Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 20

KEDAI makan berdekatan Pasaraya HL menjadi tempat menjamu selera mereka. Makanan dan minuman sudah pun dipesan. Tetapi, dua homo sapiens itu masih diam. Haidan mengerling Qharissa yang tampak tenang menghadap telefon pintar. Kenapa raut wajah Qharissa tenang? Sedangkan dia sudah gelisah. Dada seakan mahu pecah. Perasaan dia sekarang ini bercampur baur. Pertemuan yang tidak dijangka.

Aafan yang berada di meja belakang Haidan hanya menggeleng kepala melihat mereka berdua. Terus dia cuit bahu Haidan. Haidan paling ke belakang.

“Sampai bila nak diam? Kau ni pun satu, cuba mulakan perbualan. Takkan itu pun nak kena ajar?” bisik Aafan. Geram betul dia melihat kebisuan Haidan. Dulu cari sangat. Sekarang dah ada di hadapan mata, diam pula.

“Aku tak tahu nak mulakan perbualan macam mana? Aku terkejut lagi ni. Mulut kau tu masin sungguh. Tup... tup dia muncul,” balas Haidan juga dengan berbisik.

“Itu tandanya Allah mudahkan urusan kau. Sudahlah. Cepat selesai masalah kau orang tu,” gesa Aafan.

Haidan hela nafas berat. Dia pandang hadapan semula dan tersentak apabila Qharissa memandangnya bersama senyuman kecil.

“K... kau dah selesai dengan telefon pintar kau?” tanya Haidan. Rasa gementar cuba dibuang jauh. Qharissa angguk kepala.

“Maaf. Ada hal sedikit dengan kawan,” balas Qharissa.

Dia perasan Haidan nampak gementar. Dia juga sama gementar. Yalah, sudah sekian lama tidak bertemu. Tambahan pula mereka ada isu. Jadi tak tentu arah apabila bersua muka. Cuma Qharissa sedaya upaya mengawal rasa gementar itu. Tak mahu tunjuk sangat pada Haidan.

“Oh. Kau sihat?” tanya Haidan, berbasa-basi.

“Kau ada nampak aku macam sakit ke?” Sarkastik Qharissa membalas. Haidan tertawa kecil.

“Kau banyak berubah Rissa. Hampir aku tak kenal kau tadi,” kata Haidan. Gadis itu lebih matang dan cantik juga. Qharissa tersenyum kecil.

“Kau juga apa kurangnya,” balas Qharissa. Dia memandang wajah lelaki itu. Tidaklah berubah sangat. Tetapi, yang ini versi lebih matang dan sudah tentu lebih kacak.

Untung Naraliyana.

“Yang dekat belakang tu sapa?” tanya Qharissa. Aafan yang curi dengar perbualan mereka terus bangun dan mendekati meja yang diduduki Haidan dan Qharissa. Terkebil-kebil mata Qharissa memandang lelaki itu.

“Saya Muhammad Aafan. Kawan zaman kolej Haidan.” Aafan perkenalkan diri dan hulur tangan ke arah Qharissa. Gadis itu pandang tangan Aafan sebelum balas senyuman lelaki itu. Haidan peluk tubuh dan hanya memerhati.

“Mawar Qharissa. Maaf Aafan. Walaupun saya belum menutup aurat dengan sempurna tapi saya tak bersentuhan dengan lelaki yang bukan mahram saya,” kata Qharissa. Penuh berhati-hati menutur kata kerana tak mahu membuat Aafan tersinggung.

“Oh maafkan saya. Saya tak tahu.” Aafan garu leher tanda dia janggal. Haidan ukir senyuman kecil. Qharissa masih menjaga batas. Baguslah.

“Tak apa. Saya dah biasa kena macam tu.”

Aafan pandang Haidan. Tatapan geram di berikan. Haidan tahan gelak. Padan muka kau. Aafan kembali duduk di tempatnya. Buat malu sahaja.

“Macam mana kau tahu aku kerja dekat situ?” tanya Haidan. Dia pelik sebenarnya bagaimana Qharissa boleh cari dia di Pasaraya HL itu.

“Dua hari lepas aku jumpa Liyana. Dia yang beritahu aku kau kerja dekat pasaraya tu. Lagipun pasaraya tu kan milik keluarga kau.”

Haidan angguk kepala. Qharissa ada jumpa Naraliyana. Tetapi, tidak pula gadis itu berkata apa-apa tentang pertemuannya dengan Qharissa.

“Oh. Macam mana boleh jumpa Nara?” tanya Haidan. Ingin tahu.

“Dia datang tempat kerja aku. Ambil anak saudara dia. Dekat situlah kami jumpa,” balas Qharissa. Haidan angguk kepala.

“Kau cikgu tabikalah ni?”

“Ya.”

“Nara ada cerita apa-apa?” duga Haidan. Qharissa ukir senyuman tipis.

“Mestilah ada. Aku dah tahu semuanya Haidan. Aku minta maaf sebab aku punca kau jadi macam ni. Kau nampak normal. Tapi sebenarnya tak. Kau berserabut. Kau tak tenang kan?”

“Aku juga rasa serba salah sebab marah kau. Lepas pada hari tu, aku asyik teringat kata-kata kau. Dan benda tu menghantui aku sehingga perasaan tu datang sedikit demi sedikit. Lama-lama aku sedar yang aku cintakan kau Qharissa,” kata Haidan.

Qharissa tak bagi apa-apa reaksi. Tapi berdebar juga jantungnya apabila mendengar luahan Haidan. Dia nak seronok pun dah terlambat. Lelaki di hadapannya ini bakal menjadi milik Naraliyana. Lagipun, dia bukan perampas hak orang.

“Kalau kau cintakan aku; kenapa kau bertunang dengan Liyana?” tanya Qharissa. Dia pelik kenapa Haidan bertindak demikian jika lelaki itu cintakannya. Haidan kuak rambutnya ke belakang.

“Sebab aku nak lupakan kau. Aku terdesak nak buang perasaan tu terhadap kau. Tapi semua tu jadi sia-sia. Makin lama, makin membuak-buak perasan tu dekat kau. Aku cintakan Nara dan aku cintakan kau juga. Aku keliru dengan perasaan aku sendiri, Qharissa,” rintih Haidan.

“Aku sedar yang aku dah bagi harapan dekat Nara. Aku juga dah menyakiti perasaan Nara. Sebab tu aku berusaha cari kau, Qharissa. Aku tak sanggup nak hadap semua ni lagi. Aku minta maaf Qharissa,” sambung Haidan lagi. Qharissa hela nafas berat.

“Semuanya dah terlambat Haidan. Kalau kau tak terburu-buru buat keputusan untuk bertunang bahkan mengahwini Liyana, mungkin kita ada peluang untuk jadi lebih dari kawan,” kata Qharissa. Haidan senyum sumbing.

“Aku tahu. Tapi aku nak dengar jawapan kau. Aku akan ulang soalan yang pernah kau berikan kepada aku dulu.”

Qharissa diam. Tahulah dia apa soalan yang ingin ditanya Haidan. Dia sedikit pun tidak rasa gentar. Malah bersedia untuk menjawab soalan itu.

“Antara cinta dan sahabat yang mana kau pilih?”

Qharissa dan Haidan saling bertatapan. Qharissa ukir senyuman kecil.

“Aku pilih sahabat.”

Haidan angguk kepala. Dia sudah menjangkakan jawapan Qharissa.

“Mungkin hubungan kita sekadar menjadi kawan je. Lagipun, kita dah lama kawan. Jangan disebabkan benda ni kita putus kawan. Aku sayang kau Haidan. Sayang sebagai seorang kawan. Tipulah kalau aku tak rasa sedih sepanjang kita berpisah. Aku rasa kosong sebab aku dah tak ada kawan yang sentiasa ada untuk aku. Memanglah aku ada kawan perempuan yang lain. Tapi, tak sama bila aku dengan kau. Sebab kita berdua dah lama kenal,” luah Qharissa panjang lebar.

“Aku pun macam kau juga Haidan. Rasa tak tenteram jiwa sebab aku punca persahabatan kita rentak. Aku mungkir janji kita. Aku buat kau benci aku,” sambung Qharissa lagi. Haidan geleng kepala apabila mendengar ucapan Qharissa itu.

“Tak Rissa. Aku tak benci kau pun. Aku cuma rasa kecewa je. Lagipun kau tak salah. Perasaan macam tu memang akan wujud dalam persahabatan antara lelaki dan perempuan. Tapi bila dah jadi macam ni, barulah aku nak sedar. Aku terlambat dan bodoh,” kata Haidan. Qharissa menguntum senyuman tipis. Dia menyilang tangan ke dada.

“Semua tu dah berlalu, Haidan. Sekarang ni aku dah tak nak fikir semua tu lagi. Aku nak lupakan semuanya. Aku nak mulakan hidup baru,” ujar Qharissa dengan tenang.

“Kita tetap kawan kan?” tanya Haidan.

“Patutnya soalan tu aku tanya kau. Kau tu sudi ke nak kawan aku balik?”

Haidan menguntum senyuman lebar. Terserlah barisan gigi putihnya. Haidan yang dulu sudah kembali.

“Mestilah sudi. Aku akan buang perasaan tu macam mana kau buang perasaan kau dekat aku. Betul kata kau, mungkin kita hanya ditakdirkan menjadi kawan je,” kata Haidan.

“Lagipun aku tak nak jadi lelaki penghancur hati perempuan. Aku tak nak dilabelkan sebagai lelaki tak guna,” sambung Haidan lagi. Qharissa tersenyum lega.

“Balik nanti, buat solat istikharah. Minta petunjuk dekat Allah. Insya-Allah, kau akan dapat petunjuknya,” pesan Qharissa.

“Amin, Insya-Allah. Nanti datang rumah umi. Umi rindu kau sangat,” kata Haidan. Qharissa tengadah. Nampaknya Puan Humairah dan Haira tak cerita langsung tentang pertemuan mereka kepada Haidan.

“Sebenarnya aku dah jumpa umi beberapa hari yang lepas,” balas Qharissa. Haidan terkejut.

“Seriuslah? Patutlah umi tak kacau aku. Kalau tak, mesti dia hubungi aku. Tanya macam-macam fasal kau. Letih nak jawab,” balas Haidan. Qharissa tertawa halus.

“Haira yang tegur aku. Kami jumpa dekat kedai buku. Tak sangka dia boleh kenal aku,” beritahu Qharissa. Haidan angguk kepala.

“Oh macam tu. Kau duduk KL ni dengan siapa?” Haidan bertanya.

“Dengan angah aku,” jawab Qharissa.

“Siapa jaga abah?” tanya Haidan lagi.

“Along duduk dengan abah. Zulfan pula kerja dekat Johor. Banyak betul soalan kau,” balas Qharissa. Sempat lagi menyindir Haidan. Lelaki itu tergelak.

“Aku cuma nak tau. Tak apalah. Aku nak balik ke pasaraya semula. Nak nombor telefon kau.”

Qharissa tadah tangan kepada Haidan. Faham dengan apa yang dipinta Qharissa terus Haidan memasukkan kata laluan. Setelah baru dia serahkan telefon pintarnya kepada Qharissa.

“Jangan kerap hubungi atau mesej aku. Ingat Naraliyana,” pesan Qharissa dengan nada tegas. Telefon pintar mahal itu diserahkan kembali kepada Haidan setelah memasukkan nombor telefonnya.

“Aku tahulah Rissa. Okey bai. Jom Aafan.”

Serentak dua lelaki itu bangun dari kerusi. Qharissa cuma memandang mereka yang sudah mahu melangkah meninggalkannya.

“Bai Qharissa. Jumpa lagi. Semoga ada jodoh kita,” kata Aafan bersama senyuman pencair hati perempuan. Qharissa terpinga-pinga. Sayup-sayup kedengaran suara Haidan memarahi Aafan. Qharissa terus toleh belakang.

“Cis kau! Ada hati nak mengurat Qharissa. Aku beritahu tunang kau yang kau menggatal dengan perempuan lain. Baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah,” kata Haidan. Aafan cuma tertawa. Qharissa hanya menggeleng kepala melihat adegan itu. Dia hanya memandang sehingga kelibat dua lelaki itu hilang.

“Alhamdulillah. Selesai satu masalah. Sekarang ni kau patut fokus pada diri kau, Mawar Qharissa.”

Qharissa hembus nafas berat. Berura-ura hendak bangun dari kerusi, telefon pintarnya berbunyi menanda ada pesanan masuk. Terus Qharissa buka pesanan WhatsApp dari nombor tidak dikenali itu.

Hai Qharissa. Ni Haidan. Sila save nombor aku. - Unknown

Sila letak nama ‘Haidan yang hensem’. - Unknown

Qharissa ketawa kecil.

“Memang taklah aku nak simpan nombor telefon kau macam tu, Haidan Luthfan.”

Menggeleng kepalanya bersama tawa yang masih tersisa. Namun, tak lama tawanya mati. Bibir melakar senyuman hambar.

“Ya Allah. Aku ikhlas lepaskan lelaki yang pernah aku cinta kepada perempuan lain. Aku sedar yang dia, bukan untuk aku.”

Walaupun mereka sudah berbaik seperti dahulu. Tetapi, proses untuk melupakan apa yang sudah terjadi antara mereka tidak mudah. Semua itu memerlukan masa yang lama.









Bersambung...











nasyanur
20022024










Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro