AN 14
NADIA memerhati si suami yang sudah mula membuat kerja memasaknya. Memakai apron dan lengan baju-T disingsing hingga ke siku. Postur tubuh yang sangat sempurna sebagai seorang lelaki. Tinggi. Orangnya pun tampan. Pandai memasak pula tu. Beruntungnya dia kerana dapat memiliki Aidan Nazhan.
Satu perkara yang Nadia perasan sejak berkahwin dengan Aidan. Lelaki itu gemar memakai baju T lengan panjang jika hendak keluar ke mana-mana. Hanya dalam rumah sahaja Aidan memakai baju T lengan pendek. Tak tahu apa puncanya. Tetapi apabila dia melihat lengan si suami yang berurat itu, mungkin Aidan tak mahu tayang lengan seksinya pada perempuan lain.
Nadia membuat andaian. Tetapi baguslah tu. Biarlah lengan seksi Aidan Nazhan itu jadi tatapan matanya saja. Tanpa sedar, dia tersengih. Makin membuak-buak rasa cintanya terhadap si suami.
“Tersenyum-senyum apa isteri abang ni, hmmm?” tegur Aidan seraya mengelus pipi tembam si isteri. Pelik melihat kelakuan si isteri yang tersenyum-senyum itu. Agak seram juga. Nadia tersedar dan memandang si suami yang sudah berada di hadapannya.
“Abanglah buat saya senyum,” balas Nadia masih lagi tersenyum. Dahi Aidan berkerut. Bingung.
“Abang rasa abang tak ada cakap apa-apa pun sampai boleh buat awak senyum,” balas Aidan.
“Tak perlu tunggu dengan kata-kata. Tingkah laku abang pun dah boleh buat saya tersenyum,” ujar Nadia. Aidan tahan senyum.
“Kalau begitu, hari-harilah abang nak buat awak senyum,” kata Aidan lalu mengucup dahi Nadia. Makin melebar senyuman di bibir Nadia. Ini yang makin jatuh cinta dengan suami sendiri.
“Tomyam thai saya dah siap?” tanya Nadia. Tak sabar nak merasai tomyam thai itu.
“Sudah. Kejap ya. Abang nak hidang dulu.”
Aidan terus membuat kerjanya. Nadia hanya menjadi pemerhati. Beberapa minit kemudian, makanan sudah terhidang di atas meja. Aroma hasil dari tomyam thai itu menusuk ke rongga hidung. Nadia tersenyum teruja. Laju saja sudu dicapai dan dia mencedok sedikit kuah tomyam itu.
“Doa makan mana sayang? Nak makan sekali dengan syaitan ke?” tegur Aidan. Terhenti perbuatan Nadia. Hampir saja dia hirup kuah tomyam itu tanpa bacaan doa. Nadia tersengih.
“Maaf abang. Saya terlupa.”
“Sabar. Baca doa dulu.”
Kedua belah tangan ditadah dan Aidan membacakan doa makan. Selesai membaca doa makan, terus tomyam thai itu diterkam Nadia. Aidan menggeleng kepala sebelum tersenyum geli. Gaya si isteri macam tak makan sehari.
“Jangan gelojoh sayang. Nanti awak tersedak. Makan elok-elok,” tegur Aidan lagi. Nadia angguk kepala.
“Baik abang.”
Aidan menuang air suam ke dalam muk cawan dan meletakkannya di atas meja berhadapan Nadia. Kemudian, kerusi disebelah si isteri ditarik dan melabuhkan punggung di situ. Aidan menongkat dagu dengan tangan kanan. Anak mata tidak lepas merenung si isteri yang sedang menjamu selera.
“Sedap?” tanya Aidan. Seronok melihat si isteri menjamah tomyam thai hasil air tangannya.
Nadia tersenyum lebar.
“Sedap sangat! Abang memang cef terbaik saya.” Nadia menunjukkan ‘thumb up’ kepada Aidan. Lelaki itu menguntum senyum kecil.
“Abang tak makan sekali?” tanya Nadia. Dia dah makan hampir separuh mangkuk tomyam, baru nak tanya.
“Tak apa. Awak makan dulu,” kata Aidan. Nadia tayang muka tidak sukanya.
“Tak boleh macam tu. Saya tak makan, abang membebel. Meh saya suap abang.” Nadia mempelawa.
Sudah dipelawa, mana mungkin mahu menolak. Aidan menganga mulut, menanti suapan si isteri. Nadia tersenyum senang dan terus menyuap tomyam thai bersama nasi ke dalam mulut si suami. Aidan mengunyah dengan senang hati.
“Lagi sedap bila disuap isteri,” ujar Aidan. Nadia hanya ketawa. Aktiviti suap menyuap berterusan sehingga makanan di dalam pinggan dan mangkuk itu licin.
“Alhamdulillah. Saya dah kenyang. Terima kasih abang.” Senyum mekar Nadia.
“Alhamdulillah. Tak perlu berterima kasih. Dah memang tugas abang buat isteri abang gembira,” ujar Aidan. Muk cawan berisi air suam dicapai sebelum dia meneguk minuman itu dengan perlahan.
“Abang...”
“Ya Nadia sayang,” sahut Aidan. Muk cawan diletakkan kembali di atas meja.
“Tak nak beritahu siapa yang abang melawat dekat hospital pagi tadi?”
“Ayah Safira,” jawab Aidan. Nadia mengangguk kepala. Betul tekaannya.
“Oh.... Lamanya abang pergi sana,” ujar Nadia, kedengaran nada seakan berjauh hati. Aidan tidak lepas memandang wajah si isteri.
“Abang pergi bukan sebab Safira. Tapi sebab ayah dia. Abang dah pernah cakap kan, abang anggap ayah dia tu macam ayah kandung abang. Dan ayah dia juga banyak tolong abang. Tak akanlah abang nak lupakan kebaikan ayah dia tu dekat abang,” terang Aidan. Dia tak mahu Nadia fikir bukan-bukan.
“Saya tahu. Tapi abang senyap aje. Saya jadi takut.”
“Abang minta maaf okey. Sebenarnya, Safira ada ajak abang makan tengahari tadi, tapi abang tolak. Sebab abang dah janji dengan awak. Mana boleh mungkir janji. Abang tak naklah isteri comel abang ni merajuk.” Aidan cubit manja pipi Nadia. Nadia mendecit.
“Tahu pun takut saya merajuk.”
Aidan tersenyum kecil.
“Abang tak nak cari fasal dengan awak. Emosi awak waktu hamil ni abang tak boleh pandang ringan. Sangat bahaya,” ujar Aidan. Nadia cuma ketawa kecil.
“Esok ikut abang pergi melawat ayah. Dia teringin nak jumpa dan nak kenal dengan isteri abang,” beritahu Aidan. Nadia tengadah.
“Sungguh? Tapi saya takut.” Riak wajah Nadia berubah risau. Aidan berkerut dahi.
“Abang ada. Kenapa nak takut?” Aidan kebingungan. Nadia hela nafas berat. Tapi tidak pula dia menjawab. Malah, dia memandang wajah si suami.
“Pandang apa?” tanya Aidan. Jantung sudah berdegup kencang apabila dirinya direnung oleh si isteri. Nadia mengukir senyuman kecil.
“Senyumlah setiap masa. Saya suka tengok lesung pipit abang,” kata Nadia sambil tangan kirinya mengelus pipi kanan si suami.
“Habislah,” keluh Aidan. Kening Nadia bertaut. Dia bingung.
“Kenapa?” soal Nadia bersama riak polos.
“Abang pun tahu rasa malu. Bukan awak aje,” balas Aidan jujur.
Jawapan jujur Aidan itu terus mengundang tawa mereka. Tanpa mereka sedar, Puan Natrah memerhati dari jauh bersama senyuman bahagia.
PINTU wad ditolak ke dalam. Belum sempat Aidan nak melangkah masuk, belakang baju-T nya ditarik. Terus Aidan toleh belakang.
“Kenapa sayang?” tanya Aidan dengan nada lembut.
“Abang masuk seorang lah. Saya tunggu luar aje,” kata Nadia. Aidan hela nafas.
“Kenapa nak tunggu luar pula? Kita dah sampai kan?”
“Saya takut.”
Aidan ketawa kecil. Rambut hitamnya dikuak ke belakang.
“Ya Allah... isteri abang seorang ni. Dah kenapa nak takut? Ayah tak makan orang sayang,” ujar Aidan. Menggeleng kepalanya. Terhibur dengan kerenah si isteri.
Nadia menunduk kepala. Tak tahu kenapa dia jadi takut nak berhadapan dengan ayah Safira. Padahal, dia jumpa pun belum lagi. Bahkan kenal pun belum. Mungkin hormon mengandungnya yang membuatkan dia jadi begitu.
Aidan pandang sekeliling koridor. Nasib baik tak ada orang lalu di situ. Dia raih tangan Nadia.
“Nadia... abang dah cakapkan, abang ada. Jom,” pujuk Aidan. Nadia hela nafas. Mahu tak mahu, Nadia akur. Mereka melangkah masuk ke dalam.
“Assalamualaikum ayah.” Aidan memberi salam. Nadia bersembunyi di belakang Aidan.
Encik Sufian yang sedang membaca Al-Quran mendongak kepala. Bibir mengukir senyuman kecil apabila wajah tampan Aidan menyapa pandangannya. Al-Quran ditutup dan diletakkan di atas meja.
“Waalaikumussalam. Eh Aidan.” Teruja Encik Sufian melihat Aidan datang melawatnya lagi. Aidan mendekati si bapa lalu menyalami tangan lelaki tua itu.
“Hari ni macam mana ayah? Okey?” tanya Aidan, sekadar ingin tahu perkembangan Encik Sufian.
“Dah okey cuma adalah rasa penat sikit,” jawab Encik Sufian. Perasan ada orang lain di belakang Aidan, Encik Sufian terjenguk-jenguk.
“Yang dekat belakang Aidan tu siapa?” tanya Encik Sufian. Aidan toleh kepala ke belakang. Bibir menguntum senyum kecil.
“Oh... Inilah isteri Aidan. Nadia, sapalah ayah.” Aidan tarik tangan Nadia supaya berhadapan dengan Encik Sufian.
“As-assalamualaikum pakcik,” sapa Nadia. Dia mengukir senyuman janggal.
“Waalaikumussalam. Subhanallah, cantiknya isteri Aidan,” puji Encik Sufian. Nadia mendengar akan itu terus kembali menyorok di belakang Aidan. Aidan ketawa kecil.
“Kenapa sorok belakang suami tu? Marilah berbual dengan ayah. Dah lama ayah nak jumpa isteri Aidan ni,” ujar Encik Sufian.
“Dia takut. Aidan pun tak tahu dia takut apa dengan ayah,” kata Aidan dengan nada mengusik.
“Lah? Kenapa nak takut? Ayah tak makan orang. Ayah makan nasi,” kata Encik Sufian bersama tawa.
“Dengar tu sayang.”
“Hesh abang ni...” Laju saja dia menampar belakang Aidan. Lelaki itu cuma ketawa. Dengan perlahan, dia berdiri di sebelah Aidan. Namun, Aidan menarik kerusi dan meminta Nadia duduk. Mahu tak mahu, Nadia akur saja.
“Nama siapa?” tanya Encik Sufian.
“Nadia Athirah, pakcik,” jawab Nadia.
“Panggil ayah aje Nadia.”
Nadia tersengih janggal.
“Dah berapa bulan tu?” soal Encik Sufian. Matanya tidak lepas memerhati perut bulat Nadia itu. Dia terkejut sebenarnya apabila isteri Aidan sedang hamil.
“Dah 6 bulan... a-ayah,” jawab Nadia sambil mengusap perutnya.
“Dah tahu jantina?”
Nadia geleng kepala.
“Belum. Tapi tak kisah anak perempuan atau lelaki, kami terima aje. Asalkan dia sihat bila dah keluar nanti,” jawab Nadia seraya memandang Aidan. Lelaki tersenyum kecil.
“Ayah doakan anak kamu berdua akan jadi anak yang soleh atau solehah,” ucap Encik Sufian bersama senyuman.
“Amin,” jawab kedua-dua mereka.
Setelah lama berada di situ, baru Aidan perasan sesuatu.
“Safira mana?” tanya Aidan. Sekadar ingin tahu sahaja.
“Dia kerja pagi. Petang nanti baru dia datang,” beritahu Encik Sufian. Aidan hanya angguk kepala.
_________
Nasya Nur 🦋
13 Ogos 2023
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro