat Danial, kenapa cakap macam tu dengan auntie?" soal Puteri Aisyah tidak gemarkan cara cucunya itu berkomunikasi. Sentiasa marah dan mudah benar naik radang.

"Dah mulut auntie bising macam kilang besi! Siapa yang suka dengar?!" sinis Megat Danial bersama sebuah kerlingan tajam.

"Memanglah mulut aku tak boleh diam! Tapi mulut aku ni bukannya kilang besi. Kurang ajar!" Datin Puteri Marisa mendengus.

"Sudah, tak habis-habis bergaduh! Ha, Risa... Kamu datang ke mari mesti bersebab." Puteri Aisyah menebak. Sudah masak dengan perangai anak-anak kandungnya.

Dengan raut masam mencuka, Datin Puteri Marisa membuka bicara.

"Risa datang nak tanya tentang syarikat ayah. Kenapa ayah beri kompeni dengan hotel tu kepada dua orang mangkuk ayun ni? Apa... Risa, Kak Jasmin dengan Fauzan tak layak ke uruskan syarikat tu? Risa tak puas hati," hambur Datin Puteri Marisa melampiaskan ketidakpuasan hatinya berkenaan pemberian aset tersebut. Seolah-olah Megat Danial dan Danny tidak boleh diharapkan.

"Risa... Ibu dah cakap hari tu. Ini keputusan ayah, ibu hanya menurut! Lagipun, hak dan bahagian Risa ayah dah tetapkan," ucap Puteri Aisyah lagi. Datin Puteri Marisa yang tidak berpuas hati, mengerling ke arah Megat Danial yang bersahaja. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dikeroyok budak lelaki ini. Dia benar-benar geram!

"Di muda sangat, bu. Belum masanya dia galas tanggungjawab yang besar macam ni. Fauzan tak mati lagi bu, kenapa ibu tak serahkan kepada dia? Atau kepada sesiapa yang lebih layak? Risa atau Kak Min?" hambur Datin Puteri Marisa ingin tahu.

"Muda atau tidak, ayah dah buat keputusan yang terbaik. Ayah lebih tahu apa yang diputuskannya! Risa jangan sesekali mempertikaikan apa yang ayah sudah tetapkan," luah Puteri Aisyah mahu Datin Puteri Marisa sedar keputusan yang dibuat oleh suaminya itu sudah difikirkan semasak-masaknya.

"Risa tetap tak puas hati, bu!" tegas Datin Puteri Marisa seraya meletakkan beg tangannya di atas paha. Tanpa dipelawa, secawan teh yang sudah siap bertuang diteguk sekali nafas. Megat Danial hanya mengerling tingkah ibu saudaranya itu, manakala Puteri Aisyah pula diam tidak terkata.

"Risa lebih layak, bu," ucap bibir itu buat sekian kalinya. Masih tidak berputus asa untuk merelakan harta ibu bapanya diserahkan kepada kedua-dua anak saudaranya itu.

"Sudahlah Risa, jangan pertikaikan lagi. Terima sahaja keputusan ayah," hambur Puteri Aisyah menegaskan bahawasanya perkara yang sudah ditetapkan tidak akan tergugat walaupun Datin Puteri Marisa dan adik-beradiknya yang lain merusuh sekalipun. Ucapan terakhir dari bibir ibunya itu membuatkan Datin Puteri Marisa diam tidak lagi bersuara. Suasana tegang bertukar sepi dengan tiba-tiba.

"Nek." Setelah suasana hening, Megat Danial bersuara. Wanita tua itu memanggung wajah dan memerhatikan raut cucunya. Seperti ada sesuatu yang ingin diperkatakan.

"Di, nak balik dulu! Kalau Di free... Di datang lagi," aju Megat Danial seraya menegakkan tubuh.

"Hati-hati memandu, jangan drive laju-laju!" gumam Aisyah sebaris. Megat Danial hanya mengangguk kepala seraya mengerling sekilas ke arah wajah ibu saudaranya, Datin Puteri Marisa.

"Auntie, Di balik dulu!" ucap Megat Danial sebaris.

"Eh, suka hati engkaulah, Danial," balas Datin Puteri Marisa malas ambil kesah. Respons ibu saudaranya membuatkan Megat Danial membara. Tanpa berlengah lagi, dia mengatur langkah menjauhi wanita psiko itu. Mahu terus pulang ke rumah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: