Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

AN 11












SELESAI mendirikan solat Subuh berjemaah, Aidan menoleh belakang dan terus menghulurkan tangan ke arah si isteri. Nadia ukir senyuman kecil sebelum menyalami tangan si suami. Setelah tautan tangan dilepaskan. Namun, Aidan terlebih dahulu menggenggam tangannya. Nadia tengadah.

“Kenapa ya? Pagi ni aku nampak wajah isteri aku ni berseri-seri,” kata Aidan. Nadia mendengar komen Aidan terus ketawa kecil.

“Mungkin sebab ada wuduk dan lepas solat,” balas Nadia.

“Ya, itu betul juga. Tapi ini macam seri lain.”

Lama Aidan merenung wajah si isteri sehingga membuatkan Nadia melarikan pandangan. Terasa panas membahang wajahnya. Malu apabila ditenung sebegitu oleh Aidan. Si suami mengukir senyuman nakal.

“Pemerah pipi original ke tu?” usik Aidan. Nadia terus menampar manja bahu suaminya.

“Hesh! Jangan tegurlah.”

Terus menghambur tawa Aidan.

“Tapi serius. Kau berseri lain macam. Ada apa-apa ke yang aku tak tahu?” Aidan sengaja menduga. Nadia menguntum senyum nakal.

“Awak rasa apa?”

Mengecil mata Aidan memandang si isteri.

“Maknanya kau ada rahsiakan sesuatu dari aku,” ujar Aidan. Nadia ketawa kecil.

“Kejap lagi saya beritahu. Sabar sedikit aje lagi suami saya,” balas Nadia. Aidan menjuih bibir.

“Baik. Aku tunggu.”

Nadia cuma ketawa. Comel saja si suami buat muka kecewa.

“Nadia...” panggil Aidan dengan suara lembut.

“Apa?” sahut Nadia. Aidan memandang si isteri dengan tatapan redup.

“Aku ada permintaan.”

“Apa permintaan awak tu? Kalau senang, saya boleh buat,” kata Nadia. Rasa membuak-buak nak tahu apa permintaan si suami. Tengok rupa, macam permintaan yang serius.

“Boleh tak kau panggil aku abang?” pinta Aidan. Nadia tengadah. Lama dia memandang suaminya sebelum dia mengukir senyuman manis.

“Mestilah boleh. Sebenarnya saya teringin nak panggil awak abang. Tapi saya takut awak tak selesa. Yalah, awak kan muda 2 tahun dari saya,” kata Nadia. Sebenarnya dia tak sangka Aidan akan buat permintaan begitu.

“Kau isteri aku. Mestilah aku tak kisah. Malah, aku lagi suka,” kata Aidan bersama senyuman kecil.

“Okey! Kalau begitu, saya juga ada permintaan.”

“Apa dia?”

“Saya tak nak awak guna kau dan aku lagi. Tak manis kalau orang lain dengar,” kata Nadia.

“Tiada masalah untuk itu,” balas Aidan. Nadia menguntum senyum lebar.

“Terima kasih abang.”

Senyuman nakal bermaharajalela di bibir Aidan.

“Abang tak berapa dengar. Cuba panggil lagi sekali?” pinta Aidan.

Nadia kemam bibir. Perut terasa geli seakan ada rama-rama berterbangan di situ. Aidan menggelarkan dirinya dengan panggilan abang membuatkan jiwa perempuan Nadia meronta-ronta.

“Abang...”

“Lagi?”

“Abang... Abang... Abang...” ucap Nadia berulang-ulang dengan wajah yang teruja.

Terus hilang riak nakal di wajah Aidan. Jantungnya berdebar-debar sakan. Wajahnya pula terasa panas lain macam.

“Abang...”

“Cukup!”

Terkebil-kebil mata Nadia. Wajah di suami direnung tanpa lepas. Seketika, Nadia perasan yang kedua-dua belah pipi Aidan merah. Lantas tersungging senyuman nakal di bibir. Ingatkan Aidan tak reti malu.

“Kenapa?” soal Nadia dengan wajah polos yang jelas dibuat-buat.

“Jantung abang macam nak meletup dah,” balas Aidan jujur.

Lantas, meletus tawa Nadia. Cukup terhibur dengan kelakuan si suami. Sungguh comel Aidan di matanya. Semerta, tubuh tegap itu dipeluknya. 

“Bukan abang aje. Saya pun sama.”

Aidan turut ketawa sebelum bibir merah si isteri dikucup singkat. Tangannya juga turut mendakap tubuh si isteri yang masih berbungkus kain telekung.

“Hampir 2 bulan kita nikah. Jujur, abang bahagia dengan awak. Jangan tinggalkan abang,” ucap Aidan penuh ikhlas.

“Saya juga. Selagi hayat dikandung badan, saya tetap ada dengan abang. Abang pun sama. Pandang saya seorang aje tau,” kata Nadia. Wajah si suami direnung tanpa lepas.

Kacaknya suami saya ni!

“Abang setia orangnya.” Mudah dia menjawab. Nadia mencebik bibir.

“Kalau abang setia, abang tak akan setuju kahwin dengan saya. Abang akan tetap tunggu Safira sampai dia betul-betul bersedia,” ujar Nadia.

“Itu sebab Allah dah kata Safira tu bukan jodoh abang. Macam mana sekalipun, abang dengan dia tak akan bersatu juga,” balas Aidan sebelum dahi si isteri dikucup.

Nadia dia seketika. Mencerna kata-kata si suami. Ada benarnya juga.

“Sudahlah. Tak payah cakap fasal dia lagi. Tersedak dia dekat rumah tu.”

Maka meletus ketawa mereka berdua.











NADIA tersenyum nipis apabila melihat Aidan sudah pun lengkap berpakaian. Mengenakan baju T lengan panjang berwarna kelabu dan berseluar jean berwarna hitam. Kedua-dua belah lengan baju di singsing hingga ke siku. Jujur, Aidan nampak seakan remaja apabila mengenakan fesyen sebegitu.

Dia terus mendekati Aidan yang sedang merapikan rambut di hadapan cermin. Terus pinggang si suami di peluk erat dari belakang. Aidan tidak terkejut kerana dia sudah menjangkakan itu.

“Tak payahlah kacak sangat. Nanti ada perempuan pandang-pandang abang. Saya tak suka,” kata Nadia berbaur cemburu. Haruman pada tubuh si suami di hidu. Rasa nyaman bertandang dalam hati.

Aidan tahan senyum. Tautan tangan Nadia yang melingkari pinggangnya dileraikan. Kemudian, dia pusing belakang menghadap si isteri.

“Tak ada siapa nak pandang-pandang suami awak ni. Saya bekerja dalam dapur. Bukan tukang ambil pesanan. Lagipun, ada ke perempuan nakkan lelaki yang kerja biasa-biasa ni?”

“Perempuan ni kan... kalau dia nampak lelaki kacak, baik, cukup pakej, mana dia peduli sangat lelaki tu kerja biasa-biasa. Lagi-lagi lelaki tu pegang status suami. Aura lelaki yang dah berkahwin ni lain sikit dari lelaki bujang,” ujar Nadia panjang lebar bersama mimik muka tidak sukanya. Sejak mengandung ni, jadi kuat cemburu pula.

Berdekah Aidan ketawa. Dia tahu yang si isteri sedang cemburu.

“Kuat sangat cemburu isteri abang ni. Tapi tak apa. Abang suka sebab cemburu tanda awak sayangkan abang.” Sengih Aidan menyerlahkan lesung pipitnya.

Nadia mencebik bibir. Ada saja ayat nak menyejutkan hatinya.

“Tapi kan... makin menjadi-jadi cemburu awak ni. Awak okey?”

“Mungkin sebab perubahan hormon kut,” balas Nadia. Sebenarnya dia sedang memberi petunjuk kepada si suami.

“Maksudnya?” Jelas kerutan di dahi Aidan.

“Kejap, saya ada hadiah untuk abang.”

Nadia bergerak ke beg silangnya yang berada di atas sofa. Zip dibuka dan dia mengeluarkan kotak bersaiz kecil. Setelah itu, dia melangkah ke arah Aidan semula. Kotak tersebut disua kepada si suami bersama senyuman manis.

“Hadiah tanda jawapan kepada pertanyaan abang subuh tadi dan juga hadiah hari lahir abang,” kata Nadia. Aidan terkedu.

“Selamat hari lahir suami saya,” ucap Nadia bersama senyuman manis. Terkebil-kebil mata Aidan.

“Eh? Hari lahir abang hari ni ke?” soal Aidan polos. Nadia ketawa halus.

“Ya abang. Hari lahir sendiri pun tak ingat.”

“Memori abang penuh kut. Itu yang boleh lupa tarikh hari lahir sendiri,” seloroh Aidan. Ada saja loyak buruk dia. Nadia tergelak.

“Ada-ada ajelah abang ni. Hmmm, bukalah cepat.”

Aidan terus melangkah ke katil dan melabuhkan punggung di birai katil. Nadia juga turut duduk menghadap Aidan. Tidak sabar mahu melihat reaksi si suami.

Riben dirungkaikan. Setelah itu, penutup kotak dibuka. Terus terpampang satu kertas nipis dan kecil berwarna hitam dan putih. Turut ada satu objek panjang berwarna biru dan putih. Aidan tergamam melihat akan itu.

“Nad-Nadia... sungguh ke ni?” soal Aidan. Dia memandang isterinya dengan air muka minta penjelasan. Dia belum rabun lagi. Jelas-jelas objek berwarna biru dan putih itu adalah alat uji kehamilan. Di situ tertulis perkataan pregnant. Bukan itu saja, kertas hitam dan putih itu adalah ultrasound bayi.

Nadia mengangguk kepala.

“Ya abang. Saya mengandung. Dah 8 minggu. Tahniah. Abang bakal jadi daddy,” balas Nadia bersama senyuman bahagia.

“Dan awak bakal jadi mommy,” kata Aidan turut menguntum senyum bahagia. Kertas hitam putih itu diambil. Tanpa dipinta, setitis air mata mengalir turun ke pipi. Tangisan kegembiraan.

“Terima kasih Ya Allah untuk rezeki ini,” ucap Aidan dengan nada serak. Sungguh dia tidak menyangka bahawa secepat itu dia akan bergelar bapa.

Nadia melihat air mata si suami turut menangis. Dia tahu itu adalah tangisan kegembiraan. Nadia terus kesat air mata Aidan.

“Abang gembira?” soal Nadia. Aidan angguk kepala. Tangan kecil Nadia yang mengesat air matanya diraih dan digenggam erat.

“Mestilah abang gembira. Betullah apa yang abang rasa selama ni. Awak mengandung. Yalah, awak kuat makan sekarang. Abang nak tegur, tapi takut awak jadi singa. Jadi abang pun diamkan aje,” balas Aidan. Nadia ketawa lagi

“Kalau abang tak tanya fasal period tu, saya tak akan terfikir fasal mengandung.”

“Abang tanya sebab selera makan awak lain macam. Dah macam bukan Nadia yang abang kenal sebelum kahwin.”

Nadia tersengih. Selera makan dia mencanak naik, perubahan hormon wanitanya adalah tanda dia sedang hamil. Lagipun, dia tak ada simptom muntah-muntah. Itu yang membuatkan dia tidak fikir tentang kehamilan.

“Patutlah muka dia berseri-seri. Rupa-rupanya dia mengandung,” seloroh Aidan. Wajah si isteri ditatap penuh kasih.

Nadia tersenyum kecil. Tubuh si suami di dekati sebelum dia merangkul leher Aidan. Kepala dilabuhkan di bahu si suami. Haruman yang datang dari tubuh Aidan menusuk ke rongga hidung. Lantas, hidung melekat di batang leher si suami. Di sedut bau itu sepuas hati. Rasanya dia sudah ketagih dengan bau badan suaminya.

Aidan teguk air liur payah. Kelakuan si isteri mengundang debaran yang menggila di dada. Namun, dia cuba untuk bertahan.

“Abang rasa ini juga salah satu simptom mengandung awak. Tiba-tiba peluk abang. Lepas tu buat gaya macam pontianak nak hisap darah,” ujar Aidan. Nadia ketawa kecil.

“Saya suka bau abang. Wangi,” balas Nadia.

“Memanglah. Abang baru lepas mandi,” balas Aidan. Baru lepas mandi, memanglah wangi.

“Sudah. Jom turun. Nanti apa pula mak fikir kita tak turun-turun lagi. Lagipun abang lapar,” kata Aidan sambil mengusap perut.

“Tak apa. Mak mesti faham punya.” Selamba Nadia membalas. Aidan menjegil mata. Dia tersangat faham dengan ayat kiasan isterinya itu. Nakal!

“Jangan nak mengatal Nadia sayang. Abang kerja kejap lagi,” kata Aidan. Hidung si isteri ditarik manja. Nadia ketawa kecil. Berura-ura nak turun katil, Aidan tahan pergerakan Nadia.

“Terima kasih untuk hadiah hari lahir ni. Hadiah yang paling istimewa untuk tahun ni,” ucap Aidan bersama senyuman indahnya. Timbul lesung pipit menawan si suami. Nadia turut tersenyum sebelum mengucup laju pipi Aidan.

Senyuman Aidan mengendur.

“Kenapa cium pipi? Kenapa tak dekat bibir seksi abang ni?” usik Aidan. Terjegil mata Nadia. Wajahnya sudah terasa panas membahang. Sengaja betul si suami ni.

“Kata orang gatal, dia pun sama aje.”

Meletus tawa maskulin Aidan. Seronok pula mengusik si isteri. Nadia mencebik bibir. Dia terus turun katil namun kembali duduk apabila dia teringatkan sesuatu.

“Oh ya, saya hampir terlupa.”

“Ada kejutan lagi ke?” soal Aidan. Dia menatap wajah si isteri. Menanti bicara wanita itu.

“Bukan. Saya nak beritahu, kelmarin saya ada terjumpa dengan Amirul. Dekat luar klinik,” beritahu Nadia. Hampir saja terlula nak khabarkan hal itu kepada si suami.

“Oh.... Dia ada cakap apa dengan awak?” tanya Aidan lagi.

“Dia tanya saya bahagia ke tak dengan abang. Saya balaslah saya bahagia dengan suami saya,” jawab Nadia dengan nada tenang. Aidan hela nafas.

“Itu aje?”

“Dia cakap lagi, dia akan pindah ke Terengganu dengan mak dia. Itu ajelah,” beritahu Nadia lagi. Aidan mengangguk kepala perlahan.

“Oh. Baguslah. Ingatkan dia nak rampas awak dari abang ke? Nak hancurkan hubungan kita macam drama pukul 7 petang tu ke?” seloroh Aidan bersama wajah tidak berperasaan.

“Cemburu?” soal Nadia dengan riak nakalnya. Aidan juih bibir.

“Ingat awak seorang aje boleh cemburu? Abang pun boleh lah.”

Maka, tawa Nadia meletus.








_________


Nasya Nur 🦋
02 Ogos 2023

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro