BAB 4
KELAS 5 Perdagangan memberi tumpuan kepada Ustazah Nora yang sedang mengajar itu. Apa yang ditulis oleh Ustazah Nora di papan putih turut disalin ke dalam buku latihan. Tiba-tiba, pen hitam milik Qharissa tidak mengeluarkan dakwat. Pen tersebut ditilik untuk mencari punca mengapa dakwat tidak keluar. Padahal, pen tersebut baru sahaja dibelinya. Baru saja guna, tak akan dah habis dakwat?
"Hang pasaipa?" soal Haidan. Pelik melihat Qharissa yang seperti bengang itu.
"Pen aku tak keluar dakwat," balas Qharissa.
"Minta beli barulah tu," kata Haidan selamba. Qharissa jeling sahabatnya itu. Mudahnya dia cakap.
"Pen ni aku baru beli. Baru hari ni guna. Hang tengok, dakwat pun banyak lagi." Qharissa tunjuk batang pen yang masih banyak dakwat hitam.
"Cuba hang tiup, mana tau dakwat dia tersekat," cadang Haidan.
Qharissa terus mengikut cadangan Haidan. Hujung penutup pen terus dibuka. Kemudian, dia tiup hujung pen tersebut. Nampak macam orang bodoh pun ada. Kemudian, Qharissa cuba menulis. Namun, tetap sahaja dakwat tidak keluar.
"Buat perangai betul pen ni," sebal Qharissa. Qharissa campak pen hitam tersebut ke dalam kotak pensel. Pen ada banyak, buat apa nak kalut.
Haidan yang melihat akan itu menggeleng kepala perlahan.
"Bagi aku buat. Tak penyabar betul perempuan ni." Pen tadi Haidan ambil. Qharissa pandang Haidan tanpa kata. Dia juga menanti apa yang bakal dilakukan Haidan. Berjaya atau tidak pen tersebut berfungsi seperti biasa.
Tiup dan kemudian diconteng di atas kertas kosong sebagai percubaan. Tetapi masih sama. Haidan tiup lagi. Kali ini entah apa yang dia fikir, Haidan terhisap hujung pen tersebut sehingga dakwat hitam itu naik dan terus mencemari sebaris gigi putih Haidan. Terkedu Haidan di situ. Qharissa terpinga-pinga melihat adegan di hadapan matanya itu sebelum dia ketawa. Sedar akan keadaan sekarang yang masih ada Ustazah Nora yang sedang mengajar di hadapan, Qharissa menekup mulut. Terhinjut-hinjut bahunya tanda menahan tawa.
Dengan gigi yang sudah dicemari dengan dakwat hitam, sumpah Haidan seakan orang bodoh. Senak perut Qharissa pada ketika itu. Nak gelak kuat-kuat, tapi tak mampu. Tawa pelajar yang berada berdekatan dengan meja mereka sudah kedengaran.
"Astagfirullahalazim... Haidan Luthfan! Awak dah kenapa?" Ustazah Nora menegur. Mahu ketawa melihat keadaan anak muridnya yang bergigi hitam itu. Tetapi, terpaksa menahan tawa.
Kini Haidan menjadi pusat tumpuan seisi kelas. Kelas yang tadi sunyi kini riuh dengan tawa seisi kelas 5 Perdagangan.
"Haidan terhisap dakwat pen ustazah," beritahu Qharissa. Haidan tayang muka pasrah. Jatuh maruah dia pada hari itu.
'Kau memalukan diri sendiri Haidan.'
"Saya faham awak lapar, tapi janganlah sampai hisap dakwat pen tu. Sudah! Pergi cuci gigi awak tu," arah Ustazah Nora.
Haidan bangun dari labuhan kerusi. Tanpa pamitan, dia melangkah keluar dari kelas. Tandas dituju. Ustazah Nora menggeleng kepala setelah kelibat Haidan hilang dari kelas. Sesi pembelajaran tergendala seketika.
"Ya Allah... Macam-macam perangai anak-anak murid saya ni. Kalau awak semua bosan atau mengantuk, beritahu ustazah. Kita boleh berehat lima minit."
Qharissa melihat sisa dakwat di atas meja. Tisu dikeluarkan dan dia membersih sisa dakwat pen itu. Sambil cuci, sambil ketawa. Tak boleh nak berhenti. Adegan yang tak boleh dilupakan. Sampai bila-bila dia akan ingat. Macam mana Haidan boleh terhisap dakwat tu? Pen hitam tadi direnung. Sekali lagi dia ketawa.
"Ya Allah, sakit perut aku."
Tiba-tiba, bahunya dicuit dari belakang. Qharissa terus toleh belakang.
"Macam mana Haidan boleh terhisap dakwat tu?" soal Natasha.
"Pen aku tak keluar dakwat. Padahal baru beli. Tak taulah apa yang dia fikir sampai boleh terhisap tu," cerita Qharissa. Jelas merah mukanya akibat ketawa yang berlebihan.
"Aku yang mengantuk tadi terus segaq mata. Lawak betul kawan hang tu Rissa," kata Auliya.
"Itulah. Tak pernah dibuat orang nak keluarkan dakwat pergi hisap. Tak boleh fikir aku." Natasha menggeleng kepala.
"Nak kata bodoh tapi dapat nombor satu dalam kelas," ujar Auliya.
Qharissa tak balas apa-apa. Dia cuma ketawa kecil. Haidan betul-betul menghiburkan dia dan seisi kelas dengan telatah tak diduga lelaki itu.
SETIAP kali pandang Haidan, automatik Qharissa ketawa. Susah benar dia nak buang bayangan Haidan yang bergigi hitam itu. Haidan buat muka menyampah. Geram betul dia dengan Qharissa yang tak habis-habis nak ketawakannya.
"Aku tak habis fikir lagi macam mana hang boleh hisap dakwat tu?" tanya Qharissa.
"Terhisap. Entahlah, apa yang aku buat tu macam di luar kawalan aku. Memalukan betul. Jatuh reputasi aku sebagai lelaki paling macho dekat sekolah ni," ucap Haidan. Qharissa memandang jelik lelaki itu.
"Nak muntah aku dengar hang puji diri sendiri."
Haidan mencebik bibir.
"Nak harap hang puji aku, kirim salam sajalah. Lagipun itu juga salah satu cara nak hargai diri sendiri. Tak salah pun nak masuk baku angkat sendiri," balas Haidan, tak mahu kalah.
"Yalah Haidan. Bab menjawab ni hang memang hebat. Tapi tak semestinya hang menang," kata Qharissa. Perempuan kan? Mana nak mengaku kalah atau salah.
"Perempuan," komen Haidan, pasrah. Qharissa cuma ketawa.
"Oh ya, nah." Haidan hulur sebatang pen hitam kepada Qharissa. Baru saja dia beli dekat koperasi.
"Untuk apa ni?" tanya Qharissa.
"Aku ganti balik pen hang tu. Maaf sebab rosakkan terus pen hang tu," ujar Haidan.
"Tak payah ganti pun tak apa. Aku tak kisah sangat pun. Pen ni murah ja. Aku boleh beli sendiri," balas Qharissa. Tetapi sebenarnya dia terharu.
"Tak apa. Aku ikhlas. Tapi kalau dakwat tak keluar juga, hang jangan minta tolong aku tau," kata Haidan. Sempat lagi dia bagi peringatan. Dia dah serik. Qharissa tergelak kecil.
"Eh, tadi tu aku mana minta tolong hang pun. Hang yang nak buat. Itu salah hang sendiri. Orang tiup, hang pergi hisap," balas Qharissa. Haidan tergelak kecil. Sumpah, kejadian memalukan itu akan sentiasa diingati. Kenangan memalukan dia pada zaman sekolah menengah.
"Apa pun terima kasih Haidan," ucap Qharissa. Haidan dah beli, tak akan dia nak menolak pula.
"Sama-sama."
Tidak lama kemudian, Zahran dan Syafiqah muncul.
"Awal hangpa keluar kelas," kata Zahran.
"Ustazah Nora lepas awal," jawab Haidan. Zahran memandang Haidan.
"Aku terdengaq cerita dari budak kelas hang yang hang terhisap dakwat pen. Ya Allah Haidan, hang dah kenapa? Berdekah aku masa dengaq tu." Zahran membuka cerita. Haidan tayang muka toya. Cepat betul berita memalukan itu tersebar.
"Macam mana boleh jadi macam tu?" tanya Syafiqah, ingin tahu.
"Sebenarnya tu pen aku. Tengah syok tulis, tiba-tiba dakwat pen tak keluar. Lepas tu si Haidan ni kononnya nak baikilah pen tu dengan kaedah tiup. Tak tahu macam mana dia boleh pergi hisap. Maka, hitamlah gigi Haidan Luthfan ni," cerita Qharissa. Tertawa lagi Qharissa.
"Hang penat jadi pandai ke Haidan? Aduhai... Haidan, Haidan." Zahran menggeleng kepala sambil ketawa.
"Seronoklah tu gelakkan aku. Aku nak merajuk satu minit," kata Haidan lalu bangkit dari kerusi. Langkah kaki dihayun menuju ke tempat pembelian makanan. Zahran tertawa dengan telatah Haidan. Gedik nak merajuk satu minit. Qharissa dan Syafiqah hanya menggeleng kepala.
"Qharissa, aku nak tanya hang sikit?"
"Tanya apa?"
"Hang dengan Haidan betul-betul kawan ke?" Soalan cepumas dari Syafiqah membuatkan Qharissa tergemap seketika.
"Ha'ah. Kami kawan ja. Pasaipa hang tanya soalan macam tu?" Entah kenapa Qharissa rasa pelik dengan pandangan Syafiqah terhadapnya.
"Hang boleh ja jujur dengan aku Qharissa," kata Syafiqah. Dia perasaan air muka Qharissa seakan menipu. Qharissa hela nafas.
"Kalau aku suka dia pun, aku tak boleh nak buat apa-apa. Sebab Haidan memang anggap aku kawan ja." Akhirnya, Qharissa mengaku juga. Syafiqah terdiam.
"Dia dekat dengan aku tapi hakikatnya dia jauh dan susah untuk digapai. Dan aku tak nak hubungan persahabatan kami jadi kekok gara-gara perasaan ni," sambung Qharissa.
"Ya aku tau."
"Tapi... kalau Haidan jumpa orang yang dia suka, aku akan luah perasaan ni dekat dia. Bukan untuk hancurkan hubungan mereka. Tapi untuk ringan bebanan dalam jiwa aku. Aku nakkan ketenangan," kata Qharissa. Syafiqah tersenyum tipis.
"Misalnya Haidan jauhkan diri dari hang gara-gara luahan hang tu, aku ada untuk hang. Aku juga kawan hang Mawar Qharissa," kata Syafiqah. Dia tak akan tinggalkan Qharissa jika Haidan meninggalkan gadis itu. Itu janjinya.
"Terima kasih Syafiqah."
Akhirnya, Syafiqah tahu isi hati sebenar Qharissa terhadap Haidan. Benarlah, tak semua lelaki dan perempuan boleh menjadi kawan. Masalah akan timbul apabila salah seorang daripada mereka meluahkan perasaan itu.
Bersambung...
Kisah pasal pen tu kan, adalah kisah benar. Pernah berlaku masa saya tingkatan 1 dulu. Masih segar dalam ingatan saya yg kawan lelaki saya tu bergigi hitam gara-gara terhisap dakwat pen. 🤣
Nasyanur
02022024
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro