Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 16

“HAIDAN dah tengok keputusan SPM?” tanya Puan Humairah. Haidan angguk kepala.

“Dah umi. Dapat 8A,” balas Haidan tanpa nada teruja. Dia tak rasa teruja melihat keputusan SPMnya yang cukup cemerlang itu.

“Tahniah Haidan. Qharissa?” Puan Humairah bertanya lagi. Encik Hisyam yang duduk disofa single hanya menjadi pendengar.

“Qharissa 6A,” balas Haidan. Dia boleh tahu pun sebab tanya Zahran. Tersenyum Puan Humairah dan Encik Hisyam.

“Alhamdulillah. Lepas ni Haidan nak sambung belajar dekat mana?” tanya Encik Hisyam. Haidan diam sejenak. Memikirkan sesuatu.

“Hmmm, mungkin dalam Malaysia ja kut,” balas Haidan.

“Baguslah tu. Dalam negara pun ada universiti bagus-bagus. Sambung dalam bidang apa?” tanya Encik Hisyam lagi.

“Perniagaanlah abi. Yalah, abi kan ada pasaraya. Siapa lagi nak tolong abi kalau bukan Haidan. Harraz tu mana minat bab-bab ni,” kata Haidan. Hanya dia saja yang boleh diharap pun. Adik-adik dia tak minat nak masuk campur dalam hal bisnes ini. Seorang minat kulinari, yang seorang lagi tak tahu minat apa.

“Abi tak halang apa yang Haidan nak buat. Biar belajar dalam bidang yang kita minat. Bukan belajar kerana terpaksa. Ingat tu Haidan,” pesan Encik Hisyam. Dia mahu anak-anaknya belajar dalam bidang yang diminati.

“Ya Haidan tau.”

Setelah puas berbual dengan umi dan abinya, Haidan meminta diri untuk ke bilik. Tubuh direbahkan ke atas tilam katil. Bunyi dentingan menandakan ada mesej masuk. Terus skrin telefon pintar dilihat. Bibir mengoyakkan senyuman kecil apabila melihat nama Naraliyana muncul dipermukaan skrin telefon pintarnya. Tanpa berlengah, dia buka pesanan WhatsApp dari Naraliyana itu.

Keputusan SPM awak macam mana? - Naraliyana

Alhamdulillah. Saya lulus semua subjek. - Haidan

Alhamdulillah. Dapat berapa A? - Naraliyana

8A ja. - Haidan

Huish, pandainya awak. Tahniah ya. - Naraliyana.

Mana ada pandai. Apa pun terima kasih Nara. -  Haidan.

Tiba-tiba, notifikasi dari Instagram muncul diskrin bahagian atas. Haidan tersentak apabila melihat nama pengguna Instagram Qharissa.

mawar.rissa

Tahniah Haidan sebab dapat 8A.

Mesej itu hanya dibaca tanpa dibalas. Pertama kali dapat mesej daripada Qharissa setelah tiga bulan menyepi. Haidan hela nafas berat. Sejujurnya, dia rindukan Qharissa. Rindu sebagai sahabat. Tetapi gara-gara peristiwa itu, Haidan terpaksa lupakan rasa rindu itu.

“Tapi semakin aku cuba untuk melupakan, kenapa perasaan bersalah semakin menebal dalam diri?”

Haidan tak tahu kenapa dia perlu ada rasa begitu.

 

 




Enam tahun kemudian... (2023)

 
GADIS itu memarkir kereta Axia di bawah pokok mempelam. Setelah enjin dimatikan, dia terus menapak keluar dari perut kereta. Pintu ditutup serta dikunci. Baju kurung moden riau bercorak bunga halus dibetulkan. Beg sandang juga dinaikkan ke bahu. Selesai menilik diri, dia mula mengatur langkah.

Hari ini Qharissa menghadiri majlis perkahwinan sahabatnya. Zahran Rafiqi dan Thea Syafiqah. Ya, dua sahabatnya itu akhirnya bertemu jodoh. Dari kawan terus jadi pasangan suami dan isteri. Padahal, masa sekolah dulu Zahran dan Syafiqah sama sahaja seperti dia dan Haidan. Tetapi pengakhiran dia dan Haidan sangat tragis. Sangat menyedihkan.

Sudah! Qharissa malas mahu memikirkan semua itu.

“Qharissa!”

Baru sebelah kaki menjejak di bawah khemah, dia sudah dsapa seseorang. Terus dia menoleh ke arah mana sapaan itu datang.

“Eh Auliya.” Qharissa terus ke meja yang diduduki Auliya. Auliya tak keseorangan. Ada seorang gadis di situ. Mungkin kawan baru Auliya.

“Lama tak jumpa hang Rissa. Hang sihat?” tanya Auliya bersama riak wajah yang teruja. Qharissa menguntum senyum.

“Sihat Alhamdulillah. Hang sihat?” tanya Qharissa kembali. Auliya tersenyum lebar.

“Mestilah sihat. Aku siap tambah nasi dua kali tau,” balas Auliya. Qharissa tertawa kecil. Perempuan kan suka makan. Bila gemuk tahu pula nak meroyan.

“Mana Tasha?” tanya Qharissa. Sengaja bertanya.

“Tasha kerja dekat Johor sekarang,” jawab Auliya. Qharissa angguk kepala. Dia memandang gadis di sebelah Auliya itu.

“Oh. Jadi ini kawan baru hanglah,” tebak Qharissa. Auliya angguk kepala.

“Ha’ah. Kawan kolej. Najiha namanya. Jiha ni Qharissa. Kawan sekolah aku.” Auliya menjawab soalan Qharissa sekaligus memperkenalkan Qharissa kepada gadis bernama Najiha itu.

“Hai Qharissa,” sapa Najiha bersama senyuman manis. Qharissa turut membalas senyuman gadis itu.

“Hai juga. Eh, tak apalah. Aku nak pergi jumpa pengantin baru tu. Bai hangpa.”

“Eloklah tu. Tadi aku ada jumpa dia dulu sebelum makan. Dia asyik tanya Qharissa ni datang tak. Rindu teruk si Pikah tu kat hang,” kata Auliya. Qharissa tertawa.

“Yalah aku pi dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Qharissa terus melangkah meninggalkan dua gadis itu. Langkah diteruskan ke rumah keluarga Syafiqah. Terus dia masuk ke dalam rumah. Terlihat di atas pelamin, Syafiqah dan Zahran sedang bergambar bersama tetamu. Nampak semua tetamu itu macam sebaya dengannya dan sudah tentu dia tidak kenal. Mungkin itu kawan kolej mereka berdua.

Qharissa berdiri tegak di situ. Malas nak pergi ganggu momen mereka. Tetapi, dia juga berharap Syafiqah sedar dengan kehadirannya. Namun, tidak sampai 10 saat, anak matanya bersabung dengan anak mata Syafiqah. Terus Qharissa tersenyum manis.

“Mawar Qharissa!” jerit Syafiqah sehingga mata-mata yang di situ memandangnya. Qharissa tepuk dahi sebelum dia menguak rambutnya ke belakang. Dia pergi jerit pula!

Qharissa terus melangkah menghampiri Syafiqah yang sudah mendepa tangan nak peluk dia. Sampai sahaja di situ terus Syafiqah peluk dia seakan tidak mahu lepas.

“Weh Rissa... aku rindu sangat dengan hang. Pasaipa lambat?” Syafiqah bertanya. Mahu saja nak menangis di situ. Tetapi, mengenangkan ramai orang memerhati, dia batalkan saja niat itu. Tak mahu memalukan diri sendiri. Pelukan dileraikan.

“Ya, ya aku pun rindu hang. Maaf, aku banyak urusan dekat KL. Aku baru sampai sini pagi tadi. Ini kira nasib baik aku datang kenduri hang ni,” ujar Qharissa. Syafiqah tersenyum kecil.

“Apa pun terima kasih Rissa. Wah hang makin cantik,” puji Syafiqah. Qharissa menghambur tawa janggal.

“Hish apa puji aku pula ni. Dahlah. Malulah orang tengok,” kata Qharissa. Zahran melihat mereka sudah menggeleng kepala bersama tawa kecil.

“Nak malu buat apa. Hang kawan aku.” Mencebik bibir Syafiqah. Qharissa tersenyum tipis.

“Haidan ada datang?” tanya Qharissa. Syafiqah dan Zahran berpandangan sebelum kedua-duanya menggeleng kepala.

“Tak. Dia cakap dia sibuk. Tak boleh datang. Dia cuma kirim hadiah ja,” balas Zahran. Kecewa juga Zahran kerana sahabat lama tidak dapat menghadirkan diri.

“Aku rasakan itu cuma alasan saja. Dia tak nak jumpa hang tu,” kata Syafiqah. Qharissa hela nafas berat.

“Aku tak nak cakap apa-apa. Mana tau dia memang betul-betul tak boleh datang.” Qharissa cuba bersangka baik.

“Betul kata Rissa tu. Kita bersangka baik jalah,” kata Zahran. Syafiqah tayang muka pasrah.

“Hang tak ada telefon atau mesej dia tak? Tanya khabar ka?” tanya Zahran. Padahal,dia dah tahu apa jawapan Qharissa. Tak tahulah bila konflik mereka akan berakhir.

“Aku ada mesej dia. Saja nak tanya khabar dia. Tapi dia sekat nombor aku. Hang rasa? Itulah kali terakhir aku buat kerja bodoh tu. Mesej aku dekat Instagram pun, dia baca ja. Balasnya tidak,” balas Qharissa.

“Teruk betul Haidan ni. Sebabkan luahan tu ja dia putus kawan dengan hang,” kata Syafiqah dengan nada tidak puas hati. Qharissa senyum kelat.

“Kami dah janji nak kekal jadi kawan ja. Tapi aku mungkir janji tu. Itu yang dia kecewa sangat,” ujar Qharissa. Syafiqah mendengus kasar.

“Perasaan tu kan datang dengan sendirinya. Mana boleh tahan. Kadang-kadang, bodoh juga Haidan ni walaupun SPM dapat 8A. Hish! Aku pula yang geram,” luah Syafiqah dengan nada tidak puas hati. Rasa nak marah pun ada. Dia pula yang melebih. Padahal, Qharissa nampak tenang saja.

Zahran rangkul bahu isterinya. Mengusap perlahan tanda menenangkan sang isteri yang tidak berpuas hati itu. Sudah lama Syafiqah geram dengan Haidan. Agaknya kalau Haidan datang ni, mesti kena sindir teruk punya.

“Sabar Thea. Jangan ikutkan sangat perasaan marah tu. Syaitan suka orang yang marah-marah ni,” tegur Zahran. Panggilan pun dah berubah. Dahulu panggil Pikah sahaja. Sekarang dah panggil Thea. Syafiqah terus beristighfar dalam hati.

Qharissa menguntum senyum tipis. Bila agaknya dia dapat merasai kebahagiaan seperti mereka?

“Hag masih berhubung dengan dia kan Zahran?” tanya Qharissa. Zahran angguk kepala.

“Ha’ah. Tapi jaranglah,” jawab Zahran. Qharissa angguk kepala sahaja.

“Tak apalah. Malaslah nak fikir. Buat sakit kepala aku ja. Jom ambil gambar. Lepas tu, aku nak pergi makan,” kata Qharissa.

Mereka mengambil posisi masing-masing. Zahran mengarah rakannya untuk mengambil gambar mereka. Momen indah itu terakam kemas dalam sekeping gambar. Sayang sekali kerana Haidan tidak ada bersama dalam gambar itu.











Bersambung...









nasyanur
17022024






Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro