Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

AN 08











MASUK sahaja dalam kedai buku, mata Aidan meliar sekeliling kedai bagaikan mencari seseorang. Pandangan orang yang ada di situ dihiraukan. Telinganya belum pekak. Dia dengar omongan pelanggan yang ada di situ. Tidak berhenti-henti memujinya.

Haih.... Payah betul jadi lelaki kacak.

Aidan tersenyum nipis apabila anak matanya sudah menemui sasaran. Lantas langkah kaki dibuka menuju ke arah sasaran itu. Isterinya sedang sibuk menyusun novel di rak. Tibanya dia situ, Aidan capai salah satu novel. Dia belek sebelum dia memandang Nadia yang fokus dengan kerjanya.

“Puan, boleh cadangkan mana novel yang menarik?” tanya Aidan. Kelihatan si isteri tersentak kecil sebelum wanita itu memandangnya. Pandangan mereka bertemu. Air muka Nadia jelas terkejut.

“Aidan!”

“Ya, aku,” sahut Aidan mendatar.

“Apa awak buat dekat sini?” soal Nadia. Dia memandang sekeliling. Sudah dia jangka, ada mata-mata memerhati.

“Soalan apa kau tanya tu? Ini kan kedai buku. Mestilah aku beli buku,” balas Aidan dengan muka tanpa perasaan.

“Nak beli buku apa? Dekat sini bahagian novel. Kalau buku memasak, dekat bahagian lain,” ujar Nadia. Aidan tersenyum sedikit.

“Tapi sebenarnya aku tak nak beli buku.”

Tengadah Nadia.

“Habis tu, awak buat apa datang sini?”

“Aku nak jumpa isteri aku. Tiba-tiba, aku rindu dia pula,” balas Aidan bersama sengihan kecil. Nadia mencebik bibir.

“Kata saya gedik, padahal dia pun sama saja,” balas Nadia. Aidan ketawa.

“Virus gedik kau berjangkit dekat aku agaknya,” balas Aidan selamba. Nadia kemam bibir tahan gelak.

“Sudahlah. Malas nak layan awak. Saya nak buat kerja, jangan kacau saya,” kata Nadia. Tangannya ligat menyusun novel mengikut tajuk.

“Habis kerja pukul berapa?” soal Aidan. Dia hanya memerhati si isteri yang sibuk menyusun novel-novel di atas rak.

“Pukul 5:00 petang macam tu. Kenapa?”

“Saja tanya. Tapi biasanya kau balik malam.”

“Minggu ni, syif saya pagi sampai petang,” kata Nadia tanpa sedikit pun memandang si suami. Dari ekor mata, dia tahu Aidan tidak lepas memerhatinya. Kedua-dua belah pipi dah terasa panas. Malu apabila direnung oleh Aidan.

“Oh. Nanti dah habis kerja, telefon aku,” beritahu Aidan. Mendengar saja kata-kata itu, Nadia memandang si suami.

“Awak nak pergi mana?”

Soalan si isteri mengundang sengihan nakal Aidan.

“Kenapa? Kau nak aku berkepit dengan kau dekat sini ke?”

Membulat mata Nadia. Laju dia geleng kepala.

“Eh tak. Bukan itu maksud saya. Saya...”

“Kalau ikutkan memang aku nak duduk sini aje. Nak tengok kau buat kerja. Tapi, aku tak mahulah menganggu ketenteraman orang. Aku juga tak mahu kau kena marah.” Aidan usap atas kepala isterinya yang berlapik tudung itu. Dalam masa yang sama, dia bersyukur kerana Nadia sudah menutup aurat dengan sempurna.

“Aku nak pergi merayau. Bye Nadia sayang.” Aidan kenyit mata sebelum melangkah pergi.

Terkebil-kebil mata Nadia. Jantungnya usah ditanya, berdegup kencang bagaikan mahu terkeluar saja. Tambahan pula, perkataan ‘sayang’ keluar dari mulut Aidan. Lagi bertimpa-timpa rasa tak tenteram di jiwa perempuannya.

“Nadia!”

“Ya?” Terkejut Nadia dengan sergahan itu. Nasib baik dia tidak melatah.

“Siapa lelaki tu? Kacak teruk,” soal rakan sekerjanya. Nadia ukir senyuman manis.

“Dia suami saya,” balas Nadia dan terus meninggalkan rakan sekerjanya yang terkejut itu.

Mahunya tidak terkejut, Nadia tak pernah beritahu pada rakan sekerja yang dia sudah berkahwin. Hanya majikannya sahaja yang tahu.








“AKU dengar Aidan teruskan pernikahan tu. Siapa yang ganti?”

“Aku tak tahu Zatul,” balas Safira perlahan. Riak wajahnya jelas yang dia sangat tertekan sekarang.

“Kau ada jumpa Aidan tak?” soal Zatul. Safira hela nafas berat.

“Aku ada pergi rumah dia lepas aku dapat tahu dia teruskan pernikahan tu. Tapi aunty Mariam beritahu Aidan tak ada. Aku ada cuba call dan mesej Aidan. Tapi dia sekat nombor aku,” cerita Safira. Segala tindakan Aidan itu lagi menambahkan rasa bersalahnya terhadap lelaki itu.

“Sekarang ni aku tak tahu nak cari dia dekat mana. Sumpah Zatul, aku menyesal sebab buat dia macam tu. Mesti dia kecewa gila dengan aku sampaikan dia teruskan pernikahan tu dan nikah dengan perempuan lain,” kata Safira. Sungguh dia benar-benar menyesal. Zatul memandang simpati sahabatnya itu.

“Benda dah jadi Safira. Tiada guna menyesal pun.”

“Semua ni salah aku. Termakan hasutan Damia,” kata Safira, masih menyalahkan diri sendiri.

“Sudah Safira. Terima hakikat yang kau dengan dia tak ada jodoh,” tekan Zatul. Cukup tidak suka melihat Safira tak habis-habis menyalahkan diri.

“Kalau aku tak bertindak terburu-buru, mesti aku dah bahagia dengan dia,” rintih Safira lagi. Zatul hela nafas.

“Lepas ni tak payahlah kau kawan dengan Damia tu. Kononnya kawan baik selamanya. Kawan baik tak akan hancurkan kawan sendiri,” ujar Zatul dengan tegas.

Benar kata Zatul. Kerana hasutan Damialah, Safira merana. Katanya lepas dah kahwin nanti, hidupnya tak akan bebas seperti sekarang. Hidupnya akan dikongkong suami. Nak keluar, kena minta izin suami. Semua perkara buruk tentang alam perkahwinan, diucapkan Damia kepadanya.

“Eh? Itukan Aidan?” Mata Zatul terpaku kepada satu figura yang baru memasuki kawasan kafe. Lantas Safira memandang ke arah di mana Zatul melihat. Sebaik sahaja figura bekas tunang menjamah pandangan, terus gadis itu bangkit dari labuhan kerusi. Tergesa-gesa kaki menghayun ke arah Aidan. Zatul mendengus. Tak sempat nak halang Safira. Dia juga turut bangkit dan mengikuti Safira.

“Aidan,” panggil Safira. Lelaki itu menoleh belakang. Terus berubah air mukanya.

“Safira...” Hampir tidak terkeluar suaranya. Tak sangka setelah sebulan berlalu, dia berjumpa semula dengan bekas tunangnya.

“Ya Allah, akhirnya saya dapat jumpa awak Aidan. Boleh tak kita bercakap sekejap?” pinta Safira. Senyuman paling manis diberikan kepada Aidan. Namun, senyuman itu tidak dibalas Aidan. Lelaki itu hanya tanya muka serius.

“Tiada apa yang perlu kita bahaskan lagi. Antara kita dah tamat. Lagipun saya dah tak mahu jumpa awak lagi,” balas Aidan dengan nada tegas.

“Aidan please?” rayu Safira. Melihat wajah simpati bekas tunangnya itu membuatkan Aidan menghembus nafas berat. Lebih-lebih lagi, mereka sekarang berada di dalam kafe.

“Kita cakap dekat luar kafe.” Aidan terus melangkah ke luar kafe.

“Saya salah. Saya menyesal sebab buat awak macam tu,” ucap Safira sebaik sahaja mereka berada di luar kafe. Aidan kuak kasar rambutnya ke belakang.

“Baguslah kalau awak dah menyesal. Tapi dah terlambat. Saya dah kahwin dengan perempuan lain. Perempuan yang sudi tutup malu keluarga saya,” balas Aidan, lebih kepada menyindir. Tertunduk kepala Safira. Dia benar-benar tersentap.

“Saya minta maaf Aidan. Sebab buat keputusan terburu-buru. Saya terhasut dengan kata-kata Damia,” kata Safira lagi. Akhirnya dia membuka cerita sebenar. Aidan mengukir senyuman sinis.

“Dah agak. Mesti ada orang yang hasut awak. Yalah, awak nampak dah bersedia. Tak sabar-sabar nak jadi isteri saya. Tapi bila dah dekat dengan majlis, awak berubah. Saya kecewa Safira,” kata Aidan penuh kesal.

“Saya minta maaf Aidan.” Safira cuba meraih tangan Aidan. Namun, laju saja Aidan membawa kedua-dua tangannya ke belakang. Terkejut dengan tindakan gadis itu. Berani betul Safira nak menyentuh tangan dia. Gadis itu tersentak dengan tindakan Aidan itu.

“Saya dah lama maafkan awak. Tapi jangan minta untuk kembali macam dulu. Saya tak mampu lakukannya,” ujar Aidan. Safira kemam bibir. Sungguh hatinya sakit apabila mendengar kata-kata Aidan itu.

“Tapi saya masih sayang kan awak,” kata Safira dengan nada seakan merayu. Aida. Mendengus geram.

“Buang semuanya. Ingat, saya suami orang.”

“Awak sayangkan dia?” Soalan cepumas dari Safira membuatkan bibir Aidan mengoyak senyuman sinis.

“Sayang bahkan saya dah jatuh cinta dengannya. Move on Safira. Mungkin ada lelaki yang lebih layak jadi suami awak,” kata Aidan. Bukan tidak kesian dengan Safira. Tetapi, dia tak mahu memberi muka kepada Safira lagi. Dia tak mahu gadis itu terus berharap. Lagipun, dia yakin Safira layak dapat lelaki yang lebih baik daripadanya.

“Kalaulah move on itu sesuatu perkara yang mudah.”

“Sangat mudah kalau awak buang segala rasa bersalah awak terhadap Aidan. Buang semua kenangan awak dengan Aidan. Buang semua benda yang ada kaitan dengan Aidan. Berdoalah kepada Allah supaya nama Aidan terhapus dalam hati awak.” Satu suara lembut menyapa jelas pendengaran mereka. Aidan dan Safira tersentak sebelum sama-sama memandang gerangan yang tiba-tiba muncul. Aidan terkejut melihat isterinya. Wanita itu kelihatan tenang. Tapi dalaman mesti tidak setenang wajahnya.

“Awak siapa?” soal Safira. Dari atas hingga ke bawah, dia tatap wanita itu. Tak adalah cantik mana pun.

“Saya Nadia Athirah. Isteri kepada Aidan Nazhan,” balas Nadia bersama senyuman manis.

Mulut Safira terkunci rapat.







GELISAH.

Itu yang Aidan rasakan kini. Isteri mendiamkan diri sejak dari tadi lagi.

“Diam aje? Kau kenapa?” tanya Aidan. Rasa tidak senang nak memandu kereta dengan kebisuan si isteri. Dia lagi suka Nadia yang suka bercakap dari Nadia yang diam.

“Tak ada apa,” jawab Nadia senada. Aidan hembus nafas berat. Sengaja bertanya. Walhal, dia tahu penyebab Nadia tiba-tiba jadi pendiam.

“Okey... aku tahu kenapa. Fasal tadi kan?” Aidan menduga. Nadia hela nafas.

“Apa yang saya kata hari tu, benar-benar terjadi. Awak akan jumpa dia,” kata Nadia. Aidan tersenyum nipis.

“Siapa aku nak halang pertemuan tu? Kalau ikutkan hati, aku pun tak nak jumpa dia dah. Tapi aku manusia biasa. Pertemuan ni adalah perancangan Tuhan. Nak tak nak, kena hadap juga,” balas Aidan dengan nada lembut. Nadia diam.

“Kau tak percaya aku ke Nadia?” Sekilas Aidan memandang si isteri sebelum fokus kembali pada pemanduannya.

“Saya percaya awak.” Perlahan Nadia menjawab.

“Habis tu, kenapa reaksi kau macam tu? Macam marahkan aku aje.”

“Saya tak tahulah Aidan. Saya tak tahu kenapa saya macam ni. Tapi serius saya tak suka tengok dia merayu-rayu dekat awak tadi. Lepas tu, dia cuba-cuba nak pegang tangan awak. Saya geram!” kata Nadia bersama riak tidak puas hati. Aidan ketawa halus.

“Itu tandanya kau cemburu. Kau sayang aku ya?” usik Aidan. Nadia mendengus geram.

“Taklah, saya benci awak. Benci sangat-sangat,” balas Nadia kasar. Berdekah Aidan ketawa. Nadia mencebik bibir.

“Orang serius, dia boleh ketawa pula.”

“Kau tu comel sangat bila marah dan cemburu. Tak sangka isteri aku macam ni. Baru aku tahu yang Nadia Athirah ni sayangkan Aidan Nazhan,” kata Aidan. Cukup terhibur dengan telatah Nadia.

“Isteri mana tak sayang suami.”

Aidan tahan senyum apabila mendengar balasan si isteri.

“Sudah! Tak payah cakap fasal ni lagi. Kita fokus fasal kita saja,” kata Aidan. Nadia hembus nafas.

“Yalah. Oh ya, awak nak bawa saya pergi mana?”

“Mana-mana aje tempat yang menarik. Kau nak tak dating dengan aku sampai malam?”

Mendengar sahaja pertanyaan si suami, terus bersinar mata si isteri.

“Nak!” balas Nadia dengan nada teruja. Aidan tersenyum kecil.

“Kalau nak, jangan cakap fasal orang lain lagi. Cukup fokus fasal kita berdua aje. Okey Nadia sayang?”

“Okey suami saya.”








________






Nasya Nur 🦋
22 Julai 2023

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro