AN 07
SEDAR tak sedar, sudah sebulan lebih mereka bergelar suami dan isteri. Dalam tempoh itu, banyak juga mereka belajar tentang perihal pasangan masing-masing. Setakat ini, hubungan mereka baik-baik sahaja walaupun ada kalanya ada salah faham. Namun, mereka selesaikan dengan matang.
Biasalah adat dalam berumah tangga. Mesti akan ada juga pergaduhan. Cuma yang membezakan adalah, bagaimana setiap pasangan itu hendak menyelasaikan masalah mereka.
Sebab itu pentingnya komunikasi, kepercayaan dalam alam perkahwinan.
“Kamu berdua ni tak mahu ke duduk rumah sendiri?” soal Puan Natrah. Dia memandang kedua-dua insan itu yang sedang menjamah nasi lemak.
“Kenapa? Mama dah bosan tengok muka Nad dengan Aidan?” soal Nadia.
“Bukan macam tu. Kamu berdua kan dah kahwin. Sepatutnya kamu berdua duduk rumah sendiri. Kan ada privasi tu,” kata Puan Natrah. Nadia memandang mamanya.
“Rumah ni besar untuk mama tinggal seorang diri. Sebab tu Nad duduk sini sebab tak nak biarkan mama keseorangan.” Mudah Nadia membalas.
“Soal privasi tu, insya-Allah kami tak akan bermesra berlebihan depan mama,” sambung Nadia tanpa riak. Dia menyambung semula suapan nasi lemak ke dalam mulut.
Aidan yang mendengar itu terus tersedak. Cepat-cepat dia capai gelas air dan meneguk rakus. Manakala, Puan Natrah menggeleng kepala sebelum belakang badan anak perempuannya ditampar.
“Argh! Mama sakitlah!” jerit Nadia sambil menahan perit di belakang badannya. Tamparan berbisa Puan Natrah jangan dibuat main.
“Cakap tak bertapis langsung. Haih, malu mama ada anak macam Nad. Itu, dah merah telinga suami Nad tu,” kata Puan Natrah dengan nada tegas.
Nadia memandang suaminya. Benar, kedua belah telinga Aidan merah. Bukan kali pertama dia melihat akan itu. Dah banyak kali. Lagi-lagi, bila dia usik Aidan. Mesti telinga suaminya itu akan naik merah. Itu tanda Aidan malu.
Nadia menjuihkan bibir.
“Mama ni, sakit tahu tak? Mesti melekat tapak tangan mama.” Dengan muka cemberut, Nadia terkial-kial mengosok belakang badannya. Nasib baik dia tidak mengunyah nasi ketika ditampar oleh mamanya. Puan Natrah buat tak endah. Malas nak layan perangai mengada anaknya itu.
“Haa, Aidan? Kamu tak teringin nak tinggal berdua di rumah sendiri?” soal Puan Natrah lagi. Masih tak puas hati kerana tidak mendapat jawapan dari menantunya itu.
“Kalau Nadia nak duduk sini, Aidan okey aje. Aidan tak kisah,” balas Aidan bersama senyuman kecil.
“Lagipun, Aidan nampak Nadia ni ‘anak mak’. Takut pula, kalau dipisahkan, menangis pula,” tambah Aidan. Riak mengusik terserlah di wajahnya. Nadia terus menjegil mata memandang suaminya.
“Yah! Tak baik menuduh. Saya tak seteruk itu,” sangkal Nadia. Dia memang manja dengan Puan Natrah. Tapi manjanya berpada-pada.
Aidan cuma ketawa. Puan Natrah hela nafas panjang.
“Yalah. Tapi ingat, kalau ada masalah, jangan tunjuk depan mama. Mama tak mahu tahu. Masing-masing dah besar. Dah tahu macam mana nak selesaikan,” ujar Puan Natrah bersama pesanan tegas.
“Baik mama.”
Aidan ukir senyuman kecil. Dia memandang Nadia yang berselera menyantap nasi lemak. Dia perasan isterinya itu kuat makan sejak akhir-akhir ni. Nak tegur, tapi takut Nadia sentap pula. Akhirnya, dia hanya membiarkan saja.
“AWAK ni instafamous ke?” soal Nadia.
“Maksud kau?” soal Aidan kembali.
“Saya stalk akaun instagram awak. Banyak juga pengikut awak,” ujar Nadia. Aidan kerling skrin telefon pintar milik isterinya.
“Oh. Aku bukan intafamous. Tak berminat nak jadi famous,” balas Aidan mendatar.
“Tapi hakikatnya awak dah famous. Tengoklah like. Gambar macam ni pun dapat 15 ribu like,” kata Nadia. Sekeping gambar Aidan yang hanya tayang belakang badan dan sedikit kabur menjadi santapan mata Nadia. Gambar kabur begini pun dapat banyak like.
“Aku post gambar dekat instagram hanya suka-suka. Tak ada niat nak tarik minat sesiapa. Lagipun, kejap aje gambar tu dekat situ. Nanti aku arkib,” kata Aidan. Ya, benar. Hanya suka-suka.
“Oh. Kenapa tak post gambar kahwin kita?” soal Nadia. Dia ada post. Siap tag Aidan lagi. Cuma tidak meriahlah. Hanya Naziha saja yang komen, ucap tahniah kepadanya.
“Belum ada masa. Lagipun aku dah lama tak buka media sosial kecuali whatsapp,” kata Aidan sambil mengeluarkan telefon pintarnya dari poket seluarnya. Ligat jari jemari runcing menekan-nekan permukaan skrin telefon tersebut.
“Okey, aku dah post.” Aidan tunjuk skrin telefon yang memaparkan hantaran gambar kahwin mereka. Nadia cepat-cepat melihat hantaran itu. Kemudian, terus dia menekan like. Bibirnya mengoyakkan senyuman mekar.
“Ringkas betul kapsyen awak letak,” komen Nadia.
“Buat apa panjang-panjang. Cukuplah perkataan ‘Mine’ tu. Orang dah tahu kau, aku punya.” Mudah Aidan membalas.
“Mesti akan ada orang komen kenapa pengantin perempuan bertukar.”
“Pedulikan. Mereka tak tahu perkara sebenar.”
Nadia diam. Dia masih melihat gambar kahwin mereka. Lagi sekali dia tersenyum. Kapsyen pendek, tapi cukup buat hatinya berbunga-bunga.
“Sudahlah main telefon tu. Tidur. Aku dah mengantuk,” kata Aidan.
“Baik Encik Aidan Nazhan.”
Nadia meletakkan telefon pintarnya di ata meja lampu bersebelahan katil. Melihat Aidan sudahpun dalam posisi baring dengan tangan kanan menutupi mata. Manakala, tangan kiri berada di atas perut. Tanpa menunggu, tangan kiri Aidan diraih Nadia. Aidan tersentak kecil. Namun, dia hanya membiarkan. Tahu sangat isterinya itu kalau tidur mesti nak berbantalkan lengannya.
“Aidan...” seru Nadia.
“Hmmm,” sahut Aidan tanpa memandang isterinya.
“Selama sebulan kita kahwin ni kan... awak ada jumpa bekas tunang awak?”
“Tak ada. Kali terakhir aku jumpa dia masa hari pertama kita jumpa tu,” jawab Aidan dengan suara serak.
“Oh.”
“Kenapa tanya?”
“Tak.... Saya terfikir, macam mana kalau bekas tunang awak tu jumpa awak dan merayu nak balik semula dengan awak. Apa awak nak buat?” Aidan hembus nafas berat.
“Aku dah cakap bukan? Hati aku dah tawar setelah apa yang dia buat dekat aku. Tak akan ada hubungan istimewa antara kami lagi. Kalau setakat kawan tu boleh lah,” kata Aidan.
“Kenapa?”
“Safira anak yatim. Sama macam kita. Sepanjang aku berkawan dengan Safira, rajin juga aku pergi rumah dia. Semata-mata nak meluangkan masa dengan ayah Safira. Aku anggap ayah dia tu macam ayah aku sendiri,” cerita Aidan.
“Oh begitu. Kiranya awak rapatlah dengan ayah Safira.”
“Ya. Sebenarnya, ayah dia banyak juga bantu aku waktu aku belajar dulu. Sebab nak balas budi, aku nak jadikan Safira sebagai isteri aku. Alang-alang boleh sama-sama jaga ayah dia sebab ayah dia sakit. Tapi, manusia tu hanya mampu merancang saja.”
“Kenapa tiba-tiba kau tanya soalan macam tu?” Aidan menunduk kepala sedikit untuk memandang isterinya.
“Sebab saya dapat rasa awak mungkin akan jumpa dia lagi,” ujar Nadia. Aidan mengeluh.
“Kalau jumpa pun, aku harap sebab ayah dia saja. Kalau nak balik macam dulu, tak mungkin berlaku. Cukup aku ada kau.”
Aidan raih dagu Nadia sebelum dia menolak ke atas. Anak mata mereka bersatu.
“Kau lupa ke apa yang aku minta pada kau tempoh hari?” soal Aidan dengan mada serius. Bulat mata Nadia merenung anak mata suaminya.
“Minta apa?” Soalan dibalas soalan. Aidan mengelus rambut si isteri.
“Aku minta kau percayakan aku,” balas Aidan. Nadia diam. Sejujurnya dia lupa akan hal itu.
“Maaf. Saya lupa.” Perlahan saja dia menjawab.
“Tak apalah. Dah tidur. Pejam mata tu sebelum aku buat benda lain,” ugut Aidan. Nadia tayang senyum sinis.
“Ugutan awak tak berkesan untuk saya Aidan,” ujar Nadia bersama sengihan nakal.
Aidan tepuk dahi sendiri.
“Lupa pula, isteri aku kan nakal.”
Maka tawa mereka memenuhi segenap ruang dalam bilik tidur itu.
AIDAN tanggal apron dari tubuhnya dan menyangkut di ampaian. Dia melangkah keluar dari kawasan dapur. Dia mengukir senyuman ketika berpapasan dengan rakan sekerjanya. Langkah dihayun ke arah si kakak yang berada di kaunter.
“Kak Ziha,” seru Aidan.
“Ya?” sahut Naziha.
“Naz nak keluar. Mungkin tak balik restoran. Kalau ada apa-apa beritahu Naz ya?” beritahu Aidan. Naziha angguk kepala.
“Yalah. Tapi nak pergi mana? Ada urusan ke?” soal Naziha, ingin tahu. Pelik sebenarnya kerana tiba-tiba saja Aidan mahu keluar.
“Naz nak keluar dengan Nadia,” jujur Aidan. Lantas melebar sengihan mengusik Naziha.
“Nak datinglah tu.”
Aidan cuma tersenyum.
“Adik akak bahagia tak?” soal Naziha, sekadar bertanya. Walhal, dia yakin adiknya sudah bahagia dengan sahabatnya.
“Alhamdulillah kak. Kalau tak bahagia, tak ada Kak Ziha nampak Naz macam ni,” balas Aidan.
“Alhamdulillah syukur. Pergilah Naz. Usah risau fasal restoran ni. Kak Ziha dengan abang Khalid ada.”
“Yalah Kak Ziha. Naz pergi dulu. Assalamualaikum.”
“Hati-hati memandu kereta. Waalaikumussalam.”
Keluar saja dari restoran, langkah dihayun menuju ke parkir kereta. Namun, sampai saja dipertengahan jalan, dia terserempak dengan abang iparnya.
“Nak pergi mana Naz?” soal Khalid.
“Nak jumpa isteri Naz, abang Khalid,” balas Aidan bersama senyuman. Bibir Khalid mengoyak senyuman nakal.
“Tak jumpa kejap, takkan dah rindu?” usik Khalid. Aidan ketawa kecil.
“Kalau bolehlah kan... Naz nak dia ada depan mata Naz setiap detik,” balas Aidan.
“Abang nampak rupa angau Naz tu. Pergilah Naz. Abang faham. Aura pengantin baru tu masih ada walaupun dah sebulan nikah,” seloroh Khalid. Meletus tawa mereka. Angau dengan isteri sendiri tak apa.
“Naz pergi dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” balas Khalid. Dia tersenyum seraya menepuk bahu adik iparnya. Tak boleh nak komen apa-apa. Kerana dia juga pernah berada di situasi yang sama. Selagi belum ada anak, selagi itulah mahu berkepit dengan isteri tercinta.
_____
Nasya Nur 🦋
20 Julai 2023
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro