8 - Cyberhuman
C y b e r h u m a n
-------------------------
" Salah ke jadi manusia biasa? " - Ali
.
.
.
[ P e t a C y b e r h u m a n ]
* Ada penambahan baru pada peta
.
Beberapa jam sebelumnya...
SUDAH hampir sepuluh minit pembesar-pembesar itu duduk melutut menghadapkan Raja Othman yang duduk di takhtanya. Raja Othman barulah mula bertitah saat pembesar, Tong masuk ke dalam bilik takhta diiringi pengawal.
"Kenapa kamu lambat? Kamu tahu mesyurat kita sepuluh minit yang lepas? Apa kamu nak beta gantikan kamu sekarang ke?" Tong menunduk saat tertimpa murka Raja Othman.
Tong takut-takut memberi alasan. "Maafkan patik, tuanku. Patik jaga anak patik di rumah tadi, lapar katanya... sebab itulah patik lambat da..."
Pantas Raja Othman memotong. "Sudah, duduk!"
"Ampunkan patik, tuanku." Tong pantas duduk melutut sebelah kaki seperti yang lain di sebelah Ghazali. Sepertinya, mood raja kali ini tidak begitu baik.
"Macam mana dengan perhimpunan lepas kejadian semalam?" Raja Othman meminta perkembangan kerajaannya. Walaupun nampak baik hati, tetapi Raja Othman jarang menjenguk rakyatnya sendiri. Kalau ada pun, setahun sekali sahaja. Itu pun hari keputeraannya.
"Kami dapat membaiki dalam masa satu malam, jadi semuanya berjalan seperti biasa. Rasanya... Analogman tak akan muncul lagi," lapor Ghazali dengan penuh teliti. Dia masih terkejut dengan berita yang diterimanya. Ingatkan Analogman itu geng geng Ali.
"Erm..." Hanya itu sahaja dibalas Raja Othman. Dia terus melanjutkan kepada apa yang diinginkannya. "Beta sebenarnya nak beritahu... minggu hadapan, kita akan robohkan hutan sakti untuk bina satu lagi istana..."
"Patik tidak setuju, tuanku." Mala membantah meskipun dia sudah direnung tajam oleh Raja Othman.
Ghazali turut menyokong Mala. "Betul cakap Mala, tuanku. Lagipun banyak penduduk yang tak setuju dengan cadangan ini. Lebih-lebih lagi ada pokok yang menjadi tanda hubungan manusia den..."
"Jangan kau sebut makhluk jijik itu depan aku!" Hilang terus gelaran beta pada diri Raja Othman.
Secara automatik, semua mulut para pembesar terkunci rapat apabila Raja Othman sudah berdiri. Sempat Tong menjeling ke arah Ghazali, sudah tahu yang Raja Othman anti dengan makhluk itu, disebutnya lagi.
Vikram yang berdiri di sebelah Raja Othman sepanjang masa, meminta kebenaran. "Tuanku, boleh benarkan patik bercakap sekejap?" Raja Othman perlahan-lahan melabuhkan punggungnya ke takhtanya semula sambil matanya memandang sang bendahara. Dia mengangguk acuh tak acuh.
"Seperti yang tuanku katakan, kita hanya ambil sikit je bahagian daripada Hutan Sakti itu. Jadi, haiwan yang tinggal di sana, tak adalah terjejas mana." Vikram menjelaskan satu demi satu. "Lagipun, istana ini pun pernah digunakan manusia, tak berbaloi untuk kita Cyberhuman menggunakannya."
"Pfff, siapa kisah fasal pokok persahabatan Cyberhuman itu. Entah-entah makhluk jijik itu kebanyakkanya dah pupus, atau..." Pada akhir ayat, Vikram sengaja menghentikan ayatnya cukup lama.
Vikram mendekati Ghazali. "Kau ni manusia?"
Tidak semena-mena, pintu besar bilik takhta itu ditolak. Seorang lelaki bercermin mata cuba melawan pengawal yang menghalang. "Tuanku, patik ada perkara terbesar nak laporkan pada tuanku!"
Raja Othman menongkat dagu, tergesa-gesa seperti menarik sahaja khabar yang akan didengarinya. "Lepaskan dia, pengawal. Beta nak dengar."
Pembesar kecil bernama Aaron itu sempat membuat muka mengejek ketika pengawal itu melepaskannya. Pengawal tadi acah-acah ingin memukulnya membuatkan Aaron melindungi muka. Melihat Aaron yang ketakutan itu, pengawal itu pergi serta ketawa kecil.
"Cepatlah." Raja Othman menggesa Aaron yang seperti mahu bermain-main itu.
Dr. Aaron merapatkan dua tangannya. "Ampun tuanku. Patik dapat berita yang... Analogman muncul lagi! Malam nanti, ada perlawanan antara manusia dengan Cyberhuman di Koloseum."
"Lagi mengejutkan, anak manusia itu ialah anak pembesar ini!" Ghazali tersentak apabila tangannya diangkat oleh Aaron. Aaron segera menyambung. "Pembesar ini menipu dia Neuro. Dia sebenarnya manusia!"
Ghazali menghela nafas gugup. Apa yang Ali dah buat? Ah, akan tetapi dia tidak boleh berdiam diri sahaja. Demi keselamatanya dan anaknya... Ghazali merentap tangannya. "Apa bukti kau yang aku ini manusia?"
Aaron memandang jengkel Ghazali. Buat-buat pertahankan diri pula. "Bukti? Kau nakkan bukti? Kau nak aku keluarkan kau dari istana ini. Percayalah sebab kau akan dipandang hina nanti!"
"Anak manusia kau terbongkar rahsia sebab selamatkan manusia lain. Heh, menyedihkan betul hidup kaum kau orang. Dan lemah." Aaron menghamburkan segala kata hina terhadap Ghazali. Seolah pembesar itu tiada nilai maruah lagi.
"Pasti anak kau akan mati malam ini!"
Raja Othman mengetap gigi. Maruah pemerintahnya tercalar! Pertama kali manusia terlibat secara langsung mentadbir bersama. Pasti sejarahnya akan diketawakan!
"Kita pancung kepala manusia ini!" Raja Othman mentitah tanpa berfikir masak-masak. "Bawakan seluruh ahli keluarga dia!"
•||••||••||•
"Ergh!" Ali berjaya mengelak dari terkena tumbukan Rudy. Yoyo dibaling ke arah Rudy sebagai balasan. Perlawanan dimulakan dengan tumbuk-menumbuk. Kadang-kadang Ali pakai yoyo, ada kalanya Rudy menyerang gunakan kaki.
Ali menghentak yoyonya ke tanah, menghasilkan gelombang yang menolak mereka berdua ke arah bertentangan. Ali menarik nafas, cuba rehatkan diri. Kalau begini keadaan, pasti sampai Subuh dia masih lagi berlawan.
'Tak silap aku, Rudy ada kuasa penyamaran... dan satu lagi kuasa. Kuasa... kuasa, ah kuasa apa, ya?' Terselit lagi masa Ali menyerabutkan kepalanya. 'Eh, aku kan pakai IRIS, kenapa susah-susah nak fikir pula?'
Belum sempat Ali mengesan kuasa Rudy, IRIS memberi amaran serangan dari belakang. "Ah, kuasa tilik!" Ali cepat-cepat memusingkan yoyonya bagi tujuan mempertahankan diri.
"Eh tilik apanya. Telekinesislah." Ali membebel perlahan. Orang lain kalau berlawan, mulutnya pasti akan terzip setiap detik. Ali ini sudah serupa burung murai pula. Okey apa, dapatlah satu badut Koloseum.
"Hahaha, bodohlah manusia ini! Telekinesis jadi tilik." Sebahagian bunyi yang dihasilkan Koloseum itu hanyalah bunyi ketawa sahaja. Ali hanya tersengih sahaja.
Rudy menarik gelang kuasanya. Sampai sahaja ke arahnya, kedua gelang itu hilang seperti debu magis. Walaupun gelakan itu bukan ditujukan kepadanya, ianya sangat memedihkan telinga.
Dan dia kena tamatkan semua ini secepat mungkin!
Bunyi amaran IRIS menyedarkan Ali dari mengelamun sendiri. Laju dia menggerakkan yoyonya. Gelang telekinesis Rudy melantun ke sana dan ke sini, namun yang pastinya sasarannya ialah Ali.
Ali berpusing tubuhnya, dari kiri ke kanan, dari hadapan ke belakang. Pergerakan gelang Rudy kalau terlepas pandang, memang terkenalah! Sesekali berbunyi perlanggaran gelang Rudy dan yoyo Ali yang bingit sekali.
"Wey, sabarlah!" Ali drastik mengalih posisi ke belakang mengikut pergerakan gelang. Gelang yang disangka akan bertembung dengan yoyonya, bergerak ke sisi dan menangkap tangan Ali. Ali meneguk air liur.
"Alamak."
Badan Ali kini tidak lagi berpaksi pada pusat graviti. Gelang itu mula menerbangkan rawak Ali. Rudy nampaknya seakan mahu bermain-main bersama 'boneka' Alinya. Sekejap-sekejap bagi Ali rempuh dinding koloseum... sesekali hempas lawannya itu ke tanah. Memang patah riuk anak orang itu nanti.
"Meow..." Bulu-bulu Comot mula mencacak naik. Pantang betul tuannya dimainkan sedemikian! Iman lekas mendapatkan Comot yang ingin terbang ke Ali lalu membelai tubuh kucing itu, menenangkannya.
Iman cuba memujuk Comot. "Tak apa, Comot. Ali pasti akan menang."
"Rudy ingat ini main wayang kulit ke. Bawa sana. Bawa sini. Mana aci. Bagilah Ali lawan juga!" Moon sudah memeluk penumbuknya, gayanya macam mahu turun berlawan juga.
Khai yang menumpukan ke arah perlawanan teralih pada sahabatnya. "Memang tak boleh nak buat apa. Sebab peraturan yang versi cabaran memang macam ni. Perlawanan akan tamat kalau... pihak lawan cedera parah atau mati."
Kasut Ali terjatuh ke bawah gara-gara hempasan tadi. Tengok, sampai tercabut kasut member. Kali ini, arah dorongannya tidak serampangan, nampaknya tubuhnya kini sedang menghala ke arah Rudy!
Rudy tersenyum penuh makna. Sebaik sahaja dia menendang perut Ali sehingga menerbitkan darah, perlawanan itu akan berhenti serta-merta. Baru sahaja jaraknya dua meter antaranya, Rudy sudah terbuntangkan mata.
"Hiyargh!" Ali membaling yoyo ke arah Rudy menggunakan kakinya. Memang ngam-ngam tiba di dada Rudy. Akibat serangan itu, Rudy terundur jauh ke belakang, menghentak dinding menyebabkan dinding itu retak.
Gelang di tangan Ali hilang serta-merta. "Eh." Ali langsung jatuh menghempas lantai. Nasib kepalanya tidak apa-apa walaupun lututnya sudah berdarah. Ali cuba menstabilkan nafasnya yang seolah-olah mahu hilang tadi. Setiap nafasnya itu diselang kata kritikan.
"Apa manusia buat tu. Matilah budak cyberhuman itu nanti."
"Entah sampai retak dinding."
"Manusia ni memang kejam betul."
Baru sahaja matanya dibuka, tahu-tahu sahaja hanya dinding retak sahaja kelihatan. Tuan yang kenanya itu menghilang. Ali gelabah mencari Rudy di antara dua ribu lebih penduduk yang datang menonton.
Semua orang dikesan sebagai warna biru sehingga sampai pada satu orang berwarna merah. Itu Rudy! Aduh, kenapa Rudy menyamar jadi nenek tua ini? Menyamarlah jadi Fattah Amin ke. Rudy yang perasan dirinya dijumpai, membatalkan penyamarannya lantas melompat ke arah Ali.
Ali mengelak ke tepi bila tangan Rudy hampir mengenai kepalanya. Tidak melepaskan peluang, Ali menjatuhkan kepada Rudy ke tanah sehingga berbunyi kesakitan si landak gerudi itu. Tengok si Ali ini, masih ada masa berkerut muka terbayang kesakitan yang dirasai Rudy.
Rudy mengigit giginya menahan kesakitan. Dia tangkas menerbalikkan tubuhnya lalu menerjang perut Ali sekuat hati sehingga Ali terjatuh dan bergolek ke tepi.
Rudy bingkas bangun, perit di tangan kirinya mencucuk-cucuk. Tidak diduga yang tangannya akan terseliuh sampai begini, gara-gara musuhnya yang dianggap lemah itu.
"Uhuk! Uhuk!" Ali menadah sesuatu yang keluar dari mulutnya. Darah. Semua Cyberhuman di dalam bersorak tidak semena-mena, seakan-akan mereka pemenangnya. Maklumlah, Ali sudah cedera parah.
"Ali!" Moon pantas bangun dan melaungkan sepenuh tenaga. "Ali, lawan lagi Ali! Lawan! Kau berhenti aku tak nak mengaku kawan."
Khai yang mahu berteriak sama, berhenti mendadak tatkala memorinya teringatkan sesuatu. "Oh, ya. Mana Alicia, ya? Dia kata dia nak tengok perlawanan ini, tapi bayang-bayang dia tak ada."
Pengacara tadi yang ingin mengumumkan pihak pemenang terjeda tindakannya apabila Ali mengangkat tangan. Ali mengelap darahnya pada mulutnya dan dilapkan pada seluarnya.
Ali menunjukkan tangannya ke arah pengacara tersebut. "Tengok, tak ada darah kan. Lagipun tak adillah sebab dia pun terseliuh tangan juga." Rudy menurunkan tangan kanannya. Dia berdecit kuat, macam mana Ali dapat tahu?
"Jadi kamu nak sambung?" Pengacara itu menyoal kepada kedua belah pihak.
Rudy laju menjawab. "Saya nak sambung."
Ali mula menyeringai. Dia memutarkan yoyonya. Dia kini bersemangat, lagi-lagi setelah mendapat laungan semangat dari Moon. Ali menjerit, teruja. "Marilah! Aku dah bersedia!"
Jeritan termasuk sorakan serentak kedengaran. Analogman yang memerhati mula tersenyum. Dia mengusap dagunya. Memang tidak dinafikan kekuatan budak manusia itu. "Nampaknya perlawanan ni makin menarik."
•||••||••||•
Bakar keluar dari Bandar Cyber, tujuan langkahnya hanya satu... menghentikan perlawanan gila antara anak buahnya dengan Rudy.
"Bakar, kamu kena tolong Ali. Dia itu manusia, kalau dia teruskan lawan, dia mungkin akan mati." Ghazali meminta Bakar untuk pergi dari sini. Sementara orang-orang raja jauh dari sini, bolehlah dia bercakap sebentar dengan adik iparnya.
Bakar teragak-agak mahu menurut melihat tangan Ghazali yang sudah tergari. "Tetapi... kau pula macam..."
"Tak payah risaukan aku. Kamu pergi tolong Ali. Pandai-pandailah aku uruskan raja. Pergi hentikan perlawanan sekarang." Ghazali tegas menyuruh. Malah diarahkan tangannya ke arah pintu keluar istana.
"Ta... tapi."
"Pergi!"
Entah apalah nasib abang iparnya di istana itu. Bakar kini tiba di bawah pokok Cyberhuman. Namun, kakinya masih lagi maju ke hadapan. Sekarang suara Alicia bermain di kepalanya.
"Pahlawan Bakar, nampaknya perlawanan itu masih diteruskan. Kalau pahlawan Bakar nak hentikan, pergilah. Saya nak bagitahu pada pusat M.A.T.A."
"Kenapalah kau baik sangat macam mama kau?" Bakar berbisik perlahan. Melangkah masuk sahaja, perlawanan sudah semakin rancak.
"Eh, jangan duduk tercegat sahaja. Masuklah," tegur seorang lelaki yang juga baru masuk ke dalam Koloseum. Pengacara yang menjaga pintu masuk itu menggesa mereka masuk. "Duduk, duduk! Jangan diri depan pintu!"
Ali melompat ke arah dinding, kakinya pantas berlari ke arah batu-batu koloseum dan menendang muka Rudy. Kini cecair berwarna merah mengalir dari hidung Rudy. Rudy segera mencapai yoyo Ali dan menghidupkan gelombang yoyonya, membuatkan mereka berdua tercampak jauh.
Dalam masa yang sama, seorang budak perempuan selesai menghabiskan bungkusan keropoknya. Matanya melilau mencari tong sampah. Melihat keriuhan orang ramai, budak itu sengaja menjatuhkan bungkusan plastik itu ke dalam gelanggang.
Siapa sangka bungkusan itu akan terbang ke hadapan. Ali yang tercampak, tidak sengaja terpijak. "Eh! Eh!" Tiba-tiba badannya hilang keseimbangan, rebah ke tepi. Semuanya berlaku sepantas kilat. Apa yang dia lihat kali terakhir ialah paku yang tercacak tajam.
Sebelum rasa kesakitan ialah benda terakhir dia rasa.
"ALI!"
Pandangannya bertukar hitam.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro