Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

CULIK1.0 - Bab 11


Makanan malam yang dihidangkan oleh Nelly terdiri daripada ayam garam kukus, telur campur kukus dan sup sayur. Semuanya dimasak dengan rasa sederhana – tidak terlalu masin ataupun manis. Bagi Luqman, kesemua makanan yang dihidang adalah tawar dan lebih sesuai untuk pesakit. Mungkin itu yang difikirkan Nelly ketika memasak; takkan nak hidangkan ayam goreng ranggup kegemaran Maikel ketika dia demam?

Maikel lebih lemah dari sebelum ini. Membuka mulut untuk disuap, dia mampu lagi tetapi dia menelan dengan perlahan sekali. Melihat keadaannya begitu, Nelly sendiri tidak berselera jadinya. Luqman hanya makan sedikit saja. Lalu terdapat banyak lauk yang bersisa.

Sementara Nelly mandi, Luqman memasukkan makanan itu ke dalam bekas plastik. Kemudian dia menuju ke bangsal di belakang rumah. Dia tidak perlu meninggalkan pesan kerana isterinya tahu dia kerap kali bekerja pada waktu malam.

Seperti biasa, Luqman menguncikan pintu dari dalam supaya tiada sesiapa yang boleh masuk atau meninjau dari luar. Dia menuju ke katil bayi di mana Zak berada. Luqman telah melepaskan kaki dan tangan Zak petang tadi. Pita pada mulut juga telah dibuang. Sekarang budak itu sedang meniarap, kepalanya tersandar pada lengan yang berlipat. Hujung kaki kanannya mencelup ke dalam lubang pada sudut kecil katil bayi itu. Matanya tertutup rapat.

Dengan perlahan, Luqman meletakkan bekas makanan yang dibawa bersebelahan katil bayi itu supaya tidak membangunkan Zak. Dia duduk seketika di situ memerhatikan budak itu. "Awak anak yang baik, Zak. Aku pasti awak akan menjadi anak yang baik untuk Nelly."

Luqman memasukkan tangan ke dalam katil bayi itu. Saat tangan kasarnya menyentuh pipi kanan Zak yang masih merah, mata budak itu terbeliak. Terus Zak mengengsot ke belakang untuk menjauhkan diri daripada Luqman.

Luqman tersentak dengan tindakannya tetapi dia tidak mengambil hati. Dia pasti lama-kelamaan Zak akan biasa dengan kehidupan baharunya di sini. Bekas makanan dihulurkan kepada Zak yang teragak-agak untuk mengambilnya.

"Makanlah, nak. Biar badan kamu bertenaga," kata Luqman kepadanya. Zak masih tidak bergerak. Dia sudah tidak percaya kepada kawannya, Pak Luqman.

"Yang ni, mama Zak yang masakkan. Baik kamu makan sedikit," kata Luqman lagi. Bekas makanan diletakkan pada dasar katil bayi itu berhampiran dengan Zak.

"Mama Zak yang masak?" Budak kecil itu semakin keliru. Luqman mengangguk. Zak membuka bekas makanan itu dengan seribu pertanyaan. 'Mengapa mama hantar bekal? Mama tahu yang dirinya dikurung oleh Pak Luqman? Apa yang sedang berlaku ni?'

Zak melihat kepingan ayam dan telur kukus di atas nasi putih dan terus tahu hidangan ini tidak disediakan oleh mamanya. Dia tidak pernah melihat mamanya masak lauk ini. Zak melemparkan makanan itu ke arah Luqman dengan marah.

"Tipu! Ni bukan masakan mama!"

Habis bersepah lantai dengan butiran nasi dan lauk. Luqman berdengus, bukan kerana mukanya terkena nasi tapi selepas ini, dia perlu membersihkan lantai pula.

Luqman menutup mata dan menarik nafas panjang. Dia perlu bersabar. Sebelum malam ini berakhir, dia perlu menceritakan semuanya kepada Zak. Dia perlu menyediakan budak itu untuk tugasan baharunya – iaitu menjadi anak Nelly sepanjang hayat.

Semua akan menjadi lebih mudah jika Zak tidak memprotes seperti budak-budak lain sebelum ini. Dia berharap Zak akan akur pada rancangannya. Itu saja yang dipintanya. Luqman mengambil tempat duduk betul-betul bertentangan Zak. Hanya pagar besi bayi katil yang memisahkan mereka. Kemudian, Luqman mula bercerita.

"Kamu harus tahu, nak, selepas malam ni, kamu bukan Zak lagi. Kamu adalah Maikel, anak kami."

#####

Nelly and Luqman sentiasa bersama ketika membesar di rumah anak yatim. Kebanyakan masa diluangkan di buaian setiap hari. Kalau ada budak lain yang mengacau, mereka berdua beralih ke ruang tamu ataupun bilik belajar. Selalunya Nelly membaca sementara Luqman termenung saja. Mereka juga rajin membantu di dapur; Luqman menyediakan bahan-bahan mentah sementara Nelly memasak seperti yang diajar oleh warden tempat itu.

Apabila tiba masanya untuk meninggalkan rumah anak yatim itu, mereka dibebaskan pada masa yang sama. Nelly setia mengikuti Luqman ke mana-mana saja. Tidak lama kemudian, mereka berkahwin. Tiada majlis atau sambutan untuk meraikannya. Mereka sekadar berdaftar di Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia dan sah menjadi suami isteri dengan hanya sehelai dokumen. Beberapa tahun kemudian, Nelly mengandungkan anak mereka.

Bulan amat terang pada malam 11 Oktober 2005, seakan-akan menyambut kedatangan seorang bayi baharu. Namun bayi yang dilahirkan oleh Nelly lahir mati. Luqman masih ingat raungan kuat Nelly apabila mengetahui apa yang sudah berlaku. Raungan histerianya kedengaran daripada tingkat bawah hospital tiga tingkat itu. Nelly memeluk jasad bayi itu dan enggan melepaskannya. Doktor tidak mempunyai pilihan lalu menyuntik ubat penenang sebelum bayi diambil daripada pangkuannya.

Nelly banyak berubah selepas malam itu. Dia sering termenung panjang. Senyumannya yang manis melesap sama sekali. Wajahnya tidak berseri lagi. Yang ada hanyalah tangisan yang membasahi pipi dan sedu-sedan yang semakin kuat setiap malam. Dia langsung tidak menyentuh makanan yang Luqman sediakan untuknya. Hari ketiga selepas pulang dari hospital, ketika Luqman keluar bekerja, Nelly cuba untuk membunuh diri. Dia mengiris dalam kedua-dua pergelangan tangannya dengan pisau sayur.

Nasib baik Luqman tertinggal sesuatu di rumah lalu berpatah balik. Luqman terkejut melihat keadaan isterinya lalu menghantarnya ke hospital semula. Apabila Nelly pulang ke rumah beberapa hari kemudian, Luqman telah menyembunyikan semua peralatan yang tajam dan berisiko. Dia mengambil cuti seminggu daripada kerja untuk menjaga isterinya.

Suatu pagi, apabila Luqman pulang dari kedai selepas membeli makanan, dia melalui rumah jirannya seperti sediakala. Sesuatu yang dibuai turun naik di patio rumah jirannya menarik perhatiannya. Sebuah buaian bayi dipasang di situ dan Mak Leila sedang bernyanyi kecil pada bayi yang sedang dibuai. Mak Leila melambai pada Luqman yang sudah memperlahankan lorinya.

Turun naik, turun naik. Pergerakan buaian itu begitu memikat hati Luqman. Kalau bayinya hidup lagi, pasti dia akan memasang buaian seperti ini di depan rumahnya. Kedengaran telefon berdering dari dalam rumah lalu Mak Leila berlari masuk untuk menyambutnya. Luqman menghentikan lorinya jauh sedikit dari patio Mak Leila. Dia ingin melihat bayi itu.

Kedengaran Mak Leila khusyuk bercerita dengan pemanggil lalu Luqman mengambil peluang untuk mengintai ke dalam buaian bayi itu. Dilihatnya badan seorang bayi yang montel dan sihat sedang melihatnya menerusi mata besar berwarna coklat gelap. Bayi itu mencapai tangannya ke arah Luqman. Jari telunjuk Luqman digenggam tangan kecilnya dengan erat. Terus Luqman tersenyum. Comelnya budak ni.

Luqman menyentuh lembut hidung bayi itu dan bayi itu terus tersenyum. Saat itu, sesuatu menyentap dalam hati Luqman. Dia melihat sekelilingnya. Apabila dia pasti tiada sesiapa yang melihat dan Mak Leila masih sedang bergayut telefon, Luqman mendukung bayi itu dan terus berlari ke lorinya.

Perjalanan dari rumah Mak Leila ke rumahnya adalah sejauh dua kilometer dan hanya menerusi sebuah jalan panjang saja. Kedua-dua belah jalan dipenuhi dengan ladang ataupun tanah datar berumput tinggi. Luqman memandu laju menuju ke rumahnya. Sampai di situ, dia mendapatkan Nelly dan mempersembahkan bayi itu kepada isterinya.

#####

"Tapi itu bukan anak Pak Luqman," kata Zak. Dia keliru dengan cerita Luqman. Terbit bibit-bibit kasihan juga pada kawannya itu, tetapi apa kaitan semua ini dengan dirinya?

Seperti budak-budak lain, Zak suka mendengar cerita. Dirinya sudah tersandar pada pagar besi katil bayi itu supaya dia boleh mendengar dengan lebih jelas. Luqman menghulurkannya secawan air sirap. Kemudian Luqman menyambung ceritanya.

"Isteri pak cik terus peluk bayi itu dan menangis. Dia percaya itu betul-betul bayinya, yang hospital telah memulangkan anak kami kepadanya. Walaupun pipi kanan bayi itu mempunyai tanda lahir bulat yang besar, dia tidak kisah," cerita Luqman lagi. Zak terus meraba pipi kanannya yang masih merah dan luka. Tiba-tiba dia teringat di mana dia berada.

"Pak Luqman! Apa kamu nak lakukan pada saya?" Zak terus panik. Dia menggenggam batangan besi yang memagari katil bayi kurungannya dan mengoncangnya dengan kuat. Bergegar seluruh katil bayi dibuatnya.

"Bertenang, nak. Beberapa hari lagi, kuranglah sakitnya," kata Luqman.

"Lepaskan saya, Pak Luqman! Lepaskan saya!"

Jeritan kuat Zak memenuhi bangsal itu namun Luqman membiarkannya saja. Mereka berada di tengah-tengah 10 ekar tanah miliknya. Jiran sebelah dua tiga kilometer jauhnya. Tiada sesiapa yang boleh mendengar mereka. Selepas seketika, Zak diam semula.

"Zak ... maksud saya Maikel, kamu dengar betul-betul," kata Luqman lagi. Suaranya mendatar dan tenang.

"Saya bukan Maikel. Saya Zak! Saya ZAKKK!" raung Zak sepenuh hati. Luqman tidak menghiraukannya lalu menyambung taklimatnya.

"Kamu suka Milo panas dan ayam goreng kunyit. Dan kamu suka sup lobak merah," jelas Luqman.

"Saya tak suka, saya tak suka!" Zak meronta-ronta. Kakinya menendang sisi katil bayi itu.

"Kamu tak boleh makan pedas dan kamu tak suka makan kacang panjang. Kamu mesti sentiasa tersenyum. Bila ibu kamu...."

"Dia bukan ibu saya! Kamu bukan bapa saya!"

"Apabila ibu kamu...," suara Luqman bertambah tegang dan kuat, "... menggeletek badan kamu, kamu harus ketawa. Maikel suka digeletek begitu. Kamu tidak dibenarkan biadap pada ibu kamu. Kamu mesti sopan dan baik kepadanya."

"Saya gigit dia! Saya akan larikan diri. Saya akan...,"

"Kalau kamu nakal atau cuba larikan diri, saya akan tangkap adik kamu. Apa nama dia sudah ... Wini. Saya akan tangkap Wini. Saya akan bawa dia ke sini dan...,"

"JANGANNN!" Pekikan Zak bergema dalam bangsal itu.

"Kamu jadi anak kami yang baik dan soleh. Dan saya janji takkan apa-apakan adik kamu," ugut Luqman. Matanya tepat memandang Zak yang sedang berdengus marah.

"Pak cik jahat!"

"Bukan pak cik, tapi ayah. Mulai sekarang, saya adalah ayah kamu."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro