Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

CULIK1.0 - Epilog

Hari semakin gelap kerana matahari hampir terbenam sepenuhnya. Suasana sunyi yang hanya ditemani bunyi cengkerik tiba-tiba diganggu oleh derapan kaki kuat yang bergerak pantas. Kedengaran daun-daun bergesek dan ranting-ranting berpatah akibat ditolak ke tepi. Tiba-tiba, kedengaran suatu bunyi yang kuat – bedebukk!

Semuanya sunyi kembali.

Zak cuba untuk berdiri semula tetapi lututnya terseliuh ketika jatuh tadi. Dia terduduk semula di atas tanah. Tangannya memegang lutut kanan sambil mengetap bibir menahan pedih. Sakitnya mak oi! Air mata yang ditahannya selama ini mula mengalir membasahi pipi.

"Anak lelaki mesti berani. Jangan menangis depan orang."

Tapi tiada sesiapa di sini. Zak membenarkan saja dirinya menangis dalam kegelapan.

Sudah lama dia berlari mengikut arah yang ditunjukkan tadi. Selain semak samun dan pokok tinggi, Zak tidak menjumpai jalan keluar yang diharapkan. Adakah dia ditipu?

Fikirannya melayang kembali ke kejadian petang tadi. Ketika Zak sedang membelek-belek buku yang ada pada meja tulis, tiba-tiba telinganya tertangkap suatu bunyi di luar pintu bilik barunya. Dia menunggu seketika. Mungkin Pak Luqman sedang membuka pintu. Tapi biasanya sebelum pintu dibuka, lelaki tua itu akan memberitahu dari luar dan memberi amaran supaya Zak tidak mencuba apa-apa yang bodoh sebaik-baik sahaja pintu dibuka. Tapi kali ni, tiada suara. Hanya bunyi seperti seseorang sedang mencungkil kunci mangga.

Zak segera mencapai kerusi plastik dan mengangkatnya. Dia berdiri di sebalik pintu dan menanti. Dia pasti orang itu bukan Pak Luqman. Pak Luqman membuka kunci mangga dengan cepat. Lelaki tua itu tidak pernah mengambil masa lama sebegini. Mungkinkah papanya telah menjumpainya?

Bunyi cungkilan masih kedengaran seperti orang itu sedang bergelut untuk membuka pintu. Berdebar-debar Zak menunggu. Tiba-tiba semuanya senyap. Baru Zak ingin mencapai tombol pintu itu, tiba-tiba ada ketukan lembut dari sebalik pintu itu. Zak tersentak.

Pintu dibuka perlahan dari luar. Kelihatan Nelly di situ. Tangannya memegang sebatang pencungkil telinga yang digunakannya tadi. Ketiga-tiga kunci mangga dibukanya dengan sempurna sekali dan disusun di tepi untuk digunakan semula nanti.

Nelly tidak melangkah masuk ke dalam bilik itu. Dia berdiri di luar dan mengisyaratkan Zak untuk keluar. Zak melangkah ke belakang sehingga badannya terkena dinding. Matanya tidak berkelip melihat Nelly. Adakah ini suatu perangkap? Suatu ujian? Adakah Pak Luqman menunggu di luar, melihat dan menguji jika saya mematuhi peraturannya? Zak khuatir jika dia keluar tanpa kebenaran Pak Luqman, lelaki itu akan membunuhnya.

Zak cuba untuk mengintai ke luar, mencari-cari kelibat Pak Luqman. Tak berjumpa. Nelly terus melambai tangan memintanya keluar dari bilik itu. Zak masih teragak-agak. Dia tidak ingin mati.

Nelly menghilangkan diri sebentar. Dia kembali dengan beberapa keping suratkhabar dan pen marker hitam. Dia duduk di lantai muka pintu dan mula menulis.

Lari. Dia tiada di rumah. Kamu perlu cepat lari.

Zak keliru membaca nota yang ditulis oleh Nelly. Perangkap apa ni? Namun Zak memberanikan diri untuk melangkah ke depan. Nelly mula menulis lagi.

Ikut saya. Tunjuk jalan keluar.

Zak meneliti air muka wanita itu. Nampak ikhlas. Kepala Zak dipanjangkan ke luar pintu lalu dia melihat sekeliling. Tiada kelibat Pak Luqman langsung. Nelly mencapai tangan Zak dan menariknya. Zak terkejut lalu meloloskan diri daripada pegangannya. Dia takut Nelly memperdayakannya.

Nelly menuding ke pintu dapur yang terbuka. Dia menggesa Zak untuk lari. Tangan Zak dicapai lagi lalu dia menarik Zak ke luar. Kali ini, Zak membiarkan dirinya ditarik. Di luar, keadaan amat silau. Sudah lama dia tidak melihat sang matahari. Mereka berhenti di luar dapur.

Nelly menuding ke arah hutan di belakang bangsal. Wajahnya cemas. Dia mengisyaratkan Zak untuk lari. Apabila Zak tidak bergerak, dia menolak badan Zak ke arah yang ditunjukkan. Zak teragak-agak sebentar. Dia melihat sekelilingnya.

Melihat tiada sesiapa di situ, Zak sedar itu bukanlah perangkap. Lalu dia mengangkat kaki dan mula berlari pantas ke arah yang ditunjukkan tadi. Dia tidak menoleh ke belakang. Dia takut Pak Luqman akan muncul tiba-tiba. Sampai di pinggir semak-samun itu, Zak bersembunyi di sebalik sebatang pokok besar. Dadanya berombak dan dia tercunggap-cunggap menarik nafas.

Zak mengintai dari sebalik pokok itu. Dia berada agak jauh dari rumah tadi. Kelihatan Nelly sedang mengunci bilik Maikel dengan mangga yang dibukanya tadi. Zak nampak wanita itu sedang mengesat air mata sambil menyandar pada pintu itu. Kasihan pula Zak melihatnya begitu. Apabila wanita itu melihat ke arahnya, terus Zak menyembunyikan diri di belakang pokok semula.

Kamu perlu cepat lari. Zak mengingati kata-kata yang ditulis oleh Nelly tadi. Kali ini, Zak tidak berpaling lagi. Dia terus memecut laju ke arah yang ditunjukkan tadi.

Zak berkerut dahi memikirkan Nelly. Wanita itu telah menyelamatkannya. Dia berharap Pak Luqman tidak akan mengapa-apakan isterinya kerana berbuat demikian. Dia tahu wanita itu telah mengambil risiko tinggi untuk melepaskannya.

Kepedihan pada lutut beransur hilang. Dengan perlahan, Zak cuba untuk berdiri semula. Kesakitan masih berbasi. Dia perlu lebih berhati-hati. Di depannya, terdapat empat pohon bunga raya. Zak berasa pelik. Macam mana pula boleh ada bunga raya merah berbunga lebat di tengah-tengah kawasan ini?

#####

MinHo menjadi bingung. Setelah puas mencari merata-rata di seluruh rumah dan bangsal Luqman, anaknya tiada di situ. Mengapa boleh begitu? Takkan begitu tersasar sekali telahannya kali ini? Adakah kerana Zak darah dagingnya, dia terlalu tergesa-gesa membuat kesimpulan? Kalau Zak tiada di situ, dia di mana? Bagaimana nak jelaskan baju Zak yang terbuai angin di tali sidai rumah Luqman? Baju sama jenis, warna dan saiz, betulkah itu hanya kebetulan? MinHo betul-betul buntu. Dalam hatinya, dia tahu peluang untuk menemui anaknya semula semakin menipis kini.

#####

Luqman keliru kerana Zak tiada di mana-mana, macam mana budak itu boleh melarikan diri? Nelly lega tetapi sedih. Tanpa Zak, pihak polis tidak boleh memberkas suaminya. Tetapi tanpa Zak, kehidupannya sunyi semula. Kehidupannya kembali kosong dan tidak bermakna. Tetapi sekurang-kurangnya dia mempunyai Luqman.

Suaminya telah banyak berdosa untuk membuatnya gembira. Dari dulu lagi Nelly sudah tahu, bayi yang dibawa pulang oleh Luqman pada malam itu bukan anaknya. Tetapi dia tidak sanggup untuk melepaskannya. Dan Luqman tidak memudahkannya untuk melepaskannya dengan setiap gantian budak baru. Terus mereka berdosa demi mempunyai sebuah keluarga yang sempurna.

#####

Beberapa jam kemudian, Zak ternampak kelipan lampu di hadapannya. Dia mengecilkan matanya untuk melihat dengan lebih jelas. Sebuah rumah papan. Dilihatnya seorang wanita sedang menikmati kopi di patio rumah itu. Dia menghelakan nafas lega. Dia sudah selamat. Pasti mereka boleh menghubungi keluarganya. Papanya akan datang mendapatkannya. Dia dapat pulang ke rumah semula. Yay!!

Hati Zak berbunga gembira sambil dirinya menempang ke arah rumah itu. Lututnya yang telah bengkak memperlahankan langkahnya. Dia gigih meredah kesakitan yang semakin menusuk badannya.

"Siapa tu?" tanya wanita itu apabila Zak menghampiri laman rumahnya.

"Tolong ... tolong saya..." kata Zak dengan lemah. Dirinya sudah penat, sakit dan lapar. Dia menjatuhkan diri pada tanah apabila melihat wanita itu berdiri untuk melihatnya. Dia tidak berdaya lagi.

Wanita itu menghampiri Zak dan segera memimpin budak lelaki itu ke kerusi di atas patio rumahnya. Kemudian dia masuk ke rumah untuk mengambil sesuatu. Zak menyandar pada kerusi itu dengan lega. Dia akan meminta wanita itu menghubungi papanya.

Seketika kemudian, wanita itu kembali mendapatkannya. Dia mencangkung di depan Zak dan menghulurkan secawan air kepada budak itu. Zak meneguk dengan laju. Haus. Kemudian wanita itu memegang dagu Zak dan mula membersihkan mukanya yang berlumpur kering.

Tiba-tiba, wanita itu berteriak kuat.

"Cucuku ... Cucuku ... kau dah pulang!" Mak Leila segera memeluk Zak dengan erat. Zak tersendak. Mak Leila mengecam tanda lahir bulat pada pipi Zak. Ianya sama dengan tanda lahir bulat pada pipi bayinya yang hilang beberapa tahun yang lalu.

Zak dipeluknya dengan kuat lalu Mak Leila berkata, "Selamat pulang, cucuku. Jangan tinggalkan nek lagi. Nek tak benarkan kamu tinggalkan nek lagi..."

Tiba-tiba, Zak menjadi takut semula.

TAMAT

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro