11 - Cyberhuman
C y b e r h u m a n
-------------------------
" ... "
.
.
.
[ P e t a C y b e r h u m a n ]
.
"UNCLE Bakar!"
Bakar berpusing ke belakang. Figura seorang remaja lelaki dalam pakaian kasualnya membuatkan Bakar menarik nafas panjang.
"Uncle! Apa maksud uncle, Ali lari? Kenapa rumah Ali terbakar ni?" Khai terus mengajukan soalan-soalannya, langsung tidak sempat mahu mengambil nafas yang terasa sedikit semput. R-O bot diletak di atas tanah. Khai memandang persekitarannya.
Panas. Merah. Berbahang.
Tiga perkataan mudah untuk mengungkapkan keadaan di situ. Khai dapat melihat kayu-kayu yang mula mahu roboh. Orang di sekeliling rumah itu mula bergerak menjauhkan diri. Ada yang cuba memadamkan api dengan menggunakan air sungai berdekatan, namun api itu kekal marak, tiada tanda-tanda mahu terpadam.
"Ali lari."
Khai kembali fokus kepada lelaki bertubuh besar itu. "Memanglah Ali lari. Uncle sendiri cakap tadi Ali lari. Masalahnya, Ali lari ke mana? Bukan sepatutnya dia ada di hospital ke?" Suara Khai kedengaran sedikit jengkel. Mungkin geram dengan balasan ringkas Bakar walaupun lelaki itu lebih tua daripadanya. Malah, merupakan bapa saudara rakannya!
"Ali dah menghilang ke dalam Hutan Sakti." Seorang wanita mencelah perbualan mereka dengan suaranya yang lembut namun terselit ketegasannya. Khai mengalihkan pandangannya. Di sisi lelaki bertubuh besar itu berdirinya seorang wanita bersut merah putih.
"Pah...pahlawan Dayang?" Khai tersentak sedikit. "Kenapa pahlawan M.A.T.A. ada dekat sini?" bisiknya sendiri. Setahunya ketua teras M.A.T.A. kekal di markas mereka dan bertindak dari dalam. Seandainya ada masalah besar, barulah mereka sendiri turun padang.
"Ayah Ali seorang tetap seorang pembesar di kerajaan kita walaupun dia seorang manusia." Dayang menjawab bisikan remaja lelaki itu. "Pasal Ali tu..." Dayang mengeluh berat. "Dia baru je lari bersama kucingnya tadi. Rasanya dia terus ke sini lepas keluar dari hospital. Sebaik sahaja kami datang, Ali nampak takut sampaikan Bakar pun dia tak mahu ikut."
"La... lari? Tapi Ali kan..." Khai hilang kata. Lidahnya kelu, sehinggakan Bakar menepuk bahunya pun, dia tidak sedar. "Biar saya cari Ali!" Khai yang tiba-tiba kembali ke alam nyata terus mengambil R-O bot miliknya yang berada di atas tanah. Dia sudah bersedia mahu meninggalkan tempat itu, mahu mencari rakannya.
"Jangan kau berani." Satu tangan mencengkam bahu Khai menyebabkan remaja itu mendesis kesakitan. Dia menoleh ke tepi. Wajah seorang lelaki dalam lingkungan 20-an menyapa pandangannya.
"Cyberhuman..." Lelaki itu menghentikan kata-katanya. "Cyberhuman dilarang untuk masuk ke dalam Hutan Sakti."
"Ke... kenapa?" Tersangkut-sangkut patah perkataan Khai mendengar kata-kata lelaki itu. "Habis tu, takkan kita nak biarkan Ali menghilang macam tu je? Takkanlah hanya sebab kita, Cyberhuman, kita boleh biarkan Ali, masuk ke dalam hutan tu, dan kita tak cari pun dia?"
Khai mula memberontak. "Semuanya sebab perang antara Cyberhuman dan manusia!"
"Diam!"
Semua orang yang berada di sekeliling rumah Pembesar Ghazali memandang sumber suara itu. Lelaki berambut afro berdiri di tengah-tengah bulatan mereka sambil berpeluk tubuh. Tangannya naik memicit dahi.
"Lupakan."
Khai seolah-olah hilang nafas saat itu.
"Lupakan apa yang berlaku di sini."
Pahlawan Ganz terus melangkah pergi.
•||••||••||•
EMPAT TAHUN KEMUDIAN...
"Kriukk..."
Remaja lelaki itu mengusap perutnya. Dia melepaskan keluhan berat. "Laparnya..." Tangan diraba ke sisi. Apabila tangannya merasai haba pada satu tubuh kecil itu, senyuman terukir pada bibirnya.
"Meowww."
"Nampaknya kita berlapar lagi hari ni, Comot. Maafkan aku, ya." Lelaki itu mengusap perlahan kepala si kucing. Comot mengiau sekali lagi.
"Kau tak nak memburu ke, Comot? Kau kan kucing," gurau Ali. Matanya terpejam rapat, dahinya mula berkerut apabila terdengar satu bunyi. "Apa benda tu, Comot?"
Comot memandang tuannya. Ia mula bergerak ke hadapan, cuba untuk melindungi tuannya. Sayapnya berkibas laju. Kuku yang tajam dikeluarkan dan taringnya ditunjuk.
"Hisss!"
Comot mula mendesis kuat. Dengan situasinya dan Ali yang tidak seberapa, ditambah lagi dengan bahaya yang melata, Comot mula berasa terancam.
"Meoww!" Comot mengiau kuat. Ia menerkam sesuatu yang berada di hadapannya. Darah mula mengalir daripada daging yang digigitnya.
"Aduh! Aduuuh, sakit! Pak rimau mana pula yang muncul dekat hutan ni?" Suara budak kecil dalam lingkungan lapan tahun menerpa telinga Comot. Kucing itu melepaskan gigitannya. Ia kembali ke sisi Ali.
"Danish, kau okay tak tu?" Kali ini suara remaja baya-baya Ali pula kedengaran. Comot kekal merenung ruang di sebalik dedaunan itu.
Dedaunan itu diselak. Comot sudah bersedia mahu menerpa, namun perbuatannya terhenti apabila ia mendengar perkataan yang didengarinya hampir setiap masa.
"Comot?"
Lelaki yang tampak lebih tua berbanding si kecil yang Comot serang tadi mula menunjukkan dirinya. Comot dapat melihat remaja lelaki itu ternganga.
"Ali!"
"Hm? Ada orang kenal aku, Comot?" Ali menjungkit kening. Tubuh Comot yang berada di hadapannya didakap erat. "Suara ni... Viktor? Kau ke tu, Viktor?"
"Ni aku, Viktor! Kau... kau hidup lagi, Ali!" Viktor membuat muka hodoh daripada sudut pandangan Comot. Walhal wajahnya sudah dibanjiri air mata kerana perasaan terharu, sedih dan gembira. Viktor langsung tidak menyangka dia dapat berjumpa dengan rakannya.
"Macam mana kau boleh tersesat ke sini? Aku dengar kau...dah mati dalam kebakaran." Nada suara Viktor bertukar perlahan. Rasa sebak menerjah hatinya.
"Aku... mati?" Ali terkejut. "Eh, aku hidup lah. Tak nampak ke aku depan kau ni? Ada haba lagi kot. Sah-sahlah aku hidup." Ali cuba bergurau.
"Haih, kau ni. Dah empat tahun pun sama je." Viktor menghela nafasnya. Dia memicit dahi. "Lepas tamat perlawanan kau dengan Rudy, kebanyakan manusia yang bersembunyi dalam kalangan Cyberhuman terus melarikan diri ke dalam Hutan Sakti. Ada yang tinggal di kampung manusia sedia ada, ada juga yang bina perkampungan baru."
Viktor berhenti seketika. Dia memandang Ali dan Comot. Kemudian, dia menoleh melihat kawasan di sebalik dedaunan yang dia datang tadi. Viktor dapat melihat tubuh kecil di situ.
"Pendek cerita, dua hari lepas rumah kau terbakar, ada orang kampung yang keluar dari Hutan Sakti. Dia kembali dengan berita kekalahan kau dan kematian kau." Viktor dapat merasakan sedikit beban di bahunya menghilang. Beban apa, itu dia tidak tahu.
"Macam mana dengan keadaan kerajaan ni? Akademi pula?" Ali mengeratkan pelukannya kepada Comot. Kucing kelabu yang berasa tidak selesa mula menggigit lembut tangan Ali, minta dilepaskan.
"Rakyat Cyberhuman bergembira... Raja siap buat majlis lagi bersempena dengan kekalahan manusia." Viktor berterus-terang. Wajah Ali dicari. Lelaki itu nampaknya sedang mengepal penumbuk, mungkin marah? "Pasal akademi, itu aku tak tahu. Aku keluar dari akademi tu disebabkan identiti aku yang terbongkar masa di pasar dulu."
Ali terus teringat tragedi pengeboman Analogman di pasar. "Analogman pula? Apa jadi dengan dia?"
"Dia hilangkan diri."
Ali mendengus. "Semuanya salah dia. Kalau bukan sebab atuk tua tu, mungkin semua ni tak terjadi."
"Jangan cakap macam tu maa... Kalau dah takdir, mungkin tanpa Analogman pun, kita akan sambung perang dua bangsa ni." Viktor menepuk bahu Ali. "Sudahlah. Jom ikut aku. Kau dan Comot ni kurus sangat. Aku kena pastikan kau gemuk macam dulu."
Viktor merangkul bahu rakannya. Tubuh kurus Ali diheret supaya lelaki itu kekal mengikutinya. "Danish, jom," panggil Viktor kepada si budak kecil yang bersamanya. Danish memunculkan diri. Si kecil itu menarik Comot ke dalam pelukan sebelum dia turut mengekori langkah Viktor.
"Kita nak ke mana ni?" Ali pula yang berasa seram. Lututnya terasa longgar. Mungkin trauma.
"Kita ke perkampungan manusia." Viktor tersenyum sinis. "Dah, jangan banyak tanya. Simpan tenaga kau yang tak seberapa tu."
Ali membuat muka. "Kau pun sama je, Viktor." Kedua-dua remaja lelaki itu terus tergelak kecil.
...
Nota Nooroo dan Kacang
Maka, apabila anda load gambar-gambar ini... terbongkarlah dark joke yang sebenarnya kami berdua penulis menyimpan.
Kita orang terkena penyakit parah setakat ni. Kalau kau orang sebut benda berkaintan Cyberhuman, lagi-lagi Ali dan buta.
Nescaya kita orang akan gelak tak ingat dunia. Hahaha ni pun tergelak masa taip. Dhbsbs aduh berhentilah aku penatlah gelak 😭✨
Tetapi kita orang pun tak tahu kenapalah kita orang tetiba gelak. Tak pernah terjadi dalam sejarah dunia penulisan, penulis gelak terhadap wataknya.
Rasanya kita orang penulis paling kejam dan asyik gelak sepanjang Wattpad diwujudkan.
Kalau ada tips hentikan gelak, bolehlah tulis di sini. (Tolonglah)
Tetapi kau orang jangan terjangkit pula
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro