
BAB 6
"MACAM mana dengan projek penyeludupan dadah dan senjata api kita, Sani?" Suara berat seorang lelaki bergema dalam ruang yang sunyi. Duduk bersila di atas bantal kecil, tubuh tegapnya seolah-olah tidak terganggu oleh dunia luar.
Matanya tertutup rapat, seolah-olah memusatkan sepenuh perhatian pada meditasi yang sedang dilakukan. Walaupun tahap meditasinya belum mencapai kesempurnaan, dia tetap mengutamakan ketenangan dalam hidupnya. Apa yang diinginkannya kini hanyalah fikiran yang lapang, jauh daripada hiruk-pikuk kota. Maka, rumah ibadat mini miliknya menjadi tempat pilihan untuk bermeditasi.
"Berjalan lancar, tuan," jawab Dato' Sani sambil menelan liur yang terasa kesat di kerongkong.
Hakikatnya, lututnya sudah longgar menahan gemuruh. Menghadap The Butcher bukan perkara main-main. Silap satu langkah, riwayatnya boleh berakhir di sini juga.
"Ada sesiapa yang cuba menjadi tikus?" tanya The Butcher lagi.
"Tak ada," jawab Dato' Sani sambil menekur lantai. Gerun segerunnya perut pedalnya dirasakan kini.
"Bagus. Tapi ingat, kalau ada sesiapa yang cuba jadi tikus... pastikan bangkai mereka tidak pernah ditemui." Suara The Butcher rendah tetapi cukup untuk membuat darah Dato' Sani membeku.
"Baik, tuan," akur Dato' Sani lalu berundur tujuh langkah ke belakang. Lantas, badannya yang seperti "sotong" itu dipusingkan ke belakang lalu kakinya cepat-cepat melangkah keluar dari rumah ibadat tersebut.
"Dodo, perhatikan Sani," arah The Butcher kepada pembantunya yang sedari tadi terpacak tegak teguh belakang setelah kelibat Dato' Sani kabur daripada pandangannya. Entah, hati kecilnya berfirasat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan anak buahnya yang seorang ini.
"Baik," angguk Dodo perlahan. Sinar matanya kelam, penuh rahsia yang hanya dia tahu. Dodo, si orang kanan The Butcher menyeringai galak.
'Habislah kau Sani, kau ingat aku tak tahu yang kau nak membelot kepada tuan? Tunggu sajalah!' Dodo tersenyum mengejek.
*****
'MUHAMMAD Aariz Iktizar. Unik betul nama dia.' Sejak tadi Khayra bermonolog sendirian sambil tangannya tidak lepas daripada mengetuk-ngetuk pen di meja.
Hari ini genap seminggu kejadian itu berlalu. Entah kenapa, wajah lelaki itu terasa begitu familiar. Seakan-akan mereka pernah kenal lama.
'Ah, stresnya!' Khayra melempar pennya ke sudut dinding. Berdentang bunyinya efek jatuhan pen tersebut terkena dinding.
"Er... Rara?" tanya Cindy, prihatin.
Dari meja setiausaha yang berkongsi ruang dengan meja pengurus, Cindy sejak tadi memerhati gelagat sahabatnya itu. Kelihatan seperti tidak kena saja tingkah lakunya hari ini. Pada firasatnya, Khayra mungkin masih belum pulih sepenuhnya.
"Sorry, Cindy." Khayra menekup muka lalu nafasnya ditarik perlahan.
'Apa nak jadi dengan kau ni Rara? Aariz tu tak adalah handsome sangat kalau nak kata kau jatuh cinta pandang pertama pun,' omel hatinya perlahan.
"Astaghfirullahalazim." Dia beristighfar panjang.
Sedarlah, perasaan yang berkecamuk dan fantasi yang indah datangnya daripada bisikan syaitan supaya manusia terus lalai dan hanyut dalam gundah. Syaitan, jangan ganggu dia. Iblis, sila berambus!
"Eh, kau nak pergi ke mana tu?" tanya Cindy terburu-buru apabila melihat Khayra dengan riak garang tiba-tiba bangun dari kerusi.
"Hambat setan," jawab Khayra dua patah lantas berlalu keluar dari bilik pejabatnya.
Cindy tersengih mendengar jawapan direct Khayra. "Hambat setan", itu istilah yang biasa digunakan oleh Khayra jika mahu menenangkan fikiran di surau pejabat dengan bersolat sunat Duha. Jam 9 pagi, waktu yang afdal untuk melakukan solat tersebut. Gadis itu memang adakalanya baran, jadi solat menjadi caranya untuk meredakan emosi.
Kring... kring...
"Helo." Telefon pejabat yang berdering nyaring pantas diangkat oleh Cindy sebelum deringan ketiga sempat berbunyi.
"Ya, ada apa saya boleh bantu?" tanya Cindy ramah.
"Oh, Cik Amra? Baik, baik terima kasih," jawab Cindy dengan suara penuh hormat dan santun.
*****
"DARK, aku dapat tahu yang Dato' Sani jumpa seseorang kat rumah ibadat milik persendirian di Jalan Pekeliling," kata Light sambil menggosok dan sesekali meniup perlahan muncung pistolnya.
"Ada info?" tanya Aariz sepatah.
"Mestilah tak ada," jawab Light selamba.
"Lah..." Aariz mengeluh.
"Habis tu kenapa kau bagi tahu aku?" sambungnya lagi. Rasa mahu dicepuk kuat-kuat saja kepala Light.
"Saja aje, sebab aku tengok kau macam hanyut. Teringatkan Cik Amra ke?" tebak Light sambil tersengih-sengih. Sekali sekala menyakat Aariz, best juga kan?
"Banyaklah kau teringat. Dah, pergi jauh-jauh. Menyetan aje kau ni kerjanya," halau Aariz. Macam manalah si Light ini boleh membaca fikirannya? Memang betul pun dia teringatkan Khayra!
"See? Agakan aku tepat. Kau takkan mampu tipu aku, buddy. Dahlah, aku nak pergi jumpa makwe aku si Cindy. Bye-bye buddy in love," gelak Light lalu bergerak ke superbike miliknya. Lebih baiklah dia blah dari situ dengan segera jikalau tidak mahu mendengar ceramah free daripada Aariz.
Couple itu tidak dibenarkan dalam Islam. Jika sukakan seseorang, boleh bertaaruf tetapi biarlah dalam lingkungan batas-batasnya. Sebab itulah dalam adat Melayu sekali pun, ada acara merisik dan bertunang. Bertunang merupakan tempoh untuk pasangan lelaki dan perempuan mengenali hati budi masing-masing.
Bercinta bagai nak rak, usung anak dara orang ke sana ke mari tetapi alih-alih bukan jodoh. Bukan ke itu sudah membazir masa? Fantasi dan angan-angan yang tidak berkesudahan. Akhir sekali, jadilah kes terjaga jodoh orang lain. Kasihan.
Atas dasar itulah, seorang Muhammad Aariz Iktizar memang tidak pernah couple dengan mana-mana perempuan. Baginya, berkawan biarlah ramai tetapi suri hatinya hanya satu. Jika berkenan, terus masuk meminang. Selesai.
Light pula sebaliknya. Dia masih dalam fasa mengenal Islam. Ilmunya belum kukuh dan kerana itu dia kadang-kadang rimas dengan ceramah Aariz. Namun, jauh di sudut hati, dia berterima kasih kerana Aariz tidak pernah berputus asa membimbingnya ke jalan yang benar.
"Bye, aku chow dulu." Cepat-cepat Light beredar dari situ.
Aariz hanya mampu menggeleng melihat perangai Light. Bukan senang nak nasihatkan kawan sendiri. Gelengannya terhenti apabila telefon pintar miliknya bergetar dari poket seluar. Setelah diamati nama pemanggil, keluhan berat terbit dari mulutnya.
Alahai Datin Saniah, mahu apa pula kali ini?
"Hai darling my handsome bodyguard, temankan I pergi shopping ya. I dah siap ni," kata si pemanggil dengan suara gedik tanpa sebarang salam.
Mendengar suara itu, Aariz menghela nafas panjang. Cis, tak guna betul pasangan suami isteri ini! Seorang bapak ayam, seorang mak ayam. Eloklah jadi laki bini. Ya Allah, anugerahkanlah dia kesabaran dalam misi kali ini.
"Baik, datin," akur Aariz. Dalam masa yang sama, hatinya mendongkol geram kepada Light. Mesti lelaki itu sudah tahu orang tua ini nak keluar shopping, sebab itulah dia lari awal-awal tadi!
"Okey darling. I tunggu di lobi. Miaw!" Sambil gelak, Datin Saniah terus memutuskan talian.
'Astaghfirullahalazim... ya Allah, ampunkanlah dosaku tersumpah orang tua ini.' Meremang menegak terus bulu roma Aariz mendengar panggilan "darling" dan bunyi kucing manja daripada Datin Saniah.
Teruk betul kepincangan keluarga Dato' Sani. Itu tidak dikira lagi dengan anak perempuan pasangan tersebut yang kaki clubbing dan anak lelaki pula bebas mengusung anak dara orang ke hulu ke hilir. Nauzubillahi min zalik...
Tit... Tit...
Telefon pintarnya sekali lagi bergetar. Buat seketika, dia mengeluh lagi. Apa pulalah yang anak perempuan Dato' Sani ini mahukan daripadanya? Dengan malas, Aariz akhirnya menjawab juga panggilan yang sejak tadi menjerit tidak putus-putus bagaikan terkeluar anak tekak, walaupun hanya dalam mod getaran.
"My abang, anje nak keluar shopping. Temankan anje, boleh?" Suara menggoda Suja, anak perempuan Dato' Sani kedengaran di talian.
"Maaf Cik Suja, tapi saya perlu temankan mommy cik shopping," tolak Aariz dengan baik.
"Alah abang ni..." leret Suja dengan nada sedih.
"Ah, tak kira. Anje nak ikut abang juga. Mommy? Huh, anje tetap nak ikut abang!" bentaknya sebelum mematikan talian.
Aariz menepuk dahi. Anak dan mak, dua-dua tak tahu malu! Buat kesekian kali, dia rasa mahu terbaring di katil hospital dan tidak bangun-bangun sampailah semua mimpi ngeri ini berakhir.
Ya Rabbi, anugerahkanlah dia kekuatan dalam menghadapi cubaan dan rintangan ini.
'Nasiblah kau Aariz. Niatkan kerja sebagai ibadah yang akan diberikan ganjaran di akhirat kelak. Tak ramai orang yang sanggup merisikokan nyawa sendiri demi keamanan negara.' Aariz memejam mata lalu membiarkan hatinya bebas berbicara.
'Ingat, Aariz. Apa pun yang berlaku, penyeludupan dadah, senjata api, dan warga asing tanpa izin ke negara ini mesti ditumpaskan. Dato' Sani bukan sebarangan orang. Kepondanannya hanya topeng. Dia lelaki sejati yang boleh buat lebih daripada itu,' bisik hatinya.
Sungguh, Dato' Sani bukan biasa-biasa orangnya. Biarpun luarannya nampak lembut dan berlagak pondan, Aariz tahu yang ia hanyalah sandiwara tidak berbayar demi mengelabui mata yang memandang. Cuma, buat masa sekarang dia masih belum mendapat maklumat siapa dalang sebenar di sebalik semua ini.
The Butcher... hanya sebaris nama samaran itusahaja yang diketahuinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro