AN 15
SELEPAS bertemu dengan Encik Sufian, Aidan membawa Nadia ke Taman Central, Desa Parkcity. Sudah alang-alang keluar ni, dia bawa sajalah si isteri bersiar-siar mengambil angin segar.
Genggaman tangan diperkemaskan Aidan. Tersedar dengan perbuatan itu Nadia mendongak kepala memandang si suami. Bibir mengoyakkan senyuman manis.
“Terima kasih sebab bawa saya jalan-jalan dekat sini,” ucap Nadia. Aidan membalas senyuman si isteri.
“Perkara kecil aje sayang. Dah 10 minit kita jalan. Awak masih larat?” Aidan bertanya. Dia sebenarnya risau dengan Nadia.
“Larat lagi. Lagipun, doktor ada cakap kena rajin berjalan. Supaya pintu rahim lebih cepat terbuka dan mudah untuk bersalin nanti,” balas Nadia. Aidan angguk kepala.
“Abang tahu. Saja tanya. Mana tahu awak tak larat dah nak jalan.”
Nadia melihat di hadapan sana ada sebuah kerusi batu.
“Kita jalan sikit lagi. Lepas tu kita duduk dekat sana,” kata Nadia sambil menunjuk ke arah kerusi batu tersebut.
“Okey sayang.”
Mereka meneruskan langkah sehingga mereka tiba di kerusi batu. Lantas mereka melabuhkan punggung di situ.
“SubhanAllah. Cantiknya pemandangan dekat sini. Rasa tenang aje. Kan abang?” Nadia kagum dengan keindahan di hadapan matanya.
“Ya. Nanti kita datang lagi,” ujar Aidan.
“Kita datang sekali dengan anak kita,” tambah Nadia.
“Itu sudah tentu. Tempat ni sesuai untuk anak-anak bermain. Dekat sana ada taman permainan,” kata Aidan. Nadia angguk kepala.
Suasana di taman rekreasi itu dinikmati Nadia bersama senyuman indahnya. Namun, tidak bagi Aidan. Lelaki itu asyik merenung wajah cantik si isteri. Langsung tak alihkan pandangan matanya. Baginya, Nadia lebih indah dari suasana Taman Rekreasi itu.
“Abang nak tanya satu soalan boleh?”
Nadia terus memandang Aidan.
“Tanyalah. Kenapa nak minta izin pula?”
“Kenapa ya, masa pertemuan pertama kita, awak tanya nama abang?” tanya Aidan.
“Bukan apa, sebab tak pernah ada orang tanya nama masa pertemuan pertama secara tak sengaja,” sambung Aidan lagi. Sudah lama dia nak tanya, tapi itulah, asyik lupa saja. Memandang dia teringat, lebih baik dia terus tanya. Nadia mengukir senyuman kecil.
“Oh itu... 10 tahun lepas, abang ingat tak ada budak perempuan yang duduk dekat pondok dan budak perempuan tu tengah batuk sambil tepuk dada?” cerita Nadia bersama wajah cerianya. Dahi Aidan berkerunyut. Satu per satu memori 10 tahun lepas cuba digali.
“Abang tak berapa ingat. Ada kena mengena ke?” tanya Aidan. Dia tak dapat menggali memori lama tersebut.
“Abang, kita dulu satu sekolah. Abang masa tu tingkatan 3 dan saya tingkatan 5. Masa hari kejadian tu adalah hari latihan sukan,” terang Nadia lagi.
Aidan tengadah. Sedikit cerita dari si isteri membuatkan memori 10 tahun lepas sedikit demi sedikit menerjah fikiran.
“Masa tu saya dengan Naziha tengah lepak dekat pondok sambil makan roti ikan bilis. Tiba-tiba, saya tersedak. Naziha terus pergi kantin untuk beli air. Dan selepas kepergian Naziha, ada seorang budak lelaki letak botol air mineral dekat hadapan saya. Saya pandang dia dan dia juga pandang saya. Terus dia suruh saya minum air mineral tu. Tak sempat saya nak ucap terima kasih, dia pergi sebab kawan dia panggil,” cerita Nadia. Sudah lama dia ingin ceritakan kenangan lama itu kepada Aidan. Namun, tidak menyangka si suami akan bertanya perihal tersebut.
Bagaikan kilat, satu lintasan memori 10 tahun lepas menerjah fikiran Aidan. Dia sudah ingat.
“Kawan budak lelaki tu ada jerit nama Aidan Nazhan. Sebab itulah, masa kita bertentang mata tempoh hari, saya teringat dengan budak lelaki yang bagi air mineral dekat saya tu. Muka abang tak berubah sejak zaman remaja abang tapi yang sekarang ni lebih matang dan tampanlah.” Sengih Nadia. Benar, wajah Aidan tak berubah. Tetapi versi sekarang adalah lebih matang. Yalah, sudah berusia 25 tahun. Sudah dewasa bukan remaja lagi.
Aidan pamerkan wajah tidak percayanya. Tidak sangka dengan apa yang dia dengar dari mulut Nadia. Rupa-rupanya mereka pernah bertemu.
“Jadinya perempuan tersedak tu sayanglah?” soal Aidan, inginkan kepastian lagi. Nadia angguk kepala.
“Ya abang.”
“Allah... indahnya percaturan Allah itu.”
“Kan! Sebab itulah saya tanya nama abang. Sebab saya nak kepastian. Ternyata betul. Rupa-rupanya takdir kita sudah lama terjalin.” Mereka mengukir senyuman.
“Macam mana abang boleh terfikir nak bagi air mineral tu dekat saya?” tanya Nadia. Aidan masih tersenyum, menyerlahkan lesung pipit menawanya. Tangan si isteri digenggam erat seakan tidak mahu melepaskannya.
“Abang kebetulan nak rehat kejap dekat pondok tu. Lepas tu baru perasan ada orang. Perempuan pula tu. Tak jadilah abang nak singgah. Tapi bila dengar dia batuk lepas tu tumbuk dada macam nak mati aje, abang jadi tak sampai hati nak biarkan. Itu yang abang sedekahkan ajelah air mineral abang. Nyawa lagi penting,” cerita Aidan. Membulat mata Nadia saat mendengar bicara si suami.
“Abang! Sampai macam tu sekali abang fikir,” marah manja Nadia. Aidan tergelak.
“Dah betul sayang. Sebab tu, kalau nak makan apa-apa, kena ada air, makan jangan gelojoh dan paling penting baca doa makan,” ujar Aidan. Siap bagi ceramah percuma buat si isteri.
“Yalah abang...” Pasrah sahaja nada suara Nadia menjawab. Aidan ketawa kecil.
“Tapi abang pelik, awak kawan dengan Kak Ziha. Macam mana awak boleh tak kenal abang? Kak Ziha mesti cerita juga fasal adik dia dekat awak.”
“Memang dia ada cerita juga. Tapi dia tak pernah cakap nama adik dia. Saya pula tak terfikir nak tanya.”
“Sampai hati tak ambil tahu nama abang.” Air muka Aidan berubah kecewa. Pecah tawa Nadia.
“Benda dah lepas kan? Lagipun abang dah jadi suami saya. Tak payah nak kecewa,” kata Nadia. Aidan ketawa.
“Abang melawak aje.”
Nadia mengusap perut bulatnya.
“Abang...”
“Ya?” sahut Aidan. Dia memandang si isteri yang sudah menayangkan gigi putihnya.
“Baby cakap dia nak makan mekdi,” kata Nadia. Aidan mendecit.
“Memandai aje fitnah baby. Padahal mommy dia yang nak,” balas Aidan. Nadia ketawa kecil. Lengan sasa si suami dipeluk manja.
“Boleh ya? Bukan selalu dapat makan.” Nadia sengaja mengedipkan matanya. Acah comel di hadapan si suami. Aidan yang melihat akan itu tidak dapat menahan senyum. Dia tewas dengan kecomelan si isteri.
“Yalah, jom.”
Nadia bersorak riang. Seronok kerana permintaannya ditunaikan.
“Terima kasih abang.”
“Kasih diterima isteri abang,” balas Aidan lalu mengepit manja hidung Nadia. Tidak lama, kedua-duanya ketawa bahagia.
3 bulan kemudian. (Tahun baru)
“NADIA...”
Nadia mencelik kelopak matanya dengan perlahan-lahan. Wajah sang suami menjamah pandangannya.
“Abang...” seru Arrabella dengan nada lemah.
“Ya saya. Sakit sangat ke?”
Mengalir air mata Nadia. Aidan tahu bahawa isteri tercintanya benar-benar dalam keadaan sakit.
“Saya tak tahu nak cakap sakit tu macam mana. Tak dapat nak gambar dengan kata-kata,” balas Nadia dengan nada perlahan.
Aidan menggenggam tangan Nadia.
Kuat wanita itu membalas menggenggamnya. Cukup memberitahu bahawa kontraksi itu sangat menyakitkan. Melihat kesakitan yang ditanggung Nadia, ingatan Aidan teringat akan ibu, Puan Mariam. Wanita yang berjuang habis-habisan demi melahirkan dirinya. Allah menjadikan wanita sebagai insan yang hebat. Dia kagum.
“Abang...” Aidan kemam bibir. Sungguh dia tidak sanggup mendengar rintihan sakit Nadia.
“Maafkan saya. Halalkan makan dan minum saya,” sambung Nadia. Aidan angguk kepala.
“Abang maafkan dan halalkan makan, minum sayang.” Menggigil tangan Aidan mengesat air mata dan peluh di dahi Nadia. Wajah pucat wanita itu ditatap sayu.
“Abang bacakan doa. Awak dengar ya?” ujar Aidan. Nadia mengangguk kepala. Aidan dekatkan mulut pada telinga si isteri. Sepotong doa Nabi Yunus A.S dibaca berulang kali.
Laa Ila Ha Illa Anta, Subhaanaka Innii, Kuntu Minazzolimin
(Maksud : “Tidak ada Tuhan (yang dapat menolong) selain Engkau (Ya Allah!), Maha Suci Engkau. Sungguhnya, aku termasuk dalam orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”)
Nadia pejam mata rapat. Menahan sakit kontraksi yang datang menyerang. Makin kuat dia genggam tangan Aidan. Cuba mendapatkan kekuatan dari lelaki itu. Fikirannya menjadi kosong. Cuma satu yang dia harapkan ialah kesakitan itu segera berakhir.
TIDAK lepas Nadia memandang Aidan yang sedang mendukung bayi perempuan mereka. Bibir mengoyakkan senyuman kecil melihat dua insan yang dia sayangi itu. Syukur alhamdulillah, dia selamat melahirkan seorang bayi perempuan secara normal tepat jam 9:30 pagi dan seberat 2.47kg. Lebih mengharukan, Aidan menemaninya dari awal sehingga ke akhir.
“Abang...”
“Ya sayang,” sahut Aidan.
“Dah ada nama untuk anak kita?” tanya Nadia.
“Aisyah Nadhira binti Aidan Nazhan,” ucap Aidan bersama senyuman indahnya. Dia melangkah ke katil menempatkan Nadia dan terus menghulurkan bayi itu kepada Nadia. Si isteri mendukung si anak bersama senyuman manis.
“Assalamualaikum Aisyah Nadhira binti Aidan Nazhan. Mommy doakan semoga awak jadi anak yang solehah, anak yang mendengar kata mommy dan daddy,” ucap Nadia tulus. Pipi tembam Aisyah dicium penuh kasih.
“Macam tak percaya kita dah ada anak. Ada anak dengan Aidan Nazhan pula tu. Adik kawan baik sendiri,” ujar Nadia. Dahi Aidan berkerunyut.
“Macam teruk sangat aje bunyinya,” komen Aidan. Nadia tayang muka bingung.
“Mana ada teruklah. Abang lupa ya macam mana kita nikah?”
“Abang tak pernah lupa. Sayang sendiri yang minta abang teruskan dan sayang juga yang sudi ganti pengantin perempuan abang,” balas Aidan.
“Kalau abang tak setuju, mesti kita tak macam ni kan?” sambung Aidan. Nadia menguntum senyum tipis.
“Mungkin ya, mungkin tidak. Sebab apa yang terjadi ni semuanya kerja Allah. Abang setuju nak nikah dengan saya pun sebab Allah gerakkan hati abang. Sama juga macam saya,” balas Nadia.
“Eh bukan ke sayang dulu terdesak nak cari calon suami?” usik Aidan, nakal. Nadia mencebik bibir.
“Itu pun betul juga. Tapi saya minta juga petunjuk dari Allah. Mana boleh membuta tuli aje terima abang,” kata Nadia. Aidan menguntum senyum. Wajah si isteri ditatap penuh rasa cinta. Nadia terkedu apabila anak matanya bersatu dengan tatapan redup si suami. Tiba-tiba saja, wajahnya terasa panas.
“Terima kasih Nadia,” ucap Aidan dengan suara dalam dan seraknya.
“Untuk apa?”
“Untuk segala-galanya. Lagi-lagi awak bertarung nyawa lahirkan anak abang,” balas Aidan lalu mencuit pipi tembam si anak. Nadia mengukir senyuman kecil. Pipi kiri si suami ditekap. Segenap wajah Aidan ditatap lama.
“Abang sedar tak fasal nama kita?” tanya Nadia.
“Maksud sayang?” soalan dibalas soalan.
“Nama kita... kalau baca dari belakang pun, tetap akan jadi nama kita juga,” balas Nadia. Aidan menguntum senyum sehingga timbul lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.
“Abang dah lama sedar. Aidan dan Nadia, semoga pemilik dua nama tu bahagia hingga ke jannah,” bisik Aidan penuh syahdu. Maka, kedua-dua insan itu mengukir senyuman bahagia.
_________
Nasya Nur 🦋
16 ogos 2023
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro