BAB 8
HAIDAN melangkah ke arah pondok. Lurus ke arah Naraliyana. Pandangkan orang yang berada di situ, dihiraukan. Yang dia nampak hanyalah Naraliyana.
“Nara, boleh ke sana kejap? Ada benda saya nak cakap dengan awak,” ujar Haidan apabila tiba di hadapan Naraliyana. Jelas riak terkejut pada wajah Naraliyana.
“Bo... boleh.” Naraliyana bangun dari duduknya.
“Kau tunggu kejap Firah,” kata Naraliyana kepada sahabatnya bernama Zafirah.
Tak berkelip mata Zafirah memandang Naraliyana yang bersama dengan Haidan. Sejak bila Naraliyana boleh kenal dengan Haidan? Bagaimana Naraliyana boleh dekat dengan Haidan? Pelajar lain yang melihat akan itu sudah tertanya-tanya apa status hubungan mereka. Mereka pelik kerana Haidan jarang jumpa perempuan lain secara berdua seperti sekarang. Selalunya mesti akan ada Qharissa di belakang Haidan. Apa kes ini? Kelibat Qharissa pun mereka tak nampak.
Adakah ini jawapan sebenar yang Haidan dan Qharissa sememangnya sahabat baik?
“Ada apa nak jumpa saya?” Naraliyana memandang sekeliling. Ramai betul perhatikan mereka.
Haidan pandang Naraliyana. Kenapa terlalu cepat dia boleh suka dengan Naraliyana? Kenapa dia tak rasa perasaan begini apabila bersama dengan Qharissa? Dia sendiri pun tak tahu dan masih tertanya-tanya.
“Saya nak tanya, awak dah ada pakwe?”
Kejung tubuh Naraliyana saat mendengar soalan cepumas dari Haidan. Jantung berdegup kencang. Jiwanya sudah berasa tidak tenang. Kalau ada penyakit jantung, dah lama dia rebah dekat situ. Haidan ini pun, main terjah saja tanya soalan begitu. Mahu gadis itu tak terkejut.
“Sa... saya kentang. Mana ada lelaki nakkan saya,” jawab Naraliyana dengan tergagap-gagap. Terkejut punya fasal sampai bercakap pun dah tak betul.
“Saya tak termasuk dalam golongan lelaki tu,” ujar Haidan. Naraliyana bingung.
“Mak... maksud awak?”
“Sebab saya suka awak Naraliyana,” ucap Haidan tanpa berselindung lagi. Naraliyana terkesima.
“A... apa?” Gadis itu jadi tak tentu arah. Haidan luahkan perasaan kepadanya? Biar betul?
“Saya malas nak ulang sebab saya yakin awak dengar. Itu saja yang saya nak cakap. Nanti awak bagi jawapan. Kalau awak diam, saya anggap awak sudi.”
Haidan menguntum senyuman manis kepada Naraliyana sebelum melangkah meninggalkan gadis itu. Dia tahu dia agak gelojoh tapi tak salah rasanya kalau dia beritahu terus. Terserah pada gadis itu nak terima atau tidak.
Tetapi jauh dari sudut hatinya, dia berharap Naraliyana sudi.
Zafirah mendekati Naraliyana. Bahu gadis itu disentuh. Tersentak kecil Naraliyana.
“Kau okey? Aku nampak hang macam terkejut. Haidan ada cakap apa-apa dekat hang ke?” soal Zafirah. Naraliyana memandang sahabatnya.
“Aku tak okey Firah,” balas Naraliyana. Dia masih dalam terkejut.
“Pasaipa?” tanya Zafirah. Membuak-buak rasa ingin tahu itu.
“Dia cakap dia suka aku,” jawab Naraliyana. Zafirah terkejut.
“Seriuslah Yana?”
“Ya. Aku terkejut gila bila dia cakap dia suka aku. Aku jadi blur kejap.”
Zafirah ukir senyuman kecil. Dia juga tumpang gembira buat sahabatnya itu.
“Tahniah Yana. Tapi macam mana hangpa boleh jumpa? Macam mana dia tahu hang ni wujud?” Bertubi-tubi Zafirah menyoal Naraliyana.
“Masa latihan sukan tiga hari lepas, aku tunggu hang siap buat latihan. Kebetulan, aku nampak Kak Rissa. Aku pun cuba tegur dia. Rupanya, Kak Rissa ni sangat peramah. Mana ada sombong. Dari situlah aku bersua muka dengan Haidan,” cerita Naraliyana. Bibirnya menguntum senyuman bahagia.
“Hang tak cerita pun dekat aku. Sampai hati. Kata kawan,” kata Zafirah dengan nada berjauh hati. Naraliyana tersenyum kecil.
“Alaaa, Maaflah Firah. Tapi sekarang hang dah tahu kan?” Zafirah angguk kepala perlahan. Tak apalah. Janji dia tahu juga kisah sebenarnya.
“Aku tumpang gembira untuk hang Yana. Tahniahlah. Tapi atas sebab apa dia suka hang?” Zafirah masih tertanya-tanya apa punca Haidan boleh sukakan Naraliyana.
“Entah. Aku tak tahu. Dia tunggu jawapan dari aku.”
“Terima sajalah. Hang pun dah lama minat dekat Haidan tu. Sejak dari tingkatan satu lagi,” ujar Zafirah. Haidan tu sudahlah kacak, ramai budak perempuan mahukan lelaki itu jadi teman lelaki mereka.
“Hang tak rasa ke benda ni terlalu cepat? Baru saja kenal tapi dia dah luah perasaan dia dekat aku.”
“Cinta tu kan buta. Perasaan tu datang tak kira cepat atau lambat. Nanti hang tanyalah Haidan tu kenapa dia suka hang. Dahlah, jom pergi cari makan. Aku lapar ni.”
Naraliyana hela nafas berat. Dia gembira dan teruja tetapi dalam masa yang sama dia juga rasa takut.
HAIDAN melabuhkan punggung di sebelah Qharissa. Wajahnya jelas tampak bahagia.
“Bahagia nampak?” tegur Zahran. Qharissa dan Syafiqah memandang Haidan. Betul kata Zahran. Haidan nampak bahagia.
“Nampak sangat ka?” soal Haidan bersama senyuman lebar.
“Ha’ah. Muka tu berseri macam orang nak kahwin ja,” seloroh Zahran. Haidan tergelak.
“Merepeklah hang ni,” seloroh Haidan.
Qharissa terus hulur botol air mineral kepada Haidan. Tahu yang sahabat baiknya itu tersangat dahaga. Baru lepas lari kan?
“Terima kasih Rissa. Hang macam tau ja aku dahaga,” kata Haidan. Qharissa ukir senyuman tipis.
“Hang baru lepas lari, mestilah akan cari ayaq,” balas Qharissa. Haidan terus teguk air mineral itu hingga tinggal separuh botol.
“Kenapa hang jumpa Yana?” tanya Qharissa terus tanpa belok kiri dan kanan. Haidan pandang Qharissa sebelum bibir itu menguntum senyum bahagia. Sakit hati Qharissa apabila tahu siapa punca Haidan tersenyum bahagia sebegitu rupa. Sebelum ini, Haidan tersenyum lebar kerana dia. Dan sekarang, Haidan tersenyum lebar kerana Naraliyana.
Perasaan kecewa menikam-nikam sekeping hati Qharissa.
“Aku dah cakap dekat dia yang aku suka dia.” Kata-kata Haidan itu mengundang rasa terkejut Zahran dan Syafiqah. Hanya Qharissa yang beriak biasa. Seakan sudah tahu.
“Oh. Lepas tu, dia balas apa?” tanya Qharissa. Cepat betul Haidan jatuh cinta dengan perempuan yang baru dia jumpa tiga hari lepas.
“Tak tau lagi. Tapi aku yakin dia akan terima aku,” kata Haidan, penuh yakin. Zahran tersenyum sinis.
“Yakin betul hang,” sindir Zahran.
“Eh mestilah yakin. Kalau tak, aku tak akan luah perasaan aku dekat dia,” ujar Haidan. Qharissa diam. Riak wajah kecewa sedaya upaya disembunyikan.
“Hang dengan budak tu baru ja kenal Haidan. Tak rasa macam terlalu cepat sangat ke hang luah perasaan tu dekat dia? Sekurang-kurangnya, hang kawan dulu dengan dia. Kenal dia lebih mendalam dulu,” kata Syafiqah. Sejujurnya dia tidak bersetuju dengan tindakan Haidan. Terlampau gelojoh membuat keputusan.
“Nak buat macam mana Pikah. Aku tak boleh nak menindakkan perasaan tu. Dia muncul dengan sendiri apabila aku bersua muka buat kali pertama dengan Naraliyana tu,” balas Haidan. Jujur, dia sudah tertarik dengan Naraliyana sejak pertama kali bertentang mata.
“Perasaan tu hadir tanpa dijangka. Biarlah. Janji kawan hangpa ni bahagia,” kata Zahran. Bukan nak sokong apa yang Haidan buat. Tapi, dia malas nak bahas soal Haidan dengan Naraliyana. Dia perasaan riak wajah Qharissa yang seakan tidak suka mendengar kisah Haidan dan Naraliyana itu.
“Tak kisahlah hang nak bercinta pun Haidan. Tapi hang mampu ke berjauhan dengan dia? Hang dah habis sekolah, sedangkan dia masih berjuang untuk tamat sekolah. Dia dah habis sekolah, hang masuk alam universiti. Hang akan semakin sibuk dengan kuliah. Mampu ka hang nak pertahankan hubungan hangpa misalnya hangpa bercinta sekarang? Banyak dugaan yang hangpa akan hadap kelak,” kata Qharissa panjang lebar. Memberi nasihat kepada Haidan supaya fikir masak-masak sebelum buat keputusan.
“Aku bukan nak halang kehendak hang tu Haidan. Tapi hang kena fikir baik dengan buruknya juga. Betul cakap Pikah tu. Ajak dia kawan dulu. Kenal dia dulu,” sambung Qharissa.
“Ya aku tau. Tapi aku takut dia kena rembat dengan lelaki lain ja. Dia tu dahlah comel. Mesti ramai lelaki yang sukakan kan dia,” kata Haidan. Qharissa hela nafas.
“Kalau Allah dah tetapkan Naraliyana tu jodoh hang, tak akan ke manalah. Mana tahu kan, 7 tahun kemudian kami dengaq hang nak kahwin dengan Naraliyana,” ujar Zahran sebelum tertawa kecil.
“Kalau betul tu, tahulah doa dari siapa,” balas Haidan dan tertawa kecil.
Syafiqah memandang Qharissa. Sahabatnya itu kelihatan muram. Tidak ceria seperti selalu. Kesian Qharissa. Haidan langsung tak nampak Qharissa sebagai seorang perempuan. Yang dia nampak hanya seorang sahabat baik.
“Rissa, hang okey?” tanya Haidan apabila dia sedar yang Qharissa tak gembira seperti selalu.
“Okey ja. Pasaipa tanya?”
“Aku perasaan hang tak seceria macam sebelum ni. Hang tak sihat ka?” tanya Haidan lagi. Qharissa geleng kepala dan ukir senyuman kecil. Wajah ceria yang di buat-buat.
“Aku sihat ja Haidan. Cuma aku masih dalam kepenatan. Penat lari masih tak hilang lagi,” kata Qharissa. Haidan memandang lama sahabat baiknya itu. Dia tak puas hati dengan jawapan Qharissa dan dia juga rasa Qharissa menyembunyikan sesuatu.
“Lagi satu Haidan... berhenti...”
Kata-kata Qharissa terhenti di situ apabila kelibat Cikgu Farid menghampiri mereka.
“Hangpa ni ada terlibat dengan apa-apa acara tak lepas ni?” tanya Cikgu Farid. Satu per satu wajah empat anak muridnya itu dipandang.
“Zahran dengan Haidan masih ada acara. Kenapa cikgu?” tanya Syafiqah.
“Yang ada acara tu, pergi duduk dekat khemah utama. Senang sikit cikgu nak panggil. Bukan bercinta dekat belakang ni,” kata Cikgu Farid. Membulat empat pasang mata homo sapiens itu apabila dituduh.
“Eh cikgu. Kami ni kawan ja. Mana ada bercinta!” bantah Zahran. Cikgu Farid tayang muka tak percaya.
“Ya, yalah tu. Mula-mula cakap kawan. Nanti lama-lama jadi kekasih hati pujaan jantung apa semua tu. Budak-budak remaja sekarang sakan sungguh bercinta,” bebel Cikgu Farid. Ternganga mereka berempat. Tak fasal-fasal kena ceramah percuma.
“Sudah! Syafiqah dengan Qharissa mari tolong cikgu. Zahran dan Haidan pergi ke khemah. Jangan nak ambil kesempatan nak dating,” perintah cikgu Farid. Masing-masing akur dengan arahan Cikgu Farid.
Syafiqah dan Qharissa mengikut langkah Cikgu Farid. Tanpa sedar setiap langkah Qharissa diperhatikan oleh Haidan.
“Kenapa aku rasa macam Qharissa lain? Dia macam nak tak nak ja bercakap dengan aku. Aku ada buat salah ka?” Haidan tertanya-tanya. Tak silapnya, Qharissa okey saja tadi. Tapi sekarang, Qharissa macam tak ada mood.
“Mungkin hang ada buat kesalahan yang hang sendiri tak sedaq. Cari sendiri Haidan,” ujar Zahran. Bahu sang sahabat ditepuk. Biarkan Haidan termangu sendiri mencari apa kesilapannya pada Qharissa.
Tetapi macam mustahil Haidan nak perasan mengapa Qharissa begitu. Kawan dah lama tapi akhirnya Haidan pilih perempuan lain. Mahunya Qharissa tak kecewa.
DARI pukul 8.30 pagi sehingga jam 5.30 petang, temasya sukan tahunan sekolah berakhir dengan jayanya. Lancar tanpa ada sebarang gangguan. Rumah laksamana dinobatkan sebagai juara keseluruhan. 5 tahun berturut-turut menang tanpa kalah. Manakala, olahragawan disandang oleh Haidan Luthfan dari rumah laksamana dan olahragawati disandang oleh Nurul Asyira dari rumah Bendahara.
Qharissa galas beg dan terus melangkah meninggalkan pondok. Terlalu penat sampaikan dia lupa mahu menunggu Haidan. Namun, baru beberapa langkah, terasa bahu kanannya dicuit. Qharissa toleh sebelah kanan. Wajah Haidan menyapa pandangannya.
“Sampai hati tak tunggu aku,” kata Haidan. Nak merajuklah macam ni.
“Kau lambat sangat. Lagipun kau kan ada Yana. Ajaklah dia balik sekali dengan kau,” kata Qharissa selamba.
“Memang dia tinggal satu taman dengan kita,” sindir Haidan. Qharissa tidak diam setelah itu. Tidak tahu mengapa dia tidak ada topik nak berbual dengan Haidan. Selalunya ada saja benda dia nak bercerita dengan Haidan.
Haidan pandang lama Qharissa. Sejujurnya dia tak suka Qharissa yang pendiam seperti sekarang. Dia lebih suka Qharissa yang banyak mulut. Kenapa dengan gadis itu?
“Aku ada buat salah dengan hang ka?” tanya Haidan. Qharissa mengerut dahi.
“Pasaipa hang fikir macam tu Haidan? Hang tak ada salah pun dengan aku,” balas Qharissa.
‘Ya Haidan. Hang memang ada salah dengan aku pun. Hang tak nampak perasaan aku terhadap hang.’ Hanya mampu luah dalam hati.
“Entahlah. Mungkin perasaan aku ja kut. Tadi pun hang macam tak seronok ja,” ujar Haidan. Qharissa ukir senyuman tipis.
“Aku penat dan sakit kepala. Sebab tu aku macam tak ada mood nak berseronok. Hang ni pun. Takut sangat pasaipa?”
“Aku takut hang tak mau kawan aku ja,” kata Haidan. Qharissa tengadah.
“Atas sebab apa aku tak mau kawan dengan hang, Haidan? Hish, hang ni banyak fikir bukan-bukan. Cuba fikir positif?”
Haidan terdiam. Betul juga. Atas sebab apa Qharissa tak mahu berkawan dengan dia? Kenapa dia boleh fikir begitu?
“Betul ni hang baik-baik ja kan?” tanya Haidan, ingin kepastian lagi.
“Ya Haidan Luthfan. Kalau hang tanya soalan yang sama lagi, aku tumbuk muka hang,” kata Qharissa. Ugutan turut diberikan. Terus meledak tawa Haidan.
Bersambung...
nasyanur
11022024
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro