BAB 3
Mangsa maut dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu ialah pemandu Toyota Harrier, Othman bin Taha, 55, isterinya, Siti Maryam binti Ali, 50, dan anak perempuan mereka, Fasha Qaisara bin Othman, 6. Seorang lagi penumpang kenderaan itu, Fahim Luth, 15, yang juga anak Othman terselamat namun cedera parah.
Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki keluarga terbabit bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis trak pikap Toyota Hilux yang dikhabarkan hilang kawalan ketika pemanduan.
Jenazah telah dikebumikan dalam liang lahad yang sama oleh anak sulung keluarga itu, Fakhri Akmal. Sementara mangsa yang terselamat sedang berada di unit rawatan rapi bagi rawatan susulan...
Fahim mematahkan jari jemari bagi menghilangkan rasa gusar. Letupan sendi tulang kedengaran buat beberapa kali sebelum dia meletakkan telefon baharu itu ke tepi.
Berita kemalangan ngeri dalam diari hidupnya terpapar di laman sosial Facebook dan blog. Bahkan, gambar kereta arwah bapanya yang remuk menghiasi coretan wartawan. Rasa takut dan bimbang berpusu-pusu menggulingkannya ke dalam lahar kesedihan.
Silap dia mencari memori itu. Padahnya hanya mencucuk ketenangannya yang baru hendak stabil.
Rasa hidup tidak berguna. Tak ada yang sayang padanya dan dia tak sepatutnya terselamat dalam kemalangan itu.
'Achik pun mati sebab aku.'
Getus lubuk hati Fahim.
Sudah lama dia membuang rasa sesal di suatu ketika.
Pada hari di mana hujan mencurah dengan selebatnya. Air memenuhi longkang hingga ke paras jalan raya. Suasana sejuk yang terhidang bersaksikan awan gelap, di situlah si bodoh Fahim dengan gembira bermain bersama-sama rakannya. Mereka masing-masing menghanyutkan kapal mainan buatan sendiri mengikut arus deras longkang. Di usia sebegitu, memang remaja lelaki sebayanya tidak gentar pada guruh yang berdentum. Keseronokan melihat kapal melintasi garisan penamat tandaan mereka di bawah pokok sena akan menjadi suram tidak lama lagi.
Sebelah selipar disarungkan hingga ke siku tangan. Baru dia hendak mencapai selipar yang lagi satu, dahinya berkerut seribu. Melilau mata mencari-cari sampailah dia menyedari bahawa objek yang dicari telah dihanyutkan longkang berbentuk 'V' itu.
Fahim yang basah lenjun mengorak langkah di sepanjang bahu jalan dengan berkaki ayam bagi mengejar selipar. Arus airnya agak deras, langkah pun dipercepatkan. Sebaik sahaja dia menghampiri, terus remaja lelaki itu terjun ke dalam longkang yang dikiranya cetek.
Sungguh Fahim membuat sebuah kesilapan besar pada petang itu. Ketika matahari petang kesepian bergantung di horizon langit, cahayanya tak kelihatan dek lebatnya hujan.
Dia telah melangkah ke penghubung longkang-longkang besar kira-kira sedalam 1.5 meter. Dicuba melawan arus deras. Isipadu air yang hadir terlalu banyak. Fahim perlahan-lahan hanyut dibawa arus air. Walaupun ketinggiannya melebihi 1.5 meter, situasi cemas itu menewaskan dia.
Pergelutan di dalam air mengasingkan dia dari atmosfera luar. Sekejap kepalanya terhantuk pada dinding kolong yang entah di mana lokasinya. Pandangan mata tidak dapat menangkap apa-apa. Yang ada hanyalah air disegenap sudut. Hujung kakinya tidak dapat menjejaki dasar seperti tadi. Barangkali kedalaman longkang makin bertambah. Nafas tidak dapat dicuri.
Dia bakal lemas dan mati di situ.
Tiba-tiba, kakinya dapat merasakan suatu dasar. Antara realiti dan mimpi, Fahim tak mampu membezakannya. Bukan satu kaki bahkan kedua-dua kakinya dapat memijak ke atas sesuatu. Maka, badannya dapat melonjak ke atas hingga kawasan permukaan air ditemui.
Remaja lelaki berkenaan terkapai-kapai di bawah hujan yang mencurah. Dengan pengharapan agar ada yang menyambar tangannya.
Fahim menarik nafas dalam. Air mata berlinang deras. Suasana kamar serba putih ini agak menyebalkan. Begitu dia membenci diri sendiri saat ini.
"Adik," sapa Fakhri.
Entah sejak bila lelaki berkenaan berada di situ. Fahim tersedu sedan. Mukanya bertukar merah menahan hati yang terlalu sarat.
Fakhri tidak berkata banyak. Tindakannya mendahului buat menenangkan adiknya saat itu. Tubuh Fahim dibawa ke dalam dakapan.
"Along ada."
Wajar remaja itu sesedih begini. Dia telah menjadi saksi kepada beberapa episod kematian keluarga.
***
Masa membawa pergi rasa sedihnya. Hati yang terluka itu berusaha keras untuk sembuh. Sama seperti peha kirinya yang patah memerlukan tempoh penyembuhan. Begitu juga raganya yang remuk bagi menerima kepahitan takdir.
Figura seorang abang yang dipamerkan Fakhri mula diterima Fahim perlahan-lahan. Pada kesungguhan lelaki 30-an itu menjaganya setiap hari yang terlantar seperti orang lumpuh. Fahim tidak dapat berganjak dari katil. Hendak ke tandas pun dia tidak dibenarkan.
"Boleh ke makan KFC ni?" soal Fahim pada abangnya. Sebuah kotak ayam goreng dihidangkan ke atas meja makan katilnya.
"Makanlah. Baru operate semalam, kan? Tambah tenaga tu." Fakhri mengangguk sambil tersenyum senang.
"Tak gatal ke luka nanti?" tanya Fahim lagi.
"Tak adalah. Yang gatal tu kalau ada jangkitan kuman. Bukan salah ayam," ringkas Fakhri menjawab. Bekas kentang lenyek dibukanya pula. Dia tahu ini adalah makanan kegemaran adiknya.
Tanpa berlengah, Fahim mencapai kepak ayam. Tangannya sibuk mencerakinkan dua tulang kepak ayam sebelum menikmati isinya yang lembut sekali suapan. Lega rasanya dapat menghilangkan rasa pahit ubat di tekak.
"Along tak makan juga?"
"Tak."
"Along tak balik rumah KL?"
"Balik juga sekejap-sekejap. Tapi along datang sini balik."
Fahim yang banyak mulut semakin kembali ke dalam personaliti adiknya. Fakhri cukup senang. Tak betah jika berlama-lamaan dengan kemurungan remaja lelaki itu.
Pembedahan semalam berjalan dengan lancar. Peha Fahim telah dimasukkan plat besi sebagai pemegang tulangnya yang patah riuk. Seminggu lamanya doktor menunggu keadaan Fahim stabil sebelum memasang implant.
Fakhri cuba belajar untuk menjadi seorang abang. Matanya melekuk gembira melihat selera Fahim. Tulang pipi Fahim agak cengkung lalu dia bertanya. "Kenapa adik nampak kurus?"
"Bulan lepas ada pertandingan taekwando. Adik kena turunkan berat badan jadi underweight." Ringan sahaja mulutnya menjawab. Makanan berselang seli masuk ke dalam mulut.
"Adik masuk pertandingan taekwando?" Fakhri tidak tahu pula tentang itu.
"Ya. Achik yang ajar."
"Along tahu achik memang aktif taekwando waktu dekat kolej dulu." Teringat pula pada Farhan yang periang orangnya. Begitu bersemangat dalam apa-apa yang dikerjakan termasuklah suka taekwando.
"Achik hebat sangat."
"Tahu. Tapi adik tak boleh masuk taekwando dah lepas ni."
Kunyahan mulut Fahim jadi perlahan. "Sampai bila?"
"Setahun lebih... Barulah tulang peha adik tumbuh elok."
Yang akhirnya gigi geraham bertemu dan statik. Mulutnya kelu. "Hm."
"Tak apalah. Adik fokus kesihatan adik buat masa ni. Nanti kalau adik nak masuk mana-mana kelas seni pertahankan diri ke berenang atau lain-lain along boleh je bayarkan. Syaratnya kena sihat dulu," pujuk Fakhri.
Entah dia masih ada hati atau tidak untuk ke sekolah apabila sembuh kelak. Terkenangkan kakinya yang cacat sementara, semangat Fahim kelam.
"Dah, jangan fikir panjang. Kan dah janji nak mulakan hidup baru dengan along." Fakhri menepuk bahu adiknya perlahan. Kehidupan sebagai dua orang adik beradik. Fahim akan menjadi adik bongsu dan Fakhri abang sulungya.
"Adik akan pindah sekolah?" Soalan itu terpancul keluar. Matanya memandang Fakhri.
"Kita akan duduk Kuala Lumpur. Soal pelajaran, adik boleh pilih nak ke sekolah harian atau homeschooling."
"Adik yang pilih?"
"Ya. Along nak adik selesa."
"Adik tak tahu." Fikirannya tak mampu pula bagi membuat keputusan segera.
Pindah sekolah? Pindah rumah?
Sungguh Fahim tidak tahu apa-apa.
"Tak apa. Yang itu pun nanti kita fikir. Sekarang, makan kenyang-kenyang."
Dia bersetuju dan sambung menikmati santapan. Asalkan Fakhri ada untuk menjaganya, kesaratan hati terubat sedikit. Sedih itu masih ada. Cuma matanya penat asyik menangis. Lihatlah sembapan di bawah mata. Ditambah pula wajah pucat lesi seperti kehilangan darah.
"Adik nak tanya. Waktu kemalangan hari tu, pihak hospital ada bagi dompet adik pada along?"
Fakhri berfikir sejenak. "Ada. Adik nak ke?"
"Nak. Adik ada selit kertas nombor telefon kawan-kawan dalam dompet tu." Dia bercadang mahu mengubati kesunyiannya dengan menghubungi rakan-rakan. Di sini, kawan-kawannya hanyalah jururawat, mak cik cleaner dan doktor pelatih. Kurang tiga minggu, Fahim harus kekal di hospital. Itu sebuah tempoh yang lama.
***
Segala sendi dilonggarkan Fahim di atas katil itu dalam keadaan berbaring. Mata ditenyeh perlahan.
Dengan sabar dia menanti kehadiran jururawat lelaki yang bertugas untuk membersihkan dirinya. Tepat jam 6.30 pagi, kehadiran seorang lelaki dalam pakaian scrub putih menjengah permandangannya. Jururawat itu membawa bersama-sama sepersalinan pakaian baharu.
"Selamat pagi!"
Fahim disapa dengan ceria. Layanan di hospital itu bak dia putera raja. Semua orang berlaku baik padanya 24 jam. Tak hairan juga kerana dia baru beberapa hari melepasi pembedahan peha.
"Selamat pagi," balas Fahim. Matanya mengikut langkah jururawat berkenaan.
"Okey tidur hari ni?"
"Okey. Kaki tak rasa sakit pun." Butang yang bersambung kepada wayar drip langsung tak disentuh Fahim semalam. Makna kata, dia tidak memerlukan bantuan morphine bagi menghilangkan kesakitan. Cukup dengan pil paracetamol semata-mata.
"Nanti pukul 8 pagi, doktor akan datang periksa."
Fahim menjatuhkan kepala sekali. Membiarkan jururawat itu melakukan kerjanya.
Usai bersiap pagi itu, dia dihidangkan sarapan pagi; sepotong roti dan secawan minuman coklat panas. Setelah jururawat meninggalkan biliknya, Fahim pantas mencapai telefon di sisi bantal.
Jari ligat menekan-nekan skrin telefon model Samsung Corby yang kemudiannya membawa dia ke laman Facebook. Minuman coklat itu dicicip perlahan. Anak matanya ibarat telah digam pada sekeping gambar.
Dua dari kanan pentas, wajah seorang gadis bertudung hitam telah mencairkan hatinya. Fahim tersenyum sendiri, tidak lekang. Berangan-angan dapat bersua sekali lagi di pertandingan taekwando.
'Ah, kau bukan boleh masuk taekwando dah.'
Keluhan halus terbit.
Hari ini ialah hari ahad. Kemungkinan besar andai dia mengirimkan mesej, balasannya akan terjawab. Tetapi entah bagaimana mahu memulakan perbualan. Bibir bawah digigitnya. Buntu.
Hi, Zulaikha. Ni Fahim, budak taekwando hari tu. Reply la mesej ni kalau tak busy.
Dia tidak tahu mahu menghubungi siapa untuk mengubati kesunyiannya. Rakan-rakannya pasti sudah ke sekolah waktu sebegini. Negeri Kelantan menjadikan hari ahad sebagai hari pertama bersekolah dan disudahi dengan hari khamis. Berbeza dengan negeri Perak; tempat kelahiran gadis kenalannya.
Tanpa disangka, pesanan ringkasnya mendapat balasan.
Hai. Fahim yang johan tu ke?
'Dia ingat aku.' Hati kecil Fahim berteriak gembira.
Bantal pembaringannya ditepuk-tepuk dan diposisikan menegak. Dia menyandarkan tulang belakangnya dengan kedua-dua belah tangan melekat pada papan kekunci telefon pintar.
Ya. Saya la tu. Hehe. Busy ke?
Pesanan ringkas terus memasuki kotak SMS tanpa henti. Padanlah Fahim pun tidak penat membalas segala mesej daripada kawan baharunya. Zulaikha membahasakan diri sebagai 'Ika', sedang Fahim masih dengan 'saya'. Perhatian yang diberikan gadis itu pada keadaannya di hospital amat mengharukan hati. Dia benar-benar merasakan keprihatinan Zulaikha sepanjang menemani kebosanannya di hospital. Jarak memisahkan mereka. Namun, hubungan ini makin mendekatkan dua hati.
Setiap hari, Fahim akan membuka peti masuk SMS sebagai santapan harian. Dia begitu gembira memperoleh teman yang mempunyai minat yang sama terhadap taekwando. Hari-harinya dipenuhi dengan kisah Zulaikha di kelas seni pertahankan diri dan hal-hal sekolah. Sedikit pun gadis tingkatan satu itu tidak membuka mulut tentang hal keluarga.
Fahim pula amat terbuka untuk menceritakan keadaannya di hospital dan juga ahli keluarganya yang masih hidup atau di bawah timbusan tanah merah.
Hati itu lega. Suara kecilnya didengari dan dihargai. Balutan kesaratan tertetas lebih cepat dengan bantuan Zulaikha.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro