AN 16
Terima kasih baca cerita aneh ni. ❤️
6 bulan kemudian.
JIKA sebelum ini, Aidan yang kenyangkan perut si isteri dengan masakannya. Tetapi, selepas ada seorang anak, giliran Nadia pula kenyangkan perut si suami dengan masakannya. Perubahan yang paling ketara selepas menjadi ibu. Dia sudah pandai memasak.
“Masak apa tu?” tegur Puan Natrah sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang dapur.
“Nad masak asam pedas ikan pari. Aidan yang minta. Katanya teringin.”
Puan Natrah tersenyum kecil.
“Dulu, Nad yang suka minta Aidan masak macam-macam. Sekarang dah terbalik pula.”
Ketawa kecil Nadia mendengar bicara si ibu.
“Sekarang ni Nad dah reti masak mama. Biarlah Aidan dengan mama merasa air tangan Nad pula,” balas Nadia.
“Mana dua beranak tu? Mama tak nak nampak dia orang lepas sarapan tadi.” Puan Natrah menarik kerusi dan melabuhkan punggung di situ.
“Dua-dua dekat bilik. Tidur balik. Aidan mengadu sakit kepala tadi,” balas Nadia. Api dapur dimatikan.
“Rasanya dari semalam lagi, mama nampak dia macam tak sihat,” ujar Puan Natrah.
“Memang pun. Nad ada tanya dia juga. Dia cakap banyak pelanggan datang restoran semalam. Lepas tu, pekerja tak ramai. Itu yang tak menang tangan,” cerita Nadia. Masih segar dalam ingatannya akan seraut wajah penat si suami. Lepas balik, mandi dan terus tidur.
“Dah siap masak?” tanya Puan Natrah.
“Sudah ma. Tinggal nak hidang dan makan aje,” balas Nadia. Puan Natrah bangun dari duduknya.
“Tak apa. Biar mama buat. Nad pergi tengok dia orang,” kata Puan Natrah. Nadia tengadah.
“Tak apa ke?”
“Tak apa. Pergi cepat.” Si ibu menayangkan senyuman. Nadia akur.
“Yalah ma.”
Nadia tanggalkan apron dan sangkut di penyidai kayu. Kemudian, dia melangkah keluar dari ruangan dapur. Bilik beradunya bersama Aidan dituju. Buka sahaja pintu, lantas anak matanya bersatu dengan mata si suami. Aidan sedang menghadap katil bayi yang berada di sebelah katil.
“Lah, saya ingat abang tak bangun lagi.” Nadia menghampiri katil bayi. Dia jenguk ke dalam katil tersebut untuk melihat si anak. Ternyata Aisyah sudah pun segar mata. Terkapai-kapai tangan sambil tersengih melihat ibunya. Tersenyum geli Nadia melihat akan itu.
“Terjaga sebab Aisyah menangis. Abang nak dukung Aisyah, tapi takut berjangkit pula. Tapi nasib baik kejap aje dia menangis,” balas Aidan dengan suara serak. Nadia memandang si suami. Rambut serabai jelas baru bangun tidur. Rambut serabai pun tetap nampak kacak.
“Kenapa pula?” Bingung apabila Aidan tak mahu mendukung Aisyah.
“Abang rasa tak sedap badan. Ini pun baru lepas muntah.” Kuyu sahaja matanya memandang si isteri. Macam minta perhatian pun ada.
Air muka Nadia terus berubah risau. Lantas, dia dekati si suami. Rambut menutupi dahi, di tolak ke atas sebelum dia menekap telapak tangan ke dahi si suami. Kemudian, turun ke leher. Terasa bahang panas dari badan Aidan.
“Abang demam ni. Muka tu nampak sangat muka tak sihat. Patutlah semalam nampak tak bermaya aje lepas balik dari kerja,” ujar Nadia. Aidan terus sembam muka ke perut Nadia membuatkan si isteri tersentak kecil. Pinggangnya turut dipeluk Aidan. Namun, bibir menguntum senyum manis. Rambut Aidan diusap.
“Abang pergi mandi dulu. Bagi segar sikit badan tu. Lepas tu, kita makan. Saya dah masak asam pedas ikan pari yang abang minta tu,” kata Nadia. Aidan mengeratkan pelukan pada pinggang Nadia.
“Abang rasa macam tak lalu nak makan,” adu Aidan.
“Kalau tak boleh makan banyak, makan sikit pun tak apa. Janji abang makan. Abang pun tak sihat sekarang, lepas ni kena makan bubur ajelah.”
Aidan menghela nafas berat.
“Tak sihat aje, makan bubur,” rungut Aidan. Nadia ketawa kecil.
“Dah itu makan sesuai untuk orang tak sihat.”
Aidan diam. Namun tidak lama, wajahnya berkerut seakan menahan sesuatu. Terus dia leraikan pelukan pada pinggang si isteri.
“Masih sakit kepala?” tanya Nadia. Tidak lepas dia memerhati si suami. Aidan menggeleng kepala.
“Pening aje. Lepas tu abang rasa...”
“Rasa apa?”
“Rasa nak muntah lagi.” Aidan terus turun dari katil dan berlari ke bilik air. Singki dituju dan terus dia memuntahkan isi perut. Nadia terus mendapatkan si suami. Belakang badan ditepuk-tepuk. Risau pula melihat keadaan Aidan. Selama dia menjadi isteri Aidan, belum pernah lagi Aidan sakit teruk begini. Ini kali pertama.
“Kita ke klinik lah? Saya risau tengok abang macam ni.”
“Tak nak. Abang nak rehat dekat rumah aje. Lagipun, abang dah ada doktor boleh rawat abang.”
“Oh. Nak saya hubungi dia? Suruh dia datang sini?” Nadia berkata bersama riak risaunya. Bibir pucat Aidan mengoyak senyuman nakal.
“Polos betul isteri abang ni. Sayanglah doktor tu. Doktor paling mujarab,” kata Aidan. Nadia menjegil mata seraya menampar manja bahu si suami.
“Hesh! Saya ni doktor tipu-tipu aje,” balas Nadia. Pecah tawa Aidan.
“Sudahlah, sakit-sakit begini pun sempat nak bergurau. Mandi cepat!”
Nadia terus melangkah keluar dari bilik air. Langkah dihayun ke arah katil bayi. Tawa si suami diabaikan.
“Eh, princess mommy dah bangun? Assalamualaikum Aisyah Nadhira.”
Nadia terus mengangkat tubuh kecil Aisyah dan mendukungnya. Segenap wajah si comel itu dikucup. Mengekek Aisyah apabila menerima serangan dari sang ibu. Nadia letak kembali tubuh kecil si anak ke dalam katil bayi. Membiarkan Aisyah bermain dengan permainannya. Aisyah sudah 6 bulan. Kejap saja masa itu berlalu.
Wanita itu termenung jauh, memikirkan keadaan suaminya sekarang. Entah kenapa firasat nya mengatakan Aidan bukan sakit biasa. Tiba-tiba, dia tersedar sesuatu.
“Tak mungkinlah...”
Beberapa hari kemudian.
SETELAH beberapa hari berperang dengan demam, Aidan kembali sihat sepenuhnya. Cuma, mual-mualnya masih lagi belum hilang.
“Princess daddy ni dah wangilah,” kata Aidan sambil menyapu losen ke tubuh kecil anak perempuannya. Baru saja selesai memandikan anak perempuanya. Dia mengagah Aisyah sehingga membuatkan si kecil itu tersengih-sengih seronok. Tangan itu tidak henti-henti terkapai-kapai ke udara.
Setelah menyapu losen, Aidan memakai baju untuk anaknya.
“Anak daddy ni dah comel macam mommy.” Aidan angkat tubuh Aisyah. Dia gomol segenap muka si anak. Geram dengan pipi tembam Aisyah itu.
“Abang, dahlah tu buli anak. Kesian Aisyah,” tegur Nadia yang baru sahaja masuk ke dalam bilik.
“Abang geramlah sayang. Kenapa comel sangat budak tembam ni?”
Nadia geleng kepala. Tahu sangat Aidan ni memang obses dengan anak sendiri. Kadang-kadang, timbul juga rasa cemburu dengan anak sendiri. Yalah, si suami lebih banyak meluangkan masa dengan si anak berbanding isteri sendiri.
Kesian Nadia kerana cemburu dengan anak sendiri.
“Abang pernah cakap, abang takut kalau saya dah hilang sayang dekat abang lepas dah ada anak. Tapi sekarang saya yang rasa abang kurang bagi perhatian dekat saya. Macam mana ni?”
Mendengar akan rungutan si isteri, tawa Aidan pecah.
“Ya Allah... ingat lagi fasal tu. Abang gurau ajelah. Abang sayang awak dan Aisyah sama rata. Dua-dua insan paling penting dalam hidup abang,” balas Aidan. Nadia mencebik bibir. Langkah dihayun ke arah katil.
“Demam abang dah kebah?” soal Nadia seraya menekap telapak tangan ke dahi si suami. Dah tak rasa panas.
“Alhamdulillah dah. Cuma, mual-mual tu tak hilang lagi. Pagi-pagi aje, muntah. Tak tahu kenapa,” adu Aidan. Nadia menahan senyum. Nadia melangkah ke laci meja solek. Dia mengeluarkan sesuatu. Kemudian, dia melangkah semula ke arah Aidan yang duduk dibirai katil.
“Saya tak tahu betul atau tidak. Tapi, saya dah cuba banyak kali, keputusannya tetap positif,” ujar Nadia lalu menghulurkan objek panjang berwarna putih dan biru itu. Aidan sambut huluran itu bersama jantung berdegup kencang. Dia tahu itu adalah alat uji kehamilan.
“Nadia, awak mengandung lagi?” tanya Aidan, ingin kepastian. Walaupun dah nampak perkataan ‘pregnant’ di alat tersebut.
“Ya, Aisyah bakal dapat adik,” balas Nadia dengan senyuman mekar. Punggung dilabuhkan di sebelah Si suami. Aidan kuak rambutnya ke belakang.
“Ya Allah, abang minta maaf.”
Berkerut dahi Nadia dengan ucapan maaf dari si suami. Bingung.
“Kenapa nak minta maaf pula?”
“Sebab abang... Haih... Abang tak sengaja Nadia.”
Nadia ketawa kecil.
“Kenapa? Abang menyesal atau abang tak suka yang kita akan dapat anak kedua?” Nadia menduga.
“Bukan abang tak suka. Abang suka sangat. Tapi, Aisyah baru 6 bulan. Mesti mama dengan mak marahkan abang. Yalah, abang dera isteri abang. Anak masih kecil lagi, tapi dah tambah anak baru,” kata Aidan dengan nada resah. Pecah tawa Nadia.
“Saya tak boleh nak cakap apa sebab puncanya memang dari abang,” balas Nadia. Sengaja hendak menakutkan si suami. Aidan sudah mengerutu. Riak wajahnya jelas kerisauan. Lelaki itu menghela nafas berat.
“Benda dah berlaku, menyesal pun dah tiada guna. Oh ya, macam mana awak boleh terfikir nak buat ujian tu?”
“Sebab abang. Abang asyik muntah-muntah waktu pagi. Lepas tu, nak makan itu, ini. Bukan tu aje, sepanjang saya jadi isteri abang, belum pernah abang demam. Itu yang saya pelik. Rupa-rupanya abang terkena buatan sendiri. Padan muka.” Nadia mengutuk. Menjeling tajam Aidan.
“Nadia Athirah...” seru Aidan dengan nada tegas. Nadia tersengih.
“Jangan marah. Saya gurau aje.” Riak garang Aidan berubah kendur.
“Boleh agak tak berapa usia kandungan tu?”
“Saya ada buat kira-kira. Lebih kurang 8 minggu.”
“Dah 2 bulan. Nanti kita pergi klinik ya?” kata Aidan. Walaupun takut tapi dalam masa yang sama dia teruja.
“Sayang boleh ke buat semua ni?” tanya Aidan. Nadia faham akan soalan itu, dia angguk kepala penuh yakin.
“Abang ada dengan saya, insya-Allah boleh. Jangan risau fasal tu. Percayakan isteri abang yang cantik dan comel ni kuat.” Senyum manis Nadia. Aidan turut tersenyum.
“Ya abang percaya. Tapi abang rasa bersalah juga. Badan awak baru nak rehat, dah kena bawa anak abang lagi.”
“Abang... inikan rezeki dari Allah. Tak perlulah rasa bersalah tu.”
Aidan angguk kepala perlahan.
“Jadi, lepas ni abang kena sayang kami bertiga sama rata lah,” kata Nadia.
“Mestilah. Nanti ada orang tu cemburu dengan anak sendiri.” Aidan menyindir.
“Aidan Nazhan!” Laju saja tangan itu menampar manja bahu si suami.
Berdekah Aidan ketawa. Nadia mencebik bibir. Namun tidak lama dia tersenyum kecil. Dia memandang tanpa lepas si suami yang sibuk mengagah anak mereka. Seakan terasa diperhati, Aidan mendongak kepala. Anak mata mereka bersatu.
“Kenapa pandang abang macam tu?”
“Kenapa? Saya tak boleh tengok suami saya sendiri ke?” soal Nadia bersama riak wajah polosnya. Aidan ketawa halus.
“Tengoklah sampai puas. Asalkan jangan sampai muak,” balas Aidan. Menggeleng kepala Aidan dengan kerenah si isteri kesayangannya itu.
“Kenapa nak muak pula? Wajah inilah saya akan tatap hari-hari. Tak akan pernah bosan. Malah, makin rindu kalau tak tatap wajah kesayangan saya ni,” kata Nadia bersama senyuman gediknya. Aidan tahan senyum.
“Yalah sayang abang. Asalkan awak bahagia,” balas Aidan. Kedua-duanya mengukir senyuman bahagia.
Bermula dari insiden menyelamatkan, telah membawa mereka ke alam perkahwinan. Walaupun berkahwin tanpa cinta, tetapi dengan izin Allah, maka rasa cinta itu hadir dalam diri mereka.
Benar, jodoh itu rahsia Allah. Semoga mahligai yang dibina kekal hingga ke jannah.
TAMAT.
Terima kasih kerana sudi baca cerita aneh ni. Maaf jika terlalu bosan dan jalan ceritanya mendatar. Insya-Allah, kalau rajin saya tambah plot dan buat ebook percuma. Buat masa ni, baca dulu di sini.
Kalau rajin, saya buat special chapter.
Boleh follow ig saya nasyanur27. Maceh.
Nasya Nur 🦋
19 Ogos 2023
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro