Bab 12
Lain yang difikir, lain pula yang berlaku. Entah bagaimana, kereta yang dipandu terus sahaja menghala ke kawasan yang cuba dielakkan. Dan kini, dia sedang berdepan dengan seorang insan bergelar ibu.
"Mummy nak apa?" Sekilas, raut tua itu dikerling melalui ekor matanya. Wajah itu pucat dan kusam. Jauh berbeza jika dibandingkan dengan yang dahulu dan dengan apa yang ada pada hari ini. Keanggunannya sudah hilang, serinya juga sudah tiada!
"Di banyak kerja. Ini pun Di singgah sekejap aje," luahnya perlahan. Tiada intonasi mesra yang kedengaran. Zahara yang kerinduan, segera melontar bicara.
"Di..." serunya gemeresik. Sesudah itu, wanita itu kembali bersuara.
"Mummy rindukan Di. Dah lama Di tak datang jenguk mummy!" Bibir itu bergetar meluahkan segala yang terpendam dalam hati. Hampir enam bulan Megat Danial tidak melawatnya di sini. Semakin hari semakin merindu, dan dia tidak mampu lagi menyembunyikan perasaan rindu itu terhadap satu-satunya anak yang dia ada.
"Di busy!" Tanpa secubit rasa bersalah, Megat Danial menghambur alasan. Alasan yang sengaja dicipta.
"Mummy rindukan Di," gumam bibir itu lagi. Mahu satu-satunya anak yang dia masih ada memahami derita rindu yang mencengkam seluruh sanubarinya. Dia sudah tua, dia mahu menghabiskan sisa tuanya bersama anak-anak. Namun satu-satunya anak yang dia ada, cuba mengetepikan dirinya.
"Mummy nak apa sebenarnya? Di busy! Mummy ingat, dari KL ke Tanjung Rambutan ni dekat?" selar Megat Danial, tertahan-tahan nada suaranya. Untuk menengking seperti dulu-dulu, dia bimbang mengganggu penghuni Hospital Bahagia ini. Masih segar dalam ingatannya suatu ketika dahulu, ketika dia memarahi wanita ini. Hampir lima orang penghuni datang menyerangnya! Dikeroyok hingga lebam satu badan. Mujur ada petugas hospital mampu menenteramkan mereka semua. Jika tidak, entah apa lagi yang terpaksa dilalui! Serik rasanya! Sudah dinamakan orang gila, tentulah mereka tidak sedar kegilaan yang dilakukan oleh mereka sendiri.
"Mummy nak jumpa Di, mummy rindu!" luah bibir itu meyakinkan Megat Danial bahawasanya dia bukan sengaja mencipta perasaan rindu-merindu itu. Dia ikhlas dengan perasaan yang membuai naluri keibuannya.
"Sekarang dah jumpa! So?" soal Megat Danial membuang pandang ke arah luar.
"Mummy nak peluk Di!" Seperti biasa, tubuh Megat Danial ingin sekali dipaut dan didakap. Melampiaskan kerinduan yang semakin sarat di pinggir hati. Perlahan-lahan tubuh ditegakkan dan susuk tubuh sasa anak lelakinya itu didekati.
"Mummy peluk, ya?" pohon Zahara bersama sebuah pengertian. Megat Danial membungkam. Untuk menolak, dia bimbang andai beberapa penghuni yang sedang memerhatikannya kembali menyerang. Sudahnya, dia hanya membiarkan dan terpaksa merelakan tubuhnya dipeluk oleh ibunya sendiri.
Jauh di sudut hati, perasaan halus itu seolah-olah meresap jauh ke dasar hati. Hingga tidak sedar dia begitu tenang serta selamat di dalam pautan wanita yang telah lama diketepikannya.
"Mummy sayangkan Di, mummy rindukan Di," luah Zahara perlahan bersama sebak yang mula bertandang. Semenjak dia dirawat di sini, hanya sekali-sekala Megat Danial datang melawat. Walaupun penyakitnya sudah disahkan sembuh, Megat Danial enggan membawa dirinya pulang. Hanya dibiarkan menghabiskan sisa-sisa hidup di hospital ini. Hospital yang menempatkan golongan senasib dengannya.
"Mummy rindukan Di, rindu sangat-sangat," ucap Zahara berusaha menahan rasa sebak dan hiba. Tubir mata sudah memberat dan kolam matanya juga sudah bergenang! Bila-bila masa sahaja air jernih itu bakal berguguran di lurah pipi.
"Di tahu." Megat Danial mengendurkan sedikit nada suaranya. Daripada tenang, kini dia terasa lemas pula apabila dipeluk dan didakap seerat itu. Namun dia tetap bersahaja tanpa membalas pelukan daripada ibunya. Dari satu sudut hati yang lain, dia masih punya sisa simpati untuk insan yang melahirkan, namun perasaan itu sedaya upaya cuba disangkal pergi.
Namun ketenangan itu terusik apabila wanita itu kembali menyuarakan kehendaknya.
"Mummy nak ikut Di, mummy nak balik," mohon Zahara berharap Megat Danial sudi membawanya pulang ke rumah mereka. Ke rumah yang mencipta seribu kenangan suka dan duka sebuah kehidupan berumah tangga.
"Mummy nak apa lagi? Tak perlu ikut Di balik, dah tak ada apa-apa untuk mummy kenang lagi!" hambur Megat Danial menolak permintaan ibunya itu. Serentak itu juga pautan itu cuba dileraikan dan Zahara yang merasa penolakan daripada anaknya terpaksa melepaskan dakapan. Namun dia masih berharap untuk pulang dan tinggal bersama anak, dan menghabiskan sisa-sisa hidup di sisi satu-satunya darah daging yang dia ada.
"Mummy nak tinggal dengan Di, mummy tak mahu tinggal sini lagi, Di," rayu Zahara bersama esak sendu. Sudah acap kali dia merayu dan memohon, namun Megat Danial serupa itu juga. Enggan menurut bahkan sering kali memberi rasa hampa di pinggir hatinya.
"Tak boleh! Nanti mummy buat kacau!" gerutu Megat Danial bersama nada tegas. Ibunya yang menghidap penyakit mental itu tidak boleh diberi muka, orang gila bila-bila masa sahaja boleh mendatangkan kemudaratan. Dia bimbang keadaan ibunya akan menyusahkan hidupnya kemudian hari.
"Mummy dah sihat!" ucap Zahara mahu Megat Danial menimbangkan permintaannya. Lengan itu dipaut dan dielus perlahan.
"I said no! Faham tak?" soal Megat Danial bersama radang. Pautan tangan ibunya, segera dileraikan namun Zahara tetap berkeras. Enggan berganjak!
"Mummy sayangkan Di... Mummy rindukan Di... Bawa mummy pergi dari sini." Tangis Zahara sudah berlagu. Wajah sudah disembamkan di dada bidang anak terunanya itu, lalu tangis dihambur tanpa henti.
"Mummy nak ikut Di balik. Bawa mummy balik, ya sayang... Mummy nak ikut Di balik." Berulang kali Zahara memohon dan setiap kali itu jugalah Megat Danial menggeleng dan menolak.
"Mummy memang sengaja nak malukan Di? Betul, kan?" tebak Megat Danial apabila merasakan ibunya seperti tidak faham mengapa dia berat untuk membawa wanita itu pulang. Dia malu dengan apa yang telah dilakukan oleh wanita itu. Dia benar-benar malu!
"Di malu ada ibu yang gila?" soal Zahara pula. Megat Danial sekadar membisu, membenarkan segala telahan ibunya melalui pandangan tanpa suara.
"Di malu nak bawa mummy pulang jumpa atuk dan nenek?" tebak Zahara lagi sambil mengesat air mata dengan belakang tapak tangan.
"Habis? Mummy ingat, Di bangga nak bawa mummy jumpa mereka?" selar Megat Danial pula. Bosan dengan soalan yang dipersoalkan bibir tua itu. Maka, biar sahaja dia menjawab. Jujur dan jelas!
"Mummy tak bersalah Di, mummy teraniaya! Mummy difitnah!" ucap Zahara buat sekian kalinya.
"Kalau mummy difitnah, kenapa daddy, kakak dan adik Di semuanya meninggal? Kenapa? Itu pun fitnah? Kalau mummy jaga kelakuan, jaga tingkah laku, semua ni pasti tak terjadi. Mummy curang! Kerana cinta kepada lelaki lain, sanggup mummy bunuh keluarga sendiri! Mujur waktu tu, Di tak ada! Kalau tidak, pasti Di pun dah lama mati," hambur Megat Danial tentang hakikat yang cuba dinafikan oleh ibunya.
"Tak! Mummy tak pernah bunuh mereka! Mummy tak pernah curang! Semua tu fitnah, Di! Fitnah!" hambur Zahara bersama tangis. Sukar sekali untuk meyakinkan Megat Danial yang sudah berdendam.
"Fitnah mummy kata? Bukti ada, mummy! Jangan nak tegakkan benang yang basah!" luah Megat Danial, tetap berkeras dengan kata hatinya. Entah mengapa, perasaan sebak itu kembali menghuni hati. Dia kehilangan seluruh ahli keluarga disebabkan cinta terlarang ibunya dengan seorang lelaki yang tidak dikenali.
"Mummy tak tipu, Di! Mummy tak bohong, Di... Tolong percayakan mummy!" luah Zahara lalu jatuh terjelepok ke lantai. Kaki anak tunggalnya dipaut dan dipeluk erat. Hanya kepercayaan Megat Danial yang dia mahukan. Hanya kasih dan sayang anak kandungnya yang diharap-harapkan! Dia sudah tiada sesiapa selain Megat Danial.
"Sudahlah mummy, Di nak balik! Tak ada apa yang boleh Di buat lagi. Biarkan Di hidup dengan cara Di. Maaf, Di nak balik. Kerja Di dekat pejabat, banyak yang tertangguh," gumam Megat Danial, cuba mengatur langkah namun kaki yang masih di dalam pautan erat ibunya menghalang pergerakan.
"Lepaslah," ucap bibir itu bersama nada yang ditahan-tahan.
Bimbang kebencian anaknya semakin bertambah-tambah, Zahara akhirnya terpaksa juga melepaskan Megat Danial pergi walaupun hatinya tidak merelakan. Tanpa berlengah lagi, Megat Danial mengatur langkah meninggalkan pekarangan ruang rehat penghuni hospital itu. Sejurus kaki mendekati muka pintu, Megat Danial hilang keseimbangan lalu jatuh terlentang angkara lantai yang licin.
"Hahaha..." Tawa seluruh penghuni rumah sakit jiwa itu bergema serentak. Ada yang ketawa berdekah-dekah dan ada juga yang ketawa hingga menampakkan gusi yang tiada gigi. Kesemuanya bersorak gembira dengan apa yang sedang dilihat.
"Tak guna! Gila!" hambur Megat Danial cuba bangkit lalu menepuk bahagian punggung yang sudah kotor dengan kesan basah.
Eee... Air apa pula ni? gerutu hatinya. Mata meliar memerhatikan sekitar ruang rehat yang menempatkan bilik TV tersebut. Tidak semena-mena, sepasang anak matanya menangkap pistol air yang sudah terdampar di atas lantai.
Hei, orang gila ni... Menyusahkan betul! desis hati kecilnya seraya menapak pergi tanpa menoleh lagi. Sebelum dia melangkah pergi, sempat lagi permainan salah seorang penghuni itu disepak jauh-jauh.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro