BAB 9
“HANG ada salin tak nota sejarah yang Cikgu Syahida tulis dekat papan putih tu?” soal Qharissa. Mereka berjalan memasuki kawasan sekolah.
“Ada. Kenapa?” Haidan memandang sekilas Qharissa sebelum fokus pada hadapan semula.
“Boleh pinjam? Aku tak sempat salin hari tu,” pinta Qharissa.
“Rumah kita tu selang sebuah ja. Kenapa hang tak pi minta dekat rumah? Kenapa sekarang?” tanya Haidan. Pelik betul Qharissa ini. Rumah mereka itu dekat saja. Boleh saja Qharissa pergi minta atau ajak Haidan buat kerja sekolah sama-sama.
“Aku lupa.” Sengih Qharissa. Haidan tayang muka menyampah.
“Makan semut lagi,” sindir Haidan. Qharissa mencebik bibir.
“Hang nak bagi ka dak? Kalau tak mau bagi tak apa. Aku boleh minta dekat Natasha,” sebal Qharissa. Haidan tertawa kecil. Suka betul melihat wajah marah Qharissa.
“Aku tak cakap pun tak boleh. Nak marah pasaipa?”
“Mana ada marah. Sebal ja pun,” rengus Qharissa.
“Samalah tu. Waktu sejarah sebelum balik kan?” tanya Haidan, ingin kepastian.
“Hmmm.”
“Okey. Kerja sekolah yang lain dah buat?” Haidan memandang Qharissa. Gadis itu angguk kepala.
“Dah. Sejarah ja tak buat lagi.”
“Betul ni?” soal Haidan lagi. Dia mahu memastikan Qharissa betul-betul siap kerja sekolah.
“Ya. Hang dah kenapa?” Pelik pula Qharissa apabila Haidan kerap sangat bertanya.
“Aku cuma tak mau hang kena denda lagi,” balas Haidan. Qharissa tayang muka menyampah.
“Cakap jalah hang tak mau tolong aku dah,” perli Qharissa.
“Itu salah satunya,” balas Haidan tanpa perasaan. Qharissa merengus geram. Kecil besar saja dia melihat Haidan. Lelaki itu memandang Qharissa sebelum bibirnya menguntum senyum. Usik Qharissa memang hobinya.
“Perlahan betul hang jalan, hang dah kenapa?” tanya Qharissa. Dia juga perasan Haidan berjalan sambil melihat sekeliling. Gaya macam cari orang pun ada.
“Aku cari orang,” balas Haidan. Tepat tekaan Qharissa. Tapi cari siapa?
“Zahran dengan Syafiqah?” tanya Qharissa. Haidan geleng kepala.
“Bukan depa.”
“Habis tu siapa?” Qharissa dah dapat agak siapa yang Haidan cari. Tetapi sengaja bertanya lagi.
“Nara,” balas Haidan. Qharissa beriak biasa. Siapa lagi Haidan nak cari kalau bukan kekasihnya.
“Oh. Cari awek rupanya.”
“Bila masa dia tu awek aku? Tak pasti lagi dia tu terima aku,” sangkal Haidan. Qharissa tersenyum sinis.
“Heh, aku rasa dia akan terima hang sebab dia pun suka hang. Perempuan mana tak suka dengan Haidan Luthfan ni. Semua cukup, tak ada cacat cela,” ujar Qharissa. Haidan memandang Qharissa dengan riak wajah nakal.
“Termasuk hanglah kan? Hang kan perempuan,” kata Haidan. Bibir mengoyak senyuman nakal. Qharissa yang mendengar akan itu terus rasa mahu ketawa.
“Hang pandang aku ni sebagai seorang perempuan ka? Tak kan? Jadi aku tak tergolong,” bidas Qharissa. Haidan terus terdiam. Rasa tersindir dengan kata-kata Qharissa. Qharissa menguntum senyum sinis apabila Haidan terdiam. Sentap ke Haidan Luthfan?
“Itu dia, orang yang hang cari. Aku pergi dewan dulu,” kata Qharissa apabila gerangan yang dicari Haidan ada di pondok. Haidan terus terpandang pondok dan susuk tubuh Naraliyana menyapa pandangannya.
“Eh. Temanlah aku,” pinta Haidan. Laju Qharissa geleng kepala.
“Tak maulah aku. Tak hingin aku nak jadi pengawal peribadi hang. Pilah. Aku tak mau kacau hangpa. Semoga dia terima hang. Hwaiting!”
Qharissa tersenyum kecil sebelum dia melangkah meninggalkan Haidan. Selepas beberapa langkah, senyumannya mati. Nafas berat dilepaskan.
‘Sampai bila kau nak macam ni Qharissa? Kau tak boleh terus seksa diri kau sendiri. Kau perlu buang beban ni secepat yang mungkin. Agar jiwa kau akan lebih tenang.’
“SAYA terima.”
Terpempan Haidan. Betulkah apa yang dia dengar ini?
“Serius? Tak menyesal? Awak tahu kan saya tahun terakhir dekat sini. Kalau saya masuk tingkatan enam, ada peluang kita jumpa lagi,” kata Haidan.
Dah tahu tahun akhir, pergi cari awek dah kenapa? Orang datang sekolah nak belajar, bukan nak bercinta.
“Sekurang-kurangnya saya dapat kenal dengan awak. Jadi kawan istimewa awak untuk beberapa bulan ni dah cukup memadai,” jawab Naraliyana. Mana mungkin dia mahu lepaskan peluang keemasan itu. Tambahan pula, Haidan ramai peminat. Biar semua orang tahu dia berjaya mendekati Haidan Luthfan.
“Okey. Awak ada Instagram?” tanya Haidan. Naraliyana angguk kepala perlahan.
“Ada.”
“Nak nama pengguna awak,” pinta Haidan.
“Narayana. Saya dah lama ikut awak dekat Instagram. Awak ja tak ikut balik,” kata Naraliyana. Dia pandang Haidan. Namun, terus pandangannya dialih ke arah lain. Malu mahu menatap lama mata Haidan itu.
“Serius? Nanti saya periksa. Narayana kan?” Haidan tarik senyum kecil. Tercuit hatinya apabila sedar yang Naraliyana tak mahu menatapnya. Kegugupan gadis itu juga turut terserlah.
“Ya.” Haidan angguk kepala perlahan.
“Oh ya, orang memang panggil awak Yana ke?” tanya Haidan.
“Ha’ah. Kenapa?” Mata bundar Naraliyana bertembung dengan anak mata Haidan. Tak sampai seminit terus Naraliyana larikan pandangan. Lagi sekali Haidan tersenyum geli.
“Kalau macam tu, biar saya seorang ja panggil awak Nara. Boleh kan?” pinta Haidan. Naraliyana terpempan. Belum pernah ada orang memanggilnya Nara. Haidan adalah orang pertama. Entah kenapa, dia rasa berada diawang-awangan. Rasa gembira yang teramat.
“Bo... boleh. Belum pernah orang panggil saya Nara,” kata Naraliyana bersama senyuman yang cukup lebar.
“Awak nak panggil saya abang pun tak apa. Saya lagi suka,” usik Haidan. Naraliyana tersenyum malu.
“Tak apalah. Simpan sajalah gelaran abang tu. Kalau ada jodoh, awak faham kut,” ujar Naraliyana. Haidan tersenyum kecil.
“Insya-Allah.”
“KALAU ada yang tak faham dengan tajuk graf fungsi ni boleh tanya. Jangan diam saja. Tajuk ni agak senang untuk awak semua dapat markah,” kata Cikgu Faris. Dia melihat wajah anak-anak muridnya. Yang paling menarik perhatiannya adalah beberapa orang pelajar menunjukkan wajah yang mengantuk. Dia menggeleng kepala.
“Kenapa ya waktu matematik awak semua mengantuk? Cara saya mengajar awak semua membosankan atau awak semua tak suka saya jadi cikgu matematik kelas kamu?” Suara Cikgu Faris meninggi sehingga pelajar yang mengantuk tadi terus segar mata. Suasana dalam kelas sepi. Masing-masing diam tidak berkutik.
“Saya tak faham. Bukan kelas ni saja, semua kelas yang saya mengajar mesti ada yang tersengguk-sengguk. Saya faham, bagi awak semua, subjek matematik ni susah. Awak kena ingat, kalau awak terus tanam rasa tak suka terhadap subjek ni, selamanya awak akan rasa matematik susah,” marah Cikgu Faris. Dia sendiri pun pelik kenapa ramai tak suka subjek matematik.
“Hanglah tu asyik cakap matematik susah,” tuduh Haidan dengan nada berbisik. Menjegil mata Qharissa.
“Bila masa aku cakap macam tu? Memandai ja tuduh,” bantah Qharissa. Suka hati saja tuduh. Haidan tertawa kecil.
“Cuba awak hadirkan sedikit rasa suka terhadap subjek matematik. Jangan pernah fikir matematik ni susah. Tetapi dengan syarat, awak kena rajin buat latihan, rajin bertanya cikgu. Insya-Allah, awak akan rasa subjek matematik senang,” sambung Cikgu Faris lagi. Sungguh dia kesal dengan sikap setengah pelajarnya.
“Subjek matematik ni macam awak sukakan seseoranglah. Bila awak suka, mesti awak akan berusaha untuk kenal dia. Berusaha tu adalah kuncinya. Kalau tak usaha, macam mana awak nak dapat hasilnya?”
Qharissa pandang Haidan. Perumpamaan Cikgu Faris boleh ditujukan kepada Haidan dengan Naraliyana. Naraliyana umpama subjek matematik yang disukai oleh Haidan. Haidan kan suka matematik. Tiba-tiba rasa sendu pula.
“Lepas ni kalau saya nampak ada yang mengantuk, tersengguk-sengguk masa saya mengajar, saya berhenti mengajar awak semua terus. Awak tidurlah sampai puas,” kata Cikgu Faris dengan tegas. Semua pelajar diam. Tipulah kalau tak sentap.
Loceng berbunyi menandakan waktu subjek matematik tamat. Cikgu Faris kembali ke meja dan mengemas barang-barangnya.
“Saya harap tak ada lagi yang mengantuk dalam kelas saya. Saya bagi kebenaran untuk awak makan dalam kelas. Bukan makanan berat ya. Gula-gula atau kacang. Tolong jangan main-main. Lagi lima bulan awak semua dah nak SPM.” Cikgu Faris memandang seisi kelas.
“Sila pastikan kerja yang saya bagi tu siap. Saya keluar dulu.”
“Terima kasih cikgu,” ucap seisi kelas.
“Ya, sama-sama.” Cikgu Faris melangkah keluar dari kelas 5 Perdagangan.
Keluar sahaja Cikgu Faris dari kelas, suasana kelas menjadi bising. Tadi bukan main senyap macam berada di tanah perkuburan.
“Pertama kali Cikgu Faris membebel panjang. Aku rasa dia dah lama pendam tu,” kata Qharissa. Buku-buku matematik disimpan ke dalam beg. Kemudian, buku latihan sejarah dikeluarkan.
“Memang patut pun dia membebel. Waktu dia ja, mesti ada yang mengantuk. Bosan sangat ke belajar matematik?” kata Haidan. Kedengaran angkuh nada suaranya.
Mengecil mata Qharissa memandang Haidan. Orang suka matematik memang macam tu kah? Berlagak!
“Mentang-mentang pandai matematik, suka hati ja cakap macam tu. Hish, menyampah,” sebal Qharissa. Haidan tertawa kecil.
“Dah, tak payah nak menyampah sangat. Cepat siapkan nota sejarah tu,” perintah Haidan.
“Yalah,” pasrah Qharissa.
Bersambung...
nasyanur
13022024
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro