Bab 19
“YA. Akak masih ada perasaan pada Haidan.” Diucap dengan nada tanpa emosi. Air muka juga tidak berperasaan. Naraliyana tersenyum kelat. Pengakuan Qharissa itu membuatkan dadanya berdenyut sakit. Melihat riak mendung Naraliyana itu membuatkan Qharissa tarik senyuman sinis.
“Tapi tu dulu. Sekarang ni perasaan suka atau cinta tu dah tak ada buat Haidan. Akak dah lama move on, Yana. Jadi, tak perlu susah-susah nak undur diri. Itu bukan cara nak selesaikan masalah,” ujar Qharissa dengan nada tegas. Apa yang Naraliyana fikir? Semudah itu dia nak undur diri?
“Tapi Kak Rissa...”
Qharissa terus mencantas kata-kata Naraliyana. Dia tak mahu dengar alasan Naraliyana lagi.
“Yana.... Jangan sia-siakan apa yang awak buat selama ni. Jangan disebabkan benda remeh ni, awak nak undur diri. Akak juga tak nak digelar perampas atau perempuan penghancur hubungan orang. Akak tak nak jatuhkan maruah sendiri dan juga maruah abah akak,” kata Qharissa lagi. Dia pandang Naraliyana. Kenapa perempuan di hadapannya ini terlalu baik?
“Habis tu, saya perlu buat apa? Saya tak nak lepas kahwin nanti, hubungan kami jadi hambar. Tak ada kebahagiaan,” kata Naraliyana penuh kerisauan.
“Akak sarankan awak buat solat istikharah. Minta petunjuk kepada Allah. Lagipun, jangan malukan keluarga awak. Kesian mereka yang teruja untuk buat persiapan,” ujar Qharissa. Naraliyana hela nafas. Pening kepala memikirkan masalah ini.
“Apa kata Kak Rissa jumpa abang dan selesai masalah akak dengan dia. Mungkin dengan cara ni berkesan. Lagipun abang juga cari Kak Rissa,” cadang Naraliyana. Qharissa tersentak. Jumpa Haidan? Setelah tujuh tahun berlalu? Tiba-tiba, dia rasa takut.
“Dia kerja dekat mana?” tanya Qharissa.
“Pasaraya HL,” balas Naraliyana.
Qharissa angguk kepala perlahan. Dengar saja nama pasaraya tu, tahulah dia milik siapa pasaraya itu. Haidan bekerja dengan bapa dia sendiri.
HAIDAN bangun dari tidurnya secara mengejut. Dadanya berombak jelas menandakan dia bernafas tidak stabil. Dia bermimpi. Mimpi yang baginya sangat ngeri. Haidan selak selimut tebal ke tepi. Dia turun dari katil dan menuju ke bilik air. Terketar-ketar tangan membuka pili air sebelum membasahkan wajahnya. Setelah itu, Haidan merenung wajahnya di cermin.
Bayangan dia bersama Qharissa yang berada di taman masih jelas dalam ingatan. Bahkan wajah sendu Qharissa yang mengungkap kata suka kepadanya tak pernah luput dalam ingatan. Bukan sayang sebagai seorang sahabat tetapi lebih dari seorang sahabat. Hidupnya langsung tidak tenang setelah itu. Dirinya bagaikan disumpah kerana telah menyakiti perasaan Qharissa.
Haidan raup wajahnya kasar.
“Mawar Qharissa... kau buat hidup aku tak tenang,” rintih Haidan.
“Kau okey tak tu?” soal seorang lelaki yang bersandar tubuh pada bingkai pintu bilik air.
“Kau nampak aku macam okey ke?” balas Haidan dengan nada sedikit kasar. Aafan garu kening.
“Janganlah marah-marah. Aku tanya je.” Aafan mencebik bibir. Dia datang ke bilik Haidan sebab nak ajak Haidan solat subuh sama-sama. Namun, tidak semena-mena dia nampak Haidan tergesa-gesa masuk bilik air. Disebabkan rasa risau, terus dia menjenguk Haidan di dalam bilik air.
Haidan hela nafas berat sebelum menguak kasar rambutnya ke belakang.
“Hidup aku tak tenang selama 8 tahun Aafan. Aku penat hadap semua ni. Sumpah penat,” kata Haidan. Aafan memandang simpati Haidan.
“Aku rasa kan kau jadi macam ni sebab kau baru sedar yang kau sayangkan dia lebih dari seorang sahabat. Aku rasa kau patut cari dia dan selesaikan masalah kau orang tu. Kau kena pandai buat pilihan Haidan. Sama ada kau pilih Qharissa atau Naraliyana,” kata Aafan. Dia juga tak boleh melihat Haidan terus hidup menderita begini.
“Yang penting, jangan tamak. Nanti dua-dua kau tak dapat.” Aafan memberi pesanan tegas.
Haidan diam. Teringat dengan kata-kata Naraliyana. Lagilah Haidan rasa runsing dan tertekan. Dia tersepit. Perbualan antara dia dan Naraliyana kembali terngiang-ngiang di kepala.
“Masih ada masa untuk abang buat keputusan yang tepat. Abang perlu cari Kak Rissa dan selesai semua ni. Abang perlu buang rasa tidak enak dalam diri abang. Nara tak nak perkahwinan ni diteruskan dalam keadaan abang begini. Sebab bukan Nara je yang sakit. Tapi abang juga turut sakit.”
“Jadi, Nara nak abang buat pilihan sama ada pilih Nara atau Qharissa?”
“Ya. Hanya seorang sajehaja yang boleh buat abang bahagia. Nara nak abang yang dulu. Yang gembira dan sentiasa tersenyum. Bukan dingin. Senyum pun macam tak ikhlas.”
“Nara sanggup hilang abang?”
“Sanggup. Sebab cinta tak semestinya memiliki. Sedalam mana pun cinta Nara dekat abang, kalau Allah kata abang bukan jodoh Nara, kita tak akan bersatu.”
Haidan melangkah keluar dari bilik air. Dia menapak ke katil. Terus melabuhkan punggung di situ.
“Aku sayang kedua-duanya, Aafan. Malah, aku juga tak nak hilang kedua-duanya,” rintih Haidan. Aafan hela nafas.
“Kau tak akan hilang kedua-duanya kalau kau bijak buat pilihan, Haidan. Cari Qharissa. Kau orang patut berbincang. Selesaikan masalah kau orang tu,” kata Aafan.
Itu sahaja yang mampu dia katakan. Nak cakap lebih-lebih pun dia bukan kenal Qharissa. Dia boleh tahu masalah Haidan pun sebab Haidan selalu tak fokus dalam kelas. Bila didesak apa masalah lelaki itu, barulah Haidan berlembut hati nak buka mulut.
“Tapi mana aku nak cari dia? Instagram dia tak aktif, nak WhatsApp pun dia dah tukar nombor,” kata Haidan. Media sosial yang boleh menghubungi Qharissa semuanya menemui jalan buntu.
“Kau berdoalah banyak-banyak. Mana tahu dia muncul depan kau.” Jawapan mudah Aafan berikan. Haidan hela nafas lagi.
MEMANDANGKAN hari ini dia tidak bekerja, Qharissa datang ke pasaraya. Dia mahu menyelesaikan masalah antara dia dan Haidan pada hari itu juga. Tak boleh tangguh lagi. Kasihan Naraliyana. Qharissa hanya berdiri di luar pasaraya. Melihat pelanggan masuk dan keluar dari pasaraya itu. Jam di pergelangan tangan sudah menunjukkan angka 12.05 tengah hari. Waktu makan tengah hari sudah tiba. Dia berharap Haidan keluar untuk mengisi perut.
Qharissa kemaskan bangs rambutnya. Sesekali dia menjenguk-jenguk ke dalam pasaraya. Mencari kelibat Haidan. Qharissa menunggu di situ dengan jantung berdegup kencang. Sudah lama dia tak rasa perasaan begini.
“Tolong keluar Haidan. Kita perlu selesaikan masalah kita,” gumam Qharissa.
Lima minit kemudian, anak mata Qharissa menangkap kelibat dua lelaki yang segak mengenakan kemeja. Seorang berkemeja berwarna biru cair dan seorang lagi berwarna putih. Namun, anak mata Qharissa tertumpu pada lelaki berkemeja berwarna biru cair.
Itu dia Haidan Luthfan.
Qharissa perhati sahaja dua lelaki itu berbual dan kemudian tertawa. Lelaki berkemeja putih tu yang terhibur sakan pun. Yang si Haidan itu ketawa macam tak ikhlas sahaja. Wajah tampan lelaki itu ditatap. Mencari kebenaran setiap kata-kata Naraliyana tentang Haidan. Dan benar. Seraut wajah Haidan yang jelas nampak bahagia yang di buat-buat. Senyum pun macam terpaksa.
“Kawan kau yang Qharissa tu kan... agak-agak dia cantik tak?”
Qharissa tersentak apabila namanya dipetik. Terus telinganya dibuka luas-luas untuk mendengar perbualan dua lelaki itu.
“Kau tanya soalan macam aku dah jumpa dia.” Kasar sahaja nada Haidan membalas. Tertawa Aafan.
“Aku suruh kau agak je.”
“Cantik kut. Umur pun dah 25 tahun kan?”
Aafan angguk kepala perlahan. Betul juga kata Haidan.
Qharissa yang mendengar perbualan mereka itu cuba tahan senyum. Orang puji cantik kan, mana boleh nak tahan. Kenapa waktu begini nak memuji? Gadis itu terus menoleh ke tepi. Dua lelaki itu masih tak perasaan kewujudan dia di situ. Tanpa menunggu, Qharissa terus mendekati mereka.
“Haidan Luthfan,” panggil Qharissa dengan nada serius. Haidan terus memandang ke arah suara yang memanggil namanya. Tepat anak matanya bertembung dengan anak mata Qharissa. Haidan terkejut. Tidak menyangka dia akan bersua muka dengan Qharissa. Manakala, Aafan terpinga-pinga di situ.
“Mawar Qharissa?” Perlahan suara Haidan menyebut nama Qharissa. Gadis itu ukir senyuman tipis. Barulah Aafan mengerti. Perempuan cantik di hadapan mereka itu adalah Qharissa. Gadis yang menjadi punca jiwa Haidan tak tenang.
Bersambung...
nasyanur
20022024
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro