BAB 23
“ALONG ingat hang dengan Haidan dik. Hangpa kawan dah lama. Alih-alih Haidan kahwin dengan perempuan lain. Muda pula tu.”
Qharissa tayang muka malas. Abang sulungnya itu masih tak percaya yang Haidan berkahwin dengan perempuan lain.
“Dah nama pun jodoh depa. Along nak pertikai buat apa,” balas Qharissa dengan nada malas.
“Bukan nak pertikai. Tapi macam tak percaya ja. Kebal juga persahabatan hangpa. Langsung tak ada apa-apa perasaan,” ujar Zafran. Qhafael mengangguk kepala tanda menyokong kata-kata Zafran.
“Itulah Along. Angah pun ingat depa ni kawan sampai kahwin. Alih-alih, kekal kawan ja. Angah kagum dengan persahabatan hangpa dik,” ujar Qhafael.
Qharissa ukir senyuman nipis. Kalaulah mereka tahu hal sebenar, pasti topik ini tak akan dibincangkan. Hanya abang ketiganya sahaja yang tahu kisah sebenar.
Encik Qhairi melihat wajah puterinya. Tampak biasa. Tak ada nampak sedih pun.
“Rissa tak pernah luahkan dekat Haidan ka?” tanya Encik Qhairi. Saja nak tahu. Qharissa geleng kepala.
“Tak. Rissa anggap Haidan tu cuma kawan ja,” balas Qharissa. Tak apa kut menipu. Lagipun, untuk apa buka kisah lama? Semua itu sudah menjadi sejarah.
Encik Qhairi mengukir senyuman kecil.
“Semua yang terjadi ni sudah ditentukan oleh Allah. Kita sebagai hamba-Nya perlu terima dan teruskan kehidupan seperti biasa. Ada sebab mengapa Allah takdirkan Rissa dengan Haidan tu cuma sekadar kawan. Percaya dengan Allah. Mana tau puteri abah ni dapat seseorang yang lebih baik. Yang boleh jaga Rissa lebih daripada Haidan jaga adik dulu. Mungkin lebih kacak dari Haidan. Manalah tau kan? Anak abah ni kan cantik, comel. Takkan takdak yang mau.” Encik Qhairi mengusap rambut anak perempuannya. Terus tersenyum lebar Qharissa.
“Hish abah ni. Dalam memberi nasihat tu, sempat nak memuji,” ujar Qharissa. Zafran dan Qhafael mengguling biji mata ke atas.
“Sukalah hang kena puji dengan abah,” perli Qhafael. Qharissa tayang muka bangga.
“Eh mestilah. Abah puji kut. Terasa istimewa,” kata Qharissa. Encik Qhairi menggeleng kepala. Sudah mula nak gaduh.
“Meluat aku.” Zafran tayang muka meluat. Qharissa mengoyakkan senyuman sinis.
“Eleh. Along dengan angah tu jeles cakaplah,” provok Qharissa. Zafran tertawa sarkastik.
“Kami ni ada isteri. Hari-hari dapat pujian. Adik ada? Calon suami pun takdak,” sindir Zafran. Qharissa mencebik bibir.
“Abah tengok along dengan angah tu! Eee, bencilah!” bentak Qharissa. Zafran dan Qhafael ketawa mengejek. Encik Qhairi tertawa kecil. Bab menyakat adik-adik dia orang ini memang juara.
“Kalau ada Paan ni mesti berperang kita. Yalah, dia pun bujang,” kata Qhafael.
Qharissa tersenyum kecil. Zafran dengan Qhafael memang suka cari gaduh. Kuat menyakat. Nasib baiklah dia ada Zulfan yang sentiasa jadi pelindungnya. Jujurnya, dia rindu dengan semua itu. Namun, semua itu sudah menjadi kenangan. Sekarang, abang-abangnya sudah ada kehidupan sendiri.
“Kan. Apalah si Paan tu buat sekarang?” kata Zafran. Rindu pula dia dengan adik ketiganya itu. Rasanya dah lama mereka tak jumpa.
“Angah mesej dia tak balas. Sibuk agaknya,” balas Qhafael.
“Biarlah dia. Nanti dia pandai-pandai dia telefon balik.”
Tidak lama kemudian, muncul Aisyah isteri kepada Zafran dan Alfia isteri kepada Qhafael. Masing-masing menatang dulang berisi minuman dan makanan.
“Maaf lambat. Jemput makan, minum semua. Hari ni saya dengan Kak Aisyah ada buat kek pisang,” kat Alfia bersama senyuman.
“Terima kasih kak ngah, kak long. Kek pisang ni sedap. Dah rasa dah tadi. Abah cuba rasa,” kata Qharissa. Tadi, dia ada juga menyibuk di dapur bersama kakak-kakak iparnya. Sempatlah rasa kek pisang itu sebelum kena halau. Niat nak tolong tetapi kena halau pula. Qharissa tak malas ya. Saja nak beritahu.
“Ya, abah nak rasa ni.” Encik Qhairi capai sepotong kek pisang lalu disuap ke dalam mulut.
“Okey tak abah? Kalau manis sangat, jangan makan.” Aisyah bertanya. Encik Qhairi mengukir senyuman kecil.
“Alhamdulillah. Sedap. Tak manis pun.” Tersenyum lebar semua yang ada di situ.
“Alhamdulillah. Makanlah. Abang, Pael, Rissa. Banyak saya dengan Alfia buat ni,” kata Aisyah. Mereka menjamu selera sambil berbual pelbagai topik.
“Rissa lupa pula. Angah, adik ingat nak pindahlah. Nak cari rumah sewa dekat dengan tempat kerja,” beritahu Qharissa. Sebenarnya sudah lama dia fikirkan perihal itu. Yalah, jarak rumah Qhafael dengan tempat kerjanya jauh.
“Nanti nak duduk dengan siapa? Kalau duduk seorang diri, angah tak izinkan,” kata Qhafael. Dia tahu adik perempuannya itu sudah besar. Sudah boleh berdikari. Tetapi kalau dah namanya abang, mestilah sikap protektif itu ada.
“Adik duduk dengan Nayli,” jawab Qharissa.
“Dah cari rumah sewa?” Zafran pula bertanya.
“Nayli dah cari. Alhamdulillah jumpa. Rumah tu masih elok dan selamat,” balas Qharissa.
“Walaupun masih elok dan selamat. Tetap juga kena baca doa-doa keselamatan. Untuk elak benda-benda tak diingini. Sementara abah ada dekat sini, bawa abah pergi rumah tu. Abah pun nak tengok juga rumah tu,” kata Encik Qhairi. Yang lain hanya mengangguk kepala. Setuju dengan ucapan Encik Qhairi itu.
“Baik abah.”
Qharissa tersenyum memerhati keluarga besarnya. Sayangnya tidak cukup seorang. Muaz Zulfan tidak ada bersama. Abang ketiganya itu kerja di Johor. Syukur yang tidak terhingga. Kedua-dua abangnya sudah bahagia dengan pilihan masing-masing. Zafran dan Aisyah dikurniakan dua orang anak, dua-dua lelaki yang berusia 6 tahun dan 2 tahun. Qhafael dan Alfia dikurniakan seorang anak lelaki yang berusia 3 tahun. Alfia juga sedang hamil anak kedua. Kandungan yang sudah berusia 5 bulan.
QHARISSA keluar dari 7-Eleven bersama sebotol air kopi latte. Botol kopi itu bukan biasa-biasa. Ada wajah ahli kumpulan popular Korea Selatan iaitu Kim Seokjin BTS. Qharissa berdiri tegak di kaki lima. Kepala mendongak memandang dada langit yang sudah dilitupi dengan awan hitam. Dan ada air mencurah-curah turun dengan lebat.
“Hujan pula. Dahlah tak bawa payung. Menyesal parkir kereta dekat seberang jalan,” omel Qharissa.
“Kalau tunggu ni, tak balik aku. Hujan ni entah berhenti ke tidak. Lebat semacam seakan tiada tanda-tanda mahu berhenti,” omel Qharissa lagi.
Qharissa berperang dengan fikiran. Berkira-kira hendak redah atau tunggu. Nafas berat dilepaskan.
“Redah ajelah.”
Baru sebelah kaki angkat nak melangkah, baju blausnya ditarik lembut dari belakang. Terbantut perbuatan Qharissa. Terus dia toleh belakang. Terkejut Qharissa apabila anak matanya bertembung dengan anak mata milik Harraz Luthfi.
“Harraz? Macam mana boleh ada dekat sini?” tanya Qharissa. Kenapa Harraz ni suka muncul secara tiba-tiba?
“Saya dari kafe. Dah nak balik, ternampak Kak Mawar dekat sini. Saya tegurlah,” jawab Harraz. Pakaian Harraz ditilik Qharissa. Lelaki itu cuma mengenakan hud jaket bersama seluar jean. Semuanya hitam termasuk kasut. Dia ni tengah berkabung ke apa?
“Oh.”
Terangguk-angguk kepala Qharissa. Tiada butir bicara lagi Qharissa pandang hadapan. Melihat hujan turun menimpa bumi. Tak berani hendak menatap Harraz yang terlalu banyak perubahan pada diri lelaki itu. Harraz dah jadi lelaki dewasa. Usia yang baru 20 tahun tetapi dia sudah nampak matang. Wajarlah sikap malu Qharissa muncul. Harraz bukan budak-budak lagi yang boleh main langgar saja.
“Awak tak balik kampus?” tanya Qharissa. Sengaja membuang kejanggalan antara mereka.
“Saya cuti semester satu. Nanti nak masuk semester dua pula,” balas Harraz. Qharissa angguk kepala lagi.
“Oh. Belajar dekat mana?”
“UiTM Selangor. Dalam bidang Seni Kulinari,” balas Harraz. Qharissa angguk kepala lagi.
“Ingatkan ambil bidang perniagaan,” kata Qharissa. Yalah, abi mereka kan ada pasaraya sendiri.
Harraz mengoyakkan senyuman tipis.
“Minat saya menjurus kepada pembuatan makanan berasaskan tepung, Kak Mawar,” kata Harraz. Qharissa tak pelik pun. Jika tidak, tak adanya dulu dia dapat sebalang biskut cip coklat. Sedap pula tu.
“Untunglah bakal isteri awak nanti. Dapat suami serba boleh,” seloroh Qharissa. Harraz cuma tersenyum. Diam lagi. Hanya bunyi air hujan turun membasahi bumi. Qharissa sedar keadaan mereka ini telah mengingatkan dia kepada keadaan mereka pada 8 tahun lepas. Begini juga mereka berdiri menghadap hujan turun yang tak ada tanda-tanda mahu berhenti.
Petanda apakah ini? Dua kali dia jumpa dengan Harraz dalam keadaan begini. Lelaki itu yang datang menegurnya dalam suasana yang hujan. Dia juga sedar yang cara percakapannya dengan Harraz pun sudah berubah. Saya-Awak. Mana ada dia gelarkan diri ‘Kak’ kepada lelaki itu.
“Kak Mawar okey?” tanya Harraz. Berkerunyut dahi Qharissa. Terus dia mendongak kepala memandang Harraz.
“Okey aje. Kenapa tanya?”
“Sebab abang Haidan pilih orang lain.”
Tersentak Qharissa apabila soalan itu dituju kepadanya. Kenapa tanya soalan macam tu lagi? Dah sebulan Haidan jadi suami orang.
“Allah dah tetapkan hubungan kami hanya sekadar sahabat. Allah tahu apa yang terbaik untuk hamba-NYA. Apa yang perlu saya buat sekarang adalah teruskan perjalanan. Fokus pada kehidupan saya yang sekarang ni.” Jawapan paling selamat Qharissa berikan. Melihat senyuman kecil terbit di bibir Harraz membuatkan Qharissa sedikit pelik.
“Betul. Kisah abang Haidan dah berakhir. Abang Haidan dah bahagia. Sekarang giliran Kak Mawar cari kebahagiaan sendiri. Sebabnya...” Sengaja Harraz gantungkan kata-katanya. Hendak melihat reaksi Qharissa.
“Sebabnya apa?” Qharissa tayang riak polosnya. Makin melebar senyuman Harraz sehingga timbul lesung pipit di kedua-dua belah pipi Harraz.
“Sebabnya... kisah Kak Mawar baru aje nak bermula.”
Qharissa dan Harraz saling berpandangan. Tanpa menghiraukan keadaan di sekeliling mereka.
Apa maksud Harraz Luthfi?
“Kak Mawar?” Harraz petik jari di hadapan wajah Qharissa. Terus tersedar dari terus merenung wajah Harraz.
“Hah apa?”
“Tenung saya kenapa? Dah jatuh cinta ke apa?” seloroh Harraz. Qharissa hampir sahaja mahu terbatuk. Tak sangka ayat macam tu boleh terkeluar dari mulut Harraz.
“Eh tak adalah. Saya cuma terkejut sebab awak cakap macam tu,” sangkal Qharissa. Dia cuba kawal air mukanya. Kenapa tiba-tiba rasa panas muka ni?
“Saya cakap betul. Kisah Kak Mawar baru je nak bermula. Abang Haidan dah bahagia, tak akan Kak Mawar tak nak bahagia,” ujar Harraz. Tak lepas dia memandang Qharissa. Dia juga perasan yang Qharissa cuba untuk tidak mahu menatapnya. Harraz menguntum senyum kecil. Hatinya tercuit dengan tingkah laku Qharissa.
“Saya dah bahagialah. Bahagia jadi bujang,” balas Qharissa. Harraz ketawa halus.
“Semua orang bahagia jadi bujang Kak Mawar. Bahagia yang saya maksudkan adalah bahagia dalam berumah tangga,” kata Harraz. Qharissa pandang Harraz. Namun, hanya sekejap terus dia larikan pandangan. Dia tak boleh langsung pandang mata Harraz. Tak tahu kenapa dia rasa macam malu?
Apa kena dengan kau ni Mawar Qharissa?
“Insya-Allah, kalau saya jumpa seseorang yang boleh jaga saya, yang faham apa tanggungjawab dia sebagai suami, saya kahwinlah. Sekarang ni saya nak nikmati zaman bujang saya dulu. Lagipun, saya perlu baiki diri saya. Tanggungjawab isteri bukan senang. Saya perlu bersiap sedia untuk hadap semua tu,” jawab Qharissa.
“Kalau Kak Mawar jumpa lelaki yang tepat. Kak Mawar boleh jadi isteri yang baik,” balas Harraz. Qharissa pandang Harraz lagi sebelum pandang hadapan semula. Harraz yang melihat akan itu hanya mampu menggeleng kepala. Comel betul Kak Mawar ini.
“Awak tak ada kekasih hati? Tipulah kalau tak ada. Awak kacak macam ni takkan tak ada perempuan nak.” Qharissa bertanya lagi. Harraz tarik nafas dalam. Pandangannya kini dialihkan dari terus memandang Qharissa. Cukuplah mengusik gadis itu. Naik merah muka akibat malu ditenungnya.
“Sebenarnya ramai. Tapi saya tak layan. Sebab niat saya sekarang adalah untuk fokus belajar dulu. Lagipun saya dah letak seseorang dalam hati saya. Cuma saya tak pasti dia boleh bertahan lama atau tidak,” jawab Harraz.
“Kira adalah tu Harraz. Untung perempuan tu,” kata Qharissa. Harraz senyum tipis.
“Saya anggap perempuan tu hanya singgah sementara di hati saya je. Sebab saya tak pasti dia akan menetap kekal atau tidak. Saya cuma boleh berdoa untuk dia,” ujar Harraz.
“Kalau dia jodoh awak, Insya-Allah, dia akan jadi milik awak kelak,” kata Qharissa lagi.
Diam-diam, Harraz memandang Qharissa. Secara tidak sengaja dia terpandang pergelangan tangan kiri Qharissa. Terus naik senyuman di bibirnya.
“Kak Mawar masih pakai gelang yang saya bagi tu?” tanya Harraz. Qharissa terus melihat pergelangan tangan kirinya.
“Mestilah saya masih pakai. Masih nampak baru lagi sebab saya selalu cuci sampai bersih,” kata Qharissa. Nasib baik gelang itu mudah untuk dicuci. Yang penting tahan lasak. Harraz cuma tersenyum kecil.
Tiba-tiba, seorang lelaki berpakaian pekerja kafe muncul bersama payung.
“Maaf ganggu, Encik tertinggal payung,” kata pekerja itu. Harraz terus ambil payung tersebut.
“Oh terima kasih,” ucap Harraz bersama senyuman. Pekerja itu membalas ucapan Harraz dan kemudian berlalu pergi.
“Nah payung.” Harraz hulur payung kepada Qharissa. Terpinga-pinga gadis itu.
“Kenapa bagi saya? Inikan payung awak,” kata Qharissa. Pelik. Kenapa Harraz bagi dia pula?
“Sekarang saya bagi pada Kak Mawar. Pergilah balik. Hujan dah renyai-renyai,” kata Harraz.
“Awak macam mana pula?” tanya Qharissa. Harraz ukir senyuman kecil.
“Tak apa. Tahulah saya nak balik macam mana. Yang penting Kak Mawar pergi balik,” kata Harraz. Menyipi mata Qharissa memandang Harraz. Tetapi, tak boleh pandang lama-lama.
“Betul ni? Ke nak saya hantarkan awak balik?” Qharissa mempelawa Harraz.
“Tak apa. Terima kasih aje.” Harraz menolak dengan sopan.
“Betul ni?” tanya Qharissa lagi. Inginkan kepastian. Harraz tayang muka serius.
“Mawar Qharissa go!” Keluar sudah suara dalam Harraz. Kedengaran seksi pada halwa telinga Qharissa. Tambahan pula, Harraz menyebut nama panjangnya. Terus mengila cik jantung berdegup.
“Ba... baiklah. Sa... saya balik dulu. Bai Harraz.” Haa, kan dah menggelabah.
“Hati-hati memandu Mawar Qharissa,” ucap Harraz bersama tawa halus. Ingat dia tak perasaan Qharissa menggelabah.
Qharissa cuma angguk kepala bersama senyuman janggal. Gadis itu melangkah pergi tanpa menoleh belakang. Masuk sahaja ke dalam perut kereta, Qharissa menyentuh dada kirinya. Kenapa jantungnya berdegup laju saat Harraz menyebut penuh namanya.
Petanda apakah itu?
Adakah dia jatuh cinta? Jatuh cinta dengan Harraz Luthfi? Adik lelaki Haidan? Jejaka yang muda 5 tahun darinya?
Sungguh ini tidak masuk akal!
Tidak! Qharissa tak mahu meletakkan perasaan cinta itu terlalu awal kerana tak mahu kecewa buat kali kedua. Dia akan serahkan semua ketentuannya kepada Yang Maha Esa.
TAMAT.
Buku ini ada sambungan. Stay tuned!
nasyanur
11032024
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro