AN 04
NADIA tersenyum kecil melihat cincin di jari manisnya. Tidak sangka dia sudah bergelar isteri kepada Aidan. Masih dia ingat lagi dalam tempoh 3 hari itu. Bertungkus lumus dia menyiapkan dokumen perkahwinannya. Syukur kerana segalanya urusannya dipermudah. 3 hari yang sangat memenatkan buatnya. Walaupun penat tapi dia gembira. Kerana dia berjaya juga tempuhi cabaran dari mamanya.
Majlis pernikahan tadi berjalan dengan lancar. Walaupun ada tetamu yang menyoalkan mengapa pengantin perempuan bertukar. Ada juga yang mengatakan dia merampas Aidan dari bekas tunangnya. Nak saja dia sembur orang yang buat fitnah tu. Tapi terpaksa dia bersabar. Biarlah apa yang mereka mahu kata. Yang penting, dia dah kahwin. Tapi yang paling penting suami dia adalah Aidan Nazhan dan bukan Amirul.
“Teringatkan suami ke adik ipar?” tegur Naziha. Wanita itu tersenyum nakal. Nadia ketawa kecil.
“Mana ada,” sangkal Nadia. Naziha mencebik bibir.
“Eleh. Jangan nak menipu. Aku perhati aje kau dari tadi. Tersengih-sengih tengok cincin tu.”
Nadia cuma tersenyum.
“Aku masih tak percaya yang kau jadi adik ipar aku. Macam mana kau boleh kenal Naz?” soal Naziha.
“Aku selamatkan adik kau dari hampir dilanggar 4 hari lepas. Aku tak tahu pula yang dia tu adik kau,” balas Nadia. Membulat mata Naziha dek kerana terkejut.
“Seriuslah? Dia tak ada cerita pula fasal tu.”
“Mungkin dia tak nak buat kau orang risau,” kata Nadia, sekadar mahu menyedapkan hati Naziha.
“Oh ya, pandai ya kau manfaatkan masalah yang menimpa adik aku tu,” usik Naziha. Nadia tersengih sahaja.
“Tapi kau yakin ke buat semua ni? Kau bukan kenal lagi adik aku tu macam mana.” Naziha menyoal dengan nada sedikit gusar.
“Walaupun aku belum kenal adik kau sepenuhnya. Tapi aku yakin dia seorang lelaki yang baik. Buktinya, kau tak halang pun masa aku beritahu kau yang aku nak kahwin dengan dia. Kalau dia bukan lelaki yang baik, kau sebagai sahabat aku mesti kau tak mahu aku menderita. Kan?” kata Nadia. Naziha ukir senyuman kecil seraya merangkul mesra bahu Nadia.
“Mestilah aku nak kau bahagia. Apa pun terima kasih sebab terima adik aku. Bukan tu aje, kau juga dah selamatkan maruah keluarga aku,” kata Naziha.
“Jadi, misi kau dah selesai kan?” soal Naziha lagi. Nadia angguk kepala bersama senyuman mekar.
“Ya. Alhamdullilah. Aku dah kahwin. Tak perlu lagi aku pening kepala dengan permintaan mama aku tu.”
“Selesai bab cari calon suami. Tapi kau kena ingat, masih ada bab yang belum kau selesaikan. Bab hala tuju hubungan kau dan Naz selepas kahwin. Tak akanlah kau kahwin dengan dia semata-mata nak penuhi permintaan mama kau,” kata Naziha.
“Mestilah tak. Aku nak perkahwinan ni kekal sampai bila-bila. Jangan risau Ziha. Aku akan bahagiakan adik kau,” kata Nadia penuh yakin.
“Aku doakan kau dan Naz bahagia. Selamat tempuhi pahit dan manis di alam perkahwinan sahabatku. Jangan cepat melatah kalau ada masalah. Selesaikan dengan cara baik,” pesan Naziha.
“Terima kasih kakak iparku.”
Dan mereka berdua ketawa. Tanpa mereka sedari, Aidan memerhati mereka dari balkoni bersama senyuman kecil.
“EH, tak naik bilik lagi ke Nadia?” tegur Puan Mariam. Langkah dihayun mendekati Nadia. Gadis itu sedang minum air di kaunter pulau. Nadia menguntum senyum kecil buat ibu mentuanya.
“Nak naik lah ni mak. Tapi Nad dahaga. Itu yang minum dulu,” balas Nadia. Puan Mariam mengangguk kepala.
“Dah habis minum, terus naik. Tak baik biarkan suami menunggu,” kata Puan Mariam.
“Baik mak.”
Puan Mariam raih tangan Nadia. Diusap tangan itu penuh kasih.
“Mak nak ucapkan terima kasih dekat Nadia sebab sudi terima Naz. Mak terkejut juga masa dia cakap nak teruskan pernikahan tu. Awalnya mak ingat Safira ubah fikiran. Tapi rupanya, dah ada pengganti. Mak tahu Nad dengan Naz baru aje jumpa. Belum lagi kenal lebih mendalam. Tapi mak harap Nad boleh jaga dan bahagiakan anak mak,” ujar Puan Mariam panjang lebar. Nadia ukir senyuman manis.
“Insya-Allah mak. Nad akan pastikan anak lelaki mak bahagia. Doakan kami.”
“Mak akan sentiasa doakan Nad dan Naz.”
Nadia ukir senyuman kecil. Syukur, kerana memiliki keluarga mentua yang sangat baik.
Selepas berbual pendek dengan ibu mentuanya, Nadia terus naik ke tingkat atas. Dia terus menapak ke bilik Aidan yang kini telah menjadi biliknya juga. Tangan memegang tombol pintu tapi tidak pula dipulas. Rasa berdebar-debar datang menganggu diri. Perasaan inilah yang dia mahu elak sejak tadi lagi. Selepas solat Isyak tadi, terus dia turun bawah dan tak naik ke bilik selepas itu.
Nadia tarik nafas dan hembus perlahan.
‘Bertenang Nadia. Bertenang.’
Setelah merasakan dia sudah bersedia, tombol pintu dipulas dan ditolak ke dalam. Namun, Nadia dikejutkan dengan susuk tubuh Aidan yang berdiri dihadapan pintu. Tak sempat nak tegur, tangannya diraih dan ditarik masuk ke dalam bilik. Terjerit kecil Nadia sebelum dia terasa tubuhnya ditolak ke pintu yang sudah ditutup rapat. Kejung tubuh Nadia apabila dirinya di kepung Aidan.
Apa Aidan cuba buat sekarang ini?
Degupan jantung Nadia semakin mengila. Dia mendongak kepala dan memandang Aidan yang merenungnya dengan tatapan tajam. Kalau renungan itu adalah pedang, mati semerta dia di situ.
“Kenapa lama sangat kau dekat bawah? Atau kau takut dengan aku? Yalah, malam ni kan malam pertama kita ” Aidan tayang muka nakal.
“Ma-mana ada saya takut. Saya memang dah nak naik bilik selepas minum. Lepas tu mak datang tegur. Berbual kejap dengan mak,” balas Nadia, mempertahankan diri. Jantungnya sudah berdegup kencang.
“Ya ya lah tu.” Aidan pandang Nadia dengan riak tidak percaya. Nadia merengus
“Pergi tanya mak kalau awak tak percaya.”
Aidan cuma mendecit. Lelaki itu rendahkan sedikit tubuhnya untuk menyamakan ketinggiannya dengan Nadia yang hanya separas dadanya. Pendek rupanya Puan Nadia ni.
“Aku nak tuntut jawapan kau. Jadi, kenapa kau nak kahwin dengan aku?”
Bau wangi dari tubuh Aidan sedikit menganggu deria bau Nadia. Kenapa sedap sangat bau badan dia?
Eh kau dah kenapa Nadia? Fokus! Jangan cepat tergoda!
“Boleh tak saya cerita hari lain? Lagipun, saya dah jadi isteri awak. Saya ada aje dengan awak. Bila-bila pun saya boleh beritahu awak. Boleh ya? Malam ni saya nak tidur. Saya penat,” pinta Nadia bersama air muka merayu. Terkebil-kebil mata Aidan memandang isterinya.
“Okey. Aku tunggu,” akur Aidan.
“Terima kasih.”
Tubuh tegap itu ditolak. Rasa terancam bila dekat begini. Namun, tubuh Aidan mengeras. Lebih mengejutkan, lelaki itu menghapus jarak yang ada di antara mereka. Sehinggakan dia terasa nafas hangat Aidan menyapa wajahnya.
“Nak pergi mana? Urusan kita belum selesai,” kata Aidan dengan suara garaunya
“Urusan apa?”
Aidan sengih nakal.
“Malam ni malam pertama kita. Tak akan tak faham lagi?”
Tengadah Nadia. Jiwanya menjadi semakin tidak tenteram.
“Erkkkk... tiba-tiba saya rasa nak berak. Maafkan saya.”
Menggelabah Nadia mahu melarikan diri tapi pantas Aidan menghalang.
“Sangat tiba-tiba. Cakap ajelah kau takut. Masa ajak aku kahwin, berani pula,” sindir Aidan. Nadia merengus geram. Sungguh tak boleh terima dengan ejekan Aidan itu. Rasa tercabar!
“Ya! Memang saya takut. Puas hati?”
Isteri mana tak takut nak jalankan tanggungjawab yang satu itu. Lagi-lagi buat kali pertama. Masa tu, macam-macam benda bermain dalam fikiran.
“Tak puas hati. Sudahlah, pergilah berak sana. Jangan lupa flush khazanah kau tu,” kata Aidan tanpa riak sebelum menjauhi Nadia.
“Awak ingat saya budak-budak ke yang berak tak flush?” marah Nadia.
“Memang aku nampak kau macam budak-budak pun.” Mudah dia menjawab. Mencerlung tajam mata Nadia.
“Hei! Saya dah 27 tahun tahu!”
“Aku kahwin dengan orang tua rupa-rupanya.”
“Aidan Nazhan!”
Aidan ketawa besar. Suka benar dia melihat riak bengang isterinya itu. Seronok pula mengusik.
“Awak ni boleh tahan menyakitkan hati juga. Tak jadi nak berak. Tadi awak cakap apa? Malam ni malam pertama kita? Okey.”
Nadia dengan berani menanggalkan butang baju tidurnya. Berubah air muka Aidan.
“Kejap, kejap.... Kau nak buat apa ni?” soal Aidan dengan nada serius. Nadia ukir senyuman sinis
“Boleh pula tanya? Saya nak jalankan tanggungjawab sayalah,” balas Nadia tanpa gentar.
“Butangkan balik baju kau. Aku main-main aje tadi!” jerkah Aidan.
“Dah terlambat.”
Nadia terus menerpa ke arah Aidan. Leher lelaki itu dirangkul erat. Disebabkan ketinggian mereka berbeza, terpaksa Nadia menjengket kaki. Terus dia kucup bibir sang suami.
Aidan tergamam. Namun, sudah nama pun lelaki. Tipulah kalau dia tidak tergoda. Perlahan-lahan tubuh kecil Nadia dirangkul erat.
“SELAMAT pagi,” sapa Aidan apabila melihat si ibu yang mahu menutup makanan dengan tudung salji.
“Lewat bangun?” tegur Puan Mariam. Terus tidak jadi mahu menutup sarapan pagi itu.
“Penat mak.” Ringkas Aidan menjawab. Puan Mariam memandang semacam anak lelakinya itu.
“Penat buat apa aje semalam?” soal Puan Mariam bersama senyuman mengusik.
Aidan garu kepala. Tiba-tiba tak tahu nak balas apa. Puan Mariam ketawa kecil sebelum menggeleng kepala perlahan.
“Bangun Subuh tak tadi?” soal Puan Mariam lagi.
“Bangun mak. Lepas solat, tidur balik. Yang lain mana?” Tercari-cari juga kelibat orang dalam rumah itu.
“Kak Ziha dengan abang Khalid kamu pergi beli barang dapur. Dah makan.”
“Terima kasih mak. Oh ya...”
“Nadia dekat luar. Jangan risau, tak lari pun isteri kamu tu,” cantas Puan Mariam.
Aidan cuma tersenyum. Bangun saja tidur, isterinya sudah tiada disebelahnya. Lama dia merenung nasi lemak di dalam pinggan itu hinggalah segala bayangan peristiwa yang berlaku malam tadi bermain di fikirannya.
Lelaki itu raup wajah dan rambutnya. Dia sendiri tak tahu apa yang patut dia rasa sekarang. Pada mulanya, dia hanya mahu mengusik tetapi tidak sangka usikan itu membawa padah. Barulah dia tahu, isterinya itu pantang di cabar.
Aidan ketawa sinis. Sungguh dia tak boleh jangka perangai isterinya itu. Apabila difikirkan balik, mereka berkahwin bukan atas dasar cinta. Mereka adalah orang asing yang bertemu secara tiba-tiba. Nampaknya dia perlu berbincang dengan Nadia mengenai hubungan mereka yang seterusnya.
______
Nasya Nur 🦋
09 Julai 2023
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro