
PROLOG 🔥
THE BUTCHER mengepal penumbuk. Sekeping gambar seorang perempuan cantik bertudung litup yang dikenali sebagai Cik Amra Khayra ditenung dengan penuh rasa benci. Sakit hatinya apabila wakil daripada syarikat pengiklanan itu membatalkan kontrak perjanjian pengiklanan dengan syarikatnya.
“Ini semua sebab kaulah Dodo, bodoh nak mampus! Sebab kaulah perempuan jahanam tu tahu pasal kita. Sekarang dia tahu yang kita ni penjenayah!” sembur The Butcher dengan suara menekan kepada orang kanan suruhan yang sedang melutut di depannya. Orang yang paling dia percaya.
“Aku minta maaf, tuan. Aku akan betulkan kesilapan ni,” rayu Dodo dengan suara menggeletar. Tubuhnya menggigil hebat. Mana dia tidak gugup apabila muncung pistol diacu tepat ke kepalanya oleh orang suruhan The Butcher yang lain.
“Kau nak betulkan kesilapan? Macam mana? Cuba beritahu aku.” Suara The Butcher berubah menjadi semakin rendah dan berbisik penuh ancaman. Dia mengetap giginya kuat-kuat, cuba menahan gerami.
“Aku akan tangkap dan seksa perempuan tu,” jawab Dodo dengan nada cemas, menunduk dan tidak berani menatap wajah The Butcher.
“Tangkap dan seksa? Itu takkan selesaikan masalahlah,” pangkah The Butcher. Suaranya bergetar dengan kemarahan.
“Kita pindahkan markas ke tempat lain,” cadang Dodo dengan nada penuh harapan, berharap semoga cadangannya akan menenangkan bosnya.
“Bengap! Memang itu pun yang aku tengah buat sekarang. Takkan kau tak nampak yang gudang ni dah kosong?” marah The Butcher. Bulu tengkuknya menegak dek kemarahan semakin menyala-nyala.
“Tuan…” Dodo berasa perutnya semakin memulas.
Takutnya berganda-ganda melihatkan wajah bengis The Butcher ataupun yang dikenali ramai sebagai penjual daging di pasar basah yang terkenal di negeri ini. Ramah orangnya, selalu memberi daging lebih kepada pembeli.
Mak cik-mak cik dan gadis bukan Islam yang selalu pergi ke pasar suka benar membeli daging khinzir dan lembu daripadanya. Selain harga daging yang murah, dia juga murah dengan senyuman. Sesekali usikan nakal disebabkan wajahnya yang tidak kalah tampan.
Rupanya ala-ala orang Itali. Kerana itu tergedik-gediklah para perempuan cuba mengurat si abang penjual daging. Jika ditanya kenapa bekerja sebagai penjual daging sahaja dan bukannya kerja di pejabat, jawapan yang diberi olehnya adalah mahu berada dekat dengan ibu. Ibunya sakit dan dia mahu berbakti kepada ibu.
Lahhh sangat! Jelik Dodo mendengar penipuan The Butcher.
Lelaki itu tokan dadah. Menjual daging itu hanyalah cover sahaja untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Dia perlu bekerja sebagai penjual daging kerana mahukan peti sejuk beku rahsia yang terletak di bawah tanah pasar basah itu. Yang bersambung dengannya pula ialah gudang senjata api.
Kedua-dua tempat ini selamat daripada dihidu oleh pihak berkuasa. Selama bertahun-tahun mereka menjalankan kegiatan haram ini, tidak pernah sekali pun markas mereka diserbu. Cuma saja disebabkan oleh kesilapan Dodo kali ini, mereka mengalami kerugian besar.
Bagi orang ramai, lelaki itu hanyalah seorang penjual daging yang ramah dan selalu memakai senyuman yang menawan. Padahal hatinya penuh dengan perancangan busuk. Dengan satu pergerakan, dia boleh bertukar wajah daripada penjual daging yang ramah kepada penjenayah yang tiada belas kasihan.
Namun, selain menjadi penjual daging, The Butcher juga hidup dengan identiti lain. Dia adalah seorang usahawan berjaya yang memiliki pelbagai perniagaan hartanah. Dia mengiklankan perniagaannya ke serata tempat bagi menjana pendapatan berlipat kali ganda.
Jika ditanya adakah dia si penjual daging pada dinihari pagi dan usahawan berjaya pada waktu pejabat adalah orang yang sama, dia akan mengatakan yang usahawan itu adalah kembarnya dan begitulah sebaliknya. Penipuannya berlapis-lapis sehingga orang mempercayainya seratus peratus.
“Banyak betul masalah aku. Dahlah masalah dadah aku tak settle lagi, ni kau tambah lagi beban aku dengan masalah senjata api pula. Bahlul!” herdik The Butcher.
“Aku tak kira. Aku nak kau bunuh perempuan tu, biar tak ada siapa pun tahu pasal kegiatan haram kita. Kalau aku dapat tahu tugas ni gagal, siap kau. Bersepai otak kau aku kerjakan nanti!” marah The Butcher lagi. Matanya menyala dengan api kemarahan menjulang.
“Baik tuan, baik.” Berkali-kali Dodo sujud kepada The Butcher, tanda akur dengan perintah tersebut.
“Berambus!” hambat The Butcher. Matanya tajam membunuh.
Dodo segera bangun lalu cepat-cepat keluar dari situ. Sekarang, dia ada tugas besar yang mesti dilaksanakan demi menyelamatkan batang tengkuknya daripada dilibas mati oleh bos besarnya. Dia tidak mahu menerima nasib sebegitu disebabkan gagal membunuh target yang dikehendaki!
Ps: Novel fizikal coming soon insya-Allah 🥰
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro