Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAHAGIAN 2

"TAPI bukan salah Iskandar pun yang dia jatuh cinta dengan perempuan lain? Benda dah jadi, tak perlu kita perbesarkan lagi"

"Kalau dah takdir tertulis macam ini, nak buat macam mana? Lelaki memang begitu. Kita sebagai isteri, kena tengok juga silap kita di mana."

"Tak apalah. Maafkan ajelah Is itu. Dia tersilap. Kita isteri kena memaafkan dan sentiasa di samping suami selalu."

Itulah kata-kata mereka yang memihak pada suaminya. Qaisara sedar, pada pandangan keluarga mertuanya, ahli keluarga mereka lebih diutamakan. Siapalah dia pada mata mereka? Hanyalah sekadar orang luar yang menumpang di dalam keluarga ini.

"Tak akanlah sampai nak bercerai-berai? Kamu maafkanlah suami kamu itu. Ibu tak naklah tengok perkahwinan anak ibu berakhir macam ini," tutur Zakiah, selaku ibu kandung kepada Iskandar, berharap menantu perempuannya akan berubah fikiran.

"Yalah, Sara. Lagipun, anggap ajelah ini sebagai ujian Sara untuk jadi isteri yang lebih baik. Mungkin ini satu teguran untuk Sara yang terkhilaf sebelum ini?" tokok Wani, kakak sulung Iskandar.

Qaisara hanya membisu. Tidak tahu mahu berkata apa. Terasa suaranya sungguh kecil di situ, berbanding dengan suara mereka.

Iskandar yang sedari tadi di sisi isterinya, juga mendiamkan diri. Berharap dengan apa yang dikatakan keluarganya, akan mengubah fikiran Qaisara untuk tidak berpisah dengannya.

"Kalau nak dibandingkan dengan hidup Sara, hidup kak ngah ini lagi teruk. Abang ngah kau itu tak peduli langsung pasal hal rumah. Sara dapat suami yang macam Iskandar ini, patutnya Sara bersyukur. Tak akan sebab satu kesilapan yang dia lakukan, Sara dah minta cerai? Melampau!" sampuk Yaya, kakak kedua Iskandar pula.

"Melampau?"

Hanya sepatah kata yang terbit dari mulut Qaisara, sudah membuatkan dia menjadi tumpuan seluruh mata di dalam rumah itu. Iskandar melihat isterinya sebelah, terkedu.

"Adakah seorang isteri yang meminta cerai daripada suaminya itu melampau daripada seorang suami yang mencurangi isterinya di belakang isterinya sendiri... tanpa dia tahu?" Qaisara memberanikan dirinya bersuara. DIa tidak dapat menahan dirinya lagi. Api amarahnya membara.

"Sara!" Iskandar menegur isterinya.

"Habis itu, cerai itu kan perkara yang dimurkai Allah. Sara tahu, kan?" jawab Wani.

"Ya, Sara tahu. Tapi, keputusan Sara untuk bercerai bukan hanya sebab kesilapan yang Abang Iskandar lakukan saja... Tapi..."

"Tapi, apa?" soal Yaya ingin tahu dengan muka cemberutnya.

"Sebab Yaya nak lepaskan Abang Iskandar untuk bersama perempuan itu. Yaya tak nak jadi penghalang antara mereka berdua."

Jawapan itu membuatkan mereka kehabisan kata-kata untuk membalas. Alasan itu terlalu baik untuk mereka tentangkan.

"Sara sedar diri Sara ini bukan isteri yang sempurna... Jadi, Sara rela mengundurkan diri untuk beri ruang kepada Abang Iskandar mencari yang lebih sempurna," ujar Sara seolah memulangkan paku buah keras kepada yang mengatanya seakan dia isteri yang ada khilafnya.

"Ikut kaulah. Malas aku nak layan!" Yaya bangun dan beredar. Malas mahu ambil pusing.

"Tapi, Sara masih boleh perbaiki diri untuk jadi lebih baik, kan?" tutur Wani, cuba memujuk.

"Kenapa Sara yang perlu perbaiki diri?"

Sekali lagi, Qaisara membuat mereka semua terdiam.

"Memang Sara sedar Sara bukan isteri yang sempurna, tapi besar sangatkah kekhilafan Sara sampai cuma Sara yang perlu perbaiki diri sendiri?" Sara memandang kakak ipar sulungnya penuh emosi, dengan mata yang berkaca.

"Abang Iskandar pun bukan seorang lelaki yang sempurna, tapi selama ini Sara belajar untuk terima kekurangan dia dan tak pernah sekali Sara cuba mencari lelaki yang lebih baik daripada Abang Iskandar. Sebab Sara pun sedar, Sara pun tak sempurna jadi layakkah Sara mencari yang lebih baik?" luah Qaisara yang terbuku di isi hatinya.

Iskandar tersentap dengan kata-kata isterinya.

"Kau jangan nak mengata anak aku, ya!" sergah Zainab, terasa hati bila anak lelakinya diperkatakan menantunya.

"Sara tak mengata anak mak. Sara cuma cakap kebenaran." Qaisara membela dirinya.

"Kalau macam ini perangai kau, memang patutlah anak aku ada perempuan lain! Aku lebih bersyukur kalau ada perempuan yang tahu hormat dia sebagai suami!" Zainab mula naik angin. Dia terasa seperti dipijak-pijak oleh menantunya.

Qaisara hanya tersenyum sinis.

"Dan semoga perempuan lain yang akan jadi isteri anak mak, akan bersyukur dapat ibu mertua macam mak," lembut Qaisara membalas penuh sindiran.

"Sara! Apa Sara cakap ini?"

Baru sahaja Qaisara bangun, Iskandar sudah naik angin. Lelaki itu bangun dan menatap tajam mata isterinya. Dia kurang senang dengan sikap isterinya sebentar tadi terhadap ibunya.

"Perempuan ini memang melampaulah, Iskandar. Dengan mak pun tak hormat!" Wani menambah lagi api yang sedang marak di dalam hati adiknya itu. Sengaja ingin melihat suami isteri itu bergaduh.

"Sara, itu mak abang... Itu mak mertua Sara juga!"

"Ya, Sara tahu."

"Habis itu kenapa Sara cakap macam itu tadi? Apa maksud Sara?"

"Sara cuma doakan, semoga kekasih abang itu akan bersyukur kalau dapat mak mertua macam mak abang. Macam apa yang mak abang syukurkan kalau ada perempuan lain jadi isteri abang."

Sedas tamparan dilayangkan ke pipi Qaisara, membuatkan semua tergumam.

Qaisara memandang suaminya dengan penuh amarah.

"Kau jangan sesekali biadap dengan mak aku!" tegas Iskandar.

Namun itu hanya membuatkan Qaisara hanya tersenyum sinis. Seolah mengejek kemarahan suaminya yang sedang memuncak itu.

"Kenapa abang tak tampar mak abang juga masa dia kata dia bersyukur perempuan lain jadi isteri abang?" soal Qaisara.

"Sebab dia itu mak aku. Tak akan aku nak tampar mak aku!"

"Habis Sara ini siapa?"

"Kau itu cuma isteri aku aje."

"Jadi Sara ini bukan siapa-siapalah? Sekadar, 'cuma' isteri abang yang abang boleh lakukan apa-apa aje?"

"Kau ini memang nak sangat ke aku ceraikan kau?"

"Ya, Sara dah tak nak hidup dengan lelaki yang tak tahu hormat isteri dia!"

"Fine! Qaisara Binti Johari, aku ceraikan kau dengan talak satu! Sekarang kau boleh berambus dari rumah ini!"

Seketika, suasana di rumah itu berubah lain. Seakan sudah ada yang berubah.

Qaisara hanya menatap suaminya dengan air mata yang mula mengalir, sebelum dia mengukirkan senyuman kecil dalam tangisan. Kini, secara automatiknya dia telah berubah status. Perlu menerima suatu hakikat yang baru dalam fasa hidupnya.

"Terima kasih, Iskandar Bin Amin. Halalkan segala makan dan minum yang pernah abang berikan kepada Sara."

Saat Qaisara melangkah di sisi Iskandar, dia membisikkan sesuatu kepada lelaki yang baru sahaja menjadi bekas suaminya.

"Sara maafkan semua kesalahan abang. Semoga abang berbahagia dengan dia. Ini doa Sara ikhlas dari hati."

Qaisara naik ke tingkat atas untuk mengemas barangnya. Tidak lama itu, dia turun semula namun dengan Danish di dukungannya.

"Eh, kau nak bawa cucu aku ke mana?" soal Zainab.

"Sara akan bawa dia bersama Sara."

"Siapa suruh kau bawa cucu aku? Kau jangan memandai-mandai, ya!" Zainab melarang dan cuba mengambil cucunya dari dakapan Qaisara, namun ditepis Qaisara.

"Seperti mana mak bencikan Sara, Sara tak akan biarkan keturunan Sara untuk berada di dalam keluarga mak. Biarlah perempuan lain yang lebih baik dapat lahirkan zuriat yang lebih sempurna untuk jadi cucu mak," perli Qaisara.

"Tapi dia tetap darah daging anak aku!"

"Dan dia pun darah daging Sara!" ujar Sara penuh emosi sehingga suaranya menjadi tinggi. "Kalau mak rasa mak boleh rampas Danish daripada Sara, teruskan! Tapi, Sara tak akan berdiam diri. Mulai sekarang, mak kena sedar... Qaisara yang sekarang bukan Sara yang dulu."

"Apa kau nak buat kalau aku ambil dia pun? Apa aje yang kau boleh buat?"

"Mak tahu sendiri. Sekarang ini zaman viral. Setakat anak mak itu, sekejap aje Sara boleh..." Tidak menghabiskan kata-katanya, Qaisara hanya tersengih mengejek.

Zainab dan Wani yang melihat, terpaksa mengalah. Mereka mula berasa takut dengan ancaman wanita itu. Setelah itu, Qaisara meninggalkan rumah itu dengan bagasi di tangannya bersama Danish yang berada di dakapanya, sedang tidur lena.

"Iskandar, tak akanlah kamu nak berdiam diri aje!" Zainab menghampiri anaknya yang sedang serabut itu. Dia tidak mahu cucunya itu dibawa pergi begitu sahaja.

"Diamlah, mak! Kepala Is tengah serabut ini!" Iskandar segera meninggalkan ibu dan kakak iparnya dan mendaki anak tangga ke tingkat atas. Membiarkan ibunya kesal sendirian.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro