9 - Cyberhuman
C y b e r h u m a n
-------------------------
" Salah ke jadi manusia biasa? " - Ali
.
.
.
[ P e t a C y b e r h u m a n ]
.
HITAM.
Sepatah perkataan itu sahaja sudah cukup untuk Ali menggambarkan apa yang dia 'lihat'.
"ALI!"
'Uncle...' Sempat Ali menyebut nama itu di dalam mindanya sebelum remaja itu rebah menghempap tanah.
"Hentikan perlawanan ni! Perlawanan ni dah tamat, Ali dah kalah!" Bakar yang tiba-tiba muncul di gelanggang arena terus memekik kuat. Dia mendekati tubuh anak saudaranya yang sudah meniarap kaku. Perlahan-lahan tubuh remaja itu dirangkul ke dalam pelukannya.
"Darah..." Moon menekup mulutnya. Dia, Iman dan Khai bergegas turun ke bawah mendapatkan rakan mereka sebaik sahaja Ali tercampak ke dinding. Moon memandang ke arah lantai tempat Ali mendarat sebentar tadi. Matanya membulat melihat serpihan kaca dan beberapa batang paku yang bersepah di situ.
"Ali..." Khai terdiam kaku. Tubuhnya langsung tidak mampu untuk bergerak, melihat Ali. Kakinya seolah-olah digam supaya Khai kekal di tempatnya, memerhati Ali yang berlumuran darah.
"Hospital! Kita kena bawa Ali pergi hospital!" Suara Iman menyentakkan mereka bertiga. Riak wajah Moon dan Khai berubah. "Hospital mana yang nak terima manusia?" Perlahan sahaja suara Moon. Dia tidak sanggup mahu melihat wajah rakannya, apatah lagi lelaki dewasa di hadapannya.
"Hampir semua orang dah tahu Ali ni manusia. Perlawanan antara Ali dengan Rudy ni sudah menerima pengesahan. Beberapa jam pun dah cukup untuk orang war-warkan tentang perlawanan malam ni. Tengoklah koloseum ni, bukan main ramai lagi," sambung Moon. Sorakan yang bergema di telinganya kedengaran bingit. Sayangnya, hatinya tidak mampu menzahirkan rasa sedih.
"Uh... uuuhhh..." Otak Khai ligat mencari nama hospital di dalam kepalanya. Banyak yang keluar, tapi satu pun tidak dapat disebut. Apa lagi sebabnya kalau bukan kerana diskriminasi terhadap manusia?
Silap-silap, mereka yang dihalau keluar dari hospital itu nanti. Bertambah teruk pula keadaan Ali yang sudah sememangnya parah itu.
"Ta... tak pa! Uncle tahu satu hospital. Jom, pergi. Bawa Comot sekali." Bakar berdiri. Tubuh Ali yang masih berada dalam pelukannya dibetulkan sedikit supaya tidak tersentuh kecederaan Ali. Entah macam mana tubuh Ali boleh berdarah sana-sini walhal remaja itu hanya mendapat calar sahaja.
Mungkin impak dia tercampak sebentar tadi, kemudian tergelincir kerana...
Khai memandang sebungkus plastik keropok yang berada di kakinya. Dia terus mengutip bungkusan itu lalu digenggam erat sehingga renyuk. Giginya diketap kuat, menahan marah. "Disebabkan plastik ni..."
"Sabar, Khai. Dahulukan Ali." Moon menepuk bahu lelaki itu menggunakan tapak tangan Comot yang sudah berada dalam pelukannya. "Jom ikut uncle Bakar." Langkah kakinya terus mengekori Bakar, diikuti Iman dan akhir sekali, Khai.
Sempat Khai memandang seluruh koloseum, memerhati reaksi mereka. Ada yang sedih, Khai yakin mereka manusia kerana cyberhuman tidak mampu merasai perasaan asing itu. Ada yang memandang dengan pandangan kosong. Khai tidak pasti apa yang berada dalam fikiran mereka. Mungkin simpati? Cuma, dia sendiri tidak tahu apa itu simpati.
Khai memandang tanah seketika sebelum berpusing ke belakang. Figura Rudy membuatkan Khai sekali lagi mengetap gigi. Mahu marah pun, dia tidak tahu mahu marah untuk apa.
"Khai."
Khai berpaling memandang ke hadapan. Dia menarik nafas dalam-dalam lalu berjalan mendekati Moon dan Iman yang menunggunya. "Jom."
Satu perasaan mula menyelinap masuk ke dalam hati remaja lelaki itu. Tiada sesiapa perasan riak wajah Khai yang berubah buat seketika itu.
•||••||••||•
"Dia belum bangun?"
Bakar menggelengkan kepalanya. "Belum lagi..."
Ganz berdecit apabila mendengar jawapan Bakar. Dia berpeluk tubuh, memandang Ali yang terbaring kaku di atas katil hospital. "Macam mana hospital ni boleh terima budak ni?"
"Aku pernah terhutang budi pada budak ni dulu..." Suara seorang wanita tua membuatkan kesemua orang di dalam ruangan itu berpaling memandang pintu.
Mereka berpandangan seketika. "Sebaik sahaja budak ni sedar, bawa dia pergi. Aku tak mahu nama hospital aku tercemar kerana manusia. Cukup sekali aku balas semula budi."
Wanita tua itu menutup semula pintu bilik. Nampaknya dia hanya mahu memberitahu perkara itu kepada mereka. Bakar melepaskan keluhan berat.
"Nanti kami datang lagi." Dayang pula bersuara. Sempat dia menilik wajah remaja lelaki itu sebelum dia melangkah keluar dari wad itu. "Aku yakin dia akan selamat. Dia anak Aliya, wanita yang kuat."
Klak!
Bakar merenung pintu yang tertutup itu. Wajahnya diraup perlahan. "Bangun, Ali." Bakar berdiri di tepi tingkap. Sebuah koloseum yang terletak tidak jauh dari hospital itu kembali memutarkan memori ngerinya.
Masih dia ingat saat dia melangkah masuk, perkara pertama yang dia lihat adalah tubuh anak saudaranya yang tercampak ke belakang. Plastik makanan yang Ali pijak membuatkan remaja itu hilang keseimbangan lalu terjatuh ke hadapan.
Bakar terus menjerit nama Ali apabila lopak darah mula terhasil di atas tanah. Laju lelaki itu berlari ke tepi arena, sehinggakan teguran pengawal koloseum langsung dia tidak dengar.
"ALI!"
Gambaran berdarah itu masih jelas dalam mindanya. Bakar menggelengkan kepalanya supaya ia tidak terus menghantui fikirannya.
"Bila kau nak bangun? Uncle risaukan engkau. Dengan ayah engkau lagi." Suara Bakar memenuhi wad itu. Hanya itu satu-satunya sumber bunyi asing selain daripada nafas tenang Ali yang masih kekal dalam tidurnya.
Klak!
"Ali!"
Bakar menoleh memandang pintu. Tiga orang remaja perempuan dan seorang remaja lelaki bersama sebuah robot dan seekor kucing menyapa pandangannya. Bakar mengerutkan dahi. "Tak cakap pun kau orang nak lawat Ali."
"Maaflah, kami tak sempat. Lagipun kami tak tahu macam mana nak contact uncle. Situasi di Bandar Cyber dan kota-kota cyber masih lagi..."
"Huru-hara? Kacau-bilau? Uncle yakin mereka sedang bergembira dan mengharapkan kematian Ali. Kan?" Bakar memotong kata-kata Khai. Terdiam remaja lelaki itu. Perlahan-lahan dia mengangguk, mengiyakan ayat Bakar.
"Sampah."
Tersentak empat orang remaja itu apabila mendengar suara Bakar. 'Sampah?' Mereka mula mempersoalkan deria pendengaran mereka. Betul ke mereka dengar ni? Ke salah tafsir maklumat?
"Ali baru 12 tahun. Sudahlah dia manusia. Bantuan teknologi pun masih belum mampu untuk bantu Ali. Sekarang Ali terlantar di katil hospital, mereka pula berparti? Meraikan kemenangan mereka ke atas 'kematian' kaum manusia?" Bakar mengepal penumbuknya.
"Uncle nak keluar kejap." Bakar terus memohon diri. Mungkin mahu melepaskan geram. Risau nanti retak pula dinding kalau-kalau Bakar terlepas amarahnya.
Pintu tertutup lagi.
Khai, Iman, Moon dan Alicia berpandangan sesama sendiri. Masing-masing menjungkit bahu. Menakutkan betul pak cik Ali tu bila dia marah.
Moon, Iman dan Alicia mengambil tempat di atas sebuah sofa yang terletak tidak jauh dari meja. Muat-muat untuk tiga orang. Khai pula melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi di sisi katil wad.
"Sekarang ni nak buat apa?"
"Tunggu Ali sedar." Selamba Moon menjawab. Tiada sesiapa yang menegur nada suaranya yang langsung tiada nada sedih atau sayu itu.
Mereka semua membuat kerja sendiri. Masing-masing hanyut dengan gajet di tangan mereka.
"Meowwww!" Comot merapatkan tubuhnya ke sisi Ali. Comot baring di atas tangan Ali. Sayapnya disimpan kemas. "Meowwww." Comot meregangkan tubuhnya pada Ali. Ia dilakukan beberapa kali sehinggalah Comot menjumpai posisi tidurnya yang dirasakan selesa. Mata dipejam rapat. "Meow."
Khai memerhati gelagat kucing bersayap itu. R-O bot di atas ribanya diletakkan di atas katil. R-O mendekati sisi kiri Ali. Ia kekal di situ, tidak membuat apa-apa.
"Apa jadi dengan Rudy?" Moon memecah keheningan wad itu. Khai terus memandang Alicia. Begitu juga dengan Iman.
"Hero Cyberaya Kingdom, penyelamat cyberhuman." Mudah sahaja jawapan remaja perempuan itu. Matanya langsung tidak beralih daripada telefon pintar di tangannya.
Khai, Moon dan Iman terpana. Membulat mata mereka. "Tengoklah dekat media sosial." Alicia menunjukkan skrin telefonnya. Puluhan artikel mengenai perlawanan di koloseum memenuhi galerinya. Biarpun beberapa hari berlalu, isu ini masih hangat buat mereka. Masakan tidak jika ianya berkait dengan kaum manusia?
Khai terus melambai tangannya di udara. Satu skrin hologram yang terpapar di hadapannya jelas menunjukkan apa yang diberitahu Alicia itu, adalah benar. Rudy kini sudah menjadi seorang hero. Hero buat Cyberaya, hero buat cyberhuman. Wajahnya terpampang hampir pada semua muka hadapan setiap artikel.
Senyum sinis lelaki itu seperti menyimbah minyak pada api yang membara dalam hati Khai. Satu alat kawalan pada tangan Khai retak akibat genggaman lelaki itu. Terkejut juga tiga orang remaja perempuan di dalam wad itu.
"Marah betul Khai." Moon berbisik pada Iman. Rakannya itu mengangguk. "Yalah, Ali kan kawan baik dia."
•||••||••||•
Ding!
Sepasang mata itu terbuka. Dia terus mendudukkan diri, bersandar pada kepala katil. Kepalanya ditoleh ke kanan dan ke kiri.
"Meowww." Suara halus itu adalah bunyi kedua yang dia dengar selepas bunyi jam yang menandakan 12 tengah malam. Tangannya dibawa ke sisi, membelai tubuh seekor kucing.
"Meowwww."
Tap.
Remaja itu meraba tangannya, mencari sesuatu yang diletak di atas katil itu. Objek bulat yang berada di dalam tangannya digenggam erat. "I.R.I.S."
Suaranya serak. Mungkin kerana sudah beberapa hari tidak sedarkan diri. Tekaknya kering. "Comot."
Comot melompat ke atas meja. Botol air yang disediakan diambil lalu dibawa kepada remaja yang baru sedar itu. "Meow."
"Terima kasih, Comot." Penutup dipusing. Minuman itu diteguk perlahan. Beberapa saat kemudian, botol itu diletak semula ke atas katil. Dia menarik nafas. "Kalau kau tak ada...macam manalah keadaan aku sekarang ni."
"Meow?"
"Maafkan aku, Comot... Aku..."
"Meowwww."
"Aku dah buta."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro