BAB 10
Beberapa bulan kemudian...
“ANGAH. Hang nampak adik dak?” tanya Zulfan kepada abang keduanya, Qhafael. Mereka pulang untuk menghabiskan cuti semester mereka.
“Ada dekat luaq. Tengah buat kerja sekolah kut. Sebab nampak dia keluaq bawak buku,” balas Qhafael dengan nada malas. Lelaki itu sedang menghadap telefon. Mesti mesej kekasih hati.
“Oh. Terima kasih angah.” Zulfan terus melangkah keluar ke luar rumah. Qhafael hanya melihat sebelum dia kembali menghadap telefon.
Zulfan tersenyum kecil apabila melihat susuk tubuh adik perempuannya. Khusyuk betul menelaah buku. Zulfan sarung selipar dan menghampiri Qharissa.
“Assalamualaikum adikku sayang,” sapa Zulfan bersama senyuman manis. Qharissa tersentak kecil. Kepala didongak memandang Zulfan. Terus terbit senyuman lebar dibibir Qharissa.
“Waalaikumussalam abangku sayang,” balas Qharissa. Lantaran, kedua-dua mereka tertawa. Zulfan mengambil tempat duduk berhadapan Qharissa.
“Hang nak apa?” tanya Qharissa. Hanya Zulfan sahaja yang dia tak panggil dengan gelaran abang. Mungkin kerana jarak usia mereka tidak jauh. Lagipun, Qharissa paling rapat dengan Zulfan berbanding Zafran dengan Qhafael.
“Nak ajak hang berbual. Ulang kaji subjek apa tu?”
“Geografi. Aku tengah tunggu Haidan sebenarnya. Dah janji nak ulang kaji sama-sama. Tapi dah dekat satu jam tak nampak batang hidung dia.”
“Lah. Kenapa tak mesej dia? Hubungi dia ka? Buat apa ada telefon kalau tak guna. Baik hang tak payah pakai telefon,” bidas Zulfan. Apa fungsi ada telefon kalau tak guna.
“Masalahnya... aku dah mesej dia, hubungi dia dah banyak kali. Tapi tak ada respons dari dia. Buat habis kredit aku ja. Agaknya dia dah lupa aku kut. Yalah, dia kan ada kawan baru.”
Berkerunyut dahi Zulfan.
“Kawan baru? Seriuslah dik? Hang dengan dia kawan dari zaman tabika lagi. Sampai masuk sekolah menengah pun bersama. Satu kelas pula tu. Takkan dia nak cari kawan baru.” Zulfan tertanya-tanya. Qharissa hembus nafas.
“Maksud aku kawan istimewa. Haidan dah ada awek sekarang,” beritahu Qharissa. Bulat mata Zulfan. Terkejut.
“Seriuslah? Habis tu hang dengan dia cuma sekadar kawan ja ka?”
Qharissa pandang pelik abangnya.
“Yalah. Apa hang ingat aku ni bercinta dengan Haidan ka?”
“Dik, takkan hang tak ada rasa apa-apa dekat Haidan tu? Haidan pun takkan dia tak ada perasaan dekat hang? Hangpa dah lama kenal. Usia hangpa ni kan biasanya perasaan macam tu timbul. Usia remaja yang nak merasa bercinta.” Panjang lebar Zulfan menutur kata.
“Kami cuma kawan. Haidan anggap aku kawan ja. Tak lebih pun. Kalau dia suka aku, dia tak akan bercinta dengan perempuan lain,” ujar Qharissa. Entah kenapa dia rasa nak menjerit sekarang. Ingin melepaskan rasa kecewa yang terbuku dalam hati. Kenapa Haidan tak nampak dia sebagai seorang perempuan?
“Itu Haidan. Hang macam mana pula? Tipu sangat kalau hang tak suka dia.”
Qharissa terdiam. Terkebil-kebil mata memandang Zulfan.
“Aku...” Qharissa tak dapat menjawab. Zulfan tersenyum sinis. Tipulah kalau adik dia tak ada perasaan terhadap Haidan. Orangnya ada rupanya. Pasti perempuan akan terpikat juga.
“Jarang lelaki dan perempuan boleh jadi kawan. Biasanya perasaan cinta tu mesti akan wujud bila dah berganjak dewasa,” ujar Zulfan. Qharissa tersentap. Hilang mood nak ulang kaji pelajaran.
“Dia dekat tapi sebenarnya jauh. Susah untuk di gapai,” keluh Qharissa.
“Kenapa tak cakap dekat Haidan yang hang suka dia?” tanya Zulfan. Tak boleh betul dia tengok mimik muka adiknya yang penuh kesedihan itu.
“Aku dah cakap tadi. Haidan anggap aku kawan. Hang rasa, kalau dia tahu aku suka dia, dia nak kekal dengan aku ka? Sah-sah dia jauhi aku,” balas Qharissa. Zulfan hela nafas berat.
“Itulah apa yang aku tak suka bila berkawan rapat dengan perempuan. Kalau dua-dua suka tak apa. Ni, salah seorang ja suka. Cinta bertepuk sebelah tangan. Perempuan tu cantik sangat ke yang Haidan boleh suka?”
“Cantik dan comel. Budak tu baru tingkatan tiga,” jawab Qharissa. Terkedu Zulfan.
“Lah, baru tingkatan tiga. Aku ingat sebaya hangpa. Kekal ke tak hubungan tu? Haidan habis sekolah, budak tu baru tingkatan empat. Entah-entah jumpa lelaki lagi kacak dari Haidan. Lepas tu putus. Padan muka,” kata Zulfan, siap mengutuk lagi. Menjegil mata Qharissa. Cakap tak bertapis langsung.
“Hish hang ni. Tak baik tau. Hang bukannya tahu masa hadapan macam mana. Ada ja yang bercinta dari sekolah dan akhirnya kahwin juga,” kata Qharissa. Zulfan tayang muka menyampah.
“Pertahankan kawan nampak? Aku tak kisah semua tu. Tapi yang aku kisah perasaan hang dik. Jangan seksa diri hang dengan pendam perasaan cinta dekat Haidan. Hang yang tanggung beban tu. Buang semua tu. Jangan sampai dia memakan diri. Aku tak suka adik aku sakit kerana dikecewakan oleh seorang lelaki,” kata Zulfan penuh dengan pesanan. Dia mahukan yang terbaik untuk adiknya.
“Macam mana nak buang? Setiap kali dengan Haidan mesti perasaan tu makin bercambah. Aku tak tau nak buat macam mana lagi. Dia pun jarang nak luang masa dengan aku. Tipulah kalau tak rasa kecil hati. Tapi aku malas nak ambil peduli. Aku sayang persahabatan ni.” Sejujurnya Qharissa tak mahu hilang Haidan. Tapi keadaan sekarang sudah tidak sama seperti dahulu.
“Itulah apa yang aku cakap tadi, hang akan sakitkan hati sendiri. Orang tengah sakan bercinta, mana nak ingat kawan. Bila susah, baru nak cari. Haidan bahagia. Hang pula makan hati. Aku benci orang yang sakitkan perasaan adik aku,” ujar Zulfan penuh emosi. Qharissa hela nafas.
“Okey. Aku janji. Habis saja SPM, aku selesaikan semua ni. Lagipun, keluarga Haidan akan berpindah ke Kuala Lumpur selepas tamat SPM. Masa tu aku dah tak kisah kalau persahabatan aku dengan Haidan retak. Walaupun hakikatnya aku berat hati,” luah Qharissa.
“Hang nak luah perasaan hang dekat dia?” tanya Zulfan. Qharissa angguk kepala perlahan.
“Hang akan lebih sakit kalau dia tolak perasaan hang,” kata Zulfan dengan nada risau. Qharissa ukir senyuman tipis
“Sekurang-kurang aku tahu dia tak suka aku. Beban dalam hati aku pun hilang. Jangan risau Paan. Adik hang ni kuat. Percayalah,” tutur Qharissa
“Ya, yalah tu.” Serius saja wajah Zulfan. Bukannya apa, dia risaukan adiknya.
“Betullah. Aku okey. Jangan risau Paan.” Qharissa ukir senyuman manis sehingga timbul lesung pipit sebelah kiri pipinya. Zulfan yang melihat senyuman si adik turut tersenyum. Tak boleh nak berwajah garang dengan Qharissa. Lagi-lagi senyuman itu sangat mirip dengan arwah ibu mereka.
“YA ALLAH...”
Haidan terkedu melihat mesej dan panggilan dari Qharissa. Bukan sikit tapi banyak. Haidan kuak rambutnya kasar. Kenapa dia boleh lupa?
“Kenapa?” soal Naraliyana. Bingung melihat Haidan yang menggelabah itu. Mereka kini berada di kedai makan. Zafirah turut ada sekali cuma berada dimeja lain. Jadi pengawal peribadi tak berbayar Naraliyana.
“Saya lupa hari ni saya ada ulang kaji pelajaran dengan Qharissa,” kata Haidan. Tekun dia membaca mesej yang dihantar Qharissa. Makin menebal rasa bersalahnya.
“Maaf. Saya tak tahu yang awak ada ulang kaji pelajaran dengan Kak Rissa. Kalau saya tahu, saya tak akan ajak awak jumpa.” Naraliyana turut mempamerkan wajah serba salah.
“Awak tak salah. Saya yang salah. Saya yang lupa,” ujar Haidan. Selama ni dia selalu cakap Qharissa pelupa sebab banyak makan semut. Dan sekarang ayat itu kena dekat batang hidung sendiri.
Sudah banyak kali dia janji nak ulang kaji pelajaran bersama dengan Qharissa. Tetapi asyik lupa. Qharissa pun tak marah setiap kali dia minta maaf. Tapi, untuk kali ini dia tak pasti sama ada Qharissa mampu tahan atau tidak. Dia tahu Qharissa cuba bersabar dengan dia. Tahap kesabaran pun akan hadnya juga.
Naraliyana diam dan memerhati Haidan yang fokus dengan telefon pintar. Dia tertanya-tanya lagi, lelaki di hadapannya itu tidak ada perasaan kah terhadap Qharissa walaupun secebis?
“Awak tak pernah ada perasaan suka dekat Kak Rissa ka?” tanya Naraliyana. Haidan tersentak dengan soalan cepumas gadis itu.
“Kenapa tanya soalan macam tu? Saya anggap dia kawan ja. Tak lebih pun,” ujar Haidan.
“Saya tahu awak anggap Kak Rissa kawan. Tapi hangpa kan dah lama kawan. Satu sekolah, satu kelas, rumah pula dekat ja. Selalu jumpa. Saya pelik. Kak Rissa tu cantik. Tak akan awak tak ada perasaan dekat dia.”
Haidan hela nafas berat. Sebenarnya dia jemu dengar soalan yang sama. Kenapa ramai sangat ragu-ragu dengan hubungan dia dengan Qharissa? Dia dengan Qharissa hanya kawan. Cuma kawan!
“Perasaan saya kosong bila dekat dengan Qharissa. Saya tak rasa berdebar atau rasa tanda-tanda jatuh cinta pada Qharissa,” balas Haidan tanpa perasaan.
Naraliyana terdiam. Kalau jawapan Haidan begitu, bagaimana pula dengan Qharissa?
Haidan letak telefon pintar di atas meja. Kemudian, dia kuak rambutnya ke belakang. Wajah Naraliyana ditatap serius.
“Nara, lepas ni kalau kita berdua jangan cakap fasal Qharissa. Saya tegaskan, saya dan dia hanya kawan. Saya langsung tak ada perasaan pada dia. Cuma sayang tu sebagai kawan ja,” kata Haidan. Naraliyana terdiam.
Kalau Qharissa dengar ni, mesti kecil hati.
“Saya nak ke tandas kejap.” Haidan bangkit dari labuhan kerusi dan melangkah meninggalkan Naraliyana.
“Aku rasa lepas ni aku kena kurangkan ganggu Haidan. Gara-gara aku ajak dia jumpa hari ni, dia lupa yang dia ada ulang kaji pelajaran dengan Kak Rissa. Sudahlah mereka nak SPM,” kata Naraliyana.
“Betul tu. Kau kena cakap dengan Haidan,” ujar Zafirah. Naraliyana memandang Zafirah.
“Hang tak rasa ke yang aku ni macam rampas Haidan daripada Kak Rissa?”
“Kenapa pula hang fikir macam tu? Kan Haidan dah cakap tadi yang dia dengan Kak Rissa kawan ja. Hang pula kekasih dia. Tiada istilah rampas merampas dalam hal ni,” ujar Zafirah. Naraliyana hela nafas.
“Ya tahu. Tapi faham tak yang aku dah rampas kawan Kak Rissa. Kawan yang selalu dengan Kak Rissa. Sejak aku dengan Haidan, jarang Haidan nak luang masa dengan Kak Rissa. Aku rasa tak sedap hati. Apa tanggapan Kak Rissa terhadap aku?”
Wajah risau Naraliyana membuatkan Zafirah hela nafas berat. Kelu lidah. Dia tiada jawapan untuk itu. Tidak pernah terfikir pula soal itu.
Bersambung...
nasyanur
13022024
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro